Tuesday, 21 October 2014

JODOHKU SUPERSTAR 33

Sunyi pulak bila budak-budak cuti...tapi ZR tetap kena kerja...sambil-sambil tu kena rehat2kan minda ni...ok, ni sambungan bab 33...selamat membaca ye



Bab 33



“DUA minggu aje lagi. Aku tak tahu apa keputusan aku.” 

Aku mendarat ke atas katil dan meniarap sambil memegang kalendar dengan muka bingung. Aku ambil marker pen dan pangkah pada tarikh hari ini. Lantas jari ini membilang hari pada kalendar dengan hujung marker pen. Genap 14 hari lagi. 

Kalendar aku letak ke tepi dan aku ubah posisi baring. Merenung siling kemudian pandang ke luar tingkap. Perasaan sekarang benar-benar tertekan. Sungguh aku tak tahu apa perasaan aku yang sebenarnya. 

Pertemuan minggu lalu kembali mengganggu fikiran. Amar mahu aku hadir ke majlis itu dan mahu kenalkan aku kepada media. Jika aku tak hadir malam itu, Amar akan anggap aku menolak cintanya dan hubungan kami akan berakhir. Aku tak tahu kenapa aku rasa sedih dengan ucapan itu. Sedangkan aku sendiri tak pasti apa perasaan aku kepada dia. Kepada siapa aku nak mengadu dan luahkan perasaan? Aku cuma ada mama di rumah ini. Jadi, mamalah tempat aku mengadu. 

Aku toleh ke arah jam dinding. Dah lewat. Mama pasti sudah tidur. Aku mengeluh perlahan. Entah kenapa mata ini belum rasa mengantuk. Aku capai iPhone. Cari nama Amar. Ada lima nombor dalam senarai kenalan. Aku tak tahu nombor mana satu patut aku hubungi. Amar tak bawa kelima-lima telefon bimbitnya. Dia akan bawa dua atau tiga. Itu pun mengikut keadaan.

Aku pilih nombor telefon peribadinya. Rasa nak hantar SMS tapi tak tahu nak tulis apa. Aku pergi ke ruangan tulis mesej. Otak berfikir apa yang harus aku tulis. Hai, helo, salam, ucap selamat malam. Atau mungkin dia dah tidur. Namun, aku tetap juga mahu hantar SMS.

Selamat malam. 

Jantung rasa berdebar. Aneh betul. Aku letak iPhone atas dada. Aku tak kisah sama ada Amar balas ataupun tidak. Asalkan dia tahu yang aku tak lupakan dia. Baru nak mengiring, ada SMS masuk. Aku terkejang. Pantas aku meniarap dan membaca SMS itu. Daripada Amar. Makin kencang degupan jantung.

I can’t sleep. Thinking of someone. 

Fikirkan seseorang? Aku ke? Tanpa membuang masa aku membalas.
Fikirkan siapa sampai awak tak boleh tidur?
Dhiya pulak kenapa belum tidur?
Thinking of someone too. 
Boleh saya tahu siapa orang tu?
Entah...
Entah?!
Awak cakap dulu awak fikirkan siapa.
Orang yang baca SMS ni.

Aku tergamam. Jawapan Amar buat aku tersenyum. Eh, kenapa aku senyum? 

Saya ke?
Siapa lagi...
Awak rindukan saya?
Every second... Awak tak rindu saya ke?

Dia tanya aku tak rindu dia? Adalah sikit. Aku balas. 

Entah... rindu kut. Tapi jangan perasan OK!
But now I’m smiling happily... like the world is mine.
Awak ni dah sewel... Hahaha.
Since I met you... seriously.

Malam itu kami berbalas SMS sampai tertidur. Aku rasa seperti sedang bercinta dengan Amar. Beginikah perasaan pasangan yang bercinta? Berbalas SMS dan tersenyum seorang diri bila terima SMS daripada si dia?


“TERIMA kasih. Datang lagi ya,” kataku kepada seorang pelanggan yang baru membeli Sari Drinks. Katanya pertama kali nak cuba. 

Aku kembali duduk di meja kaunter. Tangan tak lepas daripada kalendar. Aku pangkah tarikh hari ini. Ada 10 hari lagi. Debaran mula terasa. Aku belum putuskan untuk pergi ke sana. Baru duduk, pintu kedai terbuka. Aku bangun bersama senyuman menyambut tetamu.

“Selamat datang,” ucapku ramah. Bila pandang ke arah pintu, aku terkejut. “Shah?”

Shah tersenyum. Tangannya menatang kotak berbentuk segi empat berwarna merah jambu bercorak. “Delivery!” 

“Wow! Cupcakes!”

Shah masuk. “Saya beli untuk awak.”

“Untuk saya?” Aku teruja lalu keluar dari meja kaunter. 

Shah hulurkan kotak ke arahku dan aku sambut. Tak sabar-sabar aku bawa ke ruang tamu dan membukanya. Mata terbuntang melihat sembilan biji cupcakes yang comel-comel di dalam kotak itu. Yummy!

Tak dapat aku gambarkan perasaan aku yang gembira saat ini. “Terima kasih, Shah.” 

“Sama-sama. Makanlah.”

Aku angguk. Lantas aku ambil sebiji cupcakes dan terus makan dengan penuh nikmatnya. Aku hayati rasanya sampai terpejam mata. 

“Emm... sedapnya,” pujiku seraya membuka mata menghala ke arah Shah.

Aku sambung makan sampai habis. Kemudian ambil satu lagi. Makan sampai separuh saja.

“Dhiya?” panggil Shah. 

Perlahan aku dongak. Masih malu untuk menatap Shah.

“Boleh saya tanya sikit?”

Seketika, aku angguk.

“Sejauh mana hubungan awak dengan Amar?”

Aku terpempan dengan soalan Shah. “Maksud awak?”

“Memang kita baru kenal. Awak lebih lama kenal Amar. Saya ada terbaca surat khabar yang lama. Amar balik kampung awak, kan?”

Aku kaku.

Shah senyum hambar. “Saya tahu, hubungan awak dengan dia bukan sekadar junior dan senior.”

Nafas yang kutarik terasa sesak.

“Sebenarnya... hubungan tu memang bukan setakat junior dan senior,” kataku lalu tunduk. Tak mahu tengok reaksi Shah.

“Betullah apa yang saya rasa.”

“Tapi saya tak bagi jawapan lagi. Saya masih keliru untuk terima dia. Dia superstar. Saya ni siapalah. Saya tak layak untuk dia. Dia berhak dapat yang sehebat dia.”

“Kalau saya?” Shah angkat kening.

Aku mendongak. “Apa maksud awak Shah?”

“Saya sebenarnya suka berterus terang. Saya sukakan awak, Dhiya. Serius. Mula-mula saya tengok gambar awak, saya dah tertarik nak kenal awak. Masa mak teh nak bawa saya datang sini, tiba-tiba dia dapat call yang anak dia accident. Saya memang nak sangat jumpa awak dan tengok awak face-to-face. Kali kedua, saya ingat awak tak sudi jumpa. Tapi tak sangka awak sanggup datang walaupun masa tu cuaca panas. Sampaikan awak jatuh motor.” Panjang cerita Shah.

“Dhiya, saya tahu terlalu awal untuk awak terima saya. Saya nak kenal awak sebab niat saya untuk jadikan awak teman hidup saya. Tapi kalau awak belum sedia, saya sanggup tunggu awak. Kecuali... awak terima Amar.” Dia menyambung.

Petang itu, aku terus jadi bisu. 


“ROTI canai dua!” pesanku kepada pak cik roti canai.

“Siap!” laungnya.

Aku duduk di meja kosong menunggu roti canaiku ditebar. Aku terpandang surat khabar di atas meja. Ketika mata ini meneliti surat khabar, aku ternampak gambar Amar pada ruangan atas tajuk utama. Cuma gambar kecil serta tajuknya. Aku hanya membaca tajuk dalam hati.

Ramalan Amar Affandy bakal mendominasi kemenangan AMM

Tajuk itu membuatkan mata aku terbuka luas. Aku masih ingat kata-kata Amar dulu beritahu yang dia ada enam pencalonan. Pada firasatku juga Amar pasti akan menang antara enam pencalonan itu. Tak mungkin dia akan menang keenam-enam kategori. Aku agak dia akan menang sekurang-kurangnya tiga kategori. Aku berani jamin.

Aku belek ke muka surat berita tentang Amar. Sementara menunggu roti canai, aku baca berita itu. Dalam temu bual itu, Amar ditemu bual di sebuah hotel terkemuka untuk satu majlis dan dia antara artis jemputan. Wartawan menemu bual Amar untuk bertanyakan tentang majlis AMM yang akan berlangsung Sabtu minggu depan. Banyak soalan yang diajukan kepada Amar, namun aku tertarik dengan jawapannya.

Ramalan yang saya akan menang semua kategori yang tercalon tu agak melampau. Amat mustahil. Saya tak harapkan apa-apa kemenangan. Jika menang, ia rezeki daripada Allah SWT. Tercalon saja pun saya dah rasa bersyukur sebab karya saya diiktiraf. Apa saja keputusan pada malam tu, saya terima dengan hati terbuka. Semua yang tercalon dalam setiap kategori adalah yang terbaik dan layak menang.

Aku senyum membaca kenyataan itu. Dia memang seorang yang suka merendah diri. Aku teruskan bacaan. Wartawan mengajukan soalan agak peribadi. Pantas bebola mata bergerak meneliti setiap baris ayat.

Malam tu saya akan kenalkan seseorang. Saya tahu ramai dah tahu pasal ni. Jadi kalau tak ada aral dan diizinkan Allah, saya akan kenalkan dia untuk hentikan semua cerita tu. Gosip tentang hubungan saya dan Nisha tu tak betul. Kami cuma kawan sekerja. Sejujurnya, saya dah ada pilihan hati saya. Insya-Allah, kita tunggu malam tu nanti.

Bibirku sudah terketap-ketap. Amar pandai-pandai cakap dengan wartawan macam itu. Macam mana kalau malam itu aku tak datang? Tak ke dia yang dapat malu? Dia memang seorang yang terlalu yakin. Aku selak akhbar dan tutup dengan rakus. Geram betul.

“Dah siap ke roti canai?” soalku memandang ke arah pak cik roti canai. Dia angguk dan hulurkan plastik. Rupanya dah siap.

Aku hulur sejumlah duit lalu balik ke kedai.

“Pak cik, boleh pinjam tak surat khabar ni?” Tanganku sudah mencengkam surat khabar.

“Ambil terus pun tak apa.”

Amboi, nada pak cik ni macam nak perli. Aku senyum. “Terima kasih, pak cik.”
Tanpa berlengah, aku balik ke kedai. Tujuan aku ambil surat khabar itu hanyalah untuk tunjukkan kepada mama ruangan temu bual Amar.

“Mama! Mama!” Bergegas aku masuk ke dalam kedai dan memanggil mama. Aku letak bungkusan roti canai ke atas meja dan berlari-lari anak ke bilik mama. 

Mama nampak terkejut dengan kedatangan aku yang nampak macam cemas.

“Kenapa Dhiya? Ada apa ni? Cemas semacam mama tengok,” soal mama. Dia tanggalkan cermin matanya.

“Mama baca ni.” Aku hulurkan surat khabar kepada mama dan belek ke muka surat temu bual Amar.

“Pasal apa?” Mama bingung. 

“Mama baca pasal Amar ni. Apa yang dia cakap dekat wartawan.”

“Dhiya cakaplah apa dia. Mama malaslah nak baca,” kata mama tak berminat nak baca. 

Aku mendengus perlahan.

“Amar cakap dekat wartawan yang dia nak kenalkan Dhiya malam tu,” beritahuku.

“Eh, eloklah tu. Apa yang kalut sangat?”

Aku lipat surat khabar dan letak ke tepi. Mama tak faham perasaan aku. Aku rasa agak kecewa.

“Mama, Dhiya tak cakap pun Dhiya nak pergi. Kalau Dhiya tak pergi, macam mana? Mesti Amar akan dapat malu.”

Mama hempas tangan ke atas mejanya. Aku tersentak.

“Dhiya kena pergi!” kata mama tiba-tiba. Aku sangka dia akan menyokong aku.

“Mama...” Aku melembikkan tubuhku.

“Malam tu, mama akan hantar Dhiya. Walau macam mana pun, Dhiya tetap kena pergi. Faham?” Mama bertegas.

Aku mengeluh berat. “Dhiya confuse sekarang, mama.”

“Confuse sebab apa? Dhiya tak tahu nak pilih siapa?”

Perlahan aku iakan.

“Sekarang ni, hati Dhiya untuk siapa?”

Aku angkat bahu. 

“Siapa Dhiya nak pilih sebenarnya?”

“Entah. Dhiya tak tahu.”

Mama mengeluh perlahan. “Dhiya kena pilih seorang aje. Tapi mama sukakan Amar.”

“Dhiya pun. Err...” Tanpa sedar, aku tersasul.

Mama mula tersengih. Sengih yang membuatkan pipiku blushing.

“Kalau macam tu, nak confuse apa lagi?” kata mama. 

Aku masih juga keliru antara Amar dan Shah.


“EH, Puan Dina!” Aku agak terkejut dengan kedatangan Puan Dina ke kedai. 

Puan Dina tersenyum manis. Aku menghampirinya dan bersalaman memandangkan sudah lama kami tak berjumpa.

“Duduk sini.” Dengan ramahnya aku menarik tangan Puan Dina untuk duduk di ruang tamu.

“Puan datang sorang aje ke?” soalku ketika Puan Dina berlabuh.

“Sorang aje. Kebetulan lalu kat sini. Jadi singgahlah kejap. Sari ada?”

“Mama keluar. Kejap lagi dia baliklah.”

Puan Dina sekadar angguk.

“Puan tunggu kejap. Saya pergi ambilkan air dulu.”

“Boleh jugak.” Puan Dina senyum. Tanpa berlengah aku ke pantri dan bancuhkan air untuk Puan Dina. Bila siap, aku terus bawa kepadanya.

“Satu aje? Untuk Dhiya tak buat?”

“Saya dah minum,” ujarku. Berlabuh di sebelah Puan Dina. Aku maniskan muka walaupun fikiran berkecamuk. “Puan dari mana?”

“Jumpa kawan. Dhiya, tak payahlah panggil saya puan lagi. Lebih mesra kalau Dhiya panggil mak teh.”

Err... Serta-merta senyumanku terpadam daripada wajah. Panggil mak teh? Macam sudah lebih ni.

“Aryan tu berkenan sangat dengan Dhiya. Mak teh pun setuju sangat kalau dia berkahwin dengan Dhiya. Lagipun dulu, Aryan pernah putus tunang. Dia memang kecewa teruk masa tu. Jadi, mak teh tak nak dia kecewa lagi. Dia cukup susah nak sukakan seseorang. Bila mak teh tunjuk gambar Dhiya, dia terus berminat. Dia cakap dia nak cari bakal isteri yang bertudung. Ringan sikit tanggungjawab dia nak mendidik bab aurat,” cerita Puan Dina diselangi tawa di hujungnya. 

Aku turut rasa mahu ketawa tetapi aku tahan kerana perasaan serba salah setelah tahu cerita Shah.

“Shah pernah bertunang? Dia tak cerita pun,” luahku. 

Selama aku mengenali Shah, dia tak pernah bercerita tentang kisah lamanya. Dia nampak ceria. Aku tak tahu pula dia pernah putus tunang. 

“Dia bertunang lepas habis belajar. Dua tahun bertunang, tunang dia tu minta putus tanpa sebab. Aryan sedih sangat. Dia sayang sangat dengan tunang dia tu. Keluarga tunang dia sendiri pun menyokong. Apalah daya kami nak menyekat. Nak berbincang pun dah tak guna kalau orang dah tak nak. Aryan pun buat keputusan untuk kerja kat Qatar. Kebetulan dia dapat tawaran kerja kat sana. Mak teh ni mak saudara yang paling rapat dengan dia. Lagipun dia anak saudara sulung. Mak teh tak nak dia kecewa lagi. Lepas dia kenal Dhiya, mak teh tengok dia gembira aje. Dia memang jenis orang yang ceria. Jarang sangat dia tunjuk perasaan dia.”

Aku angguk perlahan. Aku juga rasa begitu setakat aku mengenali Shah. Dia ceria orangnya. Pandai hiburkan orang.

“Dhiya, mak teh harap sangat Dhiya terima Aryan. Mak teh pun rasa Dhiyalah yang paling sesuai untuk Aryan. Masa mula-mula tengok Dhiya lagi mak teh rasa macam tu.”

Aku mengetap bibir. Permintaan Puan Dina membuatkan aku di persimpangan dilema antara Shah dan Amar. Aku rasa serba salah sekarang bila Puan Dina begitu berharap agar aku terima Shah.

“Puan... err... mak teh, sebenarnya...” Lidah ini tiba-tiba kelu dan berat untuk berkata-kata.

“Dhiya...” Tangan Puan Dina melekap di atas tanganku. 

Aku terkesima. Terus terkunci bibir ini.

“Dhiya, mak teh tak minta lebih daripada Dhiya. Mak teh harap Dhiya dapat bahagiakan Aryan.”

Aku tertelan liur. Kenapa aku kena terima semua ini? Kenapa mereka letakkan harapan ke atas diri aku sedangkan aku tak mampu tunaikannya? Aku rasakan yang hidup aku makin sulit.


No comments:

Post a Comment