MEJA kerja Maria berselerak. Firhad yang datang ke mejanya untuk bertanya terkejut melihat Maria terbongkok-bongkok mencari sesuatu. Beg galas, beg tangan dan beg komputer ribanya sudah habis diselongkar. Dalam laci juga tak terkecuali.
“Kau cari apa, Maria?”
“Aku cari perakam aku. Kau ada nampak tak? Warna pink.”
“Perakam warna pink? Aku tak nampak pulak. Kau tercicir agaknya. Dah cari betul-betul?”
Maria mendengus kesal dan menghenyak kasar kerusinya. Sudah penat dia mencari. Dia tak tahu di mana perakam itu jatuh. Dahlah ia perakam pemberian Hardy. Itulah hadiah paling dia sayang. Bukan itu saja, ia umpama diarinya. Kalau ia dapat ke tangan orang lain, habislah dia. Semua rakaman itu amat peribadi.
“Aku dah cari dah. Satu meja ni aku sepahkan. Tapi, tak jumpa. Mungkin tercicir dalam kereta kau.” Maria menebak. Lagipun semalam dia naik kereta Firhad untuk ke Persada Holdings. Ia tentu tercicir dalam kereta jurugambarnya.
Firhad tak terfikir pula jika ia tercicir dalam keretanya. Lagipun dia tak nampak apa-apa objek yang asing dalam keretanya. Tak pasti pula jika ia tersorok hingga tak terlihat oleh mata kasarnya. Tanpa berfikir panjang, Firhad berikan kunci keretanya kepada Maria.
“Kau ambil kunci ni dan pergi cari sendiri dalam kereta. Manalah tahu kalau-kalau ada.”
Cepat saja Maria meragut kunci kereta daripada tangan Firhad. Dia rasa gembira sedikit dan ada harapan untuk temui semula alat perakamnya. Dia berlari ke lif dan memicit butang berkali-kali. Skrin kecil pada bahagian atas lif memaparkan anak panah sedang naik daripada tingkat lobi.
“Tahulah boyfriend yang bagi. Bukan main panik lagi dia,” bebel Firhad seraya beredar daripada meja Maria. Sebenarnya dia ada perkara yang nak dibincangkan dengan Maria. Bila Maria beritahu alat rakamannya hilang, terus dia lupa. Dia ingin bertapa di biliknya sementara Maria turun ke bawah.
MARIA kembali ke tempatnya dengan wajah sugul. Kunci kereta Firhad di campak ke atas meja.
Maria melabuhkan punggung dengan berat dan berteleku di mejanya. Rasa nak menangis. Sebak. Satu-satunya benda yang berharga sudah pun hilang. Bukan alat perakam itu sahaja, apa yang Hardy beri kepadanya semuanya bernilai kepadanya. Maria tak mampu sembunyikan emosinya lagi. Air matanya tumpah jua.
“Maria, awak okey ke? Kenapa ni?”
Terasa bahunya disentuh oleh seseorang. Suara yang bergema cukup dikenali. Perlahan Maria mengangkat wajah dan mendongak ke arah Jeslina. Matanya kemerah-merahan. Bukan setakat mata, hidung dan matanya juga bertompok merah.
Jeslina terkejut melihat Maria menangis.
“Maria, kenapa dengan awak ni? Kenapa menangis? Apa dah jadi?” soal Jeslina tak keruan. Dia tak pernah melihat Maria menangis. Walaupun teruk dimarahi oleh Wahida, Maria tak pernah mengalirkan air mata. Kali ini berlainan sekali. Apa masalah rakannya itu?
Dengan pandangan berkaca, Maria merenung Jeslina. Tiada sesiapa yang tahu cintanya kecundang dengan Hardy kerana dia tak tunjukkan kesedihannya depan orang. Dia simpan seorang diri saja.
“Awak gaduh dengan Hardy ke?”
Hardy? Tatkala Jeslina menyebut nama Hardy, Maria ketap bibir tersedu-sedu.
Jeslina pula tak tahu apa yang patut dilakukan lagi. Dia tak tahu apa masalah Maria jika Maria tak ceritakannya.
“Hardy… Hardy dah tinggalkan saya. Dah sebulan lebih, Jes. Dia pergi Chicago dengan Sophie.”
Jeslina memekup mulutnya dek terkejut. Dia langsung tak tahu yang Maria sudah berpisah dengan Hardy. Lebih menyedihkan, Hardy meninggalkan Maria kerana Sophie.
“Maria, saya minta maaf. Saya tak tahu.”
Maria cuba senyum walaupun sedih. “Tak apa, Jes. Kalau saya menangis sekalipun, dia takkan balik kepada saya. Cuma…”
“Cuma apa, Maria?”
“Perakam yang dia bagi untuk hari jadi saya tahun lepas dah hilang. Sebab tu saya sedih. Dan perakam tu dah macam diari saya. Kalau orang lain dapat…” Tak sanggup Maria nak habiskan kata-katanya. Dia harap tiada siapa yang menemuinya walaupun ia telah hilang.
Jeslina melepaskan keluhan ringan. Kalau dia jadi Maria, dia juga akan menangis bagai nak rak. Tetapi, dia masih tertanya-tanya kenapa Maria masih menangisi lelaki yang telah mengkhianatinya? Lelaki seperti Hardy tak layak untuk kawannya itu.
“Maria, lupakan Hardy. Ramai lagi lelaki lain kat luar sana. Awak ada rupa. Awak cantik. Senang saja awak nak cari pengganti. Awak kena move on Maria. Macam saya. Dah lima tahun saya solo. Tapi, saya gembira dengan hidup saya. Saya boleh buat apa saya nak buat, nak pergi mana-mana tak ada orang nak marah. Boleh berkawan dengan sesiapa aje. Tak ada orang nak cemburu. Tak perlu jaga hati orang.”
Kata-kata Jeslina ada benarnya. Dia pernah terdetik begitu. Untuk melupakan Hardy, dia perlukan masa. Kalau Hardy bukan untuknya, dia reda. Saat itu, dia mungkin sudah bersedia untuk mencari cinta baru.
MESYUARAT tentang Majlis Lelongan Amal baru saja berakhir. Semua pegawai yang terlibat mula meninggalkan bilik mesyuarat dan tinggallah Effan dengan setiausahanya.
Elaika perasan yang Effan kurang fokus ketika mesyuarat berlangsung. Dia mula terfikir jika ada sesuatu yang tak kena dengan bosnya.
“Tuan, saya tengok tuan macam tak fokus aje masa meeting tadi. Tuan ada masalah ke?” soal Elaika yang begitu prihatin terhadap bosnya. Apabila Effan tak bersemangat begini, dia jadi bimbang. Dia tahu Effan juga manusia biasa yang tak boleh lari daripada masalah.
Elaika dipandang dengan ekor mata. Dia tiada apa-apa masalah. Tetapi, alat perakam itu yang menghantuinya sejak semalam. Luahan hati dan esakan Maria terngiang-ngiang di telinganya. Selagi dia tak pulangkan alat perakam itu dan minta maaf kepada Maria, mungkin hatinya takkan tenang.
“Ika, awak ingat lagi yang saya nak awak cari seorang perempuan yang namanya Maria?”
Elaika berfikir sejenak kemudian angguk. Dia masih ingat. Sampai hari ini dia tak dapat ingat di mana dia lihat nama itu.
“Orang tu saya dah jumpa,” beritahu Effan tanpa selindung lagi.
Rahang Elaika terjatuh. Pantas saja wajah wartawan bernama Maria menari-nari di ruang matanya.
“Maksud tuan, wartawan tu ke?” Mata Elaika tersembul sedikit.
Effan angguk apabila Elaika berikan jawapan yang tepat. Cepat saja Elaika meneka.
“Oh my God! Dia ke tuan? Patutlah nama dia familiar. Kenapalah saya tak terfikirkan dia?” Elaika rasa mahu saja ketuk kepala sendiri dengan tablet.
“Tapi, saya dah buat satu kesilapan besar, Ika.”
Elaika cuma kerut dahi. Kesilapan apa pula yang telah bosnya lakukan kepada Maria? Persoalan itu hanya tercetus dalam hati Elaika.
“Never mind. Ika, awak ada nombor telefon dia?”
“Nombor ofis dia adalah, tuan. Tuan nak sekarang ke?” Anak mata Elaika mengekori pergerakan Effan yang mula bingkas bangun. Bosnya keluar dari kerusi dan melangkah ke pintu.
Apabila pintu dibuka, Effan menoleh.
“Awak telefon dia dan sambungkan ke bilik saya.”
Elaika telan liur dan angguk. Dia malas nak fikir apa masalahnya bosnya. Dia mengikut jejak langkah Effan meninggalkan bilik mesyuarat. Semua lampu dan alat penghawa dingin dimatikan. Jimat tenaga.
SEJAM lalu baru Maria dapat fokus dengan kerjanya. Dia sedang menulis artikel tentang temuramah dengan Effan semalam. Itu baru pengenalan. Jari-jemarinya laju mengetuk papan kekunci.
Kepalanya disarungkan dengan headphone. Lagu-lagu yang ada dalam koleksinya dimainkan menggunakan Window Media Player. Walaupun ada ketika otaknya beralih pada lirik lagu, dia cepat-cepat membuangnya. Sampaikan dia tertaip lirik lagu yang dimainkan.
Ketika asyik menulis sambil melayan lagu, Maria tak sedar telefon di mejanya berdering.
Jeslina rasa terganggu dengan deringan telefon dari meja Maria. Dia syak Maria tak dengar deringan itu dengan telinga bertutup. Dia bingkas daripada tempat duduknya dan pergi jawab panggilan itu. Setelah dia datang, barulah Maria sedar.
Maria tanggalkan headphone daripada telinganya.
“Untuk awak.” Jeslina serahkan gagang kepada Maria. Maria pula tayang muka blur. Terus dia bawa gagang ke cuping telinga. Setelah gagang bertukar tangan, Jeslina kembali ke tempat duduknya.
“Helo. Maria cakap.”
“Maria, Ika sini.”
Oh, setiausaha Effan. Tapi, ada apa dia telefon aku?
“Ya, Puan Ika. What’s up?” Maria buat-buat tanya.
“Bos saya nak cakap dengan awak. Kejap ya saya sambungkan.”
Suara Elaika hilang di talian. Nada dering untuk disambungkan ke talian Effan berdendang. Beberapa saat kemudian, ada suara bergema. Tubuh Maria tertegak.
“Maria, saya ni.”
“Err… ya, Encik Effan? Ada apa-apa yang belum beres ke?” Maria rasa tak sedap hati.
“Saya nak jumpa awak kalau awak tak keberatan.”
“Hah?” Maria kaget. Semerta dahinya berkerut.
“Ada benda mustahak. Please.”
Maria diam menyepi di taliannya. Berfikir. Apa yang belum selesai? Dia tak dapat meneka perkara mustahak yang Effan maksudkan. Tetapi, apa kaitan dengannya?
“Okey. Bila?” Maria setuju tanpa fikir panjang kerana dia hormati Effan sebagai seseorang. Dia juga perlu menjaga imejnya sebagai wartawan.
“Nanti saya jemput awak. Jangan risau. Saya akan pergi dengan drebar saya. Awak balik pukul berapa?”
“Tak tentu masa. Hari ni mungkin lewat. Saya nak siapkan artikel.”
“What about at 6 p.m?”
Pukul 6? Maria tak kisah soal masa. Dia cuma kisahkan tentang perkara mustahak yang Effan katakan tadi. Ini yang membuatkan dia tertanya-tanya dan tak sabar untuk mengetahuinya. Tanpa banyak songeh, Maria terus setuju. Dia akan tunggu Effan datang menjemputnya di pejabat saja. Sementara itu, dapatlah dia siapkan artikelnya itu. Seminggu saja lagi masa yang ada.
Headphone dipasang semula ke kepala. Jari-jemari bersedia di atas papan kekunci. Maria membaca semula perenggan pertama yang sudah ditulis dan menyambungnya.
“Figura berusia 32 tahun ini tidak lokek berkongsi kisah kejayaannya. Malah, tak lekang dengan senyuman dan sangat disenangi. Berkongsi suka duka meniti kejayaan, Muhammad Effan Fathullah bin Datuk Muzafar akui bukan mudah untuk mendaki puncak. Segala usaha kerasnya sudah dibayar. Tidak terfikir untuk bergelar jutawan pada usia 29 tahun, Effan tegaskan ia satu pencapaian diluar jangkaannya. Ujarnya lagi, kejayaan ini bukanlah atas dasar pengaruh sebagai anak kepada ahli perniagaan, Datuk Dr. Muzafar bin Haji Noh. Tiada tips kejayaan. Effan hanya pastikan solat lima waktunya sempurna.” Maria menyebut apa yang ditulis berdasarkan drafnya. Habis perenggan kedua. Senyuman terbentuk di bibir Maria.
No comments:
Post a Comment