Wednesday, 5 October 2016

WILL YOU MARRY ME, MARIA? 4




BAB 4



NAMPAK saja kelibat Effan keluar daripada lif, Elaika terus teringatkan panggilan daripada wartawan Kumpulan Pena Media tentang interviu itu. Dia belum beritahu Effan tentang perkara itu. Tentu wartawan itu tertunggu-tunggu panggilan daripada pihaknya.

“Tuan,” panggil Elaika seraya bingkas. Effan berhenti di depan mejanya.

“Ya, Ika?”
“Semalam saya ada dapat call daripada wartawan Kumpulan Pena Media. Dia cakap nak interviu tuan untuk edisi bulan depan majalah Edisi Korporat. Macam mana, tuan?”

Effan mendengus berat. Dia tak berminat untuk ditemuramah. Apalah sangat kejayaannya sampai nak dihebah-hebahkan dalam majalah? Untuk dijadikan inspirasi? Rasanya ramai lagi muda-mudi yang berjaya di luar sana.

“Telefon dia, cakap saya tak nak diinterviu.”

“Tuan pasti?”

“Pasti. Lagipun, tak ada apa-apa yang saya nak kongsikan.”

“Kalau tuan cakap macam tu, nanti saya akan telefon dia balik.”

“Kalau ada lagi telefon untuk interviu, tolak aje. Saya tak nak diganggu wartawan. Faham?”

Elaika angguk apabila suara Effan kedengaran tegas. Effan yang mula melangkah pergi ke biliknya diperhati. Dia terus berlabuh dan mencari nombor telefon wartawan Maria untuk dihubungi.

“Helo. Cik Maria? Saya Puan Ika. Setiausaha Encik Effan. Boleh saya bercakap dengan Cik Maria kejap pasal interviu tu?”



MARIA menghempas perlahan gagang telefon sambil sandarkan badan pada kerusi. Macam mana dia nak beritahu Wahida yang ahli perniagaan yang dia mahu untuk edisi bulan depan menolak untuk ditemuramah? Dia harap Wahida tak melenting. Ramai lagi ahli perniagaan lain yang boleh diinterviu. Kalau dah sombong sangat. Sempat hati kecil Maria membebel.

Tak mahu buang masa, Maria berjumpa Wahida. Dia cuba tenangkan diri. 

“Puan, pasal interviu dengan Encik Effan tu, saya dah berhubung dengan setiausaha dia. Unfortunately that…” Maria menggantung kata.

“What do you mean, Maria? Are you gonna tell me that he declines to be interviewed?”

Maria angkat bahu tanpa ucap sepatah kata. Wahida tentu faham apa yang dia maksudkan.

“How come, Maria? I betul-betul nak dia untuk edisi bulan depan. Macam mana you deal dengan secretary dia?” suara Wahida mula melengking. Dia benar-benar mahukan Effan. Dia tak sangka Maria gagal.

“I’m sorry. I did try my best.”

“How can you say you tried your best when actually you didn’t?”

Maria menggigit bawah bibir. Terpukul dengan kata-kata Wahida. Ya, betul. Ketika Elaika beritahu Effan menolah temuramah itu, dia hanya akur saja. Takkanlah nak mendesak pula. Tertunduk wajahnya apabila terasa sekilas renungan tajam daripada Wahida.

“I nak you dapatkan jugak interviu dengan Effan. I nak muka dia jadi cover Edisi Korporat untuk bulan depan. Faham?”

Maria hanya mampu menelan liur sendiri yang terasa kelat melepasi temboloknya. Menyinga wajah Wahida tatkala anak matanya memaku pandang ke arah Maria.

“Yang pasti artikel interviu tu ada atas meja I nanti. Or, you gonna lose your job. Get out from my office!”

Maria menutup pintu bilik Wahida. Dia melangkah lemah menuju ke mejanya. Tugasan ini mula memberi tekanan kepadanya. Sebelum ini dia tak pernah ada masalah sebegini. Tak pernah sesi untuk temuramah ditolak melainkan ia ditunda dengan sebab tak dapat dielakkan. 

Tangannya melekap pada gagang telefon di sudut meja untuk hubungi Elaika semula. Tetapi, otaknya sedang memikirkan sesuatu. Rundingan kali ini agak sukar. Apa yang membuatkan ia begitu rumit? 

Maria mendail nombor telefon Elaika yang dilekat pada dinding partitionnya. Tak sampai tiga saat, panggilannya disambut.

“Hai Puan Ika. It’s me again. Maria.” Maria memperkenalkan diri disertai satu keluhan.
 


“HMM, ada apa lagi ni, Ika?” soal Effan sebaik saja setiausahanya masuk dengan wajah serba salah. Dia pula yang sedaya upaya cuba fokus dengan kerjanya rasa terganggu.

Elaika menghampiri meja Effan. Dia hanya berdiri. 

“Tuan, boleh tak tuan pertimbangkan balik pasal interviu tu?”

Effan menghempas pen ke atas dokumen yang sedang ditandatangani.

“Wartawan tu tak faham bahasa ke?” suara Effan tegang.

Elaika tertelan liur yang terasa kental di lehernya. Dia sudah berkeras untuk menolak, tetapi wartawan bernama Maria itu tetap mendesaknya. Malah dia diberitahu juga jika gagal menemuramah Effan, dia akan dibuang kerja. Elaika rasa ia tak sepatutnya berlaku. Apa salahnya jika Effan luangkan masa untuk sejam demi menyelamatkan seorang hamba Allah daripada menganggur?

“Saya rasa interviu tu tak ambil masa yang lama, tuan. Apa salahnya tuan terima aje?”

Effan menghela nafas keras. “Okey. Ni kali terakhir. Okey? Lepas ni, pandai-pandai awaklah.” Akhirnya Effan akur jua. Dia sambung kerjanya dan Elaika keluar apabila tiada apa-apa perkataan lagi yang keluar daripada mulut Effan. Ketika dia hampir melepasi pintu, Effan memanggilnya semula.

“Suruh dia datang hari ni. Pukul 3,” kata Effan tanpa memandang ke wajah Elaika. 

Elaika angguk. “Baik, tuan.”

Sebaik pintu dirapatkan, Elaika berkerut lagi. Apa kena dengan bos aku ni? Terlebih hormon ke apa marah-marah ni? gerutu Elaika dalam hati. Kepalanya tergelang-geleng sesaat dua. Lantas dia kembali ke mejanya. Dia perlu segera hubungi Maria memandangkan tinggal dua tiga jam saja lagi.



“FIRHAD mana? Mana Firhad?” Maria kelam kabut mencari Firhad, jurugambar di bilik grafik. Dia merempuh masuk dan mencari wajah Firhad. Matanya mengitari segenap bilik itu. Beberapa orang staf grafik memandang sesama sendiri. Sayangnya, Firhad tiada di situ.

“Ada nampak Firhad tak?” Maria menyoal staf grafik, Idham. Lelaki itu menjongket bahu sebagai jawapan. Sebentar tadi Firhad memang ada di sini. Baru sekejap jurugambar itu keluar.

Maria mendengus kecil dan melihat jam dinding. Dia sudah kesuntukan masa untuk menemuramah Effan. 

Sebaik saja Maria pusingkan badan untuk beredar, kebetulan Firhad muncul dengan sebiji muk di tangan. Asap berkepul-kepul keluar daripada muk itu.

“Hah, kenapa ni? Cari aku ke?”

“Betul. Kau kena ikut aku. Pukul tiga aku kena interviu orang.”

“Memanglah interviu orang. Takkan lembu pulak.” Firhad meloyar buruk. Dia memang terkenal dengan sikap kelakar dan suka menyakat di unit itu.

Maria buat muka serius. “Tak kelakar okey! Jomlah. Kejap lagi jalan sesak, habis kita.”

“Tak boleh ke tunggu lepas lunch?”

“Kita lunch kat sana nanti. Aku belanja kau?” Maria membodek Firhad. Selalunya kena ada upah barulah Firhad bergerak pantas.

“Elok sangatlah. Bagi aku lima minit,” putus Firhad lalu masuk ke bilik grafik. Maria balik ke tempatnya semula. Siapkan apa yang perlu dibawa untuk temuramah itu nanti. Dia juga sudah sediakan beberapa soalan kepada Effan. Ia mungkin tak mengambil masa yang lama. Dia juga tak mahu beramah-tamah dengan ahli perniagaan yang sombong itu. Asalkan dia dapat siapkan tugasan ini dan puaskan hati Wahida.



BANGUNAN Persada Holdings kini di depan Maria dan Firhad. Mujurlah dia sempat sampai sebelum jam tiga petang. Maria membawa beg galasnya dan Firhad pula bersama alat rakamannya seperti kamera.

“Are you ready?”

Firhad pandangnya sekilas dan angguk. Misi bermula. Firhad adalah jurugambar kesukaan Maria. Senang bekerjasama dan cepat kerjanya. 

“Jom.”

Masuk saja ke dalam perut bangunan itu, Maria dan Firhad menuju ke kaunter penyambut tetamu. Di situ dia memperkenalkan diri. Sebelum dibenarkan berjumpa Effan, penyambut tetamu bernama Fiona itu menghubungi Effan untuk pengesahan. 

“Tuan, ada wartawan daripada Kumpulan Pena Media nak jumpa tuan. Katanya ada interviu.”

“Suruh dia naik pejabat saya sekarang.”

“Baiklah.” Fiona letak gagang. Beri tumpuan kepada dua tetamu itu.

“Macam mana?”

“Awak berdua boleh ke pejabat dia di tingkat enam.”

“Terima kasih,” ucap Maria tersenyum sebelum meninggalkan ruang lobi. Dia masuk ke lif apabila kebetulan ada yang keluar ke lobi.

Berdua dalam lif, Firhad ambil kesempatan untuk menegur Maria.

“Eh, kau tak mekap ke? Pucat muka kau. Eh, kau nak interviu ahli perniagaan jutawan muda yang solo tau. Cubalah melawa sikit. Pakai gincu tu. Manalah tahu kau dapat jodoh ahli korporat. Lagi satu, dia tu single and available.”

“Kau ni tak sayang mulut kan? Aku lupa bawa lipstik. Mana kau tahu dia tu single and available? Satu lagi, tak ingin aku berjodoh dengan orang korporat ni,” sangkal Maria apabila Firhad dengan senang hatinya meminta dia melawa. Untuk apa? Untuk siapa? Cantikkan diri untuk suami sahaja.

“Aku pun buat researchlah.” Firhad lirikkan jelingan nakal.

Belum sempat Maria membalas, mereka sudah sampai di tingkat enam bangunan itu. Maria terus menuju ke ruang pejabat. Dia mula ternampak beberapa orang staf di bahagian itu sedang sibuk dengan kerja masing-masing. Kedatangannya juga disedari seseorang dan Maria syak itu ialah Elaika. Dia percepatkan langkah.

“Cik Maria ke?”

“Saya. Awak Puan Ika, kan?”

Elaika angguk. Mereka bersalaman. Firhad tak lepaskan peluang untuk bersalaman dengan Elaika.

“Awak berdua tunggu kejap. Saya bagi tahu dia supaya dia get ready.”

Elaika tinggalkan Maria dan Firhad seketika. Firhad mula mengambil gambar pada beberapa sudut untuk dimasukkan dalam ruang temuramah itu nanti.

Elaika datang semula. “Jom, ikut saya. Encik Effan panggil ke bilik dia. Silakan.” Elaika keluarkan tangan kanan tanda mengalu-alukan kedua-dua tetamunya itu.

Mereka berdua dibawa ke bilik Effan. Elaika ketuk dahulu sebelum masuk. 

“Silakan masuk.” Elaika menguak daun pintu dan beri ruang kepada Maria dan Firhad untuk masuk. 

Effan ketika itu sudah pun bersedia di ruang tamu. Lengkap memakai kot dan tali leher yang mana sebentar tadi dia tanggalkan semuanya. Rimas.

Maria dan Firhad melangkah masuk dan Elaika terus beredar. Dia menghala pandangan ke arah Effan yang sudah berdiri di ruang tamu lantas berikan senyuman. Saat itu, senyumannya tak berbalas. Wajah Effan bertukar serius. Disertai juga dengan cantuman pada kening.

Maria menghampiri. Begitu juga Firhad.

Apasal muka dia serius semacam? Sekalipun tak diinterviu, tak perlulah tunjuk muka macam tu. Maria bebel dalam hati. Namun, dia tetap senyum dan perkenalkan diri.

“Saya Maria. Wartawan Edisi Korporat. Ni Firhad, jurugambar saya. Terima kasih sebab sudi bagi kerjasama walaupun mula-mula Encik Effan tolak. Saya faham Encik Effan seorang yang sibuk. Ketua Pengarang saya betul-betul nak Encik Effan untuk edisi bulan depan.”

Effan masih kaku. Tak peduli apa yang Maria perkatakan. Dia memusatkan anak matanya dan amati segenap inci wajah Maria. Bukankah itu gadis yang dia nyaris langgar di lapangan terbang? Wajahnya seiras. Effan tak lupa imej dagu berlekuk itu. Inilah gadis yang ingin dia cari selama sebulan ini.

Seketika pula, Maria rasa bingung dengan renungan Effan terhadapnya. Dia mula terkial-kial memandang Firhad. Tersenyum kelat Maria jadinya. Tak tentu arah.

“Awak… Maria binti Ismeth?”

Maria kedut dahi. Sejenak, dia tersenyum. Hairan juga Effan dapat tahu nama penuhnya. Siap dengan binti lagi. Tapi, apa yang nak dikisahkan? Dia seorang wartawan dan mungkin ada yang mengenalinya melalui laporannya.

Effan duduk dan meraup-raup wajahnya. Dia rasa bersyukur sangat atas pertemuan ini kerana Allah S.W.T mendengar doanya.

“Encik?”

Effan panggung wajahnya. Memandang kembali tepat ke arah Maria dalam keadaan pegun.

“Awak mungkin tak kenal saya. Tapi, kita pernah jumpa sebelum ni.”

Kata-kata Effan membangkitkan adrenalin dalam tubuh Maria. Menjalar ke seluruh tubuh. Seingat dia, dia tak pernah berjumpa dengan Effan. Apatah lagi berselisih bahu. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan lelaki itu. Dia baru tahu kewujudan jutawan muda bernama Effan Fathullah ketika menerima tugasan ini.

“Encik mungkin dah tersilap. Ni kali pertama kita jumpa,” akui Maria tanpa was-was. Dia mengeluarkan buku catatannya daripada beg galas bersama alat perakam dan juga pen.

Effan geleng kecil. 

Firhad jadi bingung. Apa yang berlaku? Sesi temuramah atau sesi jejak kekasih? Bebola matanya bersilih ganti memandang Maria dan Effan.

“Saya yang langgar awak kat airport dan bawa awak ke hospital.”

Pengakuan itu membuatkan Maria terpempan. Buku catatan dan pen terlepas daripada pegangan. Darahnya berderau tak semena-mena.






No comments:

Post a Comment