Bab 12
TAK siapa dapat jangka rezeki yang Allah nak berikan. Sejak aku berjumpa dengan Amar, dia dengan sukarela menjadi stokis dan akan jualkan produk mama kepada peminat-peminatnya. Dengan cara ini, jualan mama akan meningkat. Keuntungan pun banyak. Mama pula bertambah sibuk.
Amar pula tetap sibuk dengan kariernya. Itu kan punca rezeki dia. Cuma sejak dia maafkan aku, kehidupan aku kembali seperti biasa. Satu masalah sudah selesai. Cuma masalah kak long dan Khalif yang tinggal.
Khalif bukanlah satu masalah bagi aku. Cuma setiap masa aku fikirkan dia. E-mel yang dihantar bertambah. Aku tetap baca dan membalasnya. Katanya rindu nak berjumpa, tapi tak nak berjumpa. Dia nak tunggu saat yang sah di mana aku dan dia diijabkabulkan. Kalau macam itu, makin terseksalah menanggung rindu.
Khalif letakkan tempoh tiga bulan untuk dia meminangku. Sekarang tinggal dua bulan. Aku sudah tak sabar menunggu saat itu. Mungkin dia takkan tunggu selepas Tijah berkahwin. Memandangkan dia telah bertemu dengan calon iaitu aku, dia tak nak tangguh dan nak segerakan.
Aku berdoa agar hasratnya dipermudah. Aku akan tunggu Khalif untuk menjadi pemimpin aku. Menjadi imam dan pembimbingku ke jalan yang diredai. Sejak aku mula menyayangi dia, aku sandarkan sepenuh harapan kepada Khalif. Dia akan jadi pendamping aku dan aku akan jadi bidadarinya, seperti yang Tijah inginkan.
Berbalik kepada cerita Amar, aku kini menjadi peminat yang like fanpagenya di Facebook. Tapi aku jarang ikuti perkembangan di Facebook. Apa yang Amar lakukan, aku sentiasa menyokong. Lumrah artis, tak lari daripada tohmahan. Amar turut hadapinya. Aku faham, bila di puncak kejayaan, pasti ada yang akan cuba jatuhkan kita.
Aku berpesan kepada Amar, hidup ibarat roda. Pusingan naik dan turun pasti ada. Jangan lupa kepada Allah.
Amar pun sedang bekerja keras untuk buat persediaan. Dia juga tak tahu selama mana dia boleh bertahan dalam industri seni. Dia perlu ada jaminan masa depan.
Tatkala aku fikiran Amar, tiba-tiba dia telefon. Macam ada telepati saja. Kadang-kadang ia cuma gerak hati manusia. “Helo?”
“Helo. Sibuk?”
“Not really. Duduk relaks kat kedai aje.”
“Can I go there?”
“Awak ni tak ada kerja ke? Tak ada show kat mana-mana?”
“Untuk hari ni tak ada tapi minggu depan full. Ada launching album terbaru saya. Saya ingat nak ajak awak. Nak pergi?”
Pelancaran album? Bunyi macam menarik. Nak menolak, takut kecil hati. Nak pergi, serba salah rasanya. Tapi Amar sudah mula baik dengan aku. Hmm, perasaan aku saja agaknya.
“Kalau free,” jawabku.
“So, macam mana kalau saya nak pergi sana?”
“Datanglah. Kecuali pintu kedai ni closed.”
“That’s my girl. Saya pergi sekarang.” Tut... tut...
Seperti biasa, Amar selalu matikan talian begitu saja. Cara dia, nak buat macam mana. Aku yang kebosanan di tahap maksima dikejutkan dengan kedatangan Puan Dina. Aku sambut kedatangannya. Di tangannya sarat dengan bungkusan.
“Apa khabar, puan?”
“Baik, Dhiya. Puan Sari ada?”
“Alah... Dia baru aje keluar, puan.”
“Sejak Amar join business ni, makin sibuk dia sekarang, kan?” seloroh Puan Dina. Dia pun tahu Amar salah satu ejen stokis dan duta produk mama.
“Alhamdulillah. Rezeki,” ucapku. Aku mengiringi Puan Dina ke ruang tamu.
“Dhiya, saya datang ni nak make over Dhiya. Ni, saya ada bawa macam-macam jenis dress. Jubah. Semua ni baju-baju Muslimah. Dhiya, awak ni cantik. Kalau kena gaya, saya gerenti, dua ibu jari ni saya angkat.”
Betul. Memang Puan Dina angkat dua ibu jarinya.
“Puan nak jual kat saya ke dress ni?” Perlahan aku angkat beberapa dress dari dalam bungkusan Puan Dina.
“Sekarang ni, walaupun berfesyen, kita masih boleh menutup aurat. Jangan risau. Ni, dress ni saya nak Dhiya cuba. Saiz M boleh rasanya. Nah, pergi cuba.”
Aku kaget seketika apabila Puan Dina berikan aku satu dress dari dalam plastik. Dia minta aku cuba dress itu.
“Pergi tukar,” suruhnya lagi.
Aku tanpa membantah terus pergi. Aku masuk tandas dan tukar pakaian. Bila keluar, aku sarungkan semula tudung. Dress labuh berwarna merah hati dengan sulaman berwarna biru memang cantik. Aku nampak berbeza bila melihat cermin. Selalunya aku kenakan blaus dan baju-T Muslimah dengan seluar longgar atau skirt kembang.
Cuma bila pakai dress, ia agak mengikut bentuk badan. Ini bukan menutup aurat seperti yang digariskan oleh Islam. Sebab nak jaga hati Puan Dina, aku tonjolkan diri aku. Dia nampak terpegun memandangku.
“Kan saya dah cakap. Cantik sangat. Bila mekap sikit, pakai selendang, lagi cantik.”
Aku jadi malu dengan pujian Puan Dina. Aku tak rasa pun diri ini cantik. Semua ini pinjaman Allah.
“Mari, biar saya siapkan awak.”
Siapkan aku? Apa maksud Puan Dina? Aku melopong memandang Puan Dina.
Puan Dina mulakan tugas make overnya. Aku biarkan saja. Lagipun tak ada siapa nak datang. Amar pun mungkin lambat sampai. Sekarang jalan sesak. Puan Dina keluarkan ‘senjata’nya dari beg. Aku mula terbeliak memandang Puan Dina. Dia senyum saja. Agaknya dari hari tu lagi dia memang geram nak siapkan aku.
Plat OPEN ditukar ke CLOSED sebentar.
LEBIH kurang setengah jam aku berdepan dengan Puan Dina. Bukan main khusyuk dia menconteng muka aku dengan macam-macam jenis mekap. Dari mata sampai bibir. Aku tak tahu apa yang dia buat pada mukaku. Mata pun rasa mengantuk.
“Dah siap pun.” Puan Dina sapukan sentuhan terakhir pada wajahku.
“Boleh tengok cermin?” Aku bertanya. Tak sabar nak tengok muka selepas dimekapkan. Makin cantik ke makin buruk.
“Nanti dulu. Biar saya pakaikan selendang dulu. Lepas tu, baru boleh tengok cermin,” kata Puan Dina lalu memilih satu selendang daripada bungkusannya untuk dipadankan denganku.
Aku cuma perhatikan tindak-tanduknya. Pilih satu, letak balik. Tak sesuai. Pilih lagi, macam tak kena. Akhirnya Puan Dina pilih selendang bercorak abstrak. Aku kuncikan mulut sementara Puan Dina lilitkan selendang ke kepalaku. Aku biarkan saja. Bila dia cucukkan pin, aku mengaduh. Tercucuk pula kulit kepalaku. Itu saja bunyi yang aku keluarkan.
Lepas 15 minit, aku siap didandan. Dari kepala sampai kaki. Aku masih kaku di atas kerusi. Puan Dina belek mukaku. Dia tolak lembut ke kiri, kemudian ke kanan pula. Dia buat aku macam patung.
“Dah siap?”
“Hmm, hampir siap.”
Aku ternganga. Penat aku duduk di sini, belum siap lagi? Aku buat muka hampa.
“Dhiya?” Puan Dina panggil namaku.
Aku pandang Puan Dina dan perlahan dia menyuruh aku bangun. Dia membawaku ke arah cermin yang digantung pada dinding. Sebaik saja aku berdiri di depan cermin, aku terpaku.
“Saya ke ni puan?” Aku tak percaya melihat refleksiku pada cermin.
“Kenapa? Awak tak percaya yang ni diri awak?”
Aku tersenyum lebar. Penampilan sekarang dengan 40 minit tadi ketara bezanya. Aku memusingkan tubuh ke arah Puan Dina. Ketika itu pintu kedai terbuak. Aku dan Puan Dina serentak memandang ke arah pintu. Amar Affandy? Lelaki itu terkaku di depan pintu.
“Dhiya ada?”
La... Amar tak perasan ke aku kat sini?
Puan Dina pergi ke arah Amar. Dia pun pernah bersuara nak berjumpa dengan Amar, superstar Malaysia. “Amar, boleh tak ambil gambar?”
“Boleh.”
Puan Dina keluarkan telefon bimbit dan snap gambar bersama Amar. Senyuman Puan Dina panjang sampai ke telinga.
Aku masih berdiri di situ memandang mereka. Malu rasanya dengan imej sekarang. Aku rasa nak pergi cuci mekap dan pakai seperti biasa. Ini bukan caraku.
Amar merenung ke arahku. Mukanya sedikit berkerut. “Is that you, Dhiya?”
Puan Dina turut memandang ke arahku. Aku jadi tak keruan. Kat mana nak menyorok ni?
Pandangan Amar tak beralih daripada fokus ke arahku. Dia tak percaya ke dengan apa yang dia lihat sekarang?
“Dhiya, awak ke?” Dia ulang lagi. Untuk kepastian.
Adakah aku tak nampak macam Dhiya? Aku menghembus nafas perlahan dan berjalan ke arahnya. Bila aku dekat dengan Amar, lelaki itu seakan-akan terpegun.
“What do you think?” Puan Dina tanyakan pendapat Amar. Tiba-tiba Puan Dina snap gambarku.
Dengan muka terkejut, aku tak tahu macam mana wajahku dalam gambar itu. Mesti macam terkena kejutan elektrik.
“You look different, Dhiya.”
Adakah itu satu pujian? Aku senyum kelat. Memanglah nampak lain daripada sebelum ini.
“I must say that... you look beautiful.”
Aku tergamam mendengar pujian Amar. Dia puji aku? Dia cakap aku cantik? Terasa tubuh ini mencair bila dipuji. Lagipun bukan calang-calang orang. Superstar tu. Sekarang, mata Amar tak lepas memandangku. Buat aku tak selesa.
Puan Dina beritahu yang baju dan selendang itu dia hadiahkan kepadaku. Aku berterima kasih di atas usaha kerasnya menata rias wajahku. Daripada itik hodoh kepada angsa putih.
Tinggal aku dan Amar di kedai. Tiba-tiba aku dan dia jadi bisu pula. Hampir 10 minit juga aku tak bersuara. Amar pula macam nak katakan sesuatu cuma tak terluah saja. Daripada biarkan keadaan berterusan begini, aku mulakan juga bicara.
“Ada launching esok?” soalku. Sekadar berbasa-basi.
Amar angguk. “Petang esok.”
Pelik. Dia berubah karakter hari ini. Cara dia bercakap seperti dia seorang yang peramah, soft spoken dan macam dah lama berkawan dengan aku.
“Ada tak lagu yang best? Boleh tak bagi satu kat saya? Saya nak free dan ada tandatangan awak. Boleh?”
“Boleh. Salah satu lagu daripada album tu saya tulis sendiri lirik. Nak dengar?” Air muka Amar berseri-seri. Teruja betul dia nak menyanyi untuk aku.
Tak berkelip aku memandang Amar. Dia nak nyanyikan lagu terbaru sedangkan album belum dilancarkan lagi?
“Tapi, awak belum release album lagi,” ujarku.
“Tak apa. Asalkan awak jadi peminat saya. Boleh?”
Dia suruh aku jadi peminat dia? Ni yang masalah. Aku tak minat dia pun.
“Okey, okey. Saya akan jadi peminat awak.” Aku akur untuk menjadi peminatnya. Tapi, bukan peminat fanatik. Nak jaga hati Amar punya pasal, aku biarkan saja.
Amar berdeham sekali. Cuba cari suara untuk menyanyi. Mataku tertumpu kepada Amar. Aku rasa akulah insan paling bertuah buat masa sekarang sebab dapat dengar nyanyiannya secara langsung.
“Tajuk lagu ni Pesonamu.” Amar mula mendendangkan lagu. Dia cuma nyanyi sikit saja. Rangkap kedua dan korus.
Di mataku kau yang terindah
Senyumanmu buat aku melayang
Bicaramu menyentuh hati
Adakah diri ini benar jatuh cinta
Pertama kali dalam hidup ini
Aku terpikat dengan pesonamu
Hingga dalam mimpi aku masih angankanmu
Berilah secebis hatimu
Aku ingin berteduh
Sambutlah sayang cintaku
Yang tertawan dengan pesonamu
Habis nyanyian, aku tepuk tangan. “Terbaik!”
Sedap juga lagu ni. Aku tak pasti rentaknya perlahan atau rancak. Amar senyum bangga. Di sebalik solekan mukaku, sebenarnya aku mencemik.
“Kita kena kreatif dan cuba banyak benda.”
“Baguslah.”
Kami masih berpandangan. Jauh di sudut hati ni, aku tak percaya yang di depan aku sekarang ialah Amar Affandy, superstar negara.
“Tapi lirik lagu tu macam untuk seseorang yang istimewa aje. Siapa? Bagi tahulah. Saya takkan hebohkan sesiapa pun.” Aku cuba tanya kalau-kalau Amar sudah ada insan istimewa yang bertapak dalam hati.
Maklumlah, ilham nak tulis lagu cinta selalunya datang daripada seseorang. Artis seperti Amar pasti banyak sembunyikan hal-hal peribadi. Kalau ada teman istimewa pun, mengaku kononnya belum ada. Sebab tak nak ditemu ramah oleh wartawan.
Amar merenungku dengan senyuman. “Saya masih berharap saya akan dipertemukan dengan seseorang yang istimewa.”
Apa? Aku terkejut sikit. Amar belum ada teman istimewa? Eh, tak percayalah. Penipu aje dia ni, gerutuku dalam hati.
“Oh, betul ke?” Aku buat-buat terkejut.
Aku tak hairan pun kalau dia belum ada atau sudah ada teman istimewa. Mungkin dia takut aku sebarkan pasal itu kepada sesiapa. Tak pasal-pasal nanti keluar surat khabar lagi. Nanti aku juga yang dituduh.
“Kenapa? Awak tak percaya?”
“Langsung tak percaya.” Aku cemik bibir yang merah merekah. Puan Dina punya angkara. Rasa tebal saja bibir ni.
Gelak Amar kedengaran. Mulalah kening aku berkerut.
“Statement artis. Macam tulah.”
“Kalau saya dah ada girlfriend, dah lama heboh kat media.”
“Bukan ke dulu ada gosip dengan Maisara?”
Maisara, artis daripada program realiti yang sama dengan Amar. Cuma Maisara tersingkir sebelum peringkat akhir.
“Tu cerita lama. Masa dalam The Star,” jelasnya pendek.
“Oh. Saya tak tengok sangat program tu. Sorry.” Terus terang aku cakap. Aku tayang sengih yang paling buruk. Yang aku rasa dia tak sanggup nak tatap lama-lama.
Dia senyum tipis. “Gosip saya dengan Maisara tu masa dalam The Star aje. Sebab masa tu saya rapat dengan dia. Selalu berlatih bersama. Realitinya, kami cuma rapat sebagai kawan aje.”
Aku angguk kecil. Macam itu rupanya. Alah, semua artis akan cakap macam tu. Rapat sebagai kawan. Tak lebih daripada kawan. Aku sudah tahu semua jawapan tu. Klise sangat. Aku merenung jam tangan. Rasa janggal pula berdua-duaan saja dengan Amar di dalam kedai. Aku rasa aku sudah boleh halau dia pergi sekarang. Sebelum aku jadi popular dengan gosip, baik aku mengelak dulu.
“Amar, awak tak nak balik ke? Dah lama sangat awak kat sini.” Aku cakap terus terang saja.
“Awak halau saya balik ke ni?” Bulat mata Amar menyoalku.
“Yalah. Memang saya halau awak balik. Nanti datang wartawan ke apa, macam mana? Saya tak nak nanti populariti awak jatuh disebabkan saya.”
“Why not?” kata Amar dengan muka selamba. Dia bergurau pula.
“I think you better leave now.” Aku mulai bingkas dan berjalan ke pintu.
Perlahan aku tengok Amar bangun. Dia ni macam tak nak berambus saja.
“Okey, okey. Saya pergi sekarang. Esok pergi ya. Launching album saya tu.” Amar berpesan.
“Insya-Allah. Tak janji.”
Amar berhenti di depanku. Dia kembali memakai topi.
“I hope you’ll be there,” katanya separuh berbisik dan macam mengharap.
Aku jadi serba salah dan rasa pelik pula. Kenapa dia beria-ia nak aku pergi ke majlis pelancaran album dia? Sebagai jawapan, aku cuma senyum. Dia ingat aku nak pergi agaknya. Baik aku duduk kedai. Tak perlu berasak-asak dengan peminat, wartawan-wartawan.
Sebelum keluar, Amar pandang aku lagi. Kemudian dia senyum. Aku rasa itu adalah senyuman paling manis yang pernah dia berikan dan senyuman itu penuh keikhlasan. Kan bagus kalau dia peramah dari dulu lagi.
Bila Amar pergi, aku kembali duduk di kaunter. Entah kenapa lagu yang Amar nyanyikan tadi bermain dalam kepalaku. Namun, nyanyian itu terhenti dalam kepalaku bila telefon bimbitku berbunyi.
“Khalif?” Aku menekup mulut. Terkejut.
Tak sangka akhirnya Khalif telefon juga. Aku benar-benar rindukan suara dia. Rasa gembira segera kukawal. Panggilan itu kujawab. Excited sangat.
No comments:
Post a Comment