Bab 13
KALI pertama selepas lebih kurang dua bulan, aku dan Khalif bertemu. Katanya dia nak kenalkan aku kepada seseorang. Aku hanya teruja untuk bertemu Khalif.
Sampai di destinasi pertemuan yang kami janjikan di sebuah restoran berdekatan dengan kedai mama, aku lihat Khalif sudah ada. Menunggu di satu sudut meja. Kami akan makan tengah hari bersama. Restoran itu menyediakan pelbagai hidangan pagi, tengah hari dan malam. Pada waktu pagi, roti canai menjadi pilihan.
Ketika aku datang menghampiri, Khalif lemparkan senyuman manisnya. Sejak bekerja sebagai pensyarah, imejnya pun sedikit berubah. Ciri-ciri pendidik terserlah.
“Assalamualaikum.” Aku ucapkan salam lalu berlabuh di arah bertentangan.
“Waalaikumussalam. Datang dengan apa?”
“Jalan kaki. Lagipun dekat aje dengan kedai,” jawabku dalam senyum.
Khalif angguk ringan.
“Abang cakap abang nak kenalkan saya dengan seseorang. Mana dia? Tak sampai lagi ke?” soalku sambil mencari-cari kelibat sesiapa yang berpotensi menjadi orang yang Khalif maksudkan.
“Dia belum sampai. Kejap lagi sampailah kut,” ujarnya seraya melihat jam tangan.
Aku cuma merenung wajah Khalif yang tenang itu.
“Lelaki ke perempuan?” soalku lagi. Takkan perempuan kut. Aku menidakkannya.
Khalif senyum lagi. Alahai... senyuman dia buat aku cair.
“Kalau abang cakap perempuan, Dhiya cemburu tak?”
Tanpa sedar, air mukaku berubah. Perempuan? Jadi, dia nak kenalkan aku kepada kawan perempuannya? Dia tengah uji aku ke apa?
Perlahan aku ketawa. Tetapi dengan sopan. “Cemburu? Kenapa saya nak cemburu?”
Sebenarnya aku memang cemburu. Kenapa dia mesti nak kenalkan kawan perempuannya pada janji temu kami yang pertama? Sedaya upaya aku sembunyikan perasaan cemburu. Takkan sekali-kali aku tunjukkan. Namun sebaliknya, dia pula yang berubah riak.
“Kata orang, cemburu tu tanda sayang. Jadi, Dhiya tak sayang abanglah?”
Macam tu pula. Dalam hati aku benar-benar menyayangi insan bernama Khalif. Perlu ke tunjukkan cemburu sebagai tanda sayang? Cemburu kan kena bertempat. Aku tak faham juga dengan Khalif. Dia nak aku cemburu dengan dia?
Buat beberapa saat, Khalif diam. Kalau tadi dia agak ramah, kini dia tiba-tiba diam.
“Abang, saya memang sayang abang. Tak cemburu tak semestinya tak sayang, kan?” Aku jelaskan kepada Khalif.
Khalif merenungku sebentar dan alihkan pandangan ke arah lain pula. “Dhiya, betul Dhiya sayangkan abang? Cintakan abang?”
Aku angguk berkali-kali. “Betul. Kenapa abang tanya macam tu? Abang tak percayakan saya?”
“Dhiya sanggup berkorban?” tanya Khalif lagi.
Aku kerutkan dahi. Semua soalan Khalif menimbulkan tanda tanya. Aku tak tahu apa yang dia cuba nak katakan. Namun, degupan jantung aku tiba-tiba berdetak hebat. Aku harap bukan berita buruk yang aku nak dengar. Ia terlalu awal bagi kami.
“Berkorban apa? Apa maksud abang?” Aku makin bingung. Dia buat aku bertambah gusar.
Aku lihat Khalif menarik nafas. Macam ada sesuatu yang rumit sedang dia pendamkan. Aku cuba baca air muka dia.
“Abang, cakaplah. Apa yang abang nak cakap sebenarnya? Jangan buat saya risau,” pintaku.
Khalif dongak ke wajahku. Dia merenung ke dalam bebola mataku. Aku sudah tak dapat nak kawal perasaan. Jangan dia cakap pengorbanan yang dia maksudkan itu adalah perpisahan. Kami baru nak bermula. Dia nampak resah saat ini. Begitu juga aku.
Dalam keresahan yang melanda, datang seorang gadis. Berjubah. Tudung labuh. Aku tergamam dan pandang gadis itu dari atas ke bawah. Gadis itu memberi salam. Perlahan berlabuh di sebelahku. Aku menatap kemas wajahnya. Cantik. Tak puas rasanya mata memandang.
Bila perempuan itu datang, Khalif kembali tersenyum. Hilang terus muka resahnya tadi. Hati kecil aku masih bertanya, siapa gerangan gadis ini?
“Awak Dhiya, ya?” Gadis itu menyapaku.
Kami bersalaman.
“Ya. Saya Dhiya. Awak?”
Macam mana dia tahu nama aku? Apa pertalian dia dengan Khalif?
“Saya Umairah,” ujarnya.
Aku angguk kecil.
“Dhiya, nilah kawan abang. Dia pun pensyarah. Dia yang nak jumpa Dhiya.”
Pantas aku memandang Khalif. Aku masih keliru. Umairah yang nak berjumpa aku atau dia sebenarnya?
“Sebelum tu, apa kata kita oder dulu. Lepas tu, kita borak-borak,” kata Khalif lalu melambai ke arah pelayan.
Kami ikut saja dan serahkan kepada Khalif untuk pilih hidangan. Sementara Khalif buat pesanan, aku dan Umairan berbual. Aku masih tertanya-tanya, apa yang Khalif sudah ceritakan kepada Umairah sampai gadis itu nak berkenalan dengan aku?
“Kami sekampung,” jawabku bila Umairah bertanya dari mana kami berkenalan. Takkan Khalif tak beritahu kut.
“Oh. Sekampung. Kampung kat mana?”
“Bukit Gantang.”
Umairah terus-terusan menemuramahku. Khalif cuma jadi pemerhati saja. Sekali-sekala dia mencelah.
“Berapa umur sekarang?”
“26 tahun.”
“Muda lagi. Kerja?”
“Dulu kerja pembantu akauntan kat sebuah syarikat. Tapi, saya dah berhenti. Sekarang saya tolong mama kat kedai.”
“Sayangnya. Kenapa berhenti? Mama buat business apa?”
Sejuknya hati bila berbicara dengan Umairah. Aku rasa tertarik. Dia sentiasa tersenyum walaupun semasa bercakap. Kalau aku ni lelaki, sudah lama aku jatuh hati. Aku harap lelaki itu bukan Khalif.
“Dia buat business beauty drink. Saya cuma tolong kat kedai.”
Umairah angguk kepala. Dia diam sejenak. Mungkin tengah fikir apa yang nak ditanya pula. Aku menunggu saja. Kalau dia tanya, aku jawab saja.
Bila Umairah ketandusan soalan, kami diam. Giliran Khalif pula berbual dengan Umairah. Aku rasa aneh. Mereka nampak mesra. Isu perbualan mereka tak terhad pada soal kerja saja. Tak macam aku dengan Khalif.
Aku sudah mula rasa ada sesuatu yang tak kena. Tapi tolonglah, aku harap ini cuma mainan perasaan aku. Aku masih yakin kepada Khalif. Aku percaya dengan janji-janjinya. Dia bukan orang munafik. Kepala aku sudah mula fikir yang bukan-bukan. Cepat-cepat aku beristighfar.
SEMASA kami menjamu selera, akulah yang paling perlahan. Khalif nampak berselera. Umairah pula makan dengan tenang. Kenapa selera aku tiba-tiba hilang? Padahal perut tengah kelaparan. Aku makan setakat yang boleh. Untuk alas perut. Kemudian aku minum air hingga separuh dan berhenti.
Jam di pergelangan tangan aku kerling. Aku terkejut dan sekali lagi aku tenung jam tangan. Alamak, bukan ke Amar suruh aku pergi ke majlis pelancaran album terbaru dia? Aku periksa telefon bimbit kalau-kalau dia ada hantar SMS tetapi tiada. Tentu dia tengah sibuk sekarang. Dia takkan kisah kalau aku tak pergi. Entah-entah dia cuma ajak-ajak ayam saja.
“Dhiya, kenapa tak habiskan?”
Aku menggelabah bila Khalif menegur. Cepat-cepat aku masukkan telefon bimbit ke dalam beg tangan.
“Dah kenyang,” jawabku. Aku perasan gerak mata Khalif.
“Siapa yang SMS?” soalnya.
Aku geleng. “Tak ada siapa.”
Khalif pandang dengan rasa tak puas hati. Hai... takkan cemburu kut.
“Kenapa tak habiskan nasi tu? Tak baik membazir tau,” tegurnya bila pingganku masih berbisa.
Nak habiskan pun tak lalu. Daripada aku dengar Khalif bersyarah tentang pembaziran, aku paksa juga mulut untuk menelan nasi walaupun perut ini sudah tak boleh terima sebarang pepejal makanan.
Aku berjaya juga habiskan nasi. Bila semua sudah selesai makan, kami sambung berbual. Khalif masih beri sepenuh perhatian pada pertanyaan Umairah. Ketika itu aku rasa macam tak wujud pula. Nak pergi, bukan selalu dapat jumpa. Untuk terus berada di situ, aku macam tak berfungsi di sini. Sebelum Umairah sampai, elok saja aku dan Khalif berbual.
Jadi, aku tunggu dengan sabar hingga selesai. Sebenarnya aku masih ternanti-nanti apa yang Khalif nak beritahu tentang pengorbanan tadi. Aku masih belum jelas.
“Dhiya?” panggil Khalif.
Aku senyum ke arahnya. Baru sedar agaknya yang aku masih ada di sini.
“Ya? Dah nak balik ke?” Aku soal dengan muka senyum plastik.
Khalif mula berkerut. Aku harap dia faham yang ini adalah sindiran buatnya.
“Dhiya bosan ke?” soalnya lembut.
Alahai... inilah masalahnya. Kenapa hati perempuan cepat cair? Daripada seketul darah dan bertukar jadi ais yang cair bila hangat.
“Taklah. Tak apalah. Abang cakaplah dengan Kak Mai,” perliku. Sudah asyik cakap dengan Umairah saja. Aku bukan patung di situ.
“Kenapa Dhiya cakap macam tu? Dhiya marah ke?”
Aku merenung Khalif. Memang aku marah. Dia tak faham ke? Dia tak tahu ke aku cemburu bila dia asyik bercakap dengan Umairah? Sedangkan aku ini bakal isteri dia. Dia boleh buat aku tak ada di sini.
“Saya nampak macam marah ke? Taklah.” Aku mengorak senyum.
“Abang, saya balik kedai dulu. Abang berbuallah dengan Kak Mai. Kalau ada apa-apa, abang SMSlah saya,” sambungku lalu bingkas.
Aku bersalam dengan Umairah dan terus keluar dari restoran. Aku berjalan laju ke arah kedai. Aku tak tahu kenapa aku terlalu ikutkan hati. Aku tak boleh kawal perasaan tadi. Entah apa yang Umairah fikir nanti. Tentu dia ingat aku cemburu. Tetapi, aku memang cemburu pun. Dia tak tahu ke Khalif tu buah hati aku?
Masuk kedai mama, aku mendengus geram. Baru nak rehatkan tubuh di ruang tamu, mama keluar dari belakang.
“Sekejap aje jumpa kawan,” tegur mama.
“Takkan nak jumpa sampai dua tiga jam kut,” jawabku perlahan tapi penuh rasa geram. Sebab nak marahkan Khalif, mama pula yang kena.
“Dhiya jumpa siapa sebenarnya?”
Aku memandang ke arah mama. Nak terus terang ke tak? Perasaan ini sudah rasa tertekan. Sejak aku terima Khalif sebagai calon suami, aku tak pernah ceritakan kepada mama. Apatah lagi orang tua aku sendiri. Aku masih rahsiakan hubungan kami sebab aku bimbang kalau-kalau tak kesampaian. Khalif selalu cakap, kita hanya merancang dan sesungguhnya rancangan Allah SWT itu lebih baik.
“Kawan.”
“Mama tahulah kawan. Tapi siapa? Kawan lelaki? Kawan perempuan?”
Aku bagai disoal siasat. Soalan mama cukup teliti.
“Lelaki dan perempuan.” Jawapanku buat muka mama berkerut. Namun, mama terus ke kaunter.
“Dah lama mama nak tanya Dhiya. Siapa lelaki yang kat pasar hari tu?”
Aku telan liur. Mama maksudkan Khalif. Nampaknya aku terpaksa cerita. “Khalif.”
Mama pandang aku di ruang tamu. “Dia yang hantar pulut malam tu, kan?”
Aku angguk. Itu cerita dua bulan lepaslah mama.
Mama sepi tanpa suara. Sibuk lakukan sesuatu di kaunter.
Aku lega mama tak banyak soal. Jadi, tak perlulah aku berterus terang pasal Khalif buat masa sekarang. Aku lihat jam. Sudah lebih jam 2.00 petang. Aku belum solat zohor lagi. Sementara mama masih ada di kedai, lebih baik aku pergi solat. Mama tu bila-bila masa saja dia keluar dan masuk. Akulah yang jadi penunggu setia kedai dia.
Entah kenapa hati ini rasa sedikit sedih. Lepas aku pergi dari restoran, Khalif langsung tak SMS. Aku pun sudah beritahu di mana kedai mama dan dia boleh cari aku di sini. Mungkin dia sudah balik agaknya dengan Umairah. Aku nak sangat tahu apa yang dia nak cakap tadi.
Aku lipat telekung solat dan masukkan ke dalam beg. Semasa aku keluar untuk ke kaunter, mama terus hulurkan telefon bimbitku.
“Dari tadi berbunyi,” beritahu mama seraya keluar dari meja kaunter. Aku agak mama nak pergi solat.
Bergegas aku dapatkan telefon bimbitku. Aku rampas daripada mama dan tengok missed call daripada siapa. Pasti Khalif. Bibir dan tersungging-sungging senyum. Aku lihat ada empat panggilan tak dijawab dan nama pemanggil adalah Amar. Aku mengeluh kecewa. Mana Khalif ni? Langsung tak beritahu sudah balik ke apa.
Tiba-tiba SMS masuk. Cepat-cepat aku buka.
Kenapa tak datang? I’ve been waiting for you.
Aku mengetap bibir. Aduh... Amar SMS pula tanya kenapa aku tak datang. Aku serba salah nak membalas. Kalau tak balas, dia akan fikir aku sengaja tak nak pergi. Ah, balaslah. Tanpa membuang banyak masak, pantas ibu jariku menaip di atas iPhone.
Sorry. Saya kena jaga kedai.
SMS yang ditaip kuhantar. Tunggu balasan daripada Amar. Tit. SMS masuk lagi. Aku baca.
I really hope that you’ll come.
Terduduk aku di kerusi di kaunter. Aku tak sangka Amar benar-benar berharap aku datang ke majlis pelancaran albumnya. Aku rasa bersalah tapi aku tak boleh ke sana. Aku nak jumpa Khalif dan lelaki itu lebih penting bagi aku. Aku balas lagi.
Sorry.
Aku minta maaf daripadanya. Dan itulah SMS terakhir yang aku hantar dan dia langsung tak balas. Eh, dia sentap ke sebab aku tak datang? Lainlah kalau wartawan yang tak datang. Apa kena-mengena dengan aku? Perangai Amar buat aku rasa bertambah pelik.
“ABANG balik macam tu aje tadi kan,” luahku ketika menghubungi Khalif. Nasib baik dia jawab.
“Abang minta maaf. Abang terpaksa hantar Umairah. Kereta dia rosak.”
Kereta rosak? Jantung mula berdegup hebat. Boleh pula dia berdua naik kereta dengan Umairah. Tapi nak cakap dalam telefon, takut mengundang maksiat. Aku makin tak faham dengan Khalif. Alim tak bertempat.
“Oh. Kereta dia rosak...” Aku bersuara lirih. Sebenarnya aku cuba sembunyikan perasaan cemburu yang menyala-nyala.
“Dhiya marah abang?” soalnya lembut.
Dalam perasaan marah macam ni, aku takkan cair.
“Kenapa saya nak marah abang? Saya tak marah pun. Sebenarnya saya tak berhak pun nak marah.” Suaraku lantang.
“Abang tahu Dhiya marah abang. Dhiya cemburu dengan Umairah, ya?”
Aku mendengus halus. “Kenapa saya nak cemburu dengan dia?”
“Nada Dhiya bercakap macam Dhiya cemburu tau.”
“Taklah. Saya tak cemburu pun. Cuma saya harap abang akan cari saya kat kedai dan bincang apa yang abang nak bagi tahu tadi.”
“Oh. Abang betul-betul lupa pasal tu. Tak ada apa pun, Dhiya. Abang cuma nak tahu aje. Kalau Dhiya betul sayangkan abang, tak apalah. Lega sikit hati abang.”
Aku mengetap geram. Dia cuma nak tahu? Aku seharian fikir yang bukan-bukan sampai tertekan, dia cuma nak tahu? Geramnya. Rasa nak pintal-pintal saja mulut Khalif. Bukan nak terus terang. “Itu aje?”
“Sekurang-kurangnya abang tahu yang diri abang disayangi. Dhiya, tinggal sebulan lagi untuk abang pinang Dhiya. Abang harap Dhiya sabar tunggu abang ya.”
Seketul darah dalam tubuh ini tersentuh dengan ucapan itu. Kenapa aku masih ragu terhadap Khalif sedangkan dia masih dengan rancangannya? Aku sudah salah sangka tadi. Aku fikir yang bukan-bukan tentang dia. Lebih teruk, aku hampir hilang kepercayaan kepada dia sehinggakan terdetik dalam hati untuk serahkan segalanya pada takdir. Syaitan akan selalu cuba menghasut hati manusia supaya sering rasa resah, curiga dan berbolak-balik akan sesuatu perkara.
“Abang, betul ke abang akan pinang Dhiya? Mak abang dah tahu?”
“Dah. Abang dah bagi tahu. Tijah bukan main gembira lagi,” ceritanya.
Aku tersenyum lebar. Kalau tadi aku sedih, sekarang aku rasa terlalu gembira. Aku akan tunggu saat itu.
“Tijah ada cakap apa-apa?” usulku. Apa agaknya reaksi Tijah bila aku terima abang dia?
“Dia cuma cakap yang dia dah bagi tahu Dhiya sebelum ni. Cuma Dhiya tak percaya.”
Betul. Memang aku tak percaya cakap Tijah dulu. Tapi, sekarang aku percaya. “Lagipun dah lama tak jumpa abang. Mustahil abang sukakan saya tiba-tiba.”
“Kalau abang cakap dari dulu lagi abang sukakan Dhiya, Dhiya percaya tak?” jelasnya. Ceria saja suara Khalif.
Aku terkesima seketika. Sukar nak percaya pengakuan Khalif. “Tak percaya.”
Khalif gelak kecil di hujung talian. Gelak orang beriman katakan.
“Dhiya, sebenarnya dari dulu lagi abang sukakan Dhiya. Sebab tu tiap kali Dhiya datang rumah jumpa Tijah, abang akan lari dan mengelak. Abang malu nak jumpa Dhiya. Abang takut Dhiya tahu abang sukakan Dhiya. Jadi, abang buat tak tahu aje. Dah lama Allah berikan perasaan ni pada abang. Cuma baru sekarang abang ada keberanian.”
Bibirku kekejangan. Biar betul! Patutlah tiap kali nampak aku jalan menunduk saja. Tapi dalam hati makin berbunga-bunga. Tak sangka Khalif sudah lama menaruh hati kepada aku. “Apa yang abang pandang pada saya?”
“Entah. Siapalah abang nak menilai Dhiya. Bagi abang, Dhiya gadis yang sempurna. Abang yakin Dhiya boleh jadi isteri yang baik untuk abang.”
Terharunya rasa. Setiap kata-kata Khalif sentiasa merendah diri. Aku makin yakin yang aku telah buat pilihan yang betul. “Insya-Allah. Kalau dah ditakdirkan jodoh saya dengan abang, saya akan jadi isteri yang baik untuk abang.”
“Alhamdulillah. Itulah sebaik-baiknya. Sejuk hati abang mendengar. Dhiya jaga diri baik-baik untuk abang, ya. Bila Dhiya dah jadi hak abang, abang akan jaga Dhiya sebaik mungkin. Sebab isteri adalah amanah. Abang akan jaga amanah yang Allah berikan pada abang dengan baik.”
“Insya-Allah, bang.” Aku tak dapat mengawal rasa terharu. Pelupuk mataku mula dibasahi manik-manik jernih. Aku seka dengan hujung jari dan menghela nafas. Kala itu, aku panjatkan syukur dan doa.
No comments:
Post a Comment