Sunday, 16 October 2016

WILL YOU MARRY ME, MARIA? 14






BAB 14



EFFAN layari internet dan buat carian tentang tips untuk melupakan bekas kekasih. Hari ini dia telah melantik dirinya menjadi penasihat cinta Maria untuk menyelesaikan masalahnya. 

Banyak keputusan carian, tetapi Effan pilih yang paling atas dalam senarai carian itu. Dia klik pautan dan baca sepintas lalu. 
“Okey. Kat sini dia bagi tujuh tips untuk kita lupakan bekas kekasih. Memandangkan hari ni genap umur awak 27 tahun 8 hari, saya nak awak buat satu perubahan dalam diri awak.” 
Maria lihat ke mata Effan. Anak mata Effan bergerak dari kiri ke kanan. Tekun sungguh membaca. 

“Tips pertama, ceriakan diri.  Maksud kat sini, awak kena buat sesuatu untuk ceriakan diri contohnya pergi bercuti, shopping, pergi spa atau buat aktiviti yang awak suka. Dengan cara ni, masa untuk awak fikirkan pasal bekas kekasih akan terhad.”

Maria angguk lesu. Manalah dia ada masa untuk buat semua itu. Nak pergi salon potong rambut pun tiada masa.

“Tips kedua, keluar jumpa kawan-kawan. Bila jumpa kawan ni, mesti macam-macam yang kita sembang, kan? Jadi, awak tak ada masa dan ruang untuk fikir pasal bekas kekasih awak.”

Maria angguk lagi. Dia dengar dengan teliti. Dia perlu tunjuk yang dia hargai usaha Effan untuk membantunya walaupun bosan melanda. Tambahan pula suasana di cafĂ© itu agak sepi. Ada pelanggan pun masing-masing membaca dan menikmati minum petang. Effan pilih tempat ini sebagai rendezvous mereka. 

“Tips ketiga, pandang ke depan. Maknanya, barang yang lepas jangan dikenang lagi. Kalau dah putus tu, putus aje. Buat apa nak fikir pasal dia lagi?”

Amboi, macam marah. Maria kerut kening bila Effan pandangnya sebelum kembali menatap skrin komputer ribanya.

“Tips keempat pulak, elak bercerita pasal bekas kekasih. Kalau boleh, jangan sebut lagi nama dia. Tips kelima, kalau masih simpan SMS ke apa, padam semua. Sebab benda tu akan jadi penghalang untuk lupakan dia. Awak masih simpan ke SMS dia dalam handset awak?” Kali ini Effan menyoal tanpa memandangnya. 

Maria angguk.

“Masih simpan? Okey. Awak delete semua. Buat sekarang,” tegas Effan lalu merenung gadis di depannya.

“Sekarang? Nantilah. Banyak sangat SMS dia. Nanti saya delete dekat rumah aje. Encik Effan percayakan saya aje.”

“Saya tak percaya. Buat sekarang. Delete sekarang. Semua sekali. Nombor telefon dia pun delete sama.”

Wah, ini dah tahap mendesak. Kakak aku pun tak adalah sampai paksa macam ni. Penasihat aku ni dah lebih kuah daripada sudu. Hisy, menyesal pula ikut dia tadi.

“Tunggu apa lagi? Kalau nak lupakan bekas kekasih, kena buat betul-betul. Awak kena tutup buku lama dan buka buku baru. Faham?”

Dengan berat hati, Maria keluarkan telefon pintar daripada beg tangannya. Dia lakukan seperti yang Effan suruh. Semua mesej yang dihantar oleh Hardy dulu dipadam. Begitu juga nombor telefon lelaki itu.

“Dah?”

Maria anggukkan kepala. Habis semua pesanan cinta daripada Hardy dipadamnya. Sedihnya.

“Bagus. Tips seterusnya, elakkan bersendirian. Rasanya tak ada masalah yang tu sebab awak takkan sunyi lagi. Saya akan selalu kacau awak.”

“Apa?” Maria terkejut dengan kata-kata Effan. Namun, Effan abaikan dengan membaca tips seterusnya.

“Okey, tips ni penting. Awak kena buang semua barang yang boleh buat awak ingat pasal dia. Ada tak?”

Maria cuma mematung. Memang ada, tetapi perlu ke dia buang? Sayanglah. Effan memang kejam.

“Adalah tu, kan? Kalau ada, awak kena buang semua. Jangan tinggal satu pun.” Effan kerling Maria sekilas pandang.

“Tapi…”

“No buts! Awak kena buang.”

“Kalau ada pun, dekat rumah. Balik rumah nanti saya buanglah,” balas Maria dengan mulut tersorong-sorong ke depan.

“Janji dengan saya yang awak akan buang semua. Janji?”

“Ya. Janji.” Maria buat muka cemberut. Terpaksa.

Effan kembali baca. Jari telunjuk aktif atas papan sesentuh.

“Yang lain-lain ni, biasa aje. Kalau dia masih ada dalam friend list awak dekat laman sosial, unfriend atau unfollow aje. Dah unfriend tu, jangan gatal-gatal nak stalk pulak. Ramai perempuan buat macam ni dekat ex-boyfriend dia.”

Maria sudah lama buang Hardy daripada senarai kenalannya di laman sosial. Cuma, dia tak pernah stalk Hardy seperti yang Effan katakan. Kalau dia buat begitu, dia juga yang makan hati tengok kebahagiaan si dia. 

“Last but not least, rebound. Awak faham apa tu rebound?”

Dahi Maria berkerut. Dia geleng kepala tanda tidak tahu.

“Rebound ni macam awak cari pengganti dia untuk buat awak lupakan dia. Something like that,” ulas Effan ringkas dan padat.

Baru Maria faham. Tapi, dia tak perlu cari seseorang untuk buat dia lupakan Hardy. Dia bukan terdesak untuk cari pengganti.

Selesai sudah tips-tips yang diberikan oleh Effan beserta huraian. Dia fokus kepada Maria.

“Tak susah kan? Mulai sekarang, kita akan buat sama-sama.” Effan berikan senyuman paling manis buat Maria.



MARIA buka pintu biliknya dengan hati-hati. Dia jenguk ke luar. Nadia sudah masuk tidur. Jadi, inilah masa yang sesuai untuk Maria jalankan misinya. Dia menuruni tangga ke dapur dan mencari pemetik api. Kemudian dia ke laman belakang. Di situ ada satu tempat khas untuk membakar. Walaupun sudah hampir tengah malam, ada rumah yang masih terang-benderang di sekelilingnya. Dia tak risau dengan apa-apa bahaya.

Barang-barang yang pernah Hardy bagi dan apa-apa yang berkaitan dengan lelaki itu, Maria kumpulkan dalam satu kotak. Dia akan bakar semua kenangan yang pernah terukir bersama Hardy. Tips-tips yang dibaca oleh Effan tadi ada juga gunanya.

Maria petik alat pemetik api dan ambil gambar dia dan Hardy untuk dibakar. Apabila api mula membakar, dia campak ke dalam kotak itu. Perlahan-lahan api merebak. Daripada api yang kecil, ia menjadi besar dan marak. Maria menjauhi diri daripada tempat pembakaran. Dia merenung tanpa kelip api yang sedang membakar semua kenangannya. Debu-debu berterbangan naik ke udara.

Telefon pintar yang dikepit dicelah ketiak dikeluarkan. Dia pergi ke kamera dan ambil gambar tempat pembakaran itu. Lalu dia hantar kepada Effan untuk dijadikan bukti.

Maria sambung merenung ke dalam kotak yang turut dijilat api. Sekarang, kenangan yang Hardy tinggalkan sudah lenyap. Dia rasa bebas. Bebas daripada belenggu Hardy. Maria akan pandang ke depan dan buka diari baru.

“Terima kasih, Encik Effan,” ucap Maria seraya melempar pandang ke langit luas yang tak bertepi.




No comments:

Post a Comment