Sunday, 24 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 14


Bab 14



MENGANTUKNYA. Mulut ni ternganga seluasnya dan tangan mendepa kiri dan kanan. Meluruskan segala urat saraf. Ah, leganya. Mengantuk betul hari ini. Satu kerja pun tak boleh buat. Mata sudah layu. Rasanya semalam tidur awal. Punyalah aku mengelat tak mahu tolong mama kira stoknya.

Perut mula berbunyi mendendangkan lagu Makan nyanyian Jalil Hamid. Aku lihat ke arah jam. Patutlah lapar. Aku belum sarapan lagi. Aku mencari mama di pejabatnya. Dia rancak menekan mesin kira-kira. 

“Mama, dah makan? Dhiya laparlah.” Aku berdiri di pintu pejabat mama seperti orang kebuluran. Perut kuusap-usap. Kempis dan kosong.

“Pergilah makan dulu. Mama nak siapkan kerja dulu.”

Aku mencemik. Asyik makan seorang diri saja. Sibuk betul mama. “Okey. Tak nak kirim apa-apa?”

Mama terlalu sibuk sampai malas nak buka mulut. Dia memusing-musingkan tangannya tanda tak mahu kirim apa-apa. Okey. Aku faham. Mama tak nak diganggu. Aku terus beredar ke kaunter dan ambil dompet. Nampaknya kena bungkus dan makan di kedai saja.

Aku keluar dari kedai. Mata silau memandang ke luar. Cahaya matahari memancar terik walaupun baru pukul 9.00 pagi. Kaki lima bangunan aku jejaki menuju ke restoran di hujung bangunan. Selang empat buah lot kedai. Aku teringin nak makan roti canai. Semasa berjalan, telefon bimbit di dalam poket jubahku bergetar. Sengaja aku tukar ke mod silent dan vibrate. Lagipun siapalah yang nak telefon aku? Khalif? Jangan berharap sangat.

Aku hentikan langkah dan seluk ke dalam poket jubah. Aku tenung skrin. Terhendap-hendap aku jadinya kerana silau dengan matahari. Panggilan daripada nombor yang tak dikenali itu memanggil-manggil minta aku jawab. Haisy... siapalah ni?

“Helo?” 

“Awak nak ke mana tu?”

Hah! Aku lihat skrin. Aku amati nombornya. Ini bukan nombor telefon Amar. Tetapi suara sebiji macam suara Amar. Aku keliru sekejap.

“Siapa ni?” soalku keras.

“Ni Amarlah.” Dia berkata geram. 

Aku rasa lega. “Tukar nombor telefon ke?”

“Taklah. Saya ada lima handphone. Ada lima nombor.”

Mak kau! Lima nombor dan lima handphone? Apa kejadah pakai handphone banyak-banyak? Spesies gila gadjet agaknya dia ni. “Nak apa?”

“Saya tanya, nak pergi mana?”

Aku terpanar. Amar macam tahu-tahu saja aku nak keluar. Dari mana dia tahu? Dia ada cermin ajaib ke untuk tengok mana aku pergi dan apa aku buat?

“Err... awak ada kat mana? Macam mana awak tahu?” Aku cemas. Sedikit cuak dan takut kalau dia betul-betul ada cermin ajaib. Atau teropong ajaib macam dalam filem Laksamana Do Re Mi.

“Saya kat traffic light seberang jalan.”

Mataku terus terhala ke arah lampu isyarat seberang jalan. Bukan main jauh dia boleh nampak aku. Memang sah dia ada teropong ajaib. “Awak ni ada banyak masa ke nak teropong saya?”

“Teropong?” Amar ketawa. 

Aku mengecilkan mata untuk melihat mana satu Amar. Aku tak nampak pun kereta Honda yang dia bawa hari itu. “Awak tipu! Saya tak nampak awak pun.”

“Tapi saya nampak awak.”

“Tak ada.” Aku geleng. “Saya tak nampak kereta awak.”

“Hari ni saya tak drive Honda.”

Aku telan liur. Dia tak bawa Honda? Dia ada berapa buah kereta? Lima jugak ke? Dahsyat!

“Awak nak cakap awak ada lima biji keretalah ya?” Aku perli Amar. 

Dia ketawa di sana. 

Haisy... Serius aku tak nampak dia. Hairan betul dia boleh nampak aku. Halimunan ke apa dia ni? Lama betul traffic light nak bertukar hijau. Aku terus pandang ke arah jalan seperti orang tak betul. Lebih sedap kalau dikatakan tak siuman. Tiba-tiba aku ternampak sebuah kereta menurunkan cermin tingkap. Cermin kereta itu 100 peratus tinted.

“Sekarang nampak?”

Aku tergamam. Betullah. Memang Amar Affandy. Aku anggukkan kepala. 

“Nak pergi mana tu?”

“Be... Beli roti canai.” Tiba-tiba aku jadi gagap. Lurus memandangnya di dalam kereta. Aku tak pasti kereta apa dia pandu. 

“Roti canai? Cukup ke?”

Aku kerutkan kening. Kenapa dia nak ambil tahu sangat? Selalu pun aku tibai roti canai untuk sarapan. Mana sempat nak masak pun.

“Cukup. Perut saya bukan besar pun,” kataku. 

Aku terus perhatikan Amar dan keretanya bergerak perlahan. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Bebola mataku pula bergerak mengikut Amar sehinggalah hilang daripada pandangan.

“Kalau bukan nak cepat, saya boleh temankan awak. Lain kali aje, okey?”

Aku angguk. Baru aku teringat. Amar tak nampak kepala aku mengangguk. “Err... ya. Boleh. Lain kali.”

Eh, ayat aku tu macam sanggup saja nak keluar dengan dia. 

“Bye,” akhiri Amar. 

Aku mendengus perlahan dan masukkan iPhone ke dalam poket jubah. Aku tak faham betul dengan Amar. Bukan main baik layanan dia terhadap aku sekarang. Dengan kepala yang sarat memikirkan Amar, aku teruskan langkah ke restoran dan pesan roti canai dua keping. Air aku boleh bancuh di kedai saja.

Sementara menunggu roti canai siap ditebar, aku dapat SMS. Daripada nombor yang menelefon aku tadi. Siapa lagi, Amarlah!

Awak nampak comel tadi. 

Biar betul Amar yang hantar SMS macam ini. Aku abaikan SMS Amar dan tak mahu melayan dia. Aku takkan terpikat dengan pujian dia itu. Dia ingat aku perempuan murahan yang mudah cair dengan kata-kata pujian? Minta maaflah.

Aku tak sedar apa yang terzahir pada wajahku. Tiba-tiba aku rasa muka ini menjadi tatapan seseorang di dalam restoran itu. Dia senyum. Aku berkerut. Apa hal senyum-senyum? Kenal ke?

Lambat betul roti canai ni nak siap. Aku rasa macam lelaki tadi masih tersenyum ke arah aku. Daripada gayanya, aku agak umurnya sudah lebih 40 tahun. Aku cuba alihkan pandangan tapi rasa macam lelaki itu masih memandang ke arahku. Perlahan-lahan aku memandang ke arah lelaki itu semula dan dia tersengih. Alamak... pagar roboh! Pantas aku campak muka ke arah lain. Geli nengoknya.

Aku tak tahan nak terus menunggu. Pak cik ni pun lambat pula nak tebar roti canai aku. Bila aku bangun dan mahu bertanya kepada pak cik yang menebar roti canai itu, tiba-tiba aku terkejang. Lelaki tadi berdiri di sebelah aku.

“Akak, nak seringgit.”

Aku tercengang. Dia panggil aku akak? Tak sedar diri ke pak cik?

“Tak ada duit!” Aku geleng. Malas layan. Kalau minta duit ni, mesti sindiket ke apa.

“Nak seringgit jugak. Seringgit aje. Kasilah seringgit.” Dia terus meminta. 

Macam budak-budak padahal sudah tua. Aku buat muka kelat.

“Bagi ajelah dik. Selagi tak bagi, dia takkan pergi. Dia memang selalu macam ni. Minta seringgit. Tapi dia tak kacau orang. Jangan takut.”

Mendengar kata-kata pak cik roti canai itu, hatiku mula rasa simpati. Aku membuka dompet dan mengeluarkan beberapa keping duit RM1. Aku berikan kepadanya. Kesian dia. Dia pun tak minta jadi begini. Aku perhatikan lelaki itu mengira duit seringgit itu. 

“Satu, dua, tiga, empat, lima... Akak bagi lebih ni. Kita nak seringgit aje. Ambil balik ni.” Dia mengira. Tersengih-sengih diselangi ketawa mengekek. Gembira sangat dapat seringgit.

Lelaki itu berikan empat keping RM1 dan dia cuma ambil sekeping. Aku bingung. Dia ni ada masalah apa sebenarnya?

“Dik, kalau bagi duit merah ke hijau ke, dia tak nak. Bagi banyak keping pun, dia ambil satu aje. Kalau dapat seringgit, melompat-lompat.” Pak cik roti canai menambah lagi. 

“Oh. Macam tu ke...” Aku kerling. Sempat dia mencelah. Roti canai aku bila nak siap?

Lelaki tadi beredar sambil melompat-lompat girang. Memang betullah pak cik roti canai itu cakap. Itu baru seringgit. Kalau dapat banyak, macam mana gamaknya lompatan dia? Aku benar-benar simpati. Apa nak buat, sudah takdir hidupnya begini. Aku doakan dalam hati agar hidupnya selamat.

“Roti canai siap!” Pak cik itu tiba-tiba menjerit. 

Tersentak aku. “Berapa?”

“Tiga ringgit.”

Kebetulan, duit yang pak cik tiga suku bagi balik tadi masih aku pegang. Aku berikan kepada pak cik roti canai. “Terima kasih.” 

Selesai, aku terus pergi.



AKU tenung kalendar. Sudah banyak yang aku pangkah. Tinggal beberapa hari lagi untuk genap tiga bulan. Aku rasa berdebar pula bila teringatkan Khalif. Tak sangka dia akan melamar aku. Tak sabar nak jadi miliknya.

Bila teringatkan Khalif, aku terasa diri terawang-awang. Mula berangan dan bayangkan suasana majlis kami nanti. Aku dan dia, bersaksikan mak, ayah, mama, adik-adik aku, saudara-mara dan jiran. Keluarga Khalif, Tijah dan ramai lagi. Aku diijabkabulkan dengan Khalif. Dia sarungkan cincin ke jari manisku. Giliran aku pula sarungkan cincin ke jarinya dan aku mengucup tangannya. Oh, suamiku!

Sedang asyik aku memasang angan-angan, deringan iPhone benar-benar mengganggu. Ah, kacau. Baru nak berangan. Aku meniarap di atas katil dan tenung skrin.

“Eh, siapa pula ni?” Aku berfikir sebelum menjawab. Kemudian aku dapat mengagak. 

Aku jawab. “Helo?”

“Lambat jawab. Sibuk ke?”

“Tak sangat. Ni handphone yang nombor tiga ya?”

Amar ketawa. Tahu aku memerlinya.

“Kenapa suka tukar-tukar nombor? Nak lari daripada wartawan ke?” Aku menyindir. Sesedap bahasaku.

“Saja. Setiap nombor tu ada fungsinya. Dan setiap nombor tu saya guna untuk orang-orang tertentu. Ada faham?”

“Oh. Artis memang macam tu ke?”

“Saya aje kut. Hahaha.”

Seronok betul dia ketawa. Aku di sini bermuka ketat. Ingat lawak?

“Dah lama kita tak jumpa, kan?” getusnya. 

Aku kerutkan kening. “Kenapa? Awak nak jumpa saya ke?”

“Awak nak jumpa saya tak?”

“Eh... memang taklah. Awak nak ke saya kena kejar dengan peminat awak? Awak tak takut kena gosip ke?”

“Tak. Saya tak takut. Saya bukan buat benda tak senonoh.”

Haisy... tak faham aku.

“Saya nak bagi sesuatu untuk awak.”

“Apa dia?” soalku berminat. Kalau nak bagi sesuatu dan percuma, aku memang suka.

“Album kedua saya. Siap dengan autograf dan ada special gift.”

Aku mengeluh hampa. Ingatkan pakej percutian ke, baucer membeli-belah 10 ribu ke. Kan seronok dengar. “Okey. Apa special gift tu?”

“Nanti kita jumpa, saya bagi tahu.”

“Okey,” keluhku. 

Sumpah aku tak berminat dengan ‘sesuatu’ yang dia nak beri kepada aku. Sumpah! Tak mengujakan pun. Aku bukan peminat dia. Tetapi dipaksa menjadi peminat dia. 

“Dhiya...”

Diameter mataku membesar. Dia memanggil nama aku dengan nada yang romantik. Ah, dia nak apa lagi? Aku tak mahu curang dengan Khalif. Kenapa Amar menghantui hidup aku sekarang?

“Boleh kita jumpa? Jangan risau. I will set everything and you just need to come.”

“Awak nak jumpa saya? Awak tak takut dengan wartawan ke?”

“They are all human. Bukan hantu. Kenapa nak takut? Takut ni bila buat salah. I’m not afraid at all for doing something right.”

Aku cebik. Aku tahulah wartawan-wartawan tu manusia. Takkan makhluk asing pula. Aku makin pening. Amar bercakap seolah-olah popularitinya terletak pada aku. Dia lupa ke popularitinya terletak pada wartawan dan kepercayaan peminat?

“Apa maksud awak dengan doing something right?”

“Have a date with you.”

“Saya tak kata saya setuju.”

“But you have to.”

“Tak nak. Saya tak nak keluar dengan awak. Awak faham tak?” Aku bertegas. Aku tak nak menjejaskan kariernya. Siapalah aku nak berdamping dengan superstar?

“Awak tak sudi?”

“Memang saya tak sudi,” akui aku. Tanpa berselindung demi menjaga hatinya. Dia nak saman? Samanlah kalau berani.

Amar senyap di hujung taliannya. Adalah dalam beberapa saat sampai aku rasa bersalah. Tapi salah ke menolak ajakan dia? Aku agak dia tersinggung.

“Amar?”

Dia masih diam. Makin aku rasa bersalah.

“Amar, sorry. Tapi saya tak boleh keluar dengan awak.”

“Kenapa? Sebab saya ni artis? Awak nak cipta jurang antara saya dengan awak? Okey. Kalau macam tu, awak anggap aje senior dan junior.”

Amar tak berputus asa memujuk aku untuk berjumpa. Walaupun dia mahu berjumpa di hotel lima bintang, aku tetap menolak.

“Amar, karier awak baru bermula. Saya tak nak disebabkan saya nanti, karier awak hancur.”

“Dhiya, please...” rayu Amar. 

Aku tetap dengan keputusanku. “Tak boleh, Amar.”

“Please Dhiya.”

Aku termangu. Amar betul-betul mendesak sekarang. Kalau aku terus menolak, tak tahu bila baru habis perbualan kami. Aku mula buat satu keputusan. “Amar, macam nilah... Awak datang kedai mama saya. Boleh?”

“Saya nak berdua dengan awak.”

Awak gila ke? Aku menjerit dalam hati. Aku ni tunangan oranglah. Itu pun sekadar dalam hati. “Tak boleh macam tu. Sama ada awak datang kedai mama atau tak jumpa langsung.”

Amar diam. Berfikir kut. “Okey. Nanti saya pergi kedai mama awak.”

Selesai pun! Kalau tak, selagi itulah dia paksa aku untuk keluar dengan dia. Aku takkan sekali-kali menduakan Khalif. Harap maklum.



No comments:

Post a Comment