Wednesday, 6 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 6



Bab 6



“CANTIK.” Aku memuji Tijah yang sudah siap dimekap oleh Kak Mas. Tijah memang cantik dengan mengenakan tudung dan selendang. Dipadankan dengan baju labuh berwarna pic berlabuci. Anggun sangat.
“Betul cantik?”

“Betul.” Aku angguk.

“Thanks,” ucap Tijah. Tersenyum-senyum Tijah di depan cermin.

“Kalau Adib tengok ni, tak berkelip mata.” Aku mengusik Tijah. Lantas ketawa bersama.

Ketawa kami terhenti bila dikejutkan dengan panggilan daripada Adib. Aku berikan ruang untuk Tijah bercakap dengan bakal tunangnya. Jadi, aku keluar dari bilik Tijah dan menjengah ke dapur. Apa hidangan untuk para rombongan nanti?

Semasa aku menapak di dapur, Khalif masuk bersama besen dan dihulurkan kepada Mak Mah. Ada beberapa orang lagi orang kampung dan saudara membantu. Aku turut sumbangkan tenaga. 

“Dhiya, kenapa tangan kamu berbalut ni?” soal Mak Cik Kiah, jiran kami.

“Jatuh tadi,” jawabku seraya menyembunyikan tangan daripada pandangan.

“Pergilah naik. Tak payah tolong. Tak banyak pun yang kena buat. Tangan berbalut macam tu, macam mana kamu nak buat kerja?”

Baru nak tunjuk rajin, Mak Cik Kiah halau aku dari dapur. Aku perasan Khalif tersenyum.

“Ni, tolong abang kat luar ni.” Khalif mencelah. Siap melambai aku supaya keluar membantunya di luar.

Aku tercengang. Ni ada udang di sebalik mi ni. Lebih baik aku elak sebelum terjadi apa-apa. 

“Tolong apa?” Aku bertanya. Perlahan juga aku bangun menuju ke arah Khalif. 

Khalif mengelak dari muka pintu ketika aku nak menjengah kepala. Aku lihat ada kuali besar di atas dapur kayu api. Ia mendidih dan berasap. Cuma Khalif ada di luar. Kalau ayah dia masih hidup, tentu arwah akan menyumbang tenaga. Sekarang, semua tanggungjawab itu tergalas di bahu Khalif sebagai anak sulung dan wali Tijah nanti.

“Masak apa tu?”

“Tengah tumis,” jawab Khalif. 

Aku angguk kepala. Aku keluar dan sarung saja selipar yang ada di situ. Walaupun tangan berbalut, aku ambil sudip panjang dan kacau ke dalam kuali besar itu. Percikan minyak yang mendidih sesekali terkena pada tanganku. 

“Ni masak apa ni?” Aku bertanya lagi. 

Khalif berdiri di sebelah memerhati. “Ayam masak merah.”

“Ramai ke yang datang?”

“Ada dalam 30 orang.”

Ramai juga. Nasib baik Adib dari kampung sebelah. Kalau aku dengan Khalif, selang dua buah rumah saja. Boleh pergi jalan kaki. 

Aku menoleh Khalif di sebelah. Dia merenung ke dalam kuali. “Awak masak?”
Khalif cuma tarik senyum.

“Pandai jugak.”

“Tak pandai pun. Setakat masak air, nasi, bolehlah.” Khalif bergurau. Lelaki sepertinya memang merendah diri.

Aku cuma senyum dengan pengakuannya. Malas nak percaya.

“Dhiya pandai masak?”

Soalan cepumas. Ni sesi temu duga cari calon isteri ke?

“Tak pandai. Sama macam awak. Cuma bezanya saya tahu masak air aje.” Aku membalas gurauannya.

Aku dengar Khalif ketawa. Dia fikir aku betul-betul bergurau agaknya. 

“Kenapa lelaki kalau nak cari isteri, mesti nak yang pandai masak? Tapi perempuan tak kisah pun kalau lelaki tak mampu jadi imam. Bagi dia, selagi lelaki ada keinginan nak belajar dan berubah ke arah kebaikan, tu dah cukup baik.” Aku tak puas hati betul kalau ada lelaki yang pertikai kemahiran memasak seorang gadis untuk dijadikan calon isteri. 

Kenapa mesti pandai memasak jadi kriteria utama?

“Tak semua lelaki tetapkan syarat yang seorang isteri mesti pandai memasak.”

Huraian Khalif amat ringkas tapi cukup untuk buat mulutku terkunci. Macam terkena balik saja.

“Okey.” Aku kelu. Dan aku setuju dengan kata-katanya. Tak sanggup bertatapan dengan Khalif, aku teruskan mengacau tumis dalam kuali. 

“Dah pecah minyak ni. Bolehlah letak ayam,” kataku. Seraya memandang Khalif. 

Lelaki itu tersenyum.

“Tahu masak air aje?” ulangnya. Perli kut.

“Habis tu?”

“Cara awak cakap tadi macam awak pandai masak aje.”

Aku mendengus kecil. 

“Kalau saya pandai masak, mesti saya boleh bezakan ketam jantan dan ketam betina.” Aku membidas.

Kali ini Khalif tergelak. Pasal di pasar tadilah. Ada orang ajar aku cara untuk kenal jantina ketam. Malu kat pak cik yang jual ikan tu.

“Tu bukan basic memasak,” katanya.

“Jadi, bila nak masukkan ayam?” Aku abaikan kata-kata Khalif.

Khalif senyum dan bergerak ke satu tempat untuk mengambil ayam yang telah digoreng. Dengan hati-hati Khalif masukkan ke dalam tumis. Takut terpercik ke arahku pula. Selepas semua dimasukkan, aku gaul rata ayam dengan tumis.

“Biar abang buat.” Khalif cuba mengambil sudip dari tanganku. Dia memegang bahagian tengah sudip. Terus aku lepaskan sudip itu.

Aku jadi pemerhati di situ. Khalif mengacau ayam di dalam kuali dengan penuh kepakaran. Macam cef pula. Cukup mahir dan cekap. Hati aku terdetik lagi. Khalif punya pakej yang cukup untuk dijadikan suami. 

“Bila balik KL?” Dalam sibuk mengacau, masih lagi nak menemu ramah aku.

“Esok.”

“Samalah. Esok abang kena lapor diri kat UIA.”

“Tahniah,” ucapku. Bakal pensyarahlah katakan.

“Sebab?” Khalif toleh ke wajahku.

“Tijah cakap awak dapat tawaran jadi pensyarah kat sana. So, tahniah,” kataku lagi. Entah kenapa, aku tak boleh bahasakan dia ‘abang’ walaupun dia membahasakan dirinya abang denganku. 

Senyum Khalif terus melebar. “Rezeki daripada Allah.”

Sentiasa bersyukur dan ingat Allah. Kenapa setiap percakapan Khalif buat hati aku terusik? Diakah lelaki yang aku cari selama ni?

“Alhamdulillah.” Aku juga panjatkan syukur. Dan aku terus perhatikan Khalif.


ROMBONGAN pertunangan pihak lelaki sudah tiba. Aku menemani Tijah di dalam bilik. Tunggu mak pihak lelaki masuk sarungkan cincin. Ketika pihak lelaki dengan pihak perempuan bersembang di luar, aku dan Tijah bersembang di dalam bilik.

“Kau cakap apa dengan abang aku tadi?” soal Tijah. 

“Mana ada cakap apa-apa. Dia cuma tanya aku bila nak balik KL. Tu aje.”
Tijah mengulum senyum. Aku sudah faham maksud senyumnya.

“Firasat aku memang betullah, Dhiya. Aku tahu abang aku suka kat kau. Dia lain dengan kau.” Tijah tak puas hati lagi tentang abangnya. 

Aku pula yang jadi tak tentu arah. “Kau jangan main serkap jarang. Belum tentu lagi abang kau suka kat aku.”

“Tak. Aku tak serkap jarang,” nafi Tijah dalam waktu sama sedaya upaya nak yakinkan aku.

“Okey, okey. Kalau betul dia sukakan aku, kau ingat aku sukakan dia?”

Air muka Tijah berubah riak. “Kau... tak suka abang aku?”

“Tak. Bukan macam tu, Tijah. Jangan salah faham. Aku suka sikap abang kau. Dia lelaki yang baik. Maksud aku, terlalu baik. Aku suka. Cuma...”

“Dhiya, please... Jadi bidadari dalam hidup abang aku. Aku tahu, dia ada hati dengan kau. Dia tak berani nak terus terang. Dia malu sebab dia tak pernah berkawan dengan mana-mana perempuan. Kau sanggup terima dia?”

Aku kelu sebentar. Tak terduga Tijah akan merayu sebegini. Aku menggamit tangan Tijah. Tapi aku masih belum berdaya mengeluarkan suara. Berat permintaan daripada Tijah.

“Dhiya?” Tijah bersuara lagi. 

Aku masih kelu. Aku pandang tepat ke mata Tijah yang mula berkaca. Kenapa dalam saat macam ini jiwa Tijah sensitif pula?

“Aku tahu isi hati abang aku. Sejak kau balik ni, dia nampak lain.”

Nafas kutarik dalam-dalam. Susahnya rasa nak berkata-kata. Aku takut ada bicara yang menyinggung hati. Takut juga memberi harapan yang tak pasti.

“Tijah, aku suka abang kau. Tapi selagi aku tak dengar dari mulut dia sendiri, kau tak boleh suruh aku terima dia,” jelasku. 

Tijah tertunduk dan menggenggam tanganku yang berbalut. “Kalau dia terus terang dengan kau?”

Aku senyum. Berani ke Khalif nak mengaku yang dia sukakan aku? Mustahil. Tijah buat andaian tanpa usul daripada Khalif. Ni soal hati dan perasaan.

“Kita bincang lain kali pasal ni. Kejap lagi kau akan jadi tunangan orang. Kau dengar tu, orang tengah bincang pasal kau dengan Adib,” kataku lantas memasang telinga. 

Terdengar perbualan di luar membincangkan tentang Adib dan Tijah. Orang tua mereka mula berbincang tentang tarikh yang sesuai dan bila nak langsungkan perkahwinan. Aku rasa gembira bagi pihak Tijah. Semoga semuanya akan berjalan lancar dan penuh dengan limpah rahmat daripada-Mu, ya Allah.

Lebih kurang setengah jam kemudian, apabila sudah capai kata putus, maka ibu Adib bersama dengan mak Tijah iaitu mak teh masuk ke kamar Tijah. Aku dan Tijah tergamam. Aku beredar daripada Tijah apabila mak Adib masuk untuk sarungkan cincin pertunangan. Tijah tersenyum manis. Mengalahkan orang nak akad nikah. Aku pun tersenyum melihat kegembiraan pada wajah mereka, terutama Tijah. 

Cincin pertunangan selamat tersarung ke jari manis kiri Tijah. Tijah mencium tangan ibu Adib pula. Majlis yang ringkas. Sekadar memenuhi tuntutan. Dalam Islam pun tak galakkan adakan majlis pertunangan yang gah. 

Sekarang sudah menjadi trend di mana majlis bertunang sama macam majlis perkahwinan. Semua itu membazir dan menunjukkan sifat riak. Kan tak elok. Kalau giliran aku nanti, tak perlu bertunang. Segerakan saja pernikahan. Lagi bagus. Jimat dan tak banyak kos.

Apabila semuanya selesai, aku temani Tijah makan nasi bersama. Masa itu, cair semua mekap Tijah. Sedang berselera aku dengan Tijah makan, datang Khalif menyertai kami di dapur. Belum makan ke? Terdetik di hatiku sambil merenung pinggannya sejenak.

“Boleh abang join?”

Apalah hak aku nak melarang. Tijah pula tersengih-sengih bila abangnya duduk di sebelahku. Nak mengusiklah tu.

“Hmm, macam sepadan aje abang dengan Dhiya.”

Aku sudah agak. Tijah pasti akan jadikan ia sebagai usikan. Aku jegilkan mata ke arah Tijah. Jangan usik aku macam tu. Namun, Tijah kenyitkan sebelah matanya.

Aku dengar Khalif ketawa kecil. Lucu atau seronok dikenen-kenenkan oleh adiknya? Aku sebenarnya dalam hati rasa berbunga juga. Tetapi, betul ke Khalif ada menaruh hati kepada aku seperti yang Tijah katakan? Sejak pagi tadi, hati aku benar-benar terusik. Dalam pasar pun kami boleh bertemu. Sebab ketam tulah, aku rasa aku mula suka kepada Khalif. Kali ini aku yakin dengan perasaan aku. Dialah khalifah yang aku dambakan. 

Tak semena-mena aku dan Khalif bertentang mata. Dia senyum. Aku teragak-agak nak senyum. Kemudian senyumku melebar. Antara aku dan Khalif, bagai ada satu tarikan. Renungan dia, renungan aku, menunjukkan ada rasa suka antara satu sama lain. 

Ya Allah, seandainya dia yang Kau takdirkan untuk menjadi khalifahku, Kau berikanlah petunjuk. Kau permudah segala urusanku. Redailah perasaan ini dan berikan rahmat-Mu buat kami. Jika dia untukku, Kau dekatkanlah dia kepadaku. Andai dia bukan tercipta untukku, aku mohon kau jauhkanlah dia daripadaku. Amin.

Dalam hatiku mula memanjatkan doa. Jika kita mahukan seseorang, minta kepada Allah. Berdoa kepada-Nya semoga Dia kabulkan permintaan kita. Jika sebaliknya, pastinya Allah mahu pertemukan kita dengan insan yang lebih baik.
Kepulanganku kali ini memberikan satu semangat dalam diri. Khalif, bakal khalifahku, aku berdoa agar kaulah jodohku. Andai tertulis jodoh kita, ke mana saja kita pergi, kita pasti akan bertemu.

No comments:

Post a Comment