Tuesday, 26 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 16



Bab 16



“SEDAPNYA ayam kicap mama,” pujiku ketika menikmati nasi panas dengan ayam masak kicap air tangan mama. Berserta sup sayur. Setakat kami berdua yang makan, lauk pun ala kadar saja.
“Ayam kicap aje pun. Apalah sangat.” Mama malu-malu bila aku memuji hasil masakan yang tak seberapa baginya.

Aku tahu mama boleh masak lebih hebat daripada ini tetapi kekangan masa membuatkan mama jarang dapat memasak. Aku pula? Tolong makan bolehlah.

“Kalau mama masak sedap macam ni, boleh menang tau pertandingan Master Chef. Hias cantik-cantik.” Aku giat mengembangkan hidung mama. Bodek ada makna sebenarnya.

“Kenapa beria-ia sangat puji mama ni? Ke ada apa-apa?” 

Nampaknya mama dapat menghidu niat aku yang sedaya upaya buat dia hanyut dengan pujian. Aku mula tayang sengih. 

“Mama, bila nak dapat bonus?” kataku tanpa berkias atau berselindung. 

Mama berhenti mengunyah dan memandang aku. Macam tak nak bagi saja. Aku dapat agak daripada air muka mama. 

“Bonus? Selalunya bonus orang bagi hujung tahun. Ni baru tengah tahun.”

“Bonus tengah tahun tak ada ke mama?”

“Dhiya nak buat apa? Kalau nak pakai duit, cakaplah. Mama boleh bagi.”

Baiknya hati mama. Aku tak sampai hati nak minta daripada mama. Aku bukan anak dia pun. Aku menggeleng dalam senyum. Tak mengapa kalau tak ada bonus. Tetapi aku takkan sekali-kali meminjam duit daripada mama.

“Mama, bila si Amar tu nak bangun?”

“Ha’ahlah. Mama terlupa pasal Amar. Dia dah sedar ke belum? Kesian dia. Mesti dia lapar tu.”

Aku diam berfikir. Mungkinlah. Lagipun Amar kurang sihat. Bermakna dia kurang rehat. Kerjanya terlalu sibuk sampai tak sempat nak jaga kesihatan. Pemakanan pun tak terurus juga agaknya.

“Mama pergilah tengok dia,” kataku. Bukan niat nak menyuruh mama. Tetapi kalau aku yang pergi tengok dia dalam bilik, kan tak elok.

“Mama pergi tengok kejap. Dhiya tolong isi nasi untuk Amar.”

Hmm, aku juga yang kena. Aku angguk dan habiskan nasi. Mama bingkas bangun ke singki dan basuh tangannya. Sementara mama pergi tengok Amar, aku ambil pinggan di rak dan isi sedikit nasi bersama lauk ayam masak kicap dan sedikit sup sayur. Aku rasa waswas sama ada Amar makan atau tak lauk macam ni. Dia kan artis. Mesti makan sedap-sedap.

Aku duduk kembali di tempatku. Aku terpandang nasi yang aku isi untuk Amar. Kenapa aku letak kat sebelah aku? Nanti dia datang, dia duduk sebelah aku pula. Tak boleh jadi ni. Lalu aku alihkan pinggannya dan letak di hadapanku. Aku terus senyum.

Sengaja aku pakai tudung sebab aku memang sudah sedia bila-bila masa saja Amar akan bangun dan keluar dari bilik. Rasa pelik pula bila kena pakai tudung di dalam rumah.

“Saya kat mana ni?” Tiba-tiba aku terdengar suara Amar menyoal mama. 

Terus aku bangun dan bergegas dapatkan mama. Mama berdiri di muka pintu. Sebelah kaki pun tak jejak ke dalam bilik. Aku perhatikan apa yang terjadi. Kenapa Amar begitu terkejut? Perlahan aku menjengah kepala ke dalam bilik. 

“Awak pengsan tadi. Jadi saya dengan mama bawa awak balik.”

“Apa? Pengsan?” Amar beriak terkejut. 

Aku dan mama berpandangan. 

“Mama, Dhiya... saya lapar. Ada apa-apa tak yang boleh saya makan?”

Amboi... sopannya cara dia minta.

“Kebetulan. Mama dah masak. Tapi, lauk tak seberapa. Marilah. Mama tahu Amar mesti lapar bila bangun.”

Amar bangun dari katil. Dia mahu keluar. Aku mengengsot ke dinding. Amar merenungku sebelum mama menolak dia ke dapur. 

Apa hal tenung-tenung orang? jerkahku sekadar dalam hati. Ke dia ingat aku memang sengaja nak bawa dia balik sini? Dia fikir aku jenis orang yang suka ambil kesempatan? Banyak cantik muka dia. Kalau dia berani ganggu aku, aku ugut dia nanti dengan gambar ‘dua alam’ dia tu. Aku geramkan Amar. Lalu aku masuk ke dalam bilik. Biarkan dia makan dengan mama. Malas nak peduli. Asalkan lepas makan dia terus balik.

Aku layari Internet. Terus ke Yahoo Mail dan periksa e-mel kalau-kalau ada e-mel daripada Khalif. Jantung ini mula rancak ritmanya.


“DHIYA! Dhiya!” panggil mama seraya mengetuk pintu bilikku. 

Belum sempat aku bangun, pintu sudah terkuak. Mama menjengah kepala seperti kura-kura. Aku yang kuak kupu-kupu di atas katil berpaling ke arah mama.

“Amar nak balik. Dhiya kena hantar dia.”

Aku terbangun kerana terkena kejutan. “Hantar dia? Dia kan ada kereta. Baliklah sendiri.”

“Kereta dia kan kat kedai. Alah... bukan jauh pun. Dhiya pergi hantar dia lepas tu Dhiya baliklah.”

Aku terpaksa akur dengan arahan mama. Kali ini aku rasa Amar betul-betul menyusahkan. Aku gamit tudung dan sarung ke kepala. Tanpa berlengah, aku keluar dari bilik. Mataku juga turut melilau mencari di mana Amar. Dia di ruang tamu sambil berkali-kali melihat jam.

“Amar, Dhiya akan hantar Amar pergi ambil kereta,” kata mama seraya berjalan ke ruang tamu bersamaku. 

Amar berpaling.

“Tak ada masalah, mama.” Dia tersenyum.

Aku bergerak ke pintu dan ambil kunci kereta mama. 

“Mama, terima kasih. Maaf sebab dah menyusahkan mama dengan Dhiya.”

“Tak ada susahnya. Lain kali kalau nak datang sini, datanglah. Rumah ni selalu terbuka.”

Aku mencemik bila mendengar kata-kata Amar. Dia memang menyusahkan aku dan mama. Bukan main berat kami berdua nak papah dia ke kereta. Terbakar kalori aku disebabkan dia.

“Pergilah cepat. Nanti lewat,” gesa mama.

Aku keluar dulu dan diekori Amar dari belakang. Aku bukakan pintu kereta sebelah penumpang untuk Amar dan dia tercengang.

“Kenapa ni?”

“Masuklah.”

“Bagi kunci.” Dia tadah tangan. 

Aku berkerut hairan. “Kenapa pula?”

“Biar saya yang bawa kereta ni.”

“Awak ingat saya tak pandai drive? Ingat saya tak ada lesen?”

Amar mendengus. “I didn’t mean it. Tapi saya tak biasa naik kereta yang dipandu oleh seorang perempuan. Okey?”

Aku mendengus geram. Dia seperti memandang rendah dengan kebolehan kaum Hawa memandu. Tak mahu berlama-lama, aku terus serahkan kunci kepada Amar. Pintu yang aku buka untuk dia, rupanya untuk diri sendiri. Aku masuk dan terus tutup pintu. Kemudian Amar pula masuk dan hidupkan enjin kereta. Aku rasa tak selesa berdua dengan Amar. 

Amar mula memandu keluar dari pekarangan rumah. Dia nampak tenang dan selamba. Kereta terus dipandu ke jalan raya. Jarak dari rumah ke kedai mama mengambil masa setengah jam. Kalau jalan sesak, mungkin lebih. Nampaknya lamalah aku berdua dengan Amar dalam kereta.

“Thanks,” ucapnya tiba-tiba. 

Aku berpaling sekilas. Hati ini cukup resah. “Untuk apa?”

“I was unconscious. Nasib baik awak dan mama awak ada. Otherwise, I don’t know what would happen to me.” Dia menjelaskan.

“Dah tahu tak sihat, kenapa datang jugak?”

“Saya cuma rindukan seseorang.”

Rindukan seseorang? Siapa? Sebenarnya aku tak berminat dengan apa yang Amar katakan. Jadi, aku abaikan dengan mendiamkan diri. 

Amar bersuara lagi. “Tak nak tahu siapa?”

“Perlu ke saya tahu?”

“Well...” Amar seakan-akan kelu. “Just forget it. Hmm... kuat jugak awak ya. Macam mana awak boleh angkat saya masuk dalam kereta?”

“Eh, taklah. Bukan saya atau mama yang angkat awak. Saya sewa kren tadi semata-mata untuk angkat awak tau.”

Amar pecah tawa. Aku buat lawak ke? Aku turut ketawa bila melihat dia ketawa. Lawak itu spontan terpacul dari mulutku.

“Awak ni pandai buat lawak jugak ya. Mesti ramai yang sukakan awak. I mean, you are easy going. Everybody can get along with you,” puji Amar. Masih dengan tawa bersisa.

“Tapi ada orang cakap saya ni sombong,” kataku. 

“Sikitlah. For those who don’t really know you. But for me, you are a charming girl. You have your own attraction. You can attract people... including me.”

Wajah Amar aku pandang. Dia macam nak mengayat aku saja. “Apa-apa ajelah. Amar, saya tahu awak tak sihat. Kenapa tak awak cuti dan rehat?” 

“Saya baru dua tahun dalam dunia seni. Saya target lima tahun untuk saya kekal dalam bidang nyanyian. Apa yang saya usahakan sekarang, adalah untuk hari esok saya. Kerjaya macam saya ni tak ada jaminan. Sebab tu saya kena kerja kuat.” 

“Awak dulu ambil course apa?”

“Mechanical engineering.”

“Kenapa jadi penyanyi?”

“Sebab minat.”

“Mana budak-budak band awak dulu?”

“Semua dah jadi engineer. Kecuali saya. Saya pilih bidang ni.”

“Mana dia orang semua?”

“Entah. Dah lost contact.” Dia angkat kedua-dua bahu.

Sesi menemu ramah Amar bermula. Bila terlintas di kepala, terus saja aku tanya. Bagi orang yang terlalu minat dengan muzik, mungkin mereka sanggup korbankan masa deminya. “Awak cakap awak target lima tahun. Kenapa terlalu pendek?”

“Within five years, you never expect your ups and downs in your career. You just don’t know how long you can survive.”

Betul juga kata Amar. Kerjaya sebagai penyanyi ni tak terjamin masa depan. Hari ini kita dipuja. Mungkin kita akan dikeji nanti. Siapa tahu. “Jadi apa perancangan awak lepas ni?”

“Mungkin saya akan bukak business. Lepas tu tumpu pada kehidupan peribadi.”
“Kehidupan peribadi? Contohnya?”

“Saya nak ada sebuah mahligai yang besar. Dan dalam mahligai tu ada seorang permaisuri yang akan jaga saya, belai saya, sayang saya, kasihkan saya tanpa jemu dan hadiahkan saya tentera-tentera comel.” 

Kata-kata Amar membuatkan aku mula bayangkan sebuah mahligai. Ada permaisuri dan tentera-tentera kecil. Eh, macam tak kena saja dengan imaginasi aku. “Lagi?”

Dia toleh ke arahku dan senyum lebar. Dia tak mengerti maksud senyuman dia. “Dhiya, sebenarnya saya rasa gembira lepas jumpa awak.”

Err... 

“Kenapa ya?”

Dia tanya aku kenapa? Aku sendiri tak tahu kenapa dia rasa gembira sejak bertemu dengan aku. Bukan ke aku telah timbulkan masalah kepada dia? Namun, aku tiada jawapan untuk soalan itu. 

“Saya rasa macam nak jumpa awak lagi, lagi dan lagi.”

Ini sudah lebih! “Amar, saya tak tahu apa perasaan awak tapi... saya dah ada pilihan hati saya.”

Riak wajah Amar berubah ketara. Aku tahu dia terkejut tetapi aku kena berterus terang. Cara dia cakap macam dia sukakan aku.

“Oh... Betul ke?” Lirih suaranya. Kedengaran seperti kecewa. 

Itulah perkataan terakhir yang keluar dari mulut Amar sehinggalah kami berdua sampai di depan kedai mama.

Amar keluar dari kereta tanpa sebarang butir bicara. Dia berlalu dengan wajah kecewa. Aku perhatikan setiap gerak langkahnya. Dia keluarkan kunci kereta. Pandang sekelilingnya. Kemudian dia masuk ke dalam keretanya dan terus pergi. 

Aku tak keluar dari kereta dan sebaliknya melompat ke tempat duduk pemandu. Aku mengeluh perlahan. Amar pergi dan memecut laju. Aku rasa lega dapat berterus terang. Selepas ini, Amar takkan ganggu aku lagi.






No comments:

Post a Comment