MAJLIS Lelongan Amal dimulakan dengan ucapan daripada pengasas Persada Holdings dan juga wakil pemegang amanah Yayasan Fatimatuzzahra. Apabila Effan naik, semua memaku mata ke arah pentas. Tak terkecuali Maria.
Effan berdiri di depan restrum untuk berikan ucapan dan perasmian. Dia tak berucap lama memandangkan masa yang singkat. Dia minta Elaika tulis seringkas mungkin teks ucapannya. Akhir ucapan, Effan berharap semua beri kerjasama dengan niat membeli sambil menderma.
Effan turun daripada pentas kembali ke mejanya. Pengaraca majlis ambil alih kembali ruang pentas. Mereka berceloteh dan sebelum acara lelongan dimulakan, semua tetamu akan dihiburkan dengan persembahan artis jemputan yang diterbangkan jauh dari Los Angeles.
Apabila pengacara itu menyebut penyanyi yang dijemput dari LA, Maria dah terbayangkan artis itu. Dia cuit lengan Elaika.
“Penyanyi dari LA? Amar Affandy ke?”
Elaika angguk tersenyum. “Awak minat dia ke?”
“Minat. Minat sangat. Saya tak pernah tengok dia secara live. Walaupun minat, saya tak pernah pun pergi konsert-konsert dia. Tapi, saya beli CD dia.”
“Dia cuma ada kat sini satu jam aje. Itupun dia setuju last minute. Lepas tu dia kena pergi show tempat lain. Awak nak jumpa dia ke?” soal Elaika. Amar Affandy juga ada buat lelongan untuk beberapa barang koleksinya.
“Really? Nak! Nak! Saya nak jumpa dia.” Terbuntang biji mata Maria mendengarnya. Teruja. Dahlia yang melihat keghairahan daripada air muka Maria tergelak kecil. Kalaulah dia boleh realisasikan hasrat Maria untuk berjumpa dengan Amar Affandy.
Effan di belakang pasang telinga. Oh, minat si Amar Affandy tu ya?
Entah apa punca Effan rasa cemburu pula dengan penyanyi itu.
Hmm. Effan mengguman. Menoleh separuh Maria di belakangnya. Jelas perbualan itu di telinganya. Semakin acap Maria menyebut nama Amar Affandy, semakin senak jantungnya.
“TERIMA kasih saya ucapkan kepada semua yang sudi membeli sambil menderma. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Jadi, berakhir sudah Majlis Lelongan Amal untuk tahun ini. Insya-Allah, tahun depan kita akan adakan lagi untuk bantu insan yang tak berkemampuan.”
“Sambutan pada hari ini sangat membanggakan. Untuk makluman, kita telah berjaya mengumpul sebanyak RM133, 225.00. Ia satu jumlah yang besar dan tahniah kepada semua. Jumlah ini akan kita agih-agihkan kepada beberapa rumah kebajikan yang dah kami senaraikan. Pihak yayasan akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk salurkan derma ini. Terima kasih sekali lagi atas kehadiran Datuk-datuk, Datin-datin, Tan Sri dan Puan Sri ke majlis ini. Akhir kata, semoga kita sama-sama membantu dan meringankan beban mereka yang memerlukan. Bak kata encik pengacara kita tadi, sesungguhnya tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Terima kasih dan jumpa lagi!”
Tepukan bergema seluruh dewan. Majlis sudah selesai. Ramai tetamu mula angkat punggung.
Maria pula kecewa apabila dia tak berkesempatan untuk berjumpa dengan penyanyi pujaannya memandangkan Amar Affandy sudah pergi sejak dua jam lalu. Kecewa betul.
“Maria, jom.” Elaika bingkas diikuti Dahlia. Maria pula masih duduk di situ apabila semua mula meninggalkan dewan.
“Tak apa. Puan Ika pergi dulu dengan Dahlia.”
Dahlia senyum penuh makna. Ini mesti ada apa-apa ni. Macamlah Dahlia tak perasan yang Maria dan abangnya berbalas nota. Manis sangat gelagat mereka. Senang hati Dahlia melihatnya. Walaupun mereka berdua pandai berlakon, mata Dahlia cukup tajam untuk memerhati. Sekarang, dia memang tiada bantahan kalau abangnya pilih Maria. Dia akan sokong abangnya daripada belakang.
Memandangkan Maria belum bersedia untuk keluar, Dahlia menarik tangan Elaika untuk pergi. Dia sempat bersalam dengan Maria kerana entah bila lagi mereka akan berjumpa. Kecuali bila dah jadi kakak iparnya nanti. Mereka berlaga-laga pipi sebelum berpisah.
Maria henyak kerusinya. Dia menoleh ke belakang dan lihat Effan masih ada di situ. Satu-satunya meja yang masih penuh terisi.
Maria terfikir untuk apa dia terus menunggu dalam dewan? Ada baiknya dia tunggu Effan di lobi. Maria bingkas bangun dan keluar dari dewan. Dia berdiri di luar dan pergi ke dinding kaca. Mencampak pandang ke luar bangunan hotel.
Mata dilontarkan ke luar. Cuaca panas terik di luar sana. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum hembuskan dalam bentuk keluhan. Lama Maria berlegar-legar di luar dewan. Ada beberapa orang di sekitarnya, tetapi mereka perlahan-lahan menghilang.
“Happy birthday to me. Happy birthday to me. Happy birthday to Maria. Happy birthday to me.” Maria menyanyi perlahan dengan rentak lagu Happy Birthday kerana bosan. Terasa sayu nyanyiannya walaupun ia cuma lagu hari jadi. Pada tahun sebelumnya, dia teruja menanti hari lahirnya. Hardy akan berikannya hadiah dan ucapan. Sekarang, semuanya sudah tiada lagi. Dia sendirian. Hatinya kosong.
Bosan mula membaluti diri. Maria hembuskan nafas pada dinding kaca dan ia membentuk wap. Maria tulis sesuatu di situ dengan jari kelikingnya. Lalu, dia membawa diri dan turun ke lobi.
Kewujudan Effan di belakangnya langsung tidak disedari. Setelah Maria pergi, Effan hanya membaca tulisan pada dinding kaca itu.
Happy birthday to Maria.
Tersentuh hati Effan kala itu. Hari ini memang hari jadi Maria. Matanya masih melekat pada tulisan itu. Kemudian ia perlahan-lahan pudar.
Sejenak Effan teringatkan kertas tadi. Dia keluarkan daripada kot bersama telefon pintarnya. Nombor telefon yang ditulis oleh Maria dimasukkan ke dalam senarai kenalannya dengan nama Maria saja. Belum ada panggilan istimewa untuk gadis itu daripadanya.
Effan buat panggilan. Dia harap Maria jawab panggilannya.
“Awak kat mana?”
“Depan lif.”
“Tunggu saya.” Effan terus matikan talian dan bergegas ke lif. Apabila dia sampai depan lif, dia lihat Maria seorang diri. Gadis itu menoleh ke arahnya. Lantas Effan menghampiri dengan hati yang sayu bila merenung ke wajah Maria.
“Awak ada urusan lain ke?”
Maria geleng. Dia juga tak pasti jika dia ada rancangan lain selepas ini. Dia belum fikirkan lagi.
“Boleh ikut saya?”
“Pergi mana?”
“Mana-mana aje.”
“Saya nak balik. Saya tak ada mood sekarang”
Tiada mood? Effan ada cara. “Cuba tenung muka saya ni.”
Maria kerut kening. Dia tenung Effan. Tapi, untuk apa?
“Kenapa saya kena tenung muka Encik Effan?”
Effan mendengus ringan. “Muka saya ni tak cukup handsome ke untuk kembalikan mood awak?”
Maria terlepas gelak. “Makin tak ada mood adalah.” Dia geleng-geleng kepala.
Senang hati Effan lihat Maria ketawa. “Saya serius sekarang. Saya nak awak ikut saya. Kejap aje.”
Maria tak beri jawapan. Dia lihat Effan mendail nombor seseorang.
“Lia, abang ada hal. Lia balik dengan Kak Ika ya?”
“Hmm. Okeylah. Ada hal apa? Dating ek?”
“Hal kerja. Balik dengan Kak Ika tau. Balik rumah terus.” Effan berpesan lalu matikan talian.
Maria tersenyum kecil. Rupanya Effan juga ada seorang adik. Sikap Effan sama dengan Nadia. Suka berpesan.
“Kenapa awak senyum?” soal Effan hairan.
“Perangai Encik Effan sama aje dengan kakak saya. Kalau saya balik lambat, mulalah dia pesan macam-macam. Sama. Sebiji.”
“Kakak awak cantik?”
“Kenapa tanya macam tu?”
“Kalau adik cantik macam ni, kakak mesti lebih cantik, kan?”
Dia ni… Maria ketap bibir.
Nota penulis :- Masa tulis bab ni main belasah aje. Maaf kalau merapu
sikit. ^^
No comments:
Post a Comment