Wednesday, 6 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 1

Assalamualaikum... jemput baca e-novel Jodohku Superstar





Bab 1


“DHIYA, tolong taip balik financial report ni!” 

Pap! Fail dihempas atas meja. Pemilik suara terus pergi. Tak sempat tengok muka dalam kesibukan tetapi suaranya dapat aku cam.

“Dhiya, dah fotostat agenda meeting petang ni? Nak cepat tu.” Si setiausaha pula bertanya.
“Err... tengah.” Kelam-kabut aku menjawab. 20 set minit mesyuarat aku fotostat tadi dan tinggalkan di bilik operasi.

“Nanti letak atas meja I.”

Aku mengeluh. Staf baru selalu saja dibuli. Belum panas lagi kerusi yang aku berlabuh. Baru nak bangun, seorang lagi pegawai datang. “Tolong hantar ni ke HR, ya.”

Dengan berat aku mengangguk kepala. Ikut saja apa yang disuruh. “Sekarang ke?” 

“Of course. Urgent ni.”

Aku angguk lagi. Semua yang bagi arahan, semuanya nak cepat, semua nak segera. Mereka ingat aku robot? Okey. Tapi aku akan selesaikan satu per satu mengikut urutan. Mula-mula, aku kena pergi bilik operasi. Untuk periksa adakah dokumen yang aku fotostat tadi sudah siap atau belum. Tatkala kaki melangkah masuk ke dalam bilik operasi, Yusri, office boy sedang membelek fail-fail di atas rak.

“Hai, Yus,” sapaku tergesa-gesa menuju ke arah mesin fotostat. 

“Hai.” 

Telinga menangkap suara Yusri membalas sapaan. Kerana nak cepat, aku malas nak bertegur sapa dengan lebih lanjut. Kalau tak tegur, bimbang dianggap sombong. Lagipun aku masih junior di bahagian ini. Aku lihat tray dan semuanya sudah selesai. Tanpa membuang masa, aku ambil semua dokumen itu untuk distapler.

“Dhiya?” Ketika aku nak keluar dari bilik operasi, Yusri memanggilku.

“Ya, Yus.” Langkahku hentikan. Kedua-dua tangan mendakap dokumen yang setebal tiga inci itu. Berat sey!

Kelihatan biji mata Yusri meliar ke luar bilik. Suspensnya. Lalu Yusri menyeluk beg silang yang selalu dibawa untuk menghantar surat. Lagi berganda suspensku.

“Saya nak bagi ni...”

Mataku sedikit terbuntang. Coklat premium import?

“Untuk saya?”

Yusri angguk. Malu-malu gitu. 

Aku cuba mengambilnya, namun beban di tangan menyebabkan sukar untuk aku menyambut huluran Yusri. Bila coklat itu bertukar tangan, ia terjatuh. “Ops...”

“Tak apa.” Lalu Yusri tunduk untuk mengambil coklat itu dan berikan semula kepadaku. 

Tak sempat aku membongkok untuk tunduk. Aku memberi isyarat mata agar dia letakkan ke atas susunan dokumen di atas lenganku. Kebetulan pula Ema masuk ke dalam bilik operasi dan terpegun melihat aku dan Yusri.

“Apa you all buat kat sini?”

Aku dan Yusri memandang Ema yang beriak curiga. Kemudian Yusri kembali ke arah rak untuk meneruskan kerjanya. 

“Tak ada apa-apa,” ujarku dengan senyuman yang dibuat lalu dengan selamba saja keluar dari bilik itu. Sudah lenguh tangan ini menampung kertas-kertas itu.


“DIA ingat dia lawa sangat ke? Mak cik kat sebelah rumah aku lagi lawa.”

“Alah... Bajet hotlah tu. Nak semua perfect, dia tu perfect sangat ke?”

“Itulah pasal. Baru ni si Ema cerita dekat aku, dia maki office boy kita. Dia bagi coklat aje pun. Ema cakap kat aku, si Dhiya tu cakap yang budak office boy tu tak sedar diri. Dahlah muka tak handsome. Macam jalan belum turap. Dia campak coklat tu depan-depan office boy kita.”

“Ia ke Min? Dia buat macam tu?” 

“Ialah. Takkan aku nak mereka-reka cerita. Ema yang cerita. Kalau kau tak percaya, kau pergi tanya Ema sendiri apa perempuan tu dah buat kat office boy kita. Cuma, hari ni si Ema tu cuti. Sampai resign budak tu...”

Tersirap darah aku bila mendengar dengan telinga sendiri orang mengumpat pasal aku. Aku sabarkan hati. Teruskan mendengar apa lagi yang dua orang penyibuk dalam pejabat ni nak bercerita. Aku menyorok di sebalik pintu pantri. Memasang telinga sebesar-besarnya.

“Teruknya dia tu. Eii... Kalau aku ada masa dia buat macam tu kat office boy tu, aku tampar muka dia. Dasar tak sedar diri.”

Oh. Nak tampar aku pula? Ini tak boleh jadi. Hati aku sudah berbara mendengar orang mengumpat dan mereka-reka cerita pasal aku. Aku tak tahu apa yang dua orang makhluk ni dengki sangat dengan aku. Pandai-pandai pula buat fitnah. 

Memang betul Yusri, office boy pejabat ini berikan aku coklat. Aku ambil dan masa tu terjatuh dari tangan. Bila masa pula aku campak dan buang? Yusri berhenti kerja, bukan sebab aku. Dia dapat tawaran kerja yang lebih baik. Makhluk dua orang ni memang tak ada kerja lain agaknya selain mengumpat. Seorang lagi tukang sebar cerita, Ema. Hisy... cuti pula dia hari ni.

Teringat aku pada firman Allah SWT yang bermaksud, Dan janganlah sesetengah daripada kamu mengumpat sesetengah daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentu kamu semua membenci memakannya. Surah al-Hujurat, ayat 12. 

Mengumpat ibarat memakan daging saudara sendiri. Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya mengumpat itu lebih keji daripada berzina. Pernah aku usulkan hadith itu dengan ustaz semasa di sekolah. Kenapa mengumpat lebih keji daripada berzina sedangkan kedua-duanya adalah dosa besar?

Jelas ustazku, jika seseorang itu berzina lalu bertaubat nasuha dan takkan mengulanginya lagi, Allah SWT akan mengampunkan dosanya. Tetapi jika mengumpat, selagi orang yang diumpat tidak memaafkan dosanya, maka selagi itulah Allah SWT takkan mengampunkan dosanya.

Aku sejak dulu memang tak suka mengumpat. Untuk apa aku pedulikan hal orang lain yang tak ada kena-mengena dengan aku? Nampak gayanya aku terpaksa mentarbiahkan dua makhluk ini sebelum dosa mereka makin bertambah. 

“Ehem.” Aku masuk. Berdeham dengan wajah yang tenang. 

Terkejut ungka mereka berdua. Tak sangka agaknya orang yang diumpat akan muncul. Oh, rupanya mereka tengah makan pagi. Nasi lemak lagi. Aku buat muka senyum. Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Mereka berdua sudah mula nampak cemas. Itulah, kalau buat salah.

“Makan kat pantri aje? Selalu makan kat luar.” Aku menegur mereka. 

Jasmin dan Rini tunduk menguis-uis nasi lemak dalam pinggan polistirena. Aku pandang mereka dan mereka berbalas pandangan. Aku ambil muk dan tuang air kopi yang dibancuh oleh Mak Cik Siti di dalam teko.

“Sedap tak nasi lemak tu?” kataku. 

Mereka terus diam. Selepas ambil kopi, aku duduk bersama mereka. Tak terangkat muka mereka bila aku duduk bersama. Tahu takut. Rasa bersalahlah tu. Masa mengumpat, tak takut pula dosa?

“Saya ni bukanlah ustazah. Bukan cikgu agama. Tapi, dari kecil saya diberikan didikan agama yang cukup. Dari rumah ke sekolah. Saya ingat lagi pesan ustaz, antara dosa-dosa besar... mencuri, berzina, derhaka kepada orang tua, memakan riba, makan harta anak yatim. Lepas tu, minum arak dan mengumpat. Banyak lagi dosa besar tapi saya takkan sebutkan semua kat sini. Saya cuma nak tekankan dosa bagi orang yang suka mengumpat.”

Sebaik aku buka tirai tazkirahku, air muka Jasmin dan Rini mula berubah. Aku tak bermaksud nak menyindir tetapi mahu menyedarkan mereka yang perbuatan mereka itu salah dan berdosa besar. 

“Hukum mengumpat atau menfitnah ni dosa besar. Kenapa nabi bersabda yang mengumpat itu lebih teruk daripada berzina? Sebab dengan bertaubat, Allah akan ampunkan dosa orang yang berzina. Tapi dosa mengumpat? Kalau saya tak maafkan awak berdua, adakah taubat awak berdua akan diterima nanti?”
Jasmin dan Rini tertunduk. Aku masih belum habis lagi.

“Saya dah dengar tadi apa yang awak berdua cakap. Memang saya rasa marah tadi. Apa yang awak berdua cakap tu tak betul. Bila tak betul, itu yang jadi fitnah. Jasmin, saya bukan jenis yang memilih. Tak sedar diri atau rasa diri ni perfect. Tak. Setiap orang dah ditetapkan jodoh. Macam tu juga awak. Kalau awak suka mengumpat, awak rasa ada tak lelaki yang nak dekat dengan awak? Tak ada, kan? Cubalah muhasabah diri.” Aku tarik nafas beberapa saat. Hairan. 
Mereka berdua langsung tak mendongak.

“Pasal Yusri tu, memang betul dia bagi saya coklat. Saya terima dengan baik. Kebetulan masa tu coklat tu terjatuh. Yusri tolong ambilkan. Dia berhenti pun sebab dapat kerja lain. Apa yang awak cakap semua tak betul, Jasmin. Saya tak pernah cakap dia tu macam muka jalan belum tar. Siapa saya untuk menghina makhluk Allah? Awak dengar daripada pihak lain dan awak sebarkan. Kalau awak selalu bercerita tentang keburukan orang, orang juga akan cerita tentang keburukan awak. Tergamak ke awak nak makan daging saudara awak sendiri?”

Sesi mentarbiahkan mereka selesai. Aku biarkan ayat setakat itu supaya mereka fikir-fikirkan. Aku sudah tak betah untuk bekerja di syarikat ini. Apa yang aku buat, semua menjadi buah mulut orang. Apa yang mereka dengkikan pun aku tak tahu. Sekali aku bagi, terus terdiam. Kalau tak, belum sedar lagi agaknya.

Dengan perasaan yang sedih, aku bangun dan keluar dari pantri. Kopi yang kuambil belum sempat aku teguk. Tapi bicara tadi benar-benar menjerut perasaan. 



2 comments: