Bab 11
SERABUT. Memang serabut. Tertekan. Aku tak tahu kepada siapa aku nak luahkan. Kepada cinta hati aku, takkan sekali-kali. Lagipun ini masalah yang aku cari sendiri. Aku dan Fafa jadi renggang. Amar pun tak ada mesej atau telefon aku lagi. Aku lagi suka kalau dia sudah tak ganggu hidup aku. Tapi hari tu Amar cakap yang dia belum selesai dengan aku. Maknanya, dia akan ganggu aku lagi?
Malam ini, aku rehatkan fikiran. Aku tak periksa e-mel seperti aku lakukan tiap hari. Mood aku hilang. Aku rasa penat dan nak tidur lebih awal. Baru nak pejam mata, telefon bimbitku berdering. Ada saja yang mengacau. Aku lihat skrin. Nama ayah tertera.
Aku cepat-cepat jawab. “Assalamualaikum ayah.”
“Waalaikumussalam. Kamu tengah buat apa?”
“Dhiya baru nak tidur. Kenapa yah? Kenapa suara ayah lain aje? Ada apa ni ayah?”
Suara ayah sepi seketika. Aku rasa berdebar dan tak sedap hati.
“Dhiya, ayah nak bagi tahu kamu. Pasal kak long.”
“Kenapa dengan kak long, yah?” Perlahan-lahan aku angkat tubuh dan bersandar pada katil.
“Kakak kamu ikut jantan pergi Lombok.”
“Apa?” Aku terpempan. “Lombok? Mana ayah tahu?”
Aku mengucap dalam hati. Apa kak long sudah buat ni? Kenapa dia sanggup ikut lelaki Lombok? Aku tahu dia sudah kena pukau. Dia tak tahu ke ramai yang terjerat cinta lelaki Lombok? Bila pergi sana, hidup merempat, hidup susah. Ya Allah, kau selamatkanlah kakakku daripada kesusahan.
“Ada orang bagi tahu ayah. Sebelum ni dia ada balik. Sudah banyak kali ayah nasihat. Tapi dia tak dengar. Dia tetap nak kahwin dengan lelaki itu dan cakap nak ikut lelaki tu balik Indonesia,” cerita ayah.
Tanpa sedar, aku menitiskan air mata. Aku sedih mengenangkan sikap kak long yang degil. Aku takut dia akan hidup susah di sana.
“Ayah, mak macam mana?” Tiba-tiba aku teringatkan mak. Tentu mak lebih sedih memikirkan kak long.
“Mak kamu ada. Dia pun sedih dan risaukan kakak kamu.”
Aku buntu. Masalah kak long ni terlalu besar. Mana nak cari di Lombok? Kami tak tahu lelaki mana yang dia ikut. “Ayah nak buat apa sekarang?”
“Entahlah, Dhiya. Ayah buntu. Ayah cuma buat solat hajat. Supaya Allah gerakkan hati dia untuk balik sini semula. Ayah pun dah buat laporan polis.”
Aku melepas keluhan berat. Kak long, kak long... Kenapa kak long sanggup buat mak dan ayah macam ni?
“Ayah, kita sama-sama doa ya. Insya-Allah. Kak long akan balik nanti.” Aku pujuk ayah. Kami perlu berdoa dan wakilkan kepada Allah untuk menjaga kak long di sana.
Perbualan dengan ayah buat aku sukar untuk lena. Fikiran aku sarat memikirkan tentang kak long. Aku jadi risau fikirkan dia. Di mana dia tinggal? Macam mana keadaan dia? Adakah dia dilayan dengan baik? Semua tu aku takkan dapat jawapannya. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“DHIYA, kenapa muram aje ni? Dhiya ada masalah ke?” soal mama ketika sama-sama bersarapan.
Aku pandang mama dengan mata yang layu. Tak cukup tidur punya pasal. “Mama, masa balik kampung hari tu, ada tak mak Dhiya cakap apa-apa dekat mama pasal kakak Dhiya?”
Mama berfikir. Kemudian geleng. “Tak ada. Kenapa? Dua kali mama pergi sana, tak pernah mama jumpa dia. Kenapa Dhiya?”
Aku tunduk merenung pinggan nasi gorengku. Mulalah nak mengalirkan air mata. Perempuan ni memang senang menangis. Hati mereka mudah tersentuh. “Kakak Dhiya ikut lelaki pergi Lombok.”
Aku dengar mama mengucap panjang. “Bila lagi?”
“Dah seminggu, mama. Sekarang mak dengan ayah risau sangat. Kami tak tahu nak buat apa. Kami tak tahu siapa lelaki tu. Kat mana dia tinggal di Lombok.”
“Suruh ayah buat repot polis.”
“Ayah dah buat repot polis. Tak tahulah macam mana tu, mama. Antara kami empat beradik, kak long aje yang jenis tak dengar kata. Dia selalu lawan cakap ayah dengan mak.”
Mama geleng kepala. Bila seorang anak menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, hidup mereka tak berkat. Allah akan berikan kesusahan. Sudah jelas sekarang apa yang terjadi kepada kak long.
“Kadang-kadang mama bersyukur sebab tak ada anak. Sekurang-kurangnya dia takkan jadi anak derhaka. Tapi, bila fikir balik, siapa yang nak sedekahkan al-Fatihah bila mama dah tak ada nanti?” Suara mama bertukar serak.
“Mama, jangan cakap macam tu.” Aku menggenggam tangan mama.
Mama senyum walaupun di ambang tangisan. “Mama okey. Jangan risau. Cepat makan.”
Aku tumpang sedih melihat mama. Mukanya merah menahan tangis. Mama habiskan nasi goreng. Aku sekadar perhatikan mama. Selera pun hilang.
Selepas sarapan, aku dan mama pergi kedai. Hari ini mama tak ke mana-mana dan akan berada di kedai. Aku seronok sangat sebab aku takkan keseorangan.
Bila kedai dibuka, aku pusingkan plat CLOSED kepada OPEN. Mama terus ke kaunter. Aku kemas dan susun apa yang patut. Depan mama buat-buat rajin. Bila mama tak ada, aku duduk saja. Hehehe...
Semasa aku menyelak bidai, aku nampak sebuah kereta di depan kedai. Kereta jenis Honda Hybrid. Di dalam kereta itu ada pemandu lelaki dan asyik memandang ke arah kedai. Dalam samar-samar, aku nampak lelaki itu menelefon seseorang. Eh, telefon aku yang berdering. Aku keluarkan dari beg tangan dan tengok pemanggilnya Amar. Aku kembali berdiri depan pintu kedai. Merenung ke arah kereta itu.
“Awak dah nampak saya?” soal Amar sebaik aku jawab.
“Jadi awaklah dalam kereta tu? Apa awak buat kat sini?” soalku terkejut. Jadi, Amarlah dalam kereta kat depan itu. Kenapa aku tak cam muka dia?
“Saya nak jumpa awak sekarang.”
Rahangku terjatuh. Ini semua gila. Dia sanggup datang sini untuk jumpa aku? Apa kes?
“Masuk kedai,” arahku. Kali pertama, aku bagi arahan kepada Amar.
Aku tunggu di depan pintu dan aku lihat dia sarungkan topi ke kepala. Kemudian Amar keluar dari kereta sambil toleh kiri dan kanan. Rasa mahu saja aku nak jerit yang tak ada siapa akan perasan dia. Lagipun belum ramai yang buka kedai. Macam ala-ala ejen rahsia, Amar masuk ke dalam kedai cepat-cepat. Sampai terdorong aku ke arah pasu bunga tepi pintu.
“Kalau ya pun, jangan gelabah sangat.” Aku memarahinya. Pedulilah dia tu artis ke siapa.
Amar kini berdiri depan aku. “Awak ingat saya nak buat kerja gila ni?”
“Kerja gila apa?”
“Jumpa awak.”
“Kenapa datang jugak?” Aku dan dia kembali bertekak. Kalau datang jumpa aku satu kerja gila, dia tak perlu buang masa tunggu aku di depan kedai. “Mana manager awak?”
“Cuti.”
“Dhiya, siapa datang tu?”
Aku dan Amar berpaling ke arah suara mama yang datang dari pantri. Mama tergamam. Langkah terpaku ke lantai.
Aku pandang Amar sambil garu-garu leher yang tak gatal. “Mama... I mean, my mama.”
Pandangan Amar jatuh ke arah mama. Tiba-tiba Amar berubah karakter. Dia menghampiri mama dan mencium tangan mama. “Apa khabar, mama?”
Aku berkerut. Dia panggil mama juga?
“Kamu ni Amar Affandy, kan? Eh, boleh tak nak bergambar dengan kamu? Dhiya, tolong ambil gambar mama dengan Amar.” Mama letakkan minuman dia di atas meja dan dapatkan Amar untuk bergambar kenangan.
Aku lihat Amar tenang saja. Tak seperti masa berjumpa Fafa, peminat fanatiknya. Aku terpaksa ambil kamera dan snap gambar mama dan Amar. Mama bukan main lagi pose. Gaya itu, gaya ini. Aku ambil juga. Amar pula, senyum memandang. Kali ini mesra pula dia dalam gambar. Tak nampak macam terpaksa.
“Cukuplah tu, mama.” Aku berhenti ambil gambar. Dah penat tangan ni. Lagipun aku bukan jurugambar.
“Tak sangka artis popular masuk kedai mama. Nanti mama nak letak gambar kat sini. Mesti ramai yang tak sangka Amar Affandy masuk kedai mama.”
Aku tengok mama macam Fafa semasa kali pertama jumpa Amar. Amar pula tersenyum bangga. Rasa popular sangatlah tu agaknya.
“Jemput duduk. Biar mama ambilkan air.”
“Eh, tak perlu, mama,” tegahku. Aku mendengus kecil. Mama lebih-lebih pula bila jumpa artis ni.
Amar menuju ke ruang tamu. Aku pula memaku kaki di tempat aku berdiri. Mama pergi ke pantri.
“Apa tercegat kat situ? Sinilah,” panggil Amar bila aku tetap berdiri di posisiku.
“Kenapa awak datang lagi? Tak selesai lagi ke kes hari tu? Saya dah penat tau. Sekarang saya ada masalah lagi besar tahu tak.” Tiba-tiba aku mengeluh depan Amar. Masa di universiti dulu, aku dengan Amar mana pernah bertegur sapa. Kali ini keadaan berbeza.
“Sebenarnya saya datang ni nak tutup kes.”
Leganya rasa. Kalau dari awal dia beritahu, tak perlu aku bebankan fikiran untuk fikir hal dia, kak long dan Khalif. Semua serentak dalam kepalaku. “Kira selesailah ni?”
“Ya.”
Aku tersenyum gembira. No PC.
“Kenapa awak tiba-tiba nak selesai cara baik?” soalku. Rasa pelik sikit.
“Sebab saya fikir tu semua buang masa saya aje. But still, I can’t accept that you are not my fan.”
“Dari dulu saya memang bukan peminat awak. Dulu awak sombong. Mana nak tegur orang macam saya.” Aku ungkit cerita lama.
“Sombong ke?”
“Sombong sangat. Kalau bercakap pun, pilih yang lawa-lawa aje. Awak ingat saya tak tahu ke semua tu?” bidasku.
Amar senyum saja. Dia pun perasan agaknya yang dia pilih bulu. “Itu dulu.”
“Dulu dan sekarang, tak sama ke?” Aku perli Amar.
Amar ketawa. Detik ini, Amar dan aku berbual seperti junior dan senior. Macam sudah kenal lama. Aku berbual dan tanya tentang kariernya. Lama-lama perbualan kami bertambah mesra. Lagipun dia sudah maafkan aku. Bila mama ikut serta, kami bertiga rancak berbual. Sampai aku terpaksa bangun dan pusingkan plat kepada CLOSED. Nak berbual dengan superstar punya pasal.
No comments:
Post a Comment