Thursday, 14 August 2014

JODOHKU SUPERSTAR 9


Bab 9



SAMPAI di rumah, senyap-senyap aku masuk dalam rumah memandangkan keadaan gelap. Mama mesti sudah masuk tidur. Aku tolak pintu perlahan-lahan dan tutup pintu lagi perlahan. Takut berbunyi nanti.

Aku rasa lega. Dekat jam 12.00 juga aku sampai ke rumah. Tak pernah aku keluar malam dan balik selewat ini. Rasa bersalah sangat dengan diri sendiri. Sebaik saja tapak kakiku melangkah, aku menjerit sekuat hati. 

“Baru balik? Dhiya pergi mana? Dhiya tahu tak sekarang ni dah pukul berapa? Mama telefon Dhiya tak jawab. Bukan dua kali. Berbelas kali mama telefon.” Suara mama memetir di depanku. 

Nyaris gugur jantungku. Mama pula berdiri di belakangku dalam gelap. Dalam samar, aku nampak mama bergerak ke arah suis lampu. Tap! Ruang tamu terang-benderang. Kini aku dan mama berdepan. Mama nampak marah sangat. Aku tahu aku telah buat salah. Aku bukan saja tipu mama tapi aku balik lewat. Kalau ayah tahu, mesti aku kena rotan. Sama masa kecil-kecil dulu.

“Dhiya tahu tak mama risau sangat? Anak dara balik lewat malam. Kalau apa-apa jadi kat Dhiya, apa mama nak jawab dengan orang tua Dhiya?” Suara mama yang memetir tadi bertukar lembut dan sayu.

Aku merenung mama. 

“Dhiya minta maaf, mama. Dhiya janji takkan buat lagi,” pintaku. Aku juga tak mahu mama tahu ke mana aku pergi. Biarlah ia menjadi rahsia.

Mama memandangku dengan rasa kecewa. Dia pasti tak sangka anak angkatnya akan buat macam ini. 

“Lepas ni, mama takkan bagi Dhiya keluar dengan kawan Dhiya lagi. Faham?” tegas mama. 

Aku tak mampu berkata apa selain akur dengan keputusannya. Mama pusing ke belakang dan naik ke tingkat atas. Aku hanya melihat mama berlalu. Langkahnya perlahan. Aku nampak kekecewaannya di atas sikapku. Mama, maafkan Dhiya. Dhiya takkan buat lagi. Dhiya janji. Dhiya janji, mama. Aku cukup menyesali kesilapanku malam ini. Aku rasa inilah kesilapan paling besar yang pernah aku buat.



AKU tertunggu-tunggu juga Khalif menghubungiku. Alih-alih dia bertanya khabar melalui e-mel juga. Dia tak tahu ke aku tak boleh balas e-mel dia kalau aku tak bayar bil broadband aku? Aku baru kerja dengan mama. Gaji belum dapat. 

Selepas penat memasukkan stok ke dalam kereta mama, hampir penuh tempat duduk belakang, aku melepaskan lelah di ruang tamu stokis. Membaca majalah dan surat khabar. Aku belek-belek surat khabar. Tak ada tajuk yang menarik. Balik-balik isu ragut, kemalangan, buang anak dan macam-macam lagi. Selalunya aku suka baca ruangan hiburan. Kemas kini cerita artis-artis Malaysia dan antarabangsa.

Tak semena-mena mataku terpaku melihat tajuk utama bahagian hiburan. Gambar Amar Affandy. Bukan ke ni gambar masa konsert kat Hard Rock Cafe? Ni kan tiga hari lepas punya konsert? Hari ini baru keluar surat khabar? Biar betul! Aku tengok bahagian atas surat khabar. La... patutlah. Ingatkan yang hari ni, omel hati kecilku.

Aku dengan pantas belek ke halaman belakang. Ia hanya cerita tentang perjalanan konsert Amar semalam. Aku baca sepintas lalu catatan wartawan. Bila masa wartawan ni temu ramah dia? Sanggup betul wartawan ni kerja lewat malam semata-mata nak dapatkan berita tentang artis. Malas nak baca sampai habis. Tak ada yang menarik pun. Tapi, aku tumpang bangga untuknya.

Tak sangka dia kenal juga aku. Sesombong-sombong dia, dia masih cam aku juniornya. Tak apalah. Memandangkan dia tak ada hubungi aku selepas konsert tu, aku anggap kes aku dan dia telah selesai. Jangan tiba-tiba sampai surat peguam sudah. Mana aku nak cari duit untuk upah peguam?

Surat khabar aku lipatkan semula dan letak di atas meja. Perasaan bosan mula berleluasa dan menghantui. Mama pergi hantar barang. Aku sendirian di stokis. Kalau ada pelanggan yang masuk, baru aku ada kerja. Sementara tak ada pelanggan, aku goyang kaki dulu.

Aku jadi gelisah. Bosan teramat sangat. Aku cari telefon bimbit dan hubungi Fafa. Hari itu bukan main pesan suruh ambil gambar Amar. Tapi dia terus senyap, tak tuntut-tuntut. Harap-harap dia telah balik dari India. 

Tatkala menunggu panggilan dijawab, tiba-tiba aku ternampak kelibat seseorang di luar kedai. Aku matikan dulu panggilan dan perhatikan ke arah pintu. Mungkin pelanggan yang datang. Dengan pantas aku beralih ke meja kaunter. Sekarang, akulah pengurus, akulah pegawai khidmat pelanggan dan jurujual pun aku juga.

Pintu kedai terkuak. Aku telah bersedia dengan senyuman.

“Selamat dating,” ucapku penuh ramah dan mesra. Mesra pelanggan.

Seorang wanita pertengahan abad masuk. Gayanya ala-ala Datin. Barang kemas berkilauan. Dia melangkah penuh gaya dan memandang sekeliling stokis.

“Boleh saya bantu?” Aku mulai bingkas. Wanita itu macam tak nampak saja aku di kaunter. Aku nampak satu warna ke dengan dinding sampai dia tak pandang? 

“Boleh saya jumpa Puan Sari?”

Puan Sari? Itu mama. Sarimah binti Omar.

“Dia keluar hantar barang.” Aku bersuara sambil tersenyum. Rasa kejang sudah pipi ini.

“Dah lama ke dia keluar? Bila dia balik?” Datin itu bertanya lagi. Datin barangkali.

“Saya tak pasti. Tapi saya boleh telefon dia kalau Datin nak jumpa dia.”

Datin itu geleng. Perlahan-lahan menuju ke ruang tamu dan berlabuh. Aku cuma pandang ke arahnya. Perlu ke aku terus berdiri di kaunter atau pergi ke tempat dia? Selepas berfikir sejenak, aku keluar dari kaunter dan pergi ke pantri untuk ambil minuman. Kebetulan ada air kopi yang aku baru bancuh. Sudah sejuk agaknya. Jadi, aku bancuh yang lain untuknya. Aku agak Datin itu tentu kawan mama.

“Datin, silakan.” Lebih kurang dua minit, aku keluar bersama secawan air dan letakkan di atas meja. Datin itu tersenyum.

“Awak panggil saya apa tadi?”

“Datin,” jawabku. 

Datin itu gelak. Apa yang lucu? Aku panggil dia Datin, kelakar ke? Kalau tak panggil Datin, nanti kata tak hormat dia pula.

“Saya bukan Datinlah. Saya biasa-biasa aje. Panggil saya Puan Dina. Nak panggil Aunty Dina pun boleh. Lagipun saya tengok awak ni macam sebaya dengan anak perempuan saya,” ujarnya. 

Baik juga Puan Dina. Masa masuk tadi aku fikirkan dia seorang yang sombong. Ternyata penilaianku salah. Aku termalu. Aku ingatkan Datin. Penampilan dia anggun semacam. Aku senyum. “Baik, Puan Dina.” 

Puan Dina membalas senyumku. Aku jadi segan lalu beredar ke kaunter.

“Siapa nama awak?” Puan Dina menyoal.

“Adhiyana, puan. Panggil Dhiya.”

“Kebetulan. Hampir sama dengan nama anak saya. Nama dia Adriana. Berapa umur awak?”

“26,” jawabku.

Puan Dina angguk kecil. “Anak saya tu 28 tahun.”

Giliran aku pula angguk. Beza dua tahun saja. 

“Awak tak cuba produk ni?”

Aku geleng. Pernah mama cadangkan untuk aku cuba. Belum sempat nak cuba lagi.

“Awak muda lagi. Elok amalkan minuman kecantikan ni.”

Oh... Ya ke? Tapi kalau minum dan betul-betul jadi cantik tak apa juga. Muka aku tetap macam ni juga.

“Mama pernah suruh saya cuba. Saya ni tak berapa disiplin bab ni,” jelasku. Lagipun aku tak pernah amalkan apa-apa untuk kecantikan. Cukuplah dengan apa yang ada sekarang.

Puan Dina buat muka terkejut. “Mama?”

“Sebenarnya, saya panggil dia mama.”

“Siapa?”

“Puan Sari.”

Puan Dina angguk. Dia macam terkejut bila aku panggil kawannya itu mama.

“Dhiya, boleh tak awak sampaikan pesan saya pada Puan Sari? Saya tak boleh lama kat sini. Bila dia balik nanti, boleh tak awak suruh dia telefon saya?”

Aku angguk pantas. “Boleh, puan.”

Puan Dina senyum. Dia habiskan kopi yang aku hidangkan dan bangun. Depan kaunter, Puan Dina berhenti dan perhatikan aku.

“Dhiya, pada pandangan saya, awak ni cantik. Kalau make over sikit, bagi nampak moden, mesti...” Puan Dina angkat ibu jari.

Aku tergelak kecil. Kemudian tunduk merenung tubuh ini. Penampilan diri ini. Apa yang nak kena make over? Aku selesa macam ni.

“Saya tak pandai nak berhiaslah, puan. Lagipun fesyen apa yang sesuai orang orang macam saya?” akui aku.

“Sekarang dah banyak fesyen untuk gadis Muslimah macam awak. Cuma kena banyak buat research. Tak susah. Kalau pandai pilih warna, corak dan gaya, awak akan nampak cantik. Percayalah.”

Kena pandai pilih warna, corak dan gaya? Aku mula bayangkan apa yang Puan Dina katakan. 



KETIKA aku bosan menunggu di kaunter, aku hampir terlelap sambil menopang dagu. Nak buka mata pun susah. Bukan tak cukup tidur tapi bosan. Kalau lagi dua bulan kerja macam ini, aku tak tahu apa akan jadi dengan aku.

Dalam keadaan aku terangguk-angguk, aku dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Degupan jantungku terus menjadi rancak. Terkejut besar dibuatnya. Aku dalam keadaan mamai mencari mana letaknya telefon bimbit. Daripada bunyinya, aku rasa ia masih di dalam beg tangan. Aku masukkan tangan ke dalam beg tangan dan ambil telefon bimbit.

Sebaik aku nak menjawabnya, deringan terhenti. Tak sempat nak jawab. Aku periksa nombor telefon. Nombor yang tiada dalam simpanan kenalan. Aku malas ambil pusing. Kalau panggilan tu penting, pasti dia akan telefon lagi.

Nada dering bergema. Aku baru nak letakkan kepala. Mungkin panggilan ini penting. Tanpa berlengah aku jawab juga. Manalah tahu pelanggan mama.

“Helo. Assalamualaikum.” Aku mulakan dengan salam.

“Waalaikumussalam.” Si pemanggil berjantina lelaki menyahut salamku. Kemudian diam.

“Helo. Siapa ni?” Aku menyoal. 

“Ni Dhiya, kan?”

Hah? Dia kenal aku? Hilang rasa mengantukku tadi. Bibir ini melakar senyum. Pasti cinta hati aku.

“Khalif?” Aku mengagak. Tetapi lain pula daripada nombor telefon yang Khalif berikan dulu. Aku tak pernah bercakap melalui telefon dengan Khalif. Jadi, aku tak dapat bezakan suaranya.

“Amar. Ni Amar Affandy. Awak dah lupa?”

Hah? Kali kedua aku terkejut. Antara percaya dengan tidak, aku tenung skrin telefon. Amar telefon aku? Amar Affandy telefon? Aku menampar-nampar pipi tembamku. Aku tak mimpi. Walaupun aku hampir terlelap, aku belum mamai.

“Betul ke ni Amar?” Aku soal untuk kepastian.

“Awak yang bagi nombor hari tu, kan?”

Betul. Aku yang bagi nombor. Aku takut ada yang menyamar saja. 

“Anyway, saya belum selesai lagi dengan awak, Dhiya. Saya memang nak telefon lepas konsert tu tapi bintang terkenal macam saya ni selalu sibuk.”

Aku mencemik. Bintang terkenal konon. Masa kat U dulu kau makan Maggi jugak. Peminjam PTPTN macam aku jugak. Huh, entah dah bayar ke belum.

“Apa yang belum selesai?” Aku bercakap dengan dia seperti junior dan senior. Bukan aku dan seorang bintang.

“Pasal awak dah hina saya depan peminat-peminat saya. Awak dah lupa apa awak cakap malam tu?”

“Saya tak lupa. Saya ingat. Awak nak saya buat apa Amar? Walaupun awak ni superstar, bagi saya, awak tetap senior saya. Tapi kalau awak nak jadikan status bintang awak tu untuk saman saya, tak apalah. Kalau awak nak main kasar, kita main cara kasar. Kalau awak main cara lembut, kita main cara lembut. Saya tak suka besarkan hal macam ni. Lagipun awak tu bintang. Awak ada masa nak turun naik mahkamah semata-mata nak saman saya?”

“Lawyer saya boleh uruskan.” Amar menjawab.

Aku mendengus geram. Geram yang amat. Dalam waktu yang sama aku takut juga kena saman. Saman JPJ boleh tahan lagi. Kalau saman artis ni, mahu ratus-ratus ribu, juta-juta. Mana nak cekau duit?

“Saya nak jumpa awak. Kita selesai cara baik.”

“Jumpa saya?” Agak mengejutkan. Amar nak jumpa aku? Kalau media tahu, timbul kontroversi nanti.

“Ya. Saya nak kita berjumpa,” tegasnya sekali lagi.

“Awak tak takut ke kalau wartawan tahu? Awak tu artis popular. Nanti keluar gosip bukan-bukan, macam mana?”

“Yang tu awak tak payah risau. Saya tahu nak uruskan. Saya akan pergi dengan manager saya. Dan awak boleh bawa teman. Setuju?”

Aku ambil masa untuk berfikir. Patut ke aku setuju saja? Apa yang dia nak selesaikan lagi?

“Kalau saya tak setuju?”

“Awak tunggu surat saman daripada lawyer saya.”

“Okey, okey... Fine. Saya setuju.” Aku setuju jua untuk berjumpa dengan Amar.

“That’s good. Pastikan, jangan heboh kat sesiapa. It’s between you and me. But, I think you better come alone. Where and when, I’ll let you know. Okay? Bye.” Tut... 

Amar matikan panggilan. Macam tu aje? Aku tercengang. Tergeleng-geleng kepala ni. Ya, perangai dia memang tak berubah. Dia tetap sombong dan berlagak macam dulu. Itulah Amar Affandy.


No comments:

Post a Comment