Saturday, 8 October 2016

WILL YOU MARRY ME, MARIA? 9





BAB 9





ARTIKEL temuramah Maria bersama Effan sudah pun siap. Mujurlah sempat siap sebelum deadline. Ia sudah pun dihantar kepada editor dan sekarang dia sedang memerhatikan Firhad menyunting gambar Effan pula. Gambar Effan duduk di mejanya dengan memakai kot baldu warna biru gelap. Senyumannya bak Darlie dan penuh karisma.

“Kau rasa dia ni dah ada girlfriend tak?” Tiba-tiba Firhad ajukan soalan yang tiada kena-mengena dengan kerja mereka. Matanya leka perhatikan wajah Effan. Walaupun dia lelaki, dia terpaksa akui lelaki itu kacak orangnya. Ada pakej lengkap.
“Aku tak tanya dia pulak masa interviu hari tu,” tingkah Maria dengan nada berbaur sindiran. Ada ke patut Firhad bertanyakan soalan peribadi itu kepadanya? Macamlah dia tahu semua tentang Effan. 

Firhad senyum senget. “Tak adalah. Aku perasan yang dia pandang kau semacam. Macam ada something yang aku tak boleh nak terangkan. Ada jelingan listrik gitu. Satu lagi aku nak tanya, kau orang pernah jumpa ke? Macam mana dia cakap dia kenal kau dan kau tak kenal dia?”

Maria yang duduk di sebelah Firhad mengaktifkan jelingan maut. Kenapa tiba-tiba saja Firhad masuk campur urusannya? 

“Adalah. Kau tak payah tahu.”

“Eh, ceritalah. Lama dah tak bergosip ni.” Firhad mula menggedik mahu mengorek cerita daripada Maria. Sengaja dia buat begitu untuk buat Maria lupa tentang bekas kekasihnya. Dia baru tahu yang Maria sudah berpisah dengan Hardy. Itu pun Jeslina terlepas cakap tentang alat perakam Maria hilang.

“Tak adalah. Masa aku hantar Hardy pergi airport, aku pengsan. Dia tolong hantar aku ke hospital. Tapi, dia ingat dia yang langgar aku. Masa aku sedar, dia tak ada. Sebab tu aku tak tahu yang dia dah tolong aku.”

“Macam tu ceritanya.” Firhad mengangguk-angguk setelah tahu cerita sebenar. Cuma, cerita Maria hantar Hardy ke lapangan terbang itu rasanya bercanggah dengan apa yang Jeslina ceritakan. Meskipun sebaliknya, Firhad enggan ambil pusing. Kemudian dia buat-buat bertanya pula.

“Hardy pergi mana? Bercuti?”

Maria terkesima. Firhad terkebil-kebil. 

“Dah siap nanti kau panggil aku.” Maria menolak kerusi ke belakang dan bingkas bangun. Dia keluar dari bilik grafik dan pergi ke mejanya. Tak tahu kenapa dia tersentap bila Firhad tanya tentang Hardy. Dia memang tak boleh dengar nama itu. Kini, dia sedang cuba untuk lupakan lelaki itu. Bila ada yang menyebut namanya, ia seolah-olah menjemput kembali semua ingatan tentang lelaki itu. 

Maria picit pangkal hidung. Tatkala dia melabuhkan punggung, dia ternampak sekeping sampul berwarna putih bersaiz separuh A4 terletak di atas mejanya. 

“Attention to Miss Maria binti Ismeth?” Maria baca apa yang ditulis pada sampul. Dengan dada berdebar, dia membukanya dan keluarkan isinya. 

Surat apa pula ini? Tak sabar Maria nak tahu kandungannya.

Lipatan surat dibuka dan diluruskan ke atas meja. Matanya terus tertumpu pada kepala surat. Yayasan Fatimatuzzahra. Kemudian anak matanya jatuh pada baris ayat pula. Dia membaca tanpa tertinggal sepatah kata pun.

“Majlis Lelongan Amal?” kata Maria sendirian disertai kerutan dahi. Kenapa jemputan ini terus diberi perhatian kepadanya? Pelik. Dia mula syak seseorang. Maria perlu buat carian tentang yayasan itu. Dia pasti ia ditubuhkan oleh sesebuah syarikat yang besar.

Surat dilipat semula. Maria menghadap komputer dan mula buat carian. Hasil carian itu memang banyak. Maria meneliti laman-laman web yang tertera. Apabila dia ternampak laman rasmi yayasan itu, dia terus klik. Maria menggodek-godek laman sesawang itu untuk mencari sejarah penubuhan yayasan itu, siapa yang menubuhkannya dan bila ia ditubuhkan.

Yayasan Fatimatuzzahra ditubuhkan pada Januari 2015 secara rasminya yang diasaskan oleh Persada Holdings. Ia diwujudkan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan, ibu tunggal, anak yatim dan yatim piatu, serta tajaan untuk pelajar yang layak menyambung pengajian sama ada dalam atau luar negeri. 

“Persada Holdings? Dah agak dah.” Maria merengus perlahan.




MARIA sandarkan sisi kiri pada pintu kereta ketika menunggu Effan di depan bangunan Persada Holdings. Effan meminta dia berjumpa di dalam, tetapi dia rasa lebih baik selesaikan di luar saja. 

Selepas dia hubungi Effan, rasanya sudah 20 minit berlalu. Lamanya. Kata tak sibuk dan nak turun segera. Maria merungut dalam hati.

Maria tak sedar Effan sudah berada di belakangnya. Effan sandarkan punggung dan toleh ke arah Maria. Gadis itu mendecit berkali-kali. Effan tahan gelak saja. Dia tahu kenapa Maria datang berjumpa dengannya. Ini mesti tentang jemputan ke Majlis Lelongan Amal.

“Lama pulak dia ni. Tunggu dalam kereta lagi bagus!” gerutu Maria lalu memusingkan badan untuk buka pintu kereta. Sebaik saja dia berpusing, dia ternampak satu kelibat dan tergamam. Hampir putus jantungnya kerana terkejut. Dia merengus kecil. 

“Saya ajak masuk ofis, tak nak,” omel Effan lalu bukakan pintu kereta untuk Maria.

Maria tak masuk walaupun Effan bukakan untuknya. Dia tutup semula pintu. Pandang tepat ke anak mata Effan. Warna coklat dan bersinar. Maria terpaku dibuatnya. Cepat-cepat dia sedarkan dirinya daripada pukauan itu. Dia lepaskan dehaman beberapa kali. 

“Ada apa awak nak jumpa saya? Nak ajak saya lunch ke?”

Maria geleng laju. Tak terlintas langsung agenda itu dalam fikirannya. Tanpa perlu bercakap banyak, Maria ambil sampul dalam kereta yang dia letak di tempat duduk penumpang. Setelah ia berada di tangannya, dia suakan kepada Effan.

Effan cuma pandang sampul itu dengan mimik bersahaja. Ia dibiarkan tak bersambut. 

“Pasal buat liputan untuk Majlis Lelongan Amal. Yayasan Fatimatuzzahra ditubuhkan oleh Persada Holdings. Jadi, saya dapat tahu Encik Effan yang hantar surat ni untuk saya.”

Effan tak terkejut. Dia tahu wartawan seperti Maria pasti teliti tentang jemputan itu. 

“Betul. Persada Holdings tubuhkan yayasan tu untuk tujuan kebajikan. Saya jemput wakil media dan awak salah seorang yang saya jemput.”

“Saya tak boleh pergi.”

“It will be held on Saturday. Awak tak kerja.”

“Saya kerja tak kira masa. Hari cuti umum, hari minggu. Saya kadang-kadang terpaksa bekerja pada hari minggu.” 

“Anggap aje ni salah satu kerja awak. Saya bukan nak awak temuramah orang. Saya cuma nak awak datang aje. Jadi tetamu masa majlis tu. Saya jamin majlis ni takkan buat awak bosan. Tak lama pun. Sampai pukul satu aje. Datang ek,” pujuk Effan setelah terangkan secara ringkas kepada Maria. Dia berharap sangat Maria datang.

Hai, inilah yang buat Maria lemah semangat. Kenapa Effan beria-ia mahu dia datang? Adakah Effan menjemputnya ke majlis itu sebab mahu mendekatinya? 

Kebetulan, pada hari sabtu nanti dia akan menyambut hari lahirnya yang ke -27. Walaupun dia tak dapat menyambutnya dengan insan tersayang, dia harap dia dapat keluar dengan kawan-kawan untuk meraikannya.
Bila Maria pandang wajah Effan kembali, lelaki itu masih menanti keputusan daripadanya. Hatinya berbelah bagi untuk pergi.

“Bukan ke awak dah setuju untuk jadi kawan saya?”

“So?”

“Seorang kawan takkan kecewakan kawan dia, tolak permintaan dia. Kalau awak ajak BFF awak keluar, tapi dia tolak. Apa perasaan awak?”

Effan buat perbandingan. Sedangkan Maria tak pernah berada dalam situasi itu. Belum ada rasanya kawan-kawannya menolak bila diajak keluar. Terutama bila giliran dia belanja makan.

“Oh, kalau BFF saya nak bunuh diri, saya kena ikut bunuh dirilah?” bidas Maria sekadar bergurau.

“Kalau yang tu, BFF yang baik takkan biarkan BFF dia bunuh diri. Itu bukan BFF namanya.”

Ada saja jawapan Effan. 

“Okey. Saya akan pergi.”

Berubah air muka Effan bila Maria setuju untuk hadir. Senyumannya melebar.

“Saya akan jemput awak. Kita pergi sama-sama.”

Maria terketap-ketap. Rasanya dia boleh pergi sendiri tanpa Effan.

“Maaf, Encik Effan. Saya akan pergi sendiri aje.” Maria menolak sambil beri senyuman plastik. Dia tak selesa untuk keluar bersama Effan. Terasa jauh jurang antara mereka. Walaupun Effan cuma nak berkawan dengannya, dia sedar siapa dirinya. Lelaki itu ahli perniagaan berstatus jutawan, anak orang ada-ada. Dia pula tak punya siapa. Hanya ada seorang kakak.

“Okey. Saya tunggu awak kat lobi. Pakai cantik-cantik.”

“Kenapa saya kena pakai cantik-cantik? Untuk siapa?”

“Untuk saya.” Effan kenyit nakal mata kirinya. 

Maria terpaku bila Effan kenyit mata. Nyaris dia hanyut dalam kebingungan.

“Tak. Prinsip saya, cantik untuk suami saya. Bukan untuk lelaki bukan muhrim,” dalih Maria untuk menutup debaran jantungnya.

Effan gelak kecil. Maria bercakap soal prinsip pula. Memang betul apa yang Maria katakan. Dia tahu seorang wanita hanya boleh tunjukkan kecantikannya kepada suaminya sahaja. Dia memang tak suka merumitkan keadaan. 

“Tak mustahil kalau suami awak tu nanti saya orangnya.” Effan giat menyakat. Dia suka tengok muka Maria yang tak keruan jadinya.

Maria angkat dua jari telunjung dan silang membentuk tanda pangkah. 

“Maksud?” Effan tak mengerti simbol itu.

“Saya tak nak dengar apa-apa. Saya nak balik.”

Effan mengulum senyum kecil. Dia fikir apalah maksud di sebalik simbol itu.

“Okey. Saya tak boleh halang awak. Bawa kereta tu hati-hati. Jaga diri elok-elok tau. Jaga untuk bakal suami awak,” pesan Effan bila Maria mula buka pintu kereta dan menyelit masuk. Tak habis-habis dia menyakat Maria. 

Maria tak balas apa-apa. Dia turunkan tingkap dan pandang wajah Effan sejenak.

“Encik Effan jangan cuba-cuba nak permainkan perasaan saya ya.” Maria beri amaran. Dia tak percayakan lelaki seperti Effan. Kacak dan kaya. Selalunya mereka ada sikap yang satu itu. Mereka ada duit dan boleh beli hati perempuan dengan wang ringgit.

Tak sempat Effan nak bersuara, Maria mula mengundur keretanya dan naikkan cermin kereta. Effan lambai tangan. Maria tak sambut. Malah jelingan maut tanda amaran.

“Boleh tahan sombong jugak,” omel Effan seraya menggeleng dalam senyuman. Dia berjalan masuk ke dalam bangunan Persada Holdings.

No comments:

Post a Comment