Bab 10
DUA hari aku tertunggu-tunggu mesej daripada Amar. Kata nak beritahu di mana dan bila nak jumpa. Dia ni betul ke tak? Ke dia sibuk sangat sekarang? Aku takut tiba-tiba nanti dapat surat saman saja. Hisy... risau juga.
Ketika aku dalam dilema berfikir, seorang pelanggan masuk ke dalam kedai. Aku terus bangun dan ucapkan selamat datang. Mama pesan, bila pelanggan masuk, muka mesti manis dan selalu senyum walaupun tengah marah.
“Boleh saya tolong?” Aku menyapa lembut.
“Awak pekerja kat sini?” soalnya berbaur angkuh. Riak muka pun semacam pandang aku.
Kenapa? Ada yang tak kena ke dengan aku?
“Ya. Saya kerja kat sini. Kenapa cik?”
Dia memandang wajahku. Kemudian turun ke bahagian tubuhku.
“Saya dengar produk Sari Drinks ni berkesan. Kawan saya rekomen saya untuk cuba. Tapi saya kena pastikan yang produk ni betul-betul berkesan. Bila saya tengok awak, saya rasa tak yakin untuk beli.”
Mendengar tuturnya yang seolah-olah memandang rendah pada produk mama, aku mula berubah riak. Kesannya bergantung pada amalan dan faktor pemakanan juga. Perlu ke aku mengajar sikit pelanggan sorang ni?
“Puan kena cuba dulu. Baru boleh tahu berkesan ke tak. Mungkin kesan berbeza untuk setiap orang,” terangku.
“Awak dah cuba?”
Erk... Aku memang taklah. Jawapan itu cuma terucap dalam hati.
“Saya pun tengah amalkan sekarang,” bohongku. Amallah sangat!
Dia macam tak percaya. Dia datang lebih dekat ke arahku dan tenung mukaku dalam-dalam.
“Ada perbezaan?” Dia nak tahu.
Aku senyum.
“Ada. Dulu kulit saya kasar. Sekarang bila saya sentuh kulit saya, rasa lembut aje.” Aku perlahan-lahan usap pipi tembamku. Maklumlah, muka pun bulat. Badan tak berapa bulat.
Dia buat muka kerut. Tak percaya nampaknya. Tak menjadi taktik pemasaran aku.
“Apa kata puan cuba dulu? Nanti kalau tak menjadi, produk ni money back guarantee. Okey?” Aku buat simbol OK.
“Betul?”
Aku angguk. Aku buat simbol OK lagi.
“Okey. Saya akan beli satu. Betul ni money back guarantee?”
“Betul, puan. Untuk puan aje.” Aku yakinkan dia. Dia seperti sudah terpengaruh. Aku rasa gembira sangat. Taktik berjaya.
“Okey. Saya beli satu. Berapa harganya?”
AKU duduk menghadap laptop. Periksa inbox kalau-kalau ada e-mel daripada Khalif. Ada 50 e-mel yang aku terima tetapi aku cuma cari e-mel yang dihantar oleh Khalif saja. Dalam sehari, adalah dalam empat, lima e-mel yang dihantar. Aku tunggu juga Khalif telefon. Bukan ke lagi senang berhubung melalui telefon? Boleh dengar suara. Dalam e-mel, cuma baca dan kalau tersalah tafsir, kan susah.
Setiap e-mel, Khalif nyatakan rasa rindu dan pesanan supaya aku sentiasa menjaga maruah diri. Aku yakinkan dia yang aku boleh jaga diri dengan baik. Demi Allah, aku amat merindui lelaki bernama Khalif. Aku selalu terbayangkan senyumannya.
Percintaan kami tak sama macam orang lain. Kami tak bercakap melalui telefon, tak berjumpa, cuma berhubung melalui e-mel. Aku tahu Khalif mahu menjaga hubungan kami selain inginkan keredaan Allah. Aku percaya, jika niat yang baik, kesudahannya pasti baik. Aku juga percaya dengan takdir Allah. Sehebat mana kita merancang, rancangan Allah lebih baik.
Aku membalas e-mel Khalif. Sementara itu, aku pindahkan gambar daripada kamera ke laptop. Semua gambar Amar Affandy itu akan aku e-melkan kepada Fafa. Nak jumpa, tak tahu bila. Sibuk memanjang saja si Fafa tu.
Dan dalam keghairahan aku menanti balasan daripada Khalif, tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu SMS. Kebetulan aku guna nada dering kaca pecah untuk mesej. Rasa macam nak pecah juga jantung.
“Siapa hantar mesej malam-malam ni?” Aku merungut. Geram sebab terkejut. Nampaknya aku kena tukar nada dering SMS.
Aku ambil telefon bimbit dan tengok siapa yang hantar SMS itu. Alangkah terkejutnya aku apabila ia dihantar oleh Amar. Cepat-cepat aku buka.
Esok kita jumpa. Kat mana dan bila, awak tentukan.
Terbeliak mataku. Dia nak jumpa esok? Kenapa mesti aku yang buat keputusan di mana dan pukul berapa nak jumpa? Dia ni serius ke tak? Aku balas. Dua ibu jariku pantas menaip mesej.
Sari Global Marketing. Datang aje bila-bila.
Rasanya senang kalau berjumpa di kedai mama saja. Aku pun tak perlu buat helah kepada mama untuk keluar waktu kerja. Tak lama selepas itu, Amar membalas.
Deal! Tapi kat mana tu?
Aku ketawa kecil. Jari kembali aktif.
Keramat.
Amar balas lagi.
Deal! See you tomorrow.
Itu mesej terakhir daripada Amar. Dia setuju untuk jumpa di kedai mama. Aku akan pastikan ada privasi untuk dia. Tak nak nanti kedai mama kena serbu dengan peminat dia. Roboh kedai mama nanti.
“Aku kena bagi tahu Fafa.”
MAMA kena jumpa pelanggan lagi. Akulah terkulat-kulat uruskan kedai mama. Kalau ada pelanggan datang, lainlah. Ni berapa orang saja datang beli di kedai.
Aku tak beritahu mama yang aku ada tetamu istimewa hari ini. Tetapi untuk mengelak daripada berlaku gosip, aku sudah mengajak Fafa dating. Apa lagi, dia menjerit girang bila aku nak bawa dia jumpa Amar face to face. Aku pesan kepada Fafa supaya bawa kamera dan apa saja kalau nak autograf. Ni sesi edisi terhad. Lepas ini tak ada lagi.
Amar ada hantar SMS yang dia mungkin sampai lewat sikit. Lagipun dia ada recording untuk lagu baru. Sebenarnya dia tak perlu beritahu pun kenapa dia lewat sebab... Ada aku kisah? Aku cuma nak selesaikan apa yang patut diselesaikan. Itu saja.
Semasa aku baru nak melabuhkan punggung di kaunter, tiba-tiba datang seorang perempuan menjerit-jerit dari luar. Aku mula rasa berdebar. Jangan-jangan orang gila. Aku pegun di depan kaunter.
“Mana dia? Mana dia? Aku tak sabar nak jumpa.”
Suara tu, macam kenal. Aku hela nafas lega yang panjang. Fafa terkinja-kinja masuk ke dalam kedai dengan muka terujanya.
“Aku ingat siapalah tadi,” ujarku.
“Mana Amar? Aku nak sangat jumpa dia.” Fafa menggedik datang ke arahku. Biasalah dia.
“Dia cakap dia lewat sikit. Boleh pula kau keluar, kan? Apa alasan kau bagi kat bos kau?”
Fafa menongkat siku di kaunter. “Aku cakap nak hantar dokumen kat klien. Pasal klien tu, kemudian. Aku nak jumpa Amar. But wait... Macam mana kau boleh suruh dia datang sini? Kau buat apa masa konsert tu sampai kau boleh contact dengan dia? Aku rasa waswaslah dengan kau ni.”
Fafa lirikkan mata ke arahku. Aku senyum dan keluar dari kaunter. Aku menghampiri Fafa dan sama-sama menongkat siku di kaunter.
“Sebab aku bagi tahu dia yang kawan aku ni minat gila kat dia. Jadi dia nak jumpalah peminat dia ni. Lagipun kau tak dapat datang malam tu, kan?”
Senyuman Fafa kian melebar. “Macam tu ke Dhiya? Eii... tak sabar nak jumpa dia.”
Aku nampak kegembiraan Fafa. Dia nak sangat berjumpa dengan Amar. Jadi, aku akan tunaikan walaupun kedatangan Amar ke sini tak ada kena-mengena dengan Fafa. Hati kawan kena jaga juga. Lagipun aku tak nak seorang diri berjumpa Amar dan pengurusnya.
“Kau nak minum?”
Fafa memandangku. “Boleh jugak.”
Aku berjalan ke pantri dan ambilkan air untuk Fafa. Semasa aku sedang tuangkan air, tiba-tiba aku dengar Fafa menjerit. Aku jadi panik dan cepat-cepat keluar ke depan. Aku tengok Fafa semacam orang terkena histeria. Patutlah. Amar dengan pengurusnya telah sampai.
Ops... Ada yang tak kena pada Amar. Kenapa dia pakai macam ni? Sebab tak nak orang cam dia ke? Bersongkok jubah bagai. Aku terkejut juga. Sedaya upaya aku tahan gelak.
“Amar, kan?”
Aku geleng kepala bila Fafa menyoal Amar. Aku kembali ke pantri untuk ambil air. Alang-alang Amar dan pengurusnya telah sampai, aku sediakan untuk empat orang. Semasa aku keluar menatang dulang, aku tengok Fafa mengambil gambar Amar. Amar buat muka pelik, tapi sebab nak jaga hati peminat, Amar layan juga.
Minuman aku letak di atas meja di ruang tamu. Hati aku tercuit tengok gelagat Fafa. Bila Amar memandangku, senyumanku terhenti. Kemudian Amar beri isyarat kepada Fafa untuk berhenti seketika bergambar. Fafa pula macam mabuk kamera.
“Ni kedai awak atau awak kerja kat sini?” Amar menyoalku.
“Saya kerja kat sini.”
Amar mula pandang segenap ruang kedai mama. Terangguk-angguk kepala. Aku tak dapat teka apa yang dia fikir tentang kedai ini.
“Tapi, kenapa awak pakai macam ni? Macam nak pergi berdakwah dah.” Kata-kataku itu menyebabkan pengurus Amar ketawa.
Bila Amar jegilkan mata, terdiam pengurusnya itu.
“Untuk safety. Saya takut ada yang cam nanti. Tak larat nak tepis, sain autograf lagi.”
Amboi... Dia bercakap macam satu bandar ni peminat dia. Aku, kalau jumpa artis kegemaran, aku tengok saja. Nak dekat tak berani.
“Jemputlah duduk.” Aku pelawa mereka untuk duduk di ruang tamu.
Amar datang diikuti pengurusnya. Kemudian datanglah Fafa menggedik macam cacing duduk di sebelah Amar. Amar mula pandang aneh kepada Fafa.
“Kalau ya pun Fafa, janganlah over sangat.” Aku bisik ke telinga Fafa.
Dia buat derk saja. Rasanya dia cuma nampak Amar saja sekarang. Aku dan pengurusnya macam tak wujud lagi. Fafa asyik tenung muka Amar. Sampai tak selesa Amar dibuatnya.
“Frankly, I still cannot forgive you, Dhiya.”
“What should I do?”
Kini, perbualan cuma tertumpu kepada aku dan Amar. Fafa, hmm... Dia telah angau rasanya. Tak berkelip pandang Amar.
“I will do a PC with media.”
“What?” Aku terjerit. Kenapa nak adakan sidang media? Bukan kes besar pun.
“Baca ni.” Amar letak satu keratan akhbar di atas meja.
Aku merenungnya seketika dan ambil keratan ruangan gosip itu lalu terus baca. Amar dihina peminat semasa konsert. Eh, siapa buat cerita ni? Bila masa aku hina dia? Dari mana dia orang dapat berita ni? Aku jadi buntu. Yang ada masa itu cuma Amar, aku dan tiga peminat yang lain. Macam mana boleh sampai ke media?
“Jadi, awak tahu kenapa saya tak dapat maafkan awak.”
Aku mendengus berat. “Kenapa boleh sampai macam ni?”
Amar jongket bahu kemudian bersandar. “I have no clue. If you dare to play with me, this is the consequence you should face.”
“Tak ada cara lain?”
“Saman malu.”
Aku tergamam. “Tak. Jangan saman saya untuk perkara macam ni. Takkan awak tak tahu yang kadang-kadang wartawan tulis cerita tak betul sebab nak lariskan majalah dan surat khabar? Lagipun awak artis popular.”
“Ya. Saya tahu yang tu. Tapi, peminat-peminat saya tak tahu. Sekarang, peminat-peminat saya marah kat awak. Awak tahu tak?”
“Habis tu, apa saya nak buat? Sebagai junior dan senior, tak boleh ke awak bertolak ansur?” Aku jadi sugul. Amar beritahu yang semua peminatnya marahkan aku sebab hina penyanyi kesayangan mereka. Kecuali peminat fanatik dia di sebelah aku ini.
“I’m a man with principle.”
Aku memandang Amar mengharapkan simpati. Takkan benda macam ini pun nak perbesar? Menyesal pula pergi konsert tu. Kalau tak, aku takkan kena marah dengan mama. Aku takkan kecewakan mama. Aku takkan jumpa Amar dan aku takkan cakap sesuatu yang menjatuhkan maruah dia.
“Ni semua sebab kau.” Tiba-tiba aku menjerit ke arah Fafa.
Fafa pula tercengang memandangku. Aku rasa tertekan sangat. Masa itu Amar pun nampak terkejut.
“Kalau bukan sebab kau suruh aku pergi konsert merepek dia ni, aku takkan susah macam ni.” Aku salahkan Fafa. Semua sebab dia.
“Wait a minute! Apa awak cakap? Konsert merepek? Hei, awak hina saya lagi sekali ke?” Nada Amar agak menyinga.
Aku terkesima. Again?
“It’s not over yet, Dhiya.” Amar bingkas sambil menghentak kedua-dua tapak tangan ke atas meja.
Aku tersentak. Termasuk Fafa yang tak tahu apa-apa.
“Sam, jom pergi. Tak guna bercakap dengan orang macam ni. Pakai aje tutup litup tapi mulut...” Amar tersangat berang. Dia dan pengurusnya mula bangun dan ingin pergi.
Aku tergamam di tempat dudukku. Aku cuma pandang Amar.
“Dhiya, apa kau buat ni? Kenapa kau ni? Aku belum puas lagi tengok dia.” Fafa hampa sebab tak dapat tengok Amar lebih lama.
Aku pula rasa bersalah dengan sikap aku sendiri.
“Saya akan pastikan yang awak menyesal jumpa saya, Dhiya. You’re playing with the wrong guy.”
Dum! Pintu kedai dihempas ketika Amar dan pengurusnya keluar. Aku tersentak kecil. Fafa pula bingkas.
“Aku nak baliklah. Kau ni kan... Tak padan dengan imej kau tau. Kau salahkan aku pula? Kau tengok, Amar dah blah. Menyusahkan aku aje datang sini.” Fafa pula salahkan aku.
Lepas apa aku buat untuk dia, sampai aku terkena macam ni sekali dengan Amar, dia salahkan aku? Aku betul-betul kecewa dengan Fafa. Okeylah kawan, aku takkan tolong kau lagi. This is the last.
No comments:
Post a Comment