Bab 8
MANIC Sunday! Selalu orang sebut manic Monday. Tapi hari ini, ia adalah manic Sunday. Semua ni kerja gila Fafa yang nak aku hadir ke Konsert Mini Amar Affandy. Aku langsung tak rela untuk ke sana. Ya Allah, ampunkan aku untuk kesalahan kali ini. Aku takkan ulangi lagi.
Konsert akan bermula jam 8.30 sampai 10.30. Agak lewat bagi aku. Yang menjadi masalah sekarang, aku nak pergi dengan apa? Nak pergi sana dengan skuter? Tak nak, tak nak! Sudah terbayang di kepala aku jenayah yang berleluasa di KL. Jenayah sekarang tak kenal mangsa lagi.
Oh, ya. Ada satu saja penyelesaian. Aku boleh pinjam kereta mama untuk ke sana. Cuma tak boleh beritahu mama ke mana aku nak pergi. Kalau dia tahu aku nak pergi tempat macam itu, dipotongnya kaki aku nanti.
Lepas solat maghrib, aku bersiap. Dengan blaus labuh, seluar longgar dan selendang dililit di kepala, aku keluar dari bilik untuk dapatkan mama. Aku menjengah ke bawah. Aku nampak mama di meja makan tengah sibuk buat catatan. Rasa serba salah juga nak beritahu mama. Aku takut dia banyak soal nanti. Tak mengapalah. Aku cuba dulu. Selalunya dalam keadaan sibuk macam itu, mama takkan cakap banyak.
Sebelum itu, aku masuk bilik semula untuk ambil beg tangan dan yang paling penting adalah kamera. Tanpa berlengah, aku menuruni anak tangga dengan penuh tenang dan dapatkan mama. Dia asyik menulis. Sesekali dia tengok telefon pintarnya.
“Mama, sibuk ke?”
“Boleh tahan. Kenapa?” Mama langsung tak pandang aku. Matanya cuma bersilih ganti merenung buku catatan dan telefon.
“Mama, Dhiya nak keluar kejap. Sebelum tu... boleh Dhiya pinjam kereta mama?”
Bila aku cakap nak pinjam kereta, mama seakan-akan terkejang. Terus dia pandang aku di sebelahnya. Tadi bukan main sibuk buat kira-kira.
“Nak pergi mana?” soal mama. Dia kerling jam dinding.
Alah... masih awal lagilah. “Dhiya nak jumpa kawan.”
“Siapa?”
Aku ingat mama takkan tanya banyak dan terus bagi kunci. Sebaliknya pula. Sudah macam polis pula mama ni.
“Fa... Fafa.” Terpaksa aku berbohong.
Ya Allah, berdosanya aku sebab menipu mama untuk pergi ke konsert itu. Kali ini aku tekad, aku takkan buat macam ini lagi. Aku janji!
Mama pandang dengan kerutan di kening. Tentu dia rasa pelik. Lagipun aku tak pernah keluar malam. “Betul keluar dengan Fafa?”
Lambat-lambat aku angguk. Kalau sudah menipu.
“Okeylah. Hati-hati tau,” pesan mama seraya menyerahkan kunci keretanya yang diletak di atas meja.
Aku menyambutnya dengan senyuman hambar. Dalam hati berkali-kali aku memohon maaf.
“Dhiya pergi dulu. Tak lama pun,” kataku lalu mencium tangan mama. Dengan doa dan harapan, aku harap aku selamat pergi dan balik nanti. Mungkin aku pergi sekejap saja. Untuk ambil gambar Amar. Lepas itu aku akan balik.
“Jangan balik lambat tau.”
Aku terdengar pesan mama ketika nak keluar. Aku iakan dan tutup pintu. Aku berjalan ke garaj. Tanpa membuang lebih banyak masa lagi, aku mula bertolak ke Hard Rock Cafe yang terletak di Wisma Concorde. Ramai artis buat persembahan kat situ. Sambil makan, sambil tengok persembahan. Aku telah membuat carian Google tentang Hard Rock Cafe memandangkan aku zero tentangnya. Di mana terletak lokasinya pun aku tak tahu. Bergantung dengan Google Map, aku memandu mengikut arahan.
Hampir jam 9.00, barulah aku sampai di depan Hard Rock Cafe. Masa itu ruang parkir sudah penuh. Aku cari parkir kosong tetapi tak ada. Nampaknya terpaksalah aku gunakan khidmat valet parking atau jockey. Kunci kereta aku berikan kepada lelaki yang menjadi jockey. Kemudian sejumlah wang sebagai upah servisnya. Ada juga yang tolong jagakan kereta mama.
Sebelum masuk ke ruang konsert, aku kena tunjukkan tiket. Maklumlah, takut ada yang masuk percuma. Aku memang tak tahu langsung prosedurnya. Teragak-agak juga nak masuk memandangkan imej aku yang bertudung. Malu rasanya. Kira pejam mata sajalah.
Pertama kali aku jejakkan kaki ke restoran itu. Ia jadikan gitar sebagai simbol utama kafenya. Alat muzik lain turut dijadikan hiasan dalaman. Nama pun rock kan.
Sebenarnya ia bukan macam konsert yang aku bayangkan. Semua duduk di meja makan sementara Amar Affandy menyanyi dan mendekati peminat. Sambil berhibur, sambil menjamu anak tekak. Sesekali dia ajak peminat menyanyi bersama. Aku cari meja kosong tapi kebanyakan sudah penuh.
Buat muka tebal, aku duduk saja di satu meja. Kebetulan ada satu seat kosong. Aku datang untuk ambil gambar Amar saja. Bukan untuk makan dan minum. Tengok menu pun rasa nak terbelahak. Mahal gila. Lepas itu hiasan dalaman pula macam tak menarik. Bukan jiwa orang seperti aku.
Suasana gelap. Cahaya terhad dan lebih fokus pada pentas. Aku perhatikan Amar menyanyi. Bosan walaupun sedap. Dia juga pandai berinteraksi dengan peminat. Aku perasan ada wartawan yang datang. Artis kan. Esok mesti keluar surat khabar.
Habis satu lagu, Amar bercakap. Aku keluarkan kamera dan ambil gambar Amar. Aku tangkap banyak-banyak. Biar puas hati datang sini. Tapi tanpa cahaya imbas, gambar jadi gelap. Aku cuba aktifkan cahaya imbas. Snap banyak-banyak kali. Tiba-tiba aku rasa diri ini diperhatikan. Bukan kiri dan kanan saja. Malah sekeliling.
Err... tak boleh ambil gambar ke? Aku ingat kat panggung wayang dan Istana Budaya saja tak dibenarkan. Bila aku pandang depan, aku tengok Amar tengah fokus ke arahku. Cepat-cepat aku sembunyikan kamera.
Aku bisikkan ke orang sebelah. “Tak boleh ambil gambar ke?”
Orang di sebelahku cuma senyum. Agaknya dia fikir minah jakun mana yang masuk Hard Rock Cafe ni. Sedar-sedar, Amar Affandy sudah berdiri di depanku. Aku pegun memandangnya. Dia tersenyum mesra. Poyo aje. Depan peminat berlakonlah. Dulu bukan main sombong.
“Hai. Boleh saya kenal siapa ni?” Dia suakan mikrofon ke mukaku.
Aku mengerutkan kening. Dia tanya soalan macam tanya kepada budak kecil. Aku terkulat-kulat sebentar. Kenapa aku yang dia tanya? Aku harap dia tak cam aku. Teragak-agak aku bangun. Sudah macam sesi soal jawab masa sekolah dulu.
“Dhiya.” Dengan suara sedikit bergetar.
“Dhiya. Sedap nama tu. Baru sampai, kan?” soalnya.
Aku tengok sekeliling. Serba tak kena bila jadi perhatian penonton lain.
“Jalan jammed,” jawab aku.
Amar alihkan perhatian daripadaku. Aku menghela lega. Fuhhh...
“Untuk malam ni, saya nak buat satu kejutan untuk semua peminat.”
Semua di dalam restoran bersorak. Teruja betul mereka semua. Aku tak peduli pasal kejutan yang dimaksudkan. Yang penting, aku sudah dapat gambar Amar. Kejap lagi, aku nak balik sebelum mama menunggu depan pintu dengan bercekak pinggang dan muka bengis. Ia cuma imaginasiku.
“Saya akan pilih empat peminat bertuah untuk makan dengan saya sekejap lagi.”
Habis saja Amar bercakap, terus disahut dengan sorakan dan tepukan. Aku yang di tengah-tengah mereka rasa bingit.
“Tapi tak semudah tu tau. Saya nak bagi soalan dan saya akan pilih randomly. Siapa yang kena dan boleh jawab, dia orang yang bertuah. Are you ready?”
“Yes!!!” Serentak peminat-peminat Amar bersorak. “We are ready!!!”
Adui, boleh pekak telinga kalau lagi lama di sini.
“Soalan pertama, saya nak tanya pada...” Sambil bercakap, jari telunjuk Amar bergerak ke arah peminat-peminatnya. Tunggu masa nak berhenti saja.
Aku harap jarinya takkan berhenti pada aku. Hampir semua peminatnya menjulang tangan untuk jadi salah seorang peminat bertuah itu. Ketika aku berpaling ke belakang pula, lagi ramai yang terkinja-kinja mengangkat tangan. Berebut nak jawab soalan.
Seorang demi seorang Amar pilih dan ajukan soalan. Bila ada yang tak boleh jawab, dia ajukan kepada yang lain pula. Cukup setakat tiga, Amar cari peminat bertuah yang keempat pula. Aku yakin mana yang terpilih pasti tak lena tidur malam ini.
Namun tiba-tiba saja, dengan tiba-tiba tanpa aku sangka, Amar jatuhkan jari telunjuknya ke arah aku. Tergamam aku dibuatnya.
“Dhiya... hmm... Sedap nama awak ni. Dhiya, kan?”
Entah apa yang Amar melalut. Aku mula berdebar bila aku terpilih untuk jawab soalan daripadanya. Aku pun tak harap aku boleh terpilih jadi empat peminat bertuah.
“Saya percaya, yang datang sini semua peminat saya, kan?”
Semua iakan dengan sorakan. Dalam hatiku, except me.
“Soalan saya ni agak peribadi...” Amar memandangku.
Aku menunggu soalan daripadanya.
“Kat mana saya belajar dan apa course yang saya ambil? Kalau tahu, sila jawab.”
Di belakang, semua menjerit, “Saya.” Berebut nak jawab. Alah, kau tu senior aku dekat UiTM. Kali ini aku tak bangun. Aku lupa dia daripada fakulti mana dan apa jurusannya. Tak penting untuk aku ambil tahu.
Amar suakan mikforon ke mulutku lagi sekali. “UiTM?”
Amar angguk-angguk. “UiTM mana tu? Banyak kampus UiTM ni.”
Dia minta jawapan yang spesifik. Aku jawab saja. “Shah Alam.”
“Hmm... betul ke? Awak pasti?”
Pastilah. Kau tu senior aku. Hatiku berkata-kata. Dia buat muka keliru pula dan saja nak bagi aku keliru. Tapi, aku yakin dengan jawapan aku.
“Betul ke?” Dia tanya peminatnya.
Aku dengar ada yang bagi jawapan betul. Memang betullah dia belajar di UiTM Shah Alam. Dia kembali tatap aku. Dengan senyum. Lepas tiga tahun, aku rasa dia tak cam aku.
“Betul!” Tiba-tiba Amar jerit depan aku.
Dia yang terlebih excited sedang aku buat muka sardin. Menyesal jawab. Kalau aku tahu, aku cakap UiTM kampus Dungun.
Selepas empat peminat bertuah dipilih, Amar sambung semula persembahannya. Lebih kurang tiga buah lagu dia nyanyikan. Aku yang tak tahu semua lagunya cuma tengok saja. Peminat-peminat yang lain diajak menyanyi bersama.
Azabnya nak tunggu semua ni berakhir. Aku tengok jam. Sudah dekat pukul 10.00 ni. Apa lagi, aku terus jadi gelisah. Tak senang duduk. Menggeliat sana, menggeliat sini. Cari peluang untuk keluar. Sedang elok aku tangkap beg tangan nak angkat punggung, ketika itulah nyanyian Amar selesai. Tiba-tiba ada pula lagu bonus. Amar nyanyi lagi. Katanya lagu itu akan dimuatkan dalam album ketiganya. Baguslah kan.
Telefon bimbit dalam beg tanganku terasa bergetar. Aku keluarkan dan tengok skrin. Alamak... mama telefon. Niat hati aku nak keluar dari situ dan jawab panggilan daripada mama, namun Amar umumkan empat orang peminatnya. Termasuk aku untuk ke meja khas untuknya.
Aku dapat lihat air muka peminat lain yang kecewa dan cemburu dengan peminat yang terpilih. Nasiblah kan. Sampai aku yang bukan peminatnya pun terikut sama.
Amar turun dari pentas kecil itu bersalam dengan peminat-peminatnya. Ada yang ambil gambar sebagai kenangan. Aku pula? Cukuplah dengan gambar yang aku ambil tadi. Nanti aku akan beritahu Fafa yang bateri kamera sudah nak habis. Tak sempat ambil banyak-banyak.
Jam sudah lebih 10.30 malam. Aku dilanda resah yang serius. Mama asyik telefon tapi satu pun aku tak jawab. Aku tahu dia risaukan aku.
Di meja makan, aku, Amar dan tiga peminat lain duduk bersama. Amar berbual-bual mesra dengan mereka bertiga. Macam-macam soalan yang mereka ajukan. Mengalahkan wartawan. Aku cuma diam menyaksikan mereka. Sesekali pandangan Amar jatuh ke arahku. Mungkin dia pelik sebab aku langsung tak bercakap. Jauh sekali nak temu ramah dia.
“Well Dhiya, kenapa diam aje? You should be happy to have this moment with me,” kata Amar.
Gembira ke? Dia tak tahu ke mama tengah risaukan aku sekarang?
“Dah lewat ni. Saya kena balik,” ujarku. Malas nak tunggu lama.
Amar tengok jam tangannya juga.
“Belum lewat. At least, minumlah dulu,” pelawanya.
“Bukan senang tau nak dapat peluang macam ni. Saya nak juga berbual-bual dengan peminat saya. Awak berempat yang bertuah. So, enjoy it.” Ceria muka Amar berkata-kata.
Aku tahu sebagai artis, dia nak dekati peminat-peminatnya. Cuma...
“Tapi saya bukan peminat awak. Actually saya datang bagi pihak kawan saya. Dia kena out-station. Sebab tak nak bazirkan tiket tu, dia suruh saya datang.” Entah kenapa tiba-tiba ayat itu lancar keluar dari mulutku.
Bila aku sedar, aku tahu aku tak sepatutnya cakap macam itu depan peminat dia yang lain. Apa perasaan pula perasaan Amar. Aku tak sangka aku akan terlalu jujur begitu.
Muka Amar sudah berubah. Dia letak sudu dan garpu di tangannya. Jadi, dia telah tersalah pilih? Dia bukan peminat aku? Tentu itu yang terdetik di hati Amar.
“I’m sorry.” Aku telah jatuhkan air muka Amar. Aku tak betah untuk terus berada di situ. Peminatnya yang lain pun pandang aku semacam. I’m not his fan. I’m just lucky to be here.
“It’s okay. Just let her be. Please, enjoy your meal. Awak asal dari mana?”
Aku dengar suara Amar bersuara kepada peminatnya sebaik aku palingkan belakang. Aku tak tahu apa reaksi dia lagi.
AKU keluar dari Hard Rock Cafe. Mata meliar mencari jockey. Kereta masih banyak. Tapi kat mana dia letak kereta aku? Aku melilau mencari jockey dan kereta. Lagipun kunci kereta ada dengan dia. Ya Allah, janganlah dia larikan kereta mama. Dalam resah aku mencari, jockey yang ambil kereta aku tadi datang kepadaku. Aku tersentak kecil lantas tersenyum lega.
“Kereta cik kat sana.” Dia tunjukkan kereta mama yang diletak di dalam ruang parkir. Tak jauh dari situ.
“Terima kasih,” ucapku.
Dia senyum.
Aku berasa lega dapat keluar dari situ. Masa untuk balik rumah. Yang pasti, aku kena bersedia untuk berdepan dengan mama. Semasa aku berjalan ke arah kereta, tiba-tiba laluanku dihalang dan terpaksalah aku berhenti. Mataku terbuntang apabila melihat Amar Affandy. Aku fikirkan siapa. Dia mengenakan jaket kulit dan bertopi. Takut ada yang perasan agaknya. Aku telan liur. Amar bertindak menarik lenganku dan mengheretku pergi ke arah sebuah kereta.
“Apa ni? Bukan muhrim,” marahku. Meskipun beralas. Pedulilah dia artis ke apa. Tindakannya boleh menimbulkan gosip dan fitnah.
“Awak dah malukan saya. Awak tahu tak?” Dia tinggikan suara.
“I said sorry,” kataku. Aku tak rasa bersalah sangat. Sekurang-kurangnya aku berterus terang. Dia takkan ingat aku ni peminatnya.
“Saya tak boleh maafkan awak. Depan peminat saya awak cakap macam tu, awak ingat saya boleh maafkan? Ni soal maruah saya. Harga diri saya. Sekalipun awak bukan peminat saya, tak perlu cakap. Tak payah nak bagi tahu semua tu. Saya rasa terhina, tahu tak?” Amar memarahiku.
Ya, aku tahu aku dah malukan dia. Memang patut dia malu dan marah.
“Maaf.” Hanya itu aku mampu ucapkan.
Amar merenungku tajam. Daripada wajah yang bengis dan menyinga, tiba-tiba wajahnya bertukar ke kerutan yang sukar aku tafsirkan. Dia seperti sedang meratah wajahku. No! Jangan apa-apakan aku. Otakku mula fikir yang bukan-bukan.
“I think I know you.” Dia meneka dalam kesamaran ingatan.
Aku rasa lega sikit. Tapi, jadi cuak balik bila dia kata dia kenal aku.
“Awak belajar kat UiTM, kan?”
“UiTM ada banyak kampus.” Aku membalas jawapannya tadi. Semasa dia bertanya soalan kepadaku.
Amar mendengus. “Shah Alam. Awak junior saya, kan?”
Akhirnya dia kenal jugak aku. Ya. Aku iakan dalam hati.
“We meet again?” Amar seperti tak percaya yang aku ialah Adhiyana. Junior yang dia tak pandang langsung dulu.
Kami berpandangan. Bila aku sedar yang kami berada di tempat yang sunyi, aku buat keputusan untuk beredar.
“I have to go,” putusku. Cepat-cepat berlalu.
“Dhiya!” Amar jerit namaku.
Aku brekkan langkah kakiku secara mendadak.
“I won’t forgive you!” tegasnya.
Aku cuma senyum dan perlahan berpaling. “Did I make a big mistake?”
“Such a big mistake and... it’s unforgivable.” Dengan mimik mukanya, aku tahu dia maksudkannya.
“Okey.” Begitu saja reaksiku.
Yang aku tahu, aku nak balik. Itu saja. Biarlah kalau dia tak nak maafkan aku. Aku tak kisah. Dia nak saman, samanlah.
“I’ll sue you.”
Hah? Baru saja terdetik dalam hati, dia sudah cakap? Aku pusing seluruh badan ke arahnya. Geram. Macam itulah artis. Sikit-sikit nak saman. Tak boleh nak bincang cara elok ke? Walaupun aku nampak tenang, aku bimbang juga kalau dia betul-betul failkan saman malu nanti. Jadi aku kena berunding dulu.
“Benda kecil, takkan sampai nak saman-saman?”
“Not for me,” ucapnya angkuh. Berpeluk tubuh.
“Okey. Kita discuss lain kali. Saya kena balik sekarang sebelum saya kena tidur kat luar. Awak ambil nombor ni, kita jumpa kat mana-mana dan jauh daripada wartawan, kita bincang pasal ni. Okey? Please, let me go this time. Okey? Thank you.” Aku merayu-rayu dengan senyuman plastik. Sambil itu aku keluarkan kertas dari beg.
Kertas apa ni? Resit bank? Tapi baki ciput aje. Ah, bolehlah. Lantaklah. Aku bukan jutawan pun ada tujuh, lapan angka dalam akaun. Aku catatkan nombor telefon dan berikan kepada Amar. Dia tetap ambil walaupun terkebil-kebil memandangku. Tanpa pedulikan dia lagi, aku terus pergi ke arah kereta. Dalam hati aku dapat rasakan bala tengah menunggu. Macam ada suara berbisik, Tunggulah surat saman.
No comments:
Post a Comment