“MANA Effan ni? Sepatutnya dia dah sampai. Baru tadi dia telefon yang Oppy dah jemput dia kat airport. Takkan tak sampai-sampai lagi.” Datin Neema merungut di depan pintu sambil kepalanya terjengah-jengah ke luar.
“Alah mama ni, relakslah. Adalah tu abang singgah kat mana-mana. Tak pun pergi ofis ke,” sampuk Dahlia yang sedang membelek majalah In-trend.
“Kalau ya pun, bagi tahulah. Nanti lauk-lauk tu sejuk, dah tak sedap.” Dalam nada Datin Neema masih ada rasa tak puas hati dengan anak sulungnya.
Dahlia berhenti menghadap majalah dan alihkan pandangan kepada mamanya sejenak.
“Mama, Lia tanya sikit boleh?”
“Apa dia?” soal Datin Neema lalu bergerak ke ruang tamu. Penat pula berdiri. Setelah berlabuh, dia mengurut-urut lututnya.
“Betul ke mama nak jodohkan abang dengan Kak Salwa?”
“Betullah. Kamu ingat mama main-main? Tiga tahun mama tunggu nak kenalkan abang kamu dengan Salwa. Sebelum dia ke Istanbul, macam-macam dia berdalih dengan mama bila mama nak kenalkan Salwa.”
Dahlia angguk. Dia tak pernah berjumpa dengan Salwa. Adalah sekali dia tengok gambar Salwa dalam telefon pintar mamanya. Boleh tahan orangnya. Tetapi, daripada gaya bergambar, Dahlia rasa Salwa seorang yang gedik. Mana sesuai dengan abangnya.
“Dia berdalih tu sebab tak naklah tu. Kenapa mama nak paksa?”
“Mama tak paksa. Kalau dia tak nak, tak apa. Kalau nak, lagi elok.”
“Apa-apa ajelah, mama.” Dahlia sambung membaca apabila enggan panjangkan isu tentang abangnya, Effan.
GADIS malang itu masih belum sedar. Nasib baik dia cuma pengsan kerana terkejut. Bukan cedera atau sebaliknya. Oppy menunggu di tepi katil agar Maria apabila Effan keluar seketika untuk menghubungi keluarganya.
Pintu wad ditolak. Oppy menoleh. Effan masuk.
“Macam mana keadaan dia?”
“Belum sedar.”
“Maria binti Ismeth. 27 tahun.” Effan membaca nama pesakit pada fail di sudut meja. Dia amati pula wajah Maria yang pucat. Gadis itu memiliki dagu berlekuk seperti Datuk Siti Nurhaliza. Comel! Dia memang sejak dulu sukakan gadis yang ada dagu berlekuk. Lagipun, dia peminat penyanyi nombor satu Malaysia itu. Leka merenung seraut wajah itu, Effan terfikirkan sesuatu.
“Oppy, awak dah telefon ahli keluarga dia?”
“Bukan tak nak telefon, tuan. Tapi, handphone dia ada passcode. Kita tunggu dia sedar ajelah.”
“Berapa lama nak sedar? Dah dua jam kita kat sini.” Effan separuh merungut. Dahlah tubuhnya penat selepas berjam-jam dalam penerbangan.
Oppy mengangkat bahu. Manalah dia tahu bila gadis itu akan sedarkan diri. Dia bukannya doktor.
“Macam nilah. Biar saya tunggu kat sini sampai dia sedar, tuan balik dulu. Apa-apa hal nanti saya telefon tuan. Macam mana?”
Effan berfikir sejenak akan cadangan Oppy seraya mengemam bibir bawah.
“Okeylah macam tu. Saya balik dulu. Mama pun dah bising sebab kita tak sampai-sampai lagi.”
Oppy angguk. Bernas juga ideanya itu.
“Kalau dia dah sedar, telefon saya terus,” pesan Effan sebelum meninggalkan wad.
Oppy angguk lagi dan perhatikan Effan sehingga lesap daripada pandangannya.
Mata Oppy kembali menatap wajah Maria. Dia harap gadis itu segera sedarkan diri. Kalau tidak, berapa lama dia perlu menunggu di sini? Jam tangan di pergelangan kirinya ditatap seketika.
KEPULANGAN Effan di rumah agam milik keluarganya disambut mesra. Kerinduan dizahirkan oleh Datin Neema tatkala mendakap tubuh anak sulungnya. Tiga tahun tak berjumpa membuahkan rindu yang lebat. Untuk menyambut kepulangan anaknya, dia sediakan masakan istimewa untuk Effan.
“Effan nak makan dulu ke mandi?”
“Mandi dululah, mama,” kata Effan seraya mengibas-ngibas kemejanya.
“Pergilah. Lepas tu kita makan ya?” Datin Neema menepuk lembut bahu Effan.
Effan angguk dalam senyuman dan dia mengatur langkah ke arah tangga. Sambil mendaki, tangannya memegang penghadang lut sinar hingga ke atas.
Saat kakinya melangkah ke dalam bilik tidurnya, bibirnya menyungging senyuman. Semuanya nampak kemas dan wangi. Berbeza sebelum dia tinggalkan biliknya. Cadar juga berganti dengan corak abstrak. Sebelum ke kamar mandi, Effan henyak birai katil dan memandang sekeliling biliknya.
Tatkala matanya dihalakan ke arah dinding, tiba-tiba terlakar seraut wajah yang cukup asing baginya. Dia terpaku seketika. Dalam rasa bingung, dia cepat-cepat keluarkan telefon pintar untuk menghubungi Oppy.
“Oppy, how is she?”
“Belum sedar, tuan.”
“Bila dia sedar, cepat telefon saya.”
“Okey. Tapi, kenapa tuan macam risaukan sangat pasal dia?”
“Tak ada apa-apa. Walaupun di tak cedera, kita tetap dah langgar dia. Apa-apa jadi kat dia, kita kena bertanggungjawab.”
“Saya faham, tuan. Salah saya sebab saya yang langgar dia.” Oppy bersuasa dengan nada sesal.
“Benda dah jadi, Oppy. Okeylah. Saya nak mandi kejap. Telefon tau.”
Oppy jadi makin pelik apabila Effan pesan berkali-kali benda yang sama.
“Tuan jangan risau. Dia buka mata aje, saya telefon tuan.”
Effan angguk. Dia beri salam dan matikan talian. Dia tanggalkan baju dan masuk ke kamar mandi.
DATIN NEEMA tersenyum panjang melihat Effan begitu berselera menikmati air tangan masakannya. Effan makan tanpa bercakap. Bukan main berselera lagi. senang hati Datin Neema melihatnya. Dia mengerling ke arah Dahlia dan suaminya. Masing-masing fokus dengan hidangan di depan mata.
“Effan, tambah lagi nasi.”
Effan memandang mamanya dan angkat tangan sebagai isyarat. Dia habiskan kunyahan dan bersuara.
“Dah dua kali tambah nasi dah ni mama. Sendat dah perut ni,” jawab Effan seraya menyentuh perutnya.
Datin Neema tersenyum kecil dengar jawapan Effan.
Baru nak sambung suapan, telefon pintar Effan yang diletak di sebelah kirinya menyala dan mempamerkan nama Oppy pada skrin. Dia terus dapat agak tujuan panggilan itu. Terus jarinya menekan butang hijau. Telefon dilekap ke cuping telinga kiri.
“Macam mana, Oppy? Dia dah sedar ke?” soal Effan melulu.
“Dia baru aje sedar, tuan. Tapi, tengah menangis-nangis ni. Bila saya tanya kenapa, dia tak nak cerita. Dia suruh saya hantar dia balik airport.”
“Saya pergi sekarang.” Effan matikan talian dan bingkas.
“Kenapa, Fan? Siapa dia?” tanya Datin Neema dengan penuh persoalan di minda bila mencuri dengar perbualan Effan dan Oppy. Dia ingin tahu siapa ‘dia’ yang dimaksudkan.
Effan bingung untuk berterus-terang. Padahal, kemalangan itu bukanlah serius. Gadis itu tak cedera langsung.
Deringan daripada telefon pintarnya membantutkan niatnya untuk jelaskan perkara sebenar.
“Effan pergi dulu. Nanti Effan cerita dekat mama dan papa.” Effan tiada masa untuk berbual dan dia mula bergegas ke hospital.
OPPY jadi buntu melihat Maria menangis meringkuk dalam selimut. Lambat pula Effan nak sampai. Dia pula tak tahu macam mana nak memujuk perempuan. Teman wanita pun tiada.
Esakan masih lagi bergema meskipun perlahan. Agak menyayat hati. Oppy merenung sekujur yang berbalut di atas katil dengan pandangan kosong. Ada masalah mental ke apa gadis ni? desis hatinya.
“Cik, kalau cik tak nak cerita kat saya, cik cerita masalah cik dekat bos saya nanti.”
Setiap kata-kata Oppy tiada bersambut. Rasa seperti bercakap dengan katil saja. Tiada respons langsung.
“Manalah bos aku ni? Dah dekat sejam dah ni.” Oppy merungut sesekali matanya jatuh pada jam tangannya. Kemudian bersilih ganti pula dengan sebatang tubuh di atas katil. Dalam keresahan menanti kedatangan Effan, penantian itu berakhir jua. Telinganya menangkap bunyi pintu ditolak ke dalam.
“Tuan?” Oppy bangun seraya berpaling. Effan menghampiri dengan mata lurus ke arah katil.
“Lepas dia sedar, macam tulah keadaan dia, tuan. Berselubung dalam selimut. Saya dah tak tahu nak cakap apa dah. Tapi, dia tetap menangis. Mungkin dia ada masalah lain yang agak peribadi,” terang Oppy sehingga mengundang kerutan pada wajah Effan.
“Masalah lain?” ulang Effan. Dia fikir ini pasti masalah cinta. Dia juga pernah mengalaminya. Cuma, dia tidaklah sampai menangis sebegini rupa.
“Tuan, saya serah tugas dekat tuan ajelah uruskan dia.” Oppy angkat kaki dan tinggalkan wad seketika. Dia keluar daripada bangunan hospital dan mencari tempat sesuai untuk merokok.
Oppy sudah pergi. Tinggal Effan dengan gadis bernama Maria. Dia menarik kerusi dan berlabuh. Sebelum bersuara, dia berfikir menyusun ayat.
“Hai. Assalamualaikum.”
Esakan yang singgah di telinga Effan ketika dia sampai lenyap tiba-tiba.
“Kalau sebab kemalangan tadi awak menangis macam ni, saya minta maaf. Saya akan bayar ganti rugi. Tapi, tak mungkinlah sebab awak bukan cedera pun. Tak ada luka-luka. Saya faham mungkin awak masih terkejut. Cuma, takkan sampai menangis merengek macam ni? Tentu awak ada masalah lain kan?”
Maria yang mengerekot dalam selimut mengamati suara itu. Itu suara orang lain. Siapa pula? Anak matanya bergerak ke kiri ke kanan dengan kening berkerut. Hilang sekejap esakannya.
“Atau… awak ada masalah dengan boyfriend awak?” Semasa kejadian tadi, Effan disuruh oleh seorang lelaki membawa Maria ke hospital. Lelaki itu nampak risau dan berkali-kali panggil nama Maria. Tetapi, dalam masa yang sama tergesa-gesa mengejar penerbangan. Effan syak ia ada kaitan dengan lelaki itu kerana mereka saling mengenali.
Mendengar perkataan boyfriend yang keluar daripada mulut lelaki itu, Maria terus memekup mulutnya agar tak mengeluarkan sebarang suara tangisan. Dia menangis kerana Hardy. Bukan disebabkan kemalangan tadi. Dia juga bersyukur kerana tak mengalami apa-apa kecederaan.
Tiada respons daripada Maria, Effan teruskan berbicara. Dia yakin dia akan berjaya mendapat perhatian Maria.
“Saya pernah putus cinta. Orang yang saya sayang dan cinta selama empat tahun khianati saya. Bermesra dengan lelaki lain depan mata saya. Hanya tuhan yang tahu apa perasaan saya masa tu. Ia macam mimpi ngeri dalam hidup saya. Saya selalu ingatkan diri saya. Allah dah tetapkan seseorang yang lebih baik untuk saya. Bila saya fikir yang tu, saya boleh move on. Saya masih menunggu gadis tu hadir dalam hidup saya.”
Maria kusyuk mendengar setiap butir bicara lelaki itu. Kisah cinta mereka tak ada berbeza. Sama-sama rasa dikhianati. Cuma dia akan menunggu Hardy selagi dia masih berdaya. Apabila dia sudah penat kelak, dia akan cuba lupakan Hardy dan mulakan hidup baru.
“Pesan saya, kalau putus cinta sekalipun, tak guna nak menangis meratap macam ni. Tak guna menangis sebab orang yang tak tahu menghargai kita. Biarlah dia pergi. Awak kena yakin dengan jodoh. Kalau jodoh awak dengan dia, ke hujung dunia pun dia pergi, dia tetap akan kembali dekat awak. Kalau sebaliknya, siapalah kita nak melawan takdir.”
Effan perasan yang tubuh Maria bergerak-gerak di sebalik selimut. Dia menanti gadis itu menunjukkan wajahnya. Dua minit, Maria berpusing membelakangkannya. Dia menghempas keluhan hampa.
“Okeylah. Take your time. Maaf sebab ganggu awak.” Effan angkat punggung dan keluar mencari Oppy.
“MARIA ada banyak kerja belum siap, kak. Kejap lagi Maria balik.” Maria terpaksa berbohong kepada kakaknya, Nadia. Padahal dia masih di hospital dan menunggu masa untuk beredar saja. Kebetulan ketika bersiap untuk pergi, telefon pintarnya berbunyi. Dan, dia mengambil peluang ini untuk pergi memandangkan lelaki yang melanggarnya tadi sudah pulang.
“Dah malam ni, Maria. Macam mana akak tak risau? Telefon tidak.” Jelas sekali suara Nadia menzahirkan kerisauan.
“Kerja banyak sangat, kak. Akak jangan risau ya.”
“Jangan jadi hamba kerja sangat. Waktu balik kena balik. Waktu kerja tu kerja betul-betul. Jangan sampai dah malam macam ni pun masih kat ofis.”
Maria menggaru-garu cuping telinga apabila kakaknya membebel lagi. Ada episod sambungan rupa-rupanya. Kalaulah Nadia tahu apa yang terjadi kepadanya hari ini, tentu berbakul-bakul bebelan yang terpaksa telinga dia tadah.
“Maria tahu, kak. Okeylah. Maria siapkan kerja. Kalau akak tak letak telefon, macam mana Maria nak buat kerja?” Sempat Maria menyindir Nadia dalam nada gurauan. Mereka cuma dua beradik selepas ketiadaan kedua-dua orang tua mereka. Sulung dan bongsu. Kerana itu mereka cukup rapat.
“Okeylah. Balik nanti hati-hati tau.”
“Ya, kakakku tersayang. Insya-Allah.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Maria tekan butang merah. Dia tersenyum sendiri. Beri salam pun dalam nada marah. Akak, akak. Kepala Maria tergelang-geleng.
Seketika, dia termangu. Lupa terus akan Nadia. Kelibat Hardy pula menerjah fikirannya. Sekarang dia rasa mahu menangis lagi.
Apabila terfikir sesuatu, dia perlu cepat-cepat tinggalkan hospital dan kembali ke lapangan terbang untuk mengambil keretanya. Telefon pintar diselit ke dalam poket kecil dalam beg tangan. Dia meninggalkan wad dan diberitahu yang bil hospital telah dijelaskan.
Luar hospital, Maria menahan sebuah teksi yang akan membawanya ke lapangan terbang. Teringat akan sesuatu, Maria menyeluk ruang berzip untuk mengambilnya. Sebuah alat perakam yang dihadiahi oleh Hardy sempena hari jadinya pada tahun lepas. Waktu itu dia tercicir alat perakam miliknya.
Lantas, alat perakam itu digenggam. Lalu disemat ke dada. Maria menghayati esakan halusnya hingga tanpa sedar dia diperhatikan oleh pemandu teksi itu.
No comments:
Post a Comment