Tuesday, 26 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 15



Bab 15



ADA e-mel daripada Khalif. Aku baca. Kali ini dia kongsikan artikel tentang perkahwinan. Aku baca dengan teliti. Daripada sebelum akad nikah hingga selepas kahwin. Daripada tanggungjawab suami hingga ke tanggungjawab isteri. Aku rasa dia mahu aku baca sebagai persediaan. Okey. Aku mula tahu serba sedikit tentang tanggungjawab isteri. 

Selepas baca artikel ni, otakku terbuka lebih luas. Tanggungjawab yang lebih kompleks. Aku tahu Khalif mahu aku bersedia. Apa yang aku dengar semasa kursus kahwin dulu, semua hilang daripada kotak fikiran. Sebab masa itu aku belum terfikir bila nak kahwin.

E-mel itu aku balas. Sekadar mengucapkan terima kasih di atas perkongsian ilmu yang berharga. Bila e-mel dihantar, aku kembali bekerja. Kedai akan ditutup setengah jam lagi. Jadi aku pusingkan plat kepada CLOSED.

Aku ke rak dan menyusun produk-produk yang disusun di situ. Lagipun kedai berpenghawa dingin, tak ada debu atau habuk. Sedang aku rajin mengemas, aku ternampak kelibat di luar kedai. Siapa pula datang ni? Orang nak tutup baru nak datang. 

Aku amati dari dalam. Berpakaian cukup pelik dan bercermin mata hitam. Daripada gaya terhendap-hendap ke dalam kedai, aku tahu siapa gerangannya. Lalu aku membuka pintu yang berkunci dan benarkan dia masuk. Bergegas dia masuk seperti nak melarikan diri daripada ceti haram.

“Kenapa datang sekarang? Kedai dah nak tutuplah.” marahku. 

Amar buka cermin mata. “Dah sekarang saya free. Saya datanglah.”

“Seorang aje ke?”

Amar angguk. Aku tenung wajahnya. Dia nampak pucat. “Amar, awak nampak pucat. Penat ke?”

Amar menyentuh wajahnya dan berpaling ke arah cermin. Kebetulan di dalam kedai mama memang ada cermin khas untuk sesiapa nak mencerminkan diri dan muka. “Pucat? Saya tak sihat ni.”

Aku mencemik. Tak sihat apa ke benda? Datang sini boleh pula. Kalau tak sihat, balik rumah.

Amar terus menilik wajahnya di depan cermin. Dia memang nampak pucat. Entah kenapa aku rasa risau melihat keadaannya. Ke dia betul-betul tak sihat? Masak aku macam ni.

“Amar, betul ke awak tak sihat? Awak nampak pelik.”

Amar memusingkan badan ke arahku. Dia mengeluh. Daripada air mukanya, aku rasa dia memang tak sihat. Mungkin kepenatan.

“Awak duduk dulu. Saya ambilkan air kejap.” Dengan penuh prihatinnya aku ke pantri dan ambilkan Amar air kosong. Selepas itu aku ke luar semula dan lihat Amar sudah pun terlentok di kerusi. 

“Amar?” Aku menghampirinya. Gelas air aku letak ke atas meja. 

Amar tak sedarkan diri. 

Aku panik. Kenapalah dia pengsan kat sini? Apa aku nak buat ni? Aku mundar-mandir di situ. Memikirkan apa harus aku lakukan dengan Amar. Kalau tahu tak sihat, kenapa datang sini dan menyusahkan aku pula? Dia ni pun satu. Adoi... Sesekali aku perhatikan Amar. Dia tidak bergerak. 

“Amar?” Aku panggil dia lagi. Manalah tahu kalau-kalau dia separuh sedar dan boleh dengar suara aku.

Amar tidak bergerak. Cuma masih lagi bernafas. Aku tak mahu ganggu mama yang sedang sibuk. Memikirkan yang aku nak tutup kedai dan balik rumah, terpaksalah aku ke pejabat mama.

“Mama?”

Mama sedang mengira stok. Aku rasa mama telah cekap dengan nombor. Hari-hari mengira. Tapi mengira bonus aku saja belum lagi.

“Kenapa Dhiya?”

“Mama, ada masalah sikit.”

“Masalah apa?” soal mama hairan. Mata masih tertumpu pada kotak stok di dalam pejabatnya. 

“Sinilah.” Aku ajak mama supaya keluar tengok sendiri apa masalah yang sebenar. 

Mama angguk, namun mengambil sedikit masa untuk keluar. Aku berdiri resah di sebelah Amar tatkala menunggu mama datang. 

“Ya Allah! Kenapa ni Dhiya? Apa dah jadi dengan Amar?” Mama turut panik. Inikan pula aku.

“Entah. Tiba-tiba pengsan,” terangku.

Mama buntu. Aku tak tahu apa harus dibuat dengan Amar. Bawa dia pergi klinik? Nanti kecoh di klinik pula. Pergi hospital, sama juga. 

“Mama, apa kata kita bawa Amar balik rumah aje? Bila dia sedar nanti, kita suruh dia pergi sendiri ke klinik. Okey tak idea Dhiya?”

Mama merenungku. Mungkin memikirkan ideaku yang bernas.

“Bahaya kalau bawa dia balik rumah. Nanti orang ingat kita culik dia. Lagi kecoh nanti.”

Aku mendengus. Amar ni pun satu. Kenapa datang sini? Tak pasal-pasal peningkan kepala aku dan mama untuk selesaikan hal ni. “Habis tu, apa kita nak buat ni mama? Dhiya buntulah.” 

Otakku tak boleh berfungsi dengan baik dalam keadaan begini. Sekarang nasib Amar bergantung kepada mama. Sama ada ke klinik, bawa balik rumah atau telefon pengurusnya. Pengurus?

“Mama, telefon manager dia. Biar manager dia bawa dia balik.”

Mama tunjuk jari telunjuknya ke arahku. Nyaris tercucuk hidung. “Betul. Telefon manager dia tu. Tapi Dhiya tahu ke nombor telefon dia?”

Aku tercengang seketika. Sekali lagi menemui jalan buntu. 

“Eh, apa susah? Cari handphone Amar. Dalam tu mesti ada nombor telefon manager dia.” 
Idea mama lebih bernas. Tak tahulah kenapa otak aku jadi kelabu asap petang ini. Memanglah kami tak ada nombor telefon pengurus Amar. Lagi satu, telefon bimbit Amar. Ada ke sekarang? Masalah lagi.

“Mama, mana handphone dia?”

Mama gigit jari tanda berfikir. Mama merenung Amar dari kepala sampai ke kaki. Aku tak tahu apa tujuan mama buat begitu tetapi yang pasti mengikut logik akalku, tentulah telefon bimbit itu Amar simpan di dalam poket seluar. Tak mungkin di kepala atau di kaki. Akan tetapi, aku tak berani nak memeriksa poket seluar Amar. Nanti jadi kes raba pula.

Aku hendap-hendapkan kepala melihat di poket sebelah mana berpotensi menjadi tempat simpanan telefon bimbit Amar. Aku rasa dia simpan di poket belakang. Kalau poket belakang, macam mana aku nak ambil? Takkan nak terbalikkan dia dulu? Haisy... Masalah lagi sekali.

“Mama, Dhiya rasa idea terbaik... kita kena bawa Amar balik rumah kalau dia tak sedar sebelum maghrib. Masa tu hari dah gelap. Kalau dia bawa dia keluar pun, orang tak perasan.”

“Betul, betul. Mama setuju. Kalau dia tak sedar, kita usung dia bawa balik.”



SATU jam berlalu. Aku dan mama menopang dagu di kaunter. Kami berdua berwajah sugul.

“Belum sedar lagi?”

Aku geleng. “Belum.” 

“Dah pukul berapa ni?”

“Dah nak masuk maghrib dah ni mama. Nampaknya kita kena sembahyang dulu lepas tu baru balik.”

Mama mengeluh panjang.

Azan maghrib berkumandang ke udara. Aku dan mama putuskan untuk solat maghrib dulu dan barulah kami balik. Amar kami biarkan di luar memandangkan dia masih lagi ‘koma’.

Habis solat maghrib pun Amar masih belum sedar. Aku mula risaukan keadaan dia. Nak sentuh dahi dia untuk periksa sama ada dia demam ataupun tak, bukan muhrim. Berdosa. Kesimpulannya, aku dan mama terpaksa papah dia masuk kereta dan balik ke rumah mama.

“Mama, boleh ke kita bawa dia keluar? Kalau ada orang nampak macam mana? Orang ingat kita culik dia, bunuh dia lepas tu nak buang dia kat mana-mana. Macam mana?” Aku melahirkan rasa gusar yang tak masuk akal. Mama marah.
“Apa Dhiya merepek ni? Jangan fikir bukan-bukan. Lagipun hari dah gelap. Orang takkan perasan yang ni Amar.”

Aku angguk. Rasa bersalah pula sebab cakap yang bukan-bukan. Aku merenung wajah Amar lagi. Tiada tanda-tanda nak sedarkan diri. Teruk betul. Ke dia sengaja pengsankan diri? Dari tadi kaku di atas kerusi. Hmm, bila aku perhatikan muka Amar, dia ni kacak juga. Muka jambu. Kalau pakai tudung, mesti sebiji nampak macam perempuan. Pakaikan lipstik sikit, blusher sikit. Itu dia! Confirm!

Tiba-tiba aku rasa ada mentol ajaib menyala di atas kepala. Aku petik jari dan tersenyum ke arah mama.

“Mama, Dhiya dah dapat idea.” Aku tersenyum penuh makna.

“Idea apa lagi?” soal mama dengan kening terangkat ala-ala Ziana Zain.



SEMUA sudah beres. 

Mama meletakkan tangan Amar ke atas bahunya dan aku kunci pintu kedai. Bila selesai, aku bantu mama memapah Amar hingga ke kereta. Aku yakin tak ada siapa akan perasan akan Amar sebab aku telah pakaikan tudung mama. Sebiji nampak macam perempuan. Dengan kulit putihnya, jambunya. Comel gila. Sempat aku tangkap gambar sebagai kenangan. Hehehe...

Amar aku rebahkan di tempat duduk belakang. Yang peliknya, Amar langsung tak sedar. Mama memandu dan aku duduk di sebelah mama. Kami kepenatan memapah Amar. Berat teramat berat. Sudahlah badan tinggi dan kasar macam tu. Berat tulang barangkali.



No comments:

Post a Comment