Tuesday, 28 October 2014

SPECIAL - JODOHKU SUPERSTAR KE?





Dengar saja azan maghrib, aku terus pergi ambil wuduk dan terus solat. Sekurang-kurangnya jam 8 aku kena bertolak ke Stadium Putra Bukit Jalil. Mama menyusul selepas aku.

Aku masuk bilik mama dan tukar pakaian. Aku sarungkan dress ke tubuh. Kemudian aku selerakkan barang-barang dalam beg kertas ke atas meja mama. Kasut tumit tinggi, alat solek dan juga clutch.

Mula-mula aku pakai anak tudung. Kemudian lilitkan selendang. Aku keluarkan bedak padat dari beg tanganku. Memandangkan aku ada ­asas bersolek, jadi ia mudah bagiku. Aku pernah solekkan Tijah walaupun aku sendiri tak pernah bersolek. 

Oh ya, Puan Dina pernah solekkan wajah aku dulu. Sampai Amar  tak dapat nak cam.

Aku sapu bedak hingga rata. Kemudian aku sapukan pemerah pipi, penggaris mata berwarna hitam dan disertai dengan pembayang mata berwarna coklat gelap. Aku buat solekan smokey eyes yang sesuai untuk solekan malam. Kemudian aku ambil gincu Bobbi Brown yang Amar belikan. Warna kegemaranku iaitu merah jambu. Gincu ni pula warna Rose Petal. Cantik warnanya.

Aku calitkan sedikit dan tekap bibir. Bila puas hati, aku kemaskan selendang. Sebelum itu, aku ambil gambar untuk koleksi diri.

Selepas itu, aku keluarkan dompet dari beg tangan dan ambil kad pengenalan dengan sejumlah wang untuk dimasukkan ke dalam clutch. Kebetulan baru dapat gaji. Tebal lah sikit poket.

Kemudian bedak padat dan gincu. Manalah tahu nak tambah gincu nanti.

Aku sudahpun siap. Clutch aku kepit di celah ketiak dan kasut tumit tinggi aku bimbit keluar dari bilik mama. Aku akan pakai dalam kereta nanti. Nak berjalan pun susah dengan dress labuh.    

“Mama, dah siap ke belum?” laungku ketika duduk di sofa menunggu mama.

“Kejap. Mama nak pakai tudung ni,” balas mama. Entah dari mana suaranya.

Sementara menunggu mama, aku keluarkan bedak padat untuk menilik muka. Aku senyum. Dah sempurna. Takkan nak mekap tebal-tebal macam artis. Mereka tak apalah sebab ada jurumekap. Aku kena mekap sendiri. Alat mekap pun harapkan Amar yang belikan. Lagipun aku bukannya artis.

“Jom,” mama datang bergegas ke arahku. Tanpa berlengah, kami berdua mula bertolak ke Stadium Putra Bukit Jalil. Aku tak pasti berapa lama masa yang perlu diambil untuk sampai ke sana pada jam ini. Harapanku cuma Amar menunggu di sana.

Dalam perjalanan, aku menghantar SMS kepada Amar untuk beritahu yang kami sudah bertolak. Setengah jam kemudian baru Amar balas. Katanya dia sedang ditemuramah pengacara karpet merah. Bukan pengacara saja, malah wartawan dari rancangan TV berebut mahu menemuramahnya. Begitulah kalau dah popular. Berebut orang nak dapatkan. Mulai malam ini, aku kena bersedia untuk menjadi teman wanita selebriti.

“Sempat tak sampai ni mama?” soalku seraya meletak i-phone ke atas dashboard. Malas nak buka tutup clutch.

Sepanjang jalan aku rasa cemas. Risau kalau terlambat dan Amar terpaksa menunggu lama.

“Sempat. Kan Amar nak tunggu kalau Dhiya lambat,”

Aku mengeluh berat.  

Selepas meredah jalan raya yang sesak, kami sampai di destinasi. Bukan main sesak jalan nak ke Stadium Putra Bukit Jalil. Mama terpaksa turunkan aku di luar saja. Cepat-cepat aku sarungkan kasut tumit tinggi.

“Mama, Dhiya pergi dulu,” kataku bergegas keluar dari kereta dan tutup pintu.

“Nak balik dengan siapa nanti?”

“Dhiya balik dengan Amar lah,” putusku.

“Okey. Have fun,” ucap mama tersengih penuh makna lalu mula memandu.

Prapppp….

*
Dah pukul 3 pagi. Aku belum dapat pejamkan mata. Nasib baik esok hari ahad. Aku baca semula SMS yang aku hantar kepada Amar.

-          Amar, tolong jawab…biar saya explain

-          Amar, saya minta maaf...jangan senyap macam ni…tolonglah jawab

-          Amar…saya tahu awak baca mesej saya. Tolonglah reply kalau awak taknak bercakap dengan saya sekalipun. Actually saya sayangkan awak! Walaupun saya tak pergi majlis tu, saya memang nak pilih awak

-          Amar…awak marahkan saya?

-          Amar, tahniah… saya tahu awak akan menang

-          Amar…awak dapat berapa award?

-          Amar, tolonglah reply. Satu je. Satu SMS je. Saya tak boleh tidur ni.

Aku dapat baca 8 saja SMS yang aku dah hantar. Selebihnya aku tak boleh baca sebab dada sebak dan sesak. Penuh dengan ayat merayu sedangkan aku bukan begitu. Aku cuma mahu betulkan salah faham ini.

-          Awak dah benci saya? Kalau betul awak bencikan saya, boleh tak kita jumpa? Sekali je. Saya cuma nak minta maaf.

-          Kalau awak taknak jumpa takpalah. Saya minta maaf.

Kali ini aku benar-benar putus asa. Tak mengapalah kalau Amar nak jauhkan diri dari aku hanya sebab peristiwa semalam. Bila aku mula menyayanginya, aku diuji begini. Aku bukan jenis yang sabar. Aku tak kuat. Benar kata Khaliff. Luaran aku memang kuat. Tetapi sebenarnya aku lemah bila melibatkan tentang perasaan.


*
The number you have dialed is not in service

Aku matikan. Nafasku mula turun naik. Aku pujuk hati untuk bertenang. Ada empat nombor lagi untuk aku cuba hubungi. Takkan dia batalkan semua nombornya. Pasti ada satu yang dia simpan.

Aku cuba nombor telefon kedua.

The number…” pantas aku matikan. Perasaan mula gelisah. Aku cuba nombor yang ketiga dan keempat. Jawapan serupa saja. Aku mengeluh hampa. Air mata merembes keluar dan bertakung. Aku tak putus asa untuk cuba nombor terakhir. Aku harap akan berjaya.

Tangan menggigil tatkala aku bawa i-phone ke telinga. Aku takut nak dengar suara operator lagi. Mataku pejam rapat-rapat dan hanya memasang telinga.

The num….,” belum habis ayat aku dah matikan. Jawapan yang sama saja. Amar dah tak gunakan kelima-lima nombornya sekarang. Baru seminggu aku tak hubungi dia sebab aku nak berikan dia masa. Tetapi dia matikan semua nombornya supaya aku tak hubungi dia lagi. Sampai hati dia. Besar sangat ke kesalahan aku sampai dia menghukum aku begini?

Aku dah teresak-esak. I-phone aku hempas perlahan ke atas buku. Esakanku semakin kuat. Aku dah tak mampu nak kawal emosi dan aku lepaskan saja sedih yang mencengkam. Jika aku pendam, aku takut memakan diri.

“Dhiya, kenapa ni?” jerit mama berlari ke arahku.

Aku dongak ke arah mama. Mama terus memelukku.

“Dah, jangan menangis. Kalau dia taknak diganggu, jangan ganggu dia. Dhiya lupakan dia,”

Lupakan dia? Bukan mudah. Aku perlu ambil masa lagi untuk lupakan seseorang. Mampukah aku lupakan Amar? Banyak kenangan aku dan dia di kedai mama. Gambar Amar, aku dan mama ada tergantung di sudut dinding selepas dia menjadi duta produk mama. Dia tak minta bayaran dari mama. Betapa baiknya hati dia. Sayangnya semua kini tinggal kenangan. Amar memang nak lupakan aku. Lupakan mama dan lupakan apa yang tercipta antara kami selama ini.

Apa yang tinggal memori buat aku hanya CD lagu-lagunya, gaun, kasut tumit tinggi dan clutch pemberiannya. Semua itu aku akan simpan elok-elok. Jika Amar tiada, kenangan itu masih ada bersama aku untuk aku jadikan ingatan.


*
Dua tahun kemudian….

Aku rasakan getaran dari beg tangan. Aku keluarkan telefon bimbit dan jawab panggilan.

“Dah habis interview?”

“Dah. Hujanlah,” rungutku seraya memandang ke arah langit. Sekarang baru jam 11 lebih. Cuaca mendung seperti waktu senja.

“Nak Abang Shah jemput tak?”

“Skuter macam mana?” mataku terhala ke arah skuterku.

“Bila hujan reda, Abang Shah pergi ambil skuter tu. Boleh?”

Aku pertimbangkan tawaran Shah. Aku tak tahu berapa lama aku kena tunggu di sini sehingga hujan reda. Kalau aku tinggalkan skuter aku di situ, ada yang nak curi tak?

Walaupun dalaman skuterku dah macam besi buruk, ia tetap harga paling berharga yang aku ada. Masih setia dengan aku sejak dari aku di universiti.

“Takpalah. Saya tunggu sampai hujan reda. Takut nanti hilang pula Cik Pinky saya tu,”

“Sayang sangat dengan Cik Pinky dia tu. Bila nak datang studio Abang Shah?”   

“Belum ada masa lah. Nanti lah ya bila saya dah free. Minggu ni saya ada dua interview. Lepas selesai semua, saya pergi studio Abang Shah ya?” janjiku.

Hubungan aku denga Shah kini makin akrab. Sekarang dia mula membahasakan dirinya Abang Shah. Mula-mula agak kekok namun aku cuba anggap dia sebagai abang. Cuma aku tak boleh panggilnya abang tanpa nama sebab aku rasa amat janggal. Dulu aku bahasakan Khaliff sebagai abang. Untuk buang rasa janggal, aku panggil dia Abang Shah dan Shah sendiri tak kisah.

“Okey. Abang Shah sentiasa alu-alukan kedatangan awak,”

Aku di sini tersenyum.

“Okeylah Abang Shah, nanti kita cakap lagi ya,”

“Kenapa?”

“Rasanya hujan dah reda sikit ni. Saya nak balik,”

I see. Bawa Cik Pinky tu elok-elok tau. Get ready lah untuk mandi air lopak,” Shah ketawa.

“Dah biasa. Semalam pun hujan. Balik rumah dengan comot. Entah kereta siapa lah pecut. Kalau ikutkan hati saya nak kejar kereta tu. Tapi Cik Pinky saya ni dah tua. Tak larat nak pecut laju-laju,”

“Jangan bawa laju-laju. Abang Shah sekeh kepala tu nanti. Nak jatuh motor lagi sekali? Kang kaki kanan pula yang kena,”

Shah dah mula membebel. Dia melayan aku seperti seorang adik. Aku dapat rasakan kasih dan perhatian dari seorang abang. Selama ini pun aku tak pernah dapat layanan baik dari kak long. Kak long dari kecil suka buat hal sendiri. Kami adik-adik dijaga oleh mak.

Shah tahu Amar dah tinggalkan aku. Dia pernah cakap yang dia mahu jadi calon simpanan.          

“Jangan risaulah. Saya akan hati-hati,”

Good girl! Okeylah. Abang Shah nak goda model-model ni kejap,”

“Abang Shah!” jeritku sambil mengetap geram. Suka mengusik. Mentang-mentanglah dia hari-hari dengan model-model.

Shah ketawa terbahak-bahak. Ada yang kena ligan dengan aku nanti.

“Dahlah. Malaslah layan Abang Shah. Pergilah layan model-model Abang Shah tu,” rajukku.

“Tapi takda siapa boleh lawan model Abang Shah yang seorang ni,”

Shah cepat mengambil hati. Aku bukannya merajuk pun. Saja mengada-ngada.

Wekkk. Abang Shah, saya balik dululah. Hujan dah berhenti ni. Okey, bye!” aku cepat-cepat tamatkan perbualan dan berlari-lari anak ke arah skuterku. Aku angkat kusyen tempat duduk dan keluarkan helmet. Fail yang aku bimbit tadi aku selit di dalam raga skuter. Beg aku silangkan ke badan. Dengan baju kurung, aku terpaksa panjat Cik Pinky dengan sopan santun. Takut terselak nanti.

Aku tengok jam di pergelangan tangan. Masanya untuk aku bertolak pulang. Jalan selepas hujan agak licin dan aku harus berhati-hati. Nanti jatuh lagi. Tiada siapa yang akan selamatkan aku.

Cik Pinky aku tunggang dengan hati-hati walaupun di sebelah kanan sesak dengan kereta. Yang penting, aku berada di laluan yang betul. Cuma sesekali terkena percikan air dari kereta yang lalu di sebelah. Sampai basah kasutku.

Aku menunggang dengan santai. Tak perlu tergesa-gesa. Dari jauh aku nampak ada lopak air yang besar. Kalau aku teruskan, mungkin aku akan basah dengan air becak itu. Untuk mengelakkan dari basah, aku perlahakan Cik Pinky dan biarkan penunggang lain mendahului. Aku menoleh ke belakang untuk pastikan jarak kereta jauh. Apabila perasan yang laluan kiri kosong dari sebarang kenderaan, aku teruskan perjalanan dengan laju. Aku tak tahu di depan masih ada lopak air yang aku tak dapat nak elak. Kalau elak, mungkin aku akan jatuh ke bahu jalan dan terus ke longkang.

Bala mendekat. Dari belakang aku dah dengar deruman kereta yang memecut laju. Aku hanya redha andai bermandi becak. Baru terdetik dalam hati ini, tiba-tiba….

Splashhhhhh…..

Sekali lagi ke?

Mendadak aku menekan brek tangan. Habis separuh badan aku lencun terkena air becak.

Tak guna!

Tak sempat aku tengok kereta siapa yang langsung tak berhati perut tu. Dah tahu ada becak dan penunggang motor, tak boleh ke nak perlahankan kereta? Ni lah manusia tak bertimbang rasa. Mentang-mentang dia bawa kereta besar.  

Tak sempat aku nak perhatikan nombor plat kereta tu. Hisy….geramnya. Habis basah.

Malang betul nasib aku hari ni. Betul kata Shah. Aku memang bermandikan lopak air. Masin pula mulut si Aryan Shah.   

*
Shah berlari ke arahku sebaik saja aku sampai ke studionya. Dia yang sibuk sanggup tinggalkan kerjanya semata-mata mahu menyambut kedatanganku.

“Susah tak cari studio Abang Shah?”

“Memang susah. Nasib baik tak masuk studio orang lain,” aku bergurau. Shah memandangku sambil menghasilkan ketawa.

“Bawa apa tu?”

Aku angkat bungkusan di tangan.

Cupcakes delivery,” kataku kemudian ketawa. Dulu Shah pernah buat delivery ketika aku terlantar di hospital.

Shah tertawa.

“Untuk Abang Shah?”

Aku angguk. Aku beli cupcakes untuk Shah. Shah beritahu yang Kek Red Velvet amat sedap. Aku makan dan ia memang sedap sangat. Aku bagi lima bintang! Jadi aku belikan cupcakes red velvet untuk Shah.

“Sibuk sangat ke?” soalku seraya memandang ke arah set. Kelihatan dua orang model sedang ditatarias oleh jurumekap.

“Tak sangat. Ada sikit je lagi. Lepas ni kita makan cupcakes sama-sama. Okey? Apa kata awak tunggu kat office Abang Shah?”

“Kat mana?”

Shah tunjukkan ke arah satu bilik. Aku angguk.

“Saya tunggu kat sana,” putusku lalu mengatur langkah ke pejabat Shah.

Aku memulas tombol pintu dan menjengah kepala ke dalam. Aku tersenyum melihat suasana pejabat Shah yang ceria itu. Dinding penuh dengan bingkai-bingkai gambar model-modelnya. Aku melangkah masuk. Mataku terus tertancap ke arah satu almari kaca dua pintu. Dalam almari itu terdapat beberapa arca, gambar dan plat penyertaan.

Bibir ini mengorak senyum. Namun tiba-tiba senyumku mati apabila melihat sesuatu yang telah mencacatkan pemandangan dalam almari itu. Sekotak air oren yang diletak di rak atas dan ditampalkan pelekat yang tertulis ‘Dhiya yang bagi’.

Aku rasa tak percaya. Shah masih simpan air kotak oren yang aku beri dua tahun lepas di dalam almari kaca ini? Tergeleng kepala aku memikirkan Shah. Macam mana dia boleh simpan benda tu? Mesti dah bertukar warna air oren dalam kotak tu. Hisy….

Penat berdiri, aku berlabuh di atas kerusi kulit bertentangan dengan meja Shah. Cupcakes aku letak ke atas meja sambil mata tak henti-henti melilau segenap ruang.

Setengah jam menunggu, Shah datang dengan wajah yang manis.

“Maaflah lama menunggu,” ujar Shah lalu duduk di tempat duduknya di depanku.

Aku sekadar senyum walaupun terasa begitu lama menunggu tanpa berbuat apa-apa walaupun hanya setengah jam.

“Boleh saya tanya?”

“Tanyalah,” kata Shah seraya meletakkan kedua lengan ke atas meja. Mata tertumpu ke wajahku.

“Tu….berapa lama lagi Abang Shah nak simpan? Dah expired pun,” aku muncungkan bibir ke arah air kotak di dalam almari kaca. Shah ketawa. Pandangannya dialihkan ke arah yang sama.

“Memang Abang Shah nak simpan pun. Kenapa? Nak suruh Abang Shah buang?”

“Laa….buat apa simpan air kotak tu? Air kotak aje pun. Bukan harta karun. Kenapa tak minum je? Ke Abang Shah tak sudi minum?”

“Tak sudi?” Shah buat suara terkejut.

Aku angguk.

“Abang Shah tak minum sebab sayang nak minum. Lagipun awak yang bagi. Sebab tu Abang Shah simpan buat kenangan kat situ. Walaupun tu cuma air kotak, tu lebih berharga dari apa yang Abang Shah simpan dalam almari tu. Tahu?”

Senyumku terukir hambar. Aku teringatkan cupcakes.

“Oh ya, ni ada red velvet. Abang Shah suka kan?” aku buka kotak cupcakes dan suakan kepada Shah.

Thanks, Dhiya. Mama tahu ke awak datang sini?”

“Tahu. Jangan risau,”

“Macam mana dengan interview hari tu? Dah ada jawapan?”

“Belum. Buat masa sekarang saya nak rehat puas-puas. Bila dah kerja nanti, tak boleh nak berehat,” jelasku. Aku perhatikan Shah mengambil sebiji cupcakes dari kotak dan hulurkan kepadaku.

Aku sambut dan sua ke mulut pula. Kunyah perlahan dan penuh sopan.

“Apa kata kerja dengan Abang Shah je? Hari-hari boleh jumpa,”

Aku bulatkan biji mata. Kerja dengan Shah? Tak berminatlah. Tapi kalau nak jadikan topik berbual pun bagus juga. Aku tengah buntu ni.

“Kerja dengan Abang Shah? Jadi apa?”

“Penjaga hati,”

Aku ketap bibir. Shah melantunkan tawa berskala sederhana.






4 comments:

  1. maaf dik Nur Izzwani..sampai bab 35 je..:)

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. Belum. Baru hantar ke publisher. Insha ALLAH kalau ada rezeki...:)

      Delete