Wednesday, 6 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 4




Bab 4



SELESAI aku solat zohor, aku terdengar suara memanggil-manggil namaku. Ketika menanggalkan telekung solat, aku amati suara itu. Tijah? Cepat-cepat aku tanggalkan telekung solat dan berlari keluar dari bilik. Aku intai dari celah tingkap. Aku lihat Tijah terjengah-jengah kepala. Tanpa membuang masa, aku menangkap telekung yang aku sangkut di penyangkut dan sarung ke kepala.

“Tijah!” Aku jerit.

“Dhiya!” Tijah turut menjerit. 

Kami mendapatkan satu sama lain dan berpelukan. Rasanya kali terakhir kami berjumpa pada hari raya puasa tahun lepas. Aku dan Tijah melompat-lompat di atas tangga, berpelukan. 

“Kenapa kau tak datang semalam? Abang kau tak bagi tahu ke?” soalku sambil menarik Tijah duduk di kerusi rotan.

“Aku tak sempat nak datang rumah kau. Eh, abang aku kirim salam assalamualaikum kat kau.” 

Aku kerutkan kening. “Kirim salam?” 

Aku mula teringat insiden aku terlanggar ampaian semalam. 

“Dia suruh aku tanya, kau okey tak?”

Dah agak. Ni mesti tanya pasal semalam. 

“Kau belum jawab salam abang aku.”

“Wa... Waalaikumussalam,” jawabku dengan senyum tawar.

Tijah turut tersenyum. “Kau okey tak ni?”

Aku buat muka keliru. Tijah pula ternanti-nanti jawapan. Aku tahu dia cuma sampaikan pesan abangnya.

“Kenapa dia tanya aku okey ke tak?” Aku soal Tijah kembali.

“Entah. Biarkanlah dia. Kau cuti berapa lama ni? Lama jugak tak jumpa kau,” borak Tijah.

Lupakan tentang Khalif, aku jawab pertanyaan Tijah. “Tiga empat hari kut. Kau?”

“Aku? Emm...” Tijah tiba-tiba tersenyum penuh makna.

“Kenapa kau senyum macam tu?” soalku pelik dengan makna senyuman Tijah.

“Sebenarnya, esok aku bertunang. Kebetulan kau balik ni, aku nak ajaklah kau datang rumah aku.”

Aku menjerit teruja. “Betul ke Tijah? Alhamdulillah. Dengan siapa?” 

Mulalah aku nak menyibuk. Tak salah ambil tahu siapa pilihan hati Tijah. Setahu aku, Tijah bukan berkawan dengan lelaki.

“Dengan taraf aku ni, siapalah yang layak dengan aku kan. Aku bukan belajar tinggi macam kau. Ada ijazah bagai.” 

“Apa kau cakap ni? Jodoh tak mengenal taraf seseorang. Jodoh kan dah ditetapkan Allah.” 

Tijah merenungku. Daripada air muka yang ceria, wajah Tijah bertukar redup. Dia masih belum beritahu siapa bakal tunangnya. Patutlah semalam keluar beli barang. Beli barang bertunang rupanya.

“Orang kat kampung ni jugak.”

“Siapa?” Terangkat keningku ketika bertanya.

“Adib.”

“Hah?” Terjatuh rahangku. Terkejut. 

Adib? Musuh Tijah masa kecil? Disebabkan badan Tijah yang gempal dulu, Adib selalu usik Tijah. Tak sangka mereka ditakdirkan untuk bersama. Itulah kata orang, benci lama-lama jadi sayang. Sudah terbukti dalam kes Tijah dengan Adib.

“Aku dah agak kau mesti terkejut.” Tijah mula muncungkan bibir.

Aku tahan gelak. “Mestilah terkejut. Kau dengan dia dulu macam anjing dengan kucing.”

Tijah pandang aku. Kemudian dia pula ketawa. “Itulah pasal, Dhiya. Aku pun tak sangka. Mula-mula dia add friend kat Facebook. Dari situlah aku berhubung dengan dia.”

“Dia buat apa sekarang?”

“Navy. Sebab tu dia nak cepatkan pertunangan. Nanti dia kena pergi Lubnan. Setahun kau. Dalam masa setahun, macam-macam boleh jadi. Lepas balik dari Lubnan, baru kami kahwin.”

“Amin. Aku harap semua berjalan lancar dan jodoh kau orang berpanjangan,” doaku buat Tijah. Aku memanjat syukur atas perancangan itu. Aku harap semua berjalan lancar. 

“Kau pula?” Giliran Tijah menyoalku. 

Soalan ini cukup berat untuk aku jawab. Aku sendiri tak pasti aku memilih atau macam mana.

“Belum jumpa yang sesuai. Nantilah.” Aku tak mahu ulas panjang tentang isu jodoh. Aku tetap berdoa kepada Allah supaya dipertemukan jodoh untuk aku.

“Aku harap kau akan jumpa jodoh kau. Hmm, kebetulan abang aku tengah cari calon sekarang. Kalau kau berminat, bolehlah isi borang kat rumah aku tu. Dah ramai mak-mak mertua yang oferkan anak dara untuk abang aku tu,” ujar Tijah sambil ketawa. 

Aku turut terpanggil untuk ketawa bersama. Sampai macam tu sekali ke? Rupanya Khalif ni menjadi rebutan calon mertua.

“Kalau dah tengah cari calon, kenapa tak terima aje?” soalku dalam tawa.

Tijah mencemik. “Abang aku tu? Kau tengoklah dia tu jenis macam mana. Nak yang tudung labuh. Pandai mengaji. Yang orang ofer kat dia tu semua yang tak termasuk dalam senarai.”

Aku gelak kecil. Patutlah. Kalau aku pun tak berani nak tawarkan diri untuk digandingkan dengan Khalif. Rasa tak sesuai dengan tarafnya yang berilmu. “Pandai-pandailah dia cari jodoh dia sendiri.” 

“Aku pun harap macam tulah. Sekarang dia dapat tawaran jadi lecturer kat UIA. Kat sana nanti lagi ramai calon.”

Aku angguk setuju. Kat sana pun ramai yang bertudung labuh dan sudah tentu tahu mengaji. “Tijah, esok kau bertunang, kan? Pukul berapa? Aku nak tengok kawan aku bertunang.”

“Lepas zohor. Kau datang tau. Kat kampung ni, kau aje kawan baik aku.”

“Okey. Esok aku datang. Siapa mekapkan kau nanti?”

“Sepupu aku. Sebelum majlis esok dia datanglah.”

Aku mengangguk ringan. Aku akan pastikan aku tidak ketinggalan sesi mekap Tijah esok.


MAMA, mak, ayah, achik dan adik duduk di ruang tamu sambil menonton TV. Seperti selalu, adik akan bentangkan toto dan baring depan TV. Achik pula asyik menghadap laptop. Kedua-dua adik lelakiku memang tak boleh diharap. 

“Berapa lama cuti ni Dhiya?” soal ayah ketika aku kusyuk menonton Cerekarama di TV3.

“Lusa baliklah. Kan mama?” Aku kerling mama yang juga fokus pada skrin TV.
“Kenapa tak cuti lama sikit?” Ayah menyoal lagi.

“Tak bolehlah, ayah. Dhiya ada kerja. Nanti Dhiya balik lagi ya.” jelasku. Lagipun minggu depan aku kena pergi Konsert Mini Amar Affandy tu. Ni gara-gara Fafalah.

Sedang kami semua berbual dan menonton TV, tiba-tiba terdengar suara memberi salam. Mak perlahankan suara TV. 

“Pergi tengok siapa datang.” Ayah mengarah salah seorang antara anak-anaknya untuk pergi. 

Achik mematung. Buat-buat tak dengar. Adik jauh sekali. Kalau baring, memang takkan bangun dan terus lena depan TV. Takkan mak dengan mama pula. Nampaknya akulah yang kena mengalah. Aku bangun dan pergi membuka pintu. Salam kujawab dan serta-merta aku tergamam.

“Maaf mengganggu. Ni ada pulut kuning dari masjid.” Khalif berdiri di hujung tangga bersama satu plastik. Pulut kuning pastinya di dalam plastik itu. 

Aku keluar dan turun mengambil plastik itu.

“Terima kasih,” ucapku. “Ada majlis apa dekat masjid?”

“Ada anak buah saya khatam al-Quran. Jadi, dia bawak pulut kuning. Banyak pula tu.” terangnya.

“Oh. Macam tu ke,” jawabku acuh tak acuh. Sebenarnya aku malu dengan Khalif. Bila tengok dia, terus terbayang insiden tempoh hari.

“Kepala awak dah okey ke? Tak ada luka-luka?” 

Terpanar aku dengan pertanyaan itu. Antara ambil berat atau perli. Tapi, takkanlah seorang ustaz nak perli aku.

“Okey. Tak ada apa-apa pun. Sikit aje.” Aku jelaskannya.

“Lain kali hati-hati masa berjalan,” pesannya. 

Aku rasa macam satu sindiran pula. Aku sekadar senyum hambar.

“Terima kasih sekali lagi untuk pulut ni,” ucapku lagi untuk mengakhiri perbualan aku dan Khalif. 

Rasa tak selesa dan segan. Kalau ada orang kampung yang nampak, kan tak manis bagi seorang lelaki seperti Khalif berbual dengan gadis berduaan walaupun di tempat yang terang.

“Sama-sama,” balasnya sambil mengetap senyum. Dengan perlahan menyusun langkah untuk pergi. 

Aku mengeluh nafas lega. Seketika Khalif berpaling semula. Aku yang baru nak melangkah masuk ke dalam terus tak jadi.

“Esok jemputlah datang rumah,” pelawanya. 

Aku angguk lagi. “Insya-Allah.”

“Abang pergi dulu,” kata Khalif. Kali ini benar-benar pergi tanpa menoleh lagi. 

“Abang?” Terkejut aku bila dia bahasakan dirinya ‘abang’. Apa maknanya ni? 
Aku perhatikan setiap langkahnya hinggalah lenyap dalam kelam malam. Tanpa berfikir panjang, aku masuk ke dalam rumah. Ayah, mak dan mama serentak memandangku.

“Siapa yang datang?” Ayah orang pertama yang menyoal

“Khalif. Dia hantar pulut kuning. Dia cakap ada budak dia khatam Quran,” jelasku lalu meletak bungkusan plastik itu ke atas meja di ruang tamu.

Ketika aku berlabuh, ayah pandang aku. Aku perasan dan terus memandang ke wajah ayah. 

“Bagus budak Khalif tu,” puji ayah. 

Tak dinafikan, Khalif memang lelaki yang baik.

“Elok dibuat menantu,” tambah ayah lagi.

Aku rasa tercekik bila mendengar ayat ayah yang sinikal itu.

“Untuk kak long ke?” Aku buat-buat bertanya. Nak mengelak daripada terkena batang hidung.

“Jangan ceritalah pasal kak long kamu tu. Dia dah tak ingat keluarga lagi.”

Aku tak berkelip memandang ayah. Apa maksud ayah? Kenapa ayah cakap kak long macam tu? Namun, ini hal keluarga. Aku tak mahu minta penjelasan tentang kak long depan mama. 

“Habis tu, takkan Dhiya?” 

Ayah pandang tepat ke wajahku. “Siapa lagi?” 

Tekak ini menelan liur sebiji-sebiji. Oh, tidak!

Tiba-tiba mama dan mak memandang ke arahku. Mak senyum tanda menyokong. Mama pula tak tahu siapa yang dimaksudkan jadi mama nampak keliru sikit. Tak apalah. Nanti aku akan terangkan kepada mama.


No comments:

Post a Comment