Wednesday, 17 September 2014

JODOHKU SUPERSTAR 23

Belum terlambat untuk ZR ucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA yg Ke-51. Semoga rakyat Malaysia terus bersatu padu demi negara tercinta. Selalunya ZR post e-novel aje kt blog. ZR baru pandai ber-blogging. Jutaan terima kasih ZR ucap kepada sesiapa yang sudi berkunjung ke blog ni. 



Bab 23



BILA aku sedarkan diri, kepalaku rasa berat. Pandangan masih samar. Aku lihat sekelilingku berwarna putih. Aku cuba ingat kembali apa yang terjadi kepadaku tadi. Ya, aku terjatuh dari skuter dan ada seseorang yang tolong aku tadi. Siapa ya? Amar ke? Tapi tadi bukan suara Amar. Tak mungkin juga Shah. Siapa ya?
Aku rasa tubuhku masih lemah. Aku cuba fokus pandangan ke satu arah dan ia beransur jelas. Aku toleh ke kiri. Aku lihat mama.

“Mama,” panggilku perlahan.

Mama terkejut lalu bangun menerpa ke arahku. “Dhiya tak apa-apa ke? Terkejut mama bila dapat call Dhiya accident.”

Aku rasa kesian melihat mama. Tentu dia rasa risau sangat. “Dhiya juga tak sempat nak elak lubang kat jalan.”

“Dhiya ada sakit kat mana-mana?”

“Kaki kiri Dhiya ni rasa sakit sangat. Kebas,” jelasku tentang kesakitan yang aku rasa sekarang.

“Doktor cakap Dhiya tak apa-apa. Tak ada retak-retak ke apa. Cuma dia pengsan sebab terkejut aje dan tekanan darah Dhiya menurun,” terang mama. 

Memang tadi aku rasa terkejut, lemah, gementar dan menggigil seluruh tubuh. Sebab itu aku tak sedarkan diri. “Mama, siapa yang bawa Dhiya ke hospital?”

“Mama tak tahu. Tadi pun pihak hospital yang telefon mama. Bila mama datang, tak ada sesiapa pun ada dengan Dhiya.”

Aku mula rasa satu kemisterian dalam fikiran. Siapa yang tolong aku tadi? Kenapalah aku pengsan? Kalau tak, mesti aku dapat lihat siapa yang menyelamatkan aku tadi.

“Amar tahu ke Dhiya masuk hospital?”

Mama menggeleng. “Mama tak bagi tahu dia.”

Aku menghela lega. Aku tak mahu dia tahu dan kalau boleh aku tak nak dia datang jenguk aku di sini. Lebih elok dia tak tahu tentang keadaan aku. Bolehlah aku berehat dengan aman di wad.

“Nak mama bagi tahu ke?”

“Jangan. Tak payah. Dhiya tak nak dia tahu. Dhiya bukan cedera parah pun. Dia tu ada banyak kerja nak buat daripada fikirkan pasal Dhiya tau.”

“Kalau dia tahu Dhiya masuk hospital, mama rasa dia sanggup tinggalkan kerja dan pecut datang sini,” kata mama dengan yakin. 

Macamlah aku ni penting dalam hidup Amar. Aku tak peduli semua itu. Aku nak tahu siapa yang telah menolong aku tadi. Tatkala aku menjerit minta bantuan, dia datang membantu aku. Siapa dia? Dia tahu namaku. Pasti dia mengenaliku. Aku juga sempat tercium bau wangian, tetapi wangian itu bukan daripada Amar. Bukan juga Shah yang aku baru jumpa. Aku tak pernah hidu bau wangian itu. Siapa ya?

“Skuter Dhiya macam mana?” Tiba-tiba aku teringatkan skuter kesayangaku.

“Ada. Masih elok. Cuma calar sikit.”

“Cupcakes?” Dalam keadaan terlantar pun, aku masih fikirkan skuter dan cupcakes.

“Ada. Tapi dua biji aje yang masih elok. Dhiya nak makan ke?”

Aku geleng lemah. Aku tiada selera untuk makan sekarang. “Dhiya beli untuk mama.” 

“Dhiya rehatlah ya. Mama keluar beli air kejap,” kata mama lalu beredar dari wad sekejap. 

Aku menghela nafas dan menilik kedua-dua belah tanganku untuk melihat ada luka atau kesan calar. Aku memang selalu cuai. Cemerkap. Khalif selalu pesan agar berhati-hati. Masa dia ada, aku selalu berhati-hati dan jarang ditimpa malang. Aku rasa amat sedih dengan apa yang menimpa. Malang memang tak berbau. Tak pasal-pasal kaki kiri aku sakit. Nasib baik tak patah kaki. Ini semua ujian daripada Allah. Aku kena sabar. 

Ketika aku berehat, iPhoneku rancak berdering di dalam beg. Aku mencari di mana beg tanganku dan beg itu berada jauh daripada aku. Aku tak boleh turun dari katil kerana kaki kiriku terasa sakit. Mama pula keluar. Aku nak minta tolong siapa pula kali ni?

Deringan berhenti. Aku mengeluh berat. Baru beberapa saat berhenti, deringan bergema lagi. Aku tak boleh biarkan ia berdering. Mungkin panggilan penting untukku. Mungkin daripada Shah atau daripada Amar. Mungkin juga daripada keluarga aku di kampung. Mesti mama ada beritahu mereka tentang apa yang menimpa aku.

Aku cuba bangun dan gagahi diri untuk turun dari katil. Walaupun kaki sakit, aku bertahan untuk mencapai beg tanganku di atas kerusi pelawat. Aku hulurkan tangan sepanjang yang boleh untuk capai tali beg tangan. Sikit lagi dapat dicapai. Aku mengengsot sedikit dan cuba mencapainya. Aku tak sedar yang aku duduk di birai katil. 

Aku hilang imbangan lagi dan terjatuh dari katil. Aku mengerang kesakitan dan tak boleh bergerak.

“Tolong! Tolong!” Aku menjerit meminta tolong. 

Dahlah aku berada di wad persendirian. Siapa yang nak tolong aku? Jururawat yang lalu-lalang di luar pun takkan tahu yang aku terdampar kat bawah ni.
“Tolong!” Aku jerit sekuat hati. 

Aku memang tak boleh bergerak. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Rasa seperti lumpuh satu badan. iPhoneku berdering lagi. Aku nak jawab panggilan itu. Beg tangan di atas kerusi pun aku tak mampu nak capai. 

Berkerut dan berpeluh dahiku menahan sakit. Aku cuba gapai semampu yang aku boleh. Bila berjaya menggapai tali beg, aku terus tarik dan beg tangan aku terjatuh ke lantai. Tangan kananku seluk ke dalam beg tangan dan cari iPhone. Mana ni? 

Aku meraba dalam beg tangan. Bila terpegang sesuatu berbentu empat segi, aku keluarkan. Cermin? Aku gagau lagi. Jumpa. Bila keluarkan, compact powder. Aku mendengus geram. iPhone masih menjerit minta dijawab. Aku tak putus asa sehinggalah aku dapat pegang iPhone yang bergetar. Cepat-cepat aku jawab panggilan. Sudah tak sempat nak tengok siapa pemanggilnya.

“He... helo,” kataku seraya menahan sakit.

“Dhiya, awak busy ke?”

Shah? Aku rasa makin berpeluh.

“Awak dah sampai rumah ke?” soalnya.

Aku berfikir. Bukan Shah yang selamatkan aku tadi? Habis, siapa?

“Saya... saya...”

“Kenapa Dhiya? Awak macam sakit aje. Awak kenapa ni?” Suara Shah cemas di talian.

Nak beritahu Shah ke tidak? Aku mengetap bibir menahan sakit seluruh tubuh. “Sa... Saya kat hospital.”

“Kenapa Dhiya? Apa dah jadi dengan awak?”

Aku tak dapat bercakap kerana kaki terlalu sakit. Sampai berpeluh menahan sakit. Tambahan pula aku berada di lantai yang sejuk.

“Awak kat hospital mana?”

“H... KL.” Sebaik saja aku beritahu di mana aku ditempatkan, aku tak sedarkan diri sekali lagi.



“TERUK ke dia cedera?”

“Kaki kiri aje. Taklah teruk.”

“Shah tak sangka jadi macam ni.”

“Doktor dah cakap dia tak apa-apa. Dua tiga hari lagi bolehlah keluar.”

“Tadi mama cakap dia jatuh katil.”

“Tulah. Terkejut mama tengok dia dah terlantar kat bawah ni dengan barang bersepah. Mungkin dia nak ambil handphone.”

“Patutlah. Mesti dia jatuh masa nak jawab call saya. Saya rasa bersalah pula. Saya tak tahu yang Dhiya jatuh motor.”

Aku dengar sayup-sayup perbualan mama dengan seseorang. Perlahan kelopak mata aku buka dan pandang ke arah mereka. Aku terkejut lihat Shah berbual dengan mama.

“Mama? Shah?” ucapku lemah.

Mama dan Shah menerpa ke arahku di atas katil.

“Dhiya, how could this happen to you?”

Aku diam. Aku yakin mama sudah beritahu Shah apa yang terjadi kepadaku. Sekarang aku rasa tak larat untuk bercakap. Terlalu lemah.

“Shah, biarkan Dhiya rehat dulu. Mari kita berbual kat luar.” 

Aku lihat mama mengajak Shah keluar. Shah berpaling ke arahku seperti ingin katakan sesuatu. Tetapi mama terus menarik dan hilang di balik pintu bersama mama. Aku mengeluh berat. Aku dengar tadi mama cakap aku terpaksa tinggal di wad untuk dua atau tiga hari lagi. Sehari pun aku rasa tak sanggup. Memanglah wad kelas pertama. Bosan. Sunyi. Seram.

Amar terus menyepi. Sibuk sangat ke dia? Kali terakhir aku jumpa dia pun bulan lepas. Dia datang dan tibai roti canai aku. Rasanya ada dalam tiga minggu. Dia ni macam biskut Chipsmore. Kejap ada, kejap tak ada. Bila ada, seharian terpacak depan aku. Bila tak ada, berminggu-minggu menyepi. 

Dengan ini, dapatlah aku buat kesimpulan yang Amar tak boleh ada bersama aku di waktu susah dan senang. Dia tak boleh sedia untukku setiap masa. Bila aku perlukan dia, dia takkan ada untukku. Macam sekarang.

Jadi aku ada alasan untuk menolak dia dan pertimbangkan Shah. Macam Shah, tahu saja aku masuk hospital, terus datang. Padahal aku baru kenal dia hari ini. Antara Amar dan Shah, siapa yang patut aku pertimbangkan sekarang? Dalam sakit, aku masih sempat fikirkan soal itu. Tetapi sebab hal itu jugalah, aku terlantar di sini.

Aku tertanya-tanya juga. Betul ke Amar sukakan aku? Boleh percaya ke lirik-lirik lagu yang dia tulis untuk aku? Aku rasa propa saja. Aku tak suka sikap Amar yang datang dan pergi. Tenggelam dan timbul.



“HAI,” sapa Shah bersama sebakul buah-buahan. Ada oren, epal dan anggur.
“Hai,” balasku tersenyum manis. 

Sampai pun Shah. Dia ada SMS tadi untuk datang melawat. Nasib baik dia sampai sebaik aku pakai tudung. Mama pula akan datang lepas tutup kedai.

Aku perhatikan Shah. Kali ini dia lepaskan rambutya. Masih nampak kemas. Gayanya ringkas tapi tak selekeh. Aku suka. Berbanding Amar, yang pakai entah apa-apa setiap kali datang berjumpa aku. Takut sangat terserempak dengan peminat dia.

“Mak teh kirim salam. Dia harap awak cepat sihat. Dia nak datang, tapi sekarang dia kena jaga acik. Anak dia yang accident hari tu.”

Aku angguk faham. “Macam mana keadaan anak dia?”

“Dah okey. Cuma masih dalam pengawasan doktor.”

“Macam teruk,” getusku.

Shah senyum. “Awak pula? Macam mana?”

“Saya dah okey. Cuma kaki ni sakit lagi. Kadang-kadang rasa kebas.”

“It’s gonna be okay soon,” katanya lalu duduk di kerusi pelawat.

“Saya pun harap macam tu.”

Aku sambung, “Saya rindu cupcakes kat kafe hari tu. Sedap. Tapi saya tak sempat makan sebab jatuh.” 

Sejak semalam aku teringin nak makan cupcakes. Bila tengok muka Shah, mulalah aku teringatkan cupcakes.

“Kenapa tak cakap tadi? Kalau tak, saya boleh belikan.”

“Esok boleh tak belikan untuk saya?”

“Mestilah boleh. Awak cakap nak makan apa, nanti saya belikan,” ujar Shah. 

Dia tak berkira denganku. Kami baru kenal. Aku rasa macam sudah lama kenal dia. Aku tak rasa kekok dengan dia. Kami mesra. Mungkin kami sejiwa. Orang putih cakap soulmate.

Aku senyum. Tak tahu nak cakap tentang apa dengan Shah. Dia orang hebat. Walaupun kerjaya sekarang cuma jurukamera. Aku tak mahu suasana antara kami sepi. Sudahlah wad ni sunyi.

“Shah, nama awak Aryan Shah, kan? Kenapa keluarga panggil Aryan dan kawan-kawan awak panggil Shah?” Aku bertanya sekadar mencari topik perbualan. Bila ada isunya, perbualan kami akan menjadi panjang.

“Aryan sounds like a girl name. So, I prefer my friends to call me Shah rather than Aryan. Kenapa? Awak nak panggil saya Aryan ke?”

Aku geleng. “Nama awak unik. Aryan Shah.” Aku sebut nama Shah.

“Full name awak?”

“Adhiyana.”

“Unik jugak. Nama saya mula dengan huruf A dan nama awak pun mula dengan huruf A. Persamaan yang ketara. Saya suka.”

Oh ya. Aku baru perasan. Nama kami sama-sama bermula dengan huruf A. Tetapi, aku juga perasan yang nama Amar juga bermula dengan huruf A. Adakah suratan atau kebetulan?

“Berapa umur awak?”

“Dah masuk 25 tahun dah.”

“Maksud awak, awak lahir tahun 1986?”

Aku iakan.

“Jadi beza umur kita... lima tahun.”

Aku mula mencongak. “Jadi umur awak sekarang 30 tahun?”

Shah angguk. “Dah tua, kan? Dah masuk three series pun.”

“Tak apa. Awak bukan nampak tua pun. Muda lagi.” Aku memuji menyedapkan hati Shah.

“Pandai awak ambil hati saya, kan?” ujar Shah tersenyum panjang.

“Betul. Tapi kalau awak trim sikit rambut awak bagi pendek, mungkin awak nampak lagi muda. Mungkin sebaya dengan saya.” Bukan main giat aku mengepam lubang hidung Shah supaya lagi kembang. 

Kata-kataku membuatkan Shah ketawa besar. Terenjut-enjut bahunya.

Melihat dia ketawa, aku turut mahu ketawa. Aku tak tahu apa yang lucunya. Bila dia berhenti beberapa saat ketawa, aku turut berhenti. Kemudian dia ketawa lagi. Aku rasa aku dan dia dah miring. Ketawa tak henti. 

No comments:

Post a Comment