JAM 9 pagi, ramai yang sudah mula tiba. Para tetamu yang terdiri daripada VIP, kenalan dan wakil media pun ada yang sudah datang. Di luar dewan telah disediakan hidangan sarapan. Untuk yang tak berkesempatan bersarapan tadi, mereka akan menjamu tekak di situ sebelum masuk ke dewan.
Dahlia setia berdiri di sebelah Effan. Tak ketinggalan juga Elaika yang menyambut ketiban para tetamu. apabila ada tetamu yang datang menyapa Effan, Dahlia dan Elaika beredar.
“Kak Ika, Lia laparlah. Tadi tak sempat breakfast kat rumah. Abanglah yang tak menyempat nak datang sini.” Dahlia mengusap-usap perutnya. Dah berkeriuk-keriuk ni.
“Jomlah. Kak Ika teman.”
Elaika sudah sarapan bersama suaminya dan masih kenyang. Jadi dia layankan saja adik bosnya itu. Tetapi, sebaik saja dia ingin ikut serta, namanya dipanggil. Dia minta Dahlia pergi dahulu.
Dahlia ke meja buffet. Ada berbagai jenis hidangan sarapan yang menyelerakan. Dia ambil pinggan dan tuju ke hidangan mee goreng. Cukuplah untuk mengalas perut. Tatkala Dahlia ingin mencapai penyepit, tangan mereka bertembung. Dahlia tercengang dan terus menoleh ke kiri. Seorang gadis bertudung dengan baju royal blue tersenyum ke arahnya.
“Ambillah dulu.”
“Eh, tak apa. Cik ambil dulu.”
Dahlia dan gadis itu saling mengalah. Namun, gadis itu bertindak mengambil penyepit itu. Kemudian dia masukkan mi goreng ke dalam pinggannya dan hulurkan kepada Dahlia. Dahlia terpaku.
“Ambil yang ni.”
“Eh, kenapa susah-susah?” Dahlia jadi segan. Dia tetap ambil jua pinggan itu. Gadis itu tersenyum kemudian ambil pinggan Dahlia untuk dirinya pula. Dahlia hanya memerhati dengan rasa kagum. Baiknya dia. Siapa dia agaknya?
Dahlia dan gadis itu berbalas senyum apabila masing-masing membawa diri untuk makan.
MARIA mencari ruang yang tak sesak seperti di depan dewan. Kerana tiada tempat duduk disediakan, semua berdiri sambil makan. Maria tak selesa makan berdiri. Dia tak pernah makan atau minum dalam keadaan begitu. Arwah uminya akan marah. Tanpa berfikir panjang, Maria labuhkan punggung dan bersimpuh. Dia tak peduli kalau ada yang memandangnya. Apa yang nak dimalukan? Lebih malu kalau makan berdiri.
Maria makan dengan tenang. Dia perasan ada saja kaki-kaki yang lalu lalang di depannya. Dia buat tak nampak saja. Makan dan terus makan. Cuma, suapannya terhenti apabila ada sepasang kaki berhenti betul-betul di depannya. Maria perhatikan kasut. Hitam berkilat dan saiz 12.
Siapa pula yang kacau aku ni?
Perlahan Maria memanggung kepala dan dongak ke atas. Alamak! Malunya aku, desis hati Maria. Dia kembali tunduk.
Effan pandang sekelilingnya sebelum duduk dengan berpangkukan sebelah lutut. Ketika bertegur sapa dengan tetamunya, dia ternampak seorang gadis duduk bersendirian di satu sudut. Dari tepi, dia tahu gadis itu ialah Maria. Terus dia datang. Dia perhatikan Maria menyuap makanan. Suap dan terus suap hingga penuh. Seurat mi berjuntai di tepi bibir Maria.
“Ni.” Effan tunjuk tepi bibir Maria.
Maria terus meraba mulutnya. Sungguh kurang sopan! Dia letak pinggan di tepi dan ambil tisu daripada beg tangannya. Dia lap mulutnya dan tutup ketika mengunyah. Effan pula sedang merenungnya dengan senyuman yang sukar untuk Maria tafsir perisanya.
“Terima kasih sebab sudi datang. I appreciate it.”
Habis kunyah, Maria lap lagi bibirnya. Hilang sudah gincu yang dipakai. Ini gara-gara Firhad selalu menegurnya kerana tak pakai gincu.
“Encik Effan buat apa kat sini? Pergilah. Nanti orang nampak.”
“Siapa nak kisah? Awak tetamu saya, kan? Lain kali saya akan sediakan tempat yang selesa.”
Lain kali? Oh ya, lain kali itu mungkin Maria takkan hadir. Maria cemik bibir. Dia cuba untuk bingkas. Kakinya kebas pula. Berkerut-kerut wajahnya.
“Kenapa ni?” soal Effan cemas.
“Kebas.”
Hmm. Ingatkan apa, rungut Effan dalam hati. Dia hulur tangannya dan pegang lengan Maria. Gadis itu kaget. Mujur berlapik.
“Saya nak tolong awak bangun.”
Ambil kesempatan!
Effan mula mengangkat tubuhnya untuk berdiri dan serentak itu menarik perlahan-lahan tangan Maria hingga gadis itu berdiri tegak. Effan lepas tangan.
Lambat pula kebas ni nak hilang, keluh Maria. Dia rasa tak selesa lagi kerana ada beberapa pasang mata memandang ke arahnya.
“Meja awak nombor 4. Sekali dengan Elaika dan adik saya. Dah okey nanti terus masuk dewan,” tingkah Effan lalu beredar masuk ke arah pintu dewan. Dalam perjalanan ke dewan, dia disapa lagi.
Maria terfikir seorang diri. Ramai yang kenal dia. Terasa jauhnya jarak antara mereka. Maria hanya mampu menelan liur.
Kakinya tak kebas lagi. Maria ambil pinggan dan letak di tempat yang disediakan. Dia ke tandas untuk memakai gincu. Selesai hajatnya, dia masuk ke dewan dan cari meja nombor 4. Masih ada tempat duduk yang belum diisi. Mungkin mereka masih di luar memandangkan majlis belum bermula.
Ketika dia terkial-kial mencari meja nombor 4, dia disapa seseorang yang membawa kamera di leher.
“Eh, Maria?”
Maria tergamam seketika. Wajah itu diamati. “Fakhrul? Eh, lama tak jumpa. Patutlah aku tak cam kau. Kau makin berisi ek.”
“Biasalah. Ada bini.” Fakhrul mengekek gelak. “Kau buat liputan kat sini ke?”
“Err… ya.”
“Kau still dengan Pena Media ke?”
Maria cuma angguk. Dia ternampak Effan sedang melangkah bersama tiga orang tetamunya. Kebetulan Effan meluru ke arahnya dan Fakhrul. Maria tak endah. Dalam keadaan itu, Maria tak nampak ke mana Effan pergi. Lagipun ramai tetamu lelaki yang memakai kot hitam. Sukar dia nak buat pengecaman. Ah, lebih elok dia tiada di sini.
“Majlis dah nak mula. By the way, happy birthday, Maria. Aku dah wish dekat wall Facebook kau, tapi kau tak reply pun. Like pun tak. Jadi kebetulan aku jumpa kau kat sini. Happy birthday!”
Terharunya Maria. Fakhrul merupakan orang pertama yang ucapkan selamat hari jadi untuknya. Nadia pun belum ucap. Kalau dulu, dia akan pastikan Hardy menjadi orang pertama beri ucapan.
Dia senyum terharu. “Thanks, Fakhrul.”
“Sama-sama. Aku pergi dulu. Jumpa lagi.”
Maria dan Fakhrul bawa haluan masing-masing.
Maria langsung tak sedar yang Effan berdiri di belakangnya. Memang sengaja dia berdiri di situ dan dengar perbualan Maria dengan lelaki itu. Dia sangka lelaki itu cuba mengurat Maria. Rupa-rupanya kawan lama.
Ucapan selamat hari jadi daripada lelaki itu kepada Maria mengganggu fikirannya. Hari ini adalah hari jadi Maria? Effan berkerut kening. Dalam berfikir, Effan masih sempat melayan tetamunya.
Maria nampak meja bertanda nombor 4 di depan pentas. Meja itu bersebelahan dengan meja VIP. Setiap meja dengan kapasiti lapan orang. Dia jadi rasa gemuruh. Takkanlah wartawan duduk sebaris dengan tetamu VIP. Ini mesti Effan yang aturkan untuknya.
Meja nombor 4 masih ada tiga tempat kosong. Maria duduk di tempat kosong ada dua tetamu lelaki dan dua tetamu perempuan. Mereka mungkin pasangan. Maria lontarkan senyuman. Effan beritahu yang Elaika dan adiknya akan duduk semeja. Dia tak nampak pula kelibat Elaika di sini.
Tidak lama selepas dia duduk, datang dua orang lagi tetamu dan mengisi tempat duduk kosong.
“Eh, Cik Maria?”
Ada suara menyebut namanya. Maria cari pemilik suara itu.
“Puan Ika?” Maria kaget. Dia terus bersalam dengan Elaika. Seorang lagi gadis yang duduk di sebelah Elaika senyum kepadanya. Maria masih ingat gadis itu.
“Cik Maria?” ulang Dahlia agak terkejut. Dia kembali terimbau perbualan dengan abangnya semalam. Abangnya ada menyebut nama Maria dan katanya gadis itu akan datang hari ini. Adakah Maria yang abangnya maksudkan adalah gadis di depannya sekarang?
“Ni adik bos saya. Dahlia. Lia, kenalkan ni Maria. Dia wartawan tau.”
Dahlia rasa teruja. Dia yakin inilah gadis yang Effan maksudkan.
Maria pula tak sangka gadis yang dia isikan mee goreng tadi adalah adik Effan. Hisy, macam kebetulan saja. Dia sekadar senyum. Apa maksud Effan mahu dia duduk semeja dengan Elaika dan Dahlia? Apa rencananya?
“Dialah yang interviu abang Lia untuk majalah Edisi Korporat bulan depan. Lia jangan lupa beli tau.”
Dahlia pandang Elaika dan Maria bersilih ganti.
“Wah! Keluar majalah lagi? Lepas ni ramailah yang datang cari abang Lia. Isi borang untuk jadi calon isteri,” seloroh Dahlia. Dalam waktu yang sama, dia mahu lihat reaksi Maria. Nampaknya reaksi Maria bersahaja seperti tak terkesan dengan gurauannya itu. Dahlia kerling Maria dengan leretan senyum.
“Jejaka terhangatlah katakan,” tambah Elaika tersengih.
Maria tak tahu apa isunya sekarang. Effan adalah lelaki terhangat di pasaran? Siapa yang kisah? Dia tak kisah langsung.
Maria campak pandang ke arah pentas. Dua orang pengacara majlis sudah mula naik ke pentas untuk jalankan tugas.
“Semua tetamu yang masih kat luar boleh masuk dewan sekarang. Majlis akan bermula sebentar saja lagi.”
Maria toleh belakang. Ramai yang berpusu-pusu masuk ke dalam dewan dan cari tempat duduk. Dia pandang ke depan semula. Suasana hingar dalam dewan bertukar sepi. Hanya sedikit saja suara-suara yang kedengaran. Tiba-tiba hidungnya mengesan bau wangian yang sama dia tercium di luar tadi. Bau itu muncul sekejap-sekejap dari arah belakang. Maria rasa dia kenal bau siapa.
Perlahan-lahan lehernya ditoleh ke belakang. Bibir terketap. Dah agak! Memang dia yang atur semua ini. Dari tempat duduk aku, sampailah tempat duduk dia. Patutlah macam familiar bau tu, bisik Maria geram dalam hati.
Bila dia pandang ke depan semula, terasa ada sesuatu menolak-nolak sikunya. Dia berpaling. Ternampak satu kertas putih yang dilipat disua ke arahnya. Effan tak menoleh. Hanya tangannya menjalar. Kertas itu terus ditolak. Akhirnya Maria ambil kertas itu dan bawa perlahan-lahan ke atas riba. Dia pandang depan, kiri dan kanannya. Semua buat hal sendiri dan ada yang pandang ke pentas.
Maria ambil peluang ini untuk buka lipatan kertas itu. Ada nota tertulis dalamnya. Dia membacanya.
Lepas majlis nanti tunggu saya dekat lobi – Future husband
Kertas itu pantas dilipat semula. Maria terkesima. Banyaklah dia punya bakal suami. Maria juling biji mata ke atas dan pusing sebelum meliar pandang kalau-kalau ada yang perasan dengan reaksinya. Dia buka semula kertas itu. Mungkin dia patut balas.
Maria keluarkan pen daripada beg tangannya. Dia mula tulis sesuatu dan berikan kepada Effan tanpa menoleh. Tetapi, Maria tak perasan yang dia hulurkan kertas itu kepada tetamu di sebelah Effan.
Apabila Effan menyedarinya, dia terus ambil daripada tangan Maria.
“Untuk saya,” beritahu Effan apabila tetamu di sebelahnya, Datuk Fakri tercengang-cengang.
Effan buka lipatan. Dia terkedu. Ada lukisan tengkorak dan tanda pangkah. Menakutkan. Macam simbol amaran saja. Effan balas. Dia tulis pada kertas itu.
Dearest future wife,
Tulis nombor telefon awak kat kertas ni. Saya janji tak kacau awak lagi. Kalau tak, kita akan terus berbalas-balas nota macam ni sampai habis majlis. Awak sanggup ke? – Future Husband
Effan pulangkan semula kertas itu kepada Maria.
Maria rasa ada satu sentuhan pada sikunya. Dia mendecit geram. Apa lagi dia ni?
Walaupun rasa terganggu, dia tetap menjalar tangan dan ambil kertas itu. Dia baca di bawah meja. Maria tak sedar ketika itu ada mata memerhatikannya.
Minta nombor telefon pulak? hati kecilnya berkata.
Maria balas nota itu untuk kali terakhir. Tulis dengan hati-hati supaya tiada siapa yang perasan. Dia tulis nombor telefonnya. Rimas nak berbalas-balas nota begini. Selagi itulah dia tak tenteram dibuatnya.
Usai tulis nombor telefon, Maria hulur ke belakang. Sekali lagi tersalah sasaran. Effan nampak dan terus ambil.
“Untuk saya jugak.”
Tetamu itu buat muka pelik.
Tulisan pada nota itu dibaca. Dia tersenyum lebar. Finally!
Effan lipat kertas itu dan masukkan ke dalam kocek kotnya. Dia akan simpan nombor telefon Maria kemudian.
No comments:
Post a Comment