“DIA suruh aku pakai cantik-cantik? Dia ingat dia siapa? Tak kuasalah nak melayan. Aku pakai apa yang ada aje.” Maria mengomel-omel seraya menyelak pakaian dari almarinya untuk dipakai esok. Dia bukanlah jenis yang gemar berfesyen. Dia pakai apa yang selesa di badannya. Baju kurung, kebaya, jubah atau gaun muslimah. Apabila dia terpaksa kerja luar pejabat, dia akan berkemeja dan berseluar. Lebih selesa untuk bergerak aktif.
“Siapa dia tu?”
Maria terkejut. Terus dia memalingkan wajah ke arah suara itu. Nadia berdiri di depan pintu biliknya sambil berpeluk tubuh dengan muka seolah-olah meminta penjelasan.
Nadia mengecilkan mata ke arah Maria.“Akak ulang lagi soalan tu. Siapa si dia tu?”
“Apa? Maria cakap apa? Akak tersalah dengar kut.” Maria berdalih. Bila masa pula Nadia tercongok di depan biliknya? Dah pandai mengendap sekarang ya? Mesti Nadia fikir dia bersendirian di dalam bilik untuk melayani perasaan. Padahal sekarang dia dah tak kisah lagi pasal Hardy. Dia akan fokus dengan kerjayanya saja. Cinta sejati pasti akan muncul juga.
Nadia senyum senget. Dia melangkah ke dalam bilik Maria dan berdiri di sebelah. Matanya diserakkan ke dalam almari pintu gelangsar. Tangannya turut membelek pakaian-pakaian itu. Dia akan pilihkan untuk adiknya.
“Akak belum pekak tau, walaupun kadang-kadang ada sound trouble. Akak dengar kau membebel seorang diri tadi. Cuba kau terus terang dengan akak. Siapa dia? Dia tu siapa?”
“Akak buat apa depan bilik Maria? Akak nak spot check Maria, kan?”
Nadia berfikir sejenak. Apa tujuan dia mengintai Maria bila pintu sedikit terbuka? “Sikitlah.”
“Akak tak baik tau. Akak dah ganggu privasi Maria.”
“Apa yang private sangat?”
Maria tak jawab. Kunci mulut untuk beberapa saat. Bila Nadia putus asa menanti, Maria bersuara.
“Maria kena pergi Majlis Lelongan Amal esok. Tapi, Maria tak tahu nak pakai apa. Baju kurung okey tak?”
“Kau bukan pergi untuk buat fashion shows, kan? Siapa kisah kau nak pakai baju kurung ke jubah bagai. Akak nak tanya ni, ni soalan terakhir akak. Siapa dia?”
Nadia buka semula pintu gelanggar almari. Dia mencari-cari kemudian menarik satu gaun muslimah berwarna royal blue.
“Pakai yang ni.” Nadia tolak ke dalam dakapan Maria.
Maria menarik pintu gelangsar almari dan pusing tubuh menghadap Nadia. Gaun yang dipilih oleh Nadia didakap.
Maria mengeluh. “Sudahlah tu, kak. Tak ada sesiapapun. Dia tu… alah, tak penting pun. Tahulah cikgu. Tanya kita macam kita ni buat salah pulak.” Maria malas ulas. Nanti meleret pula ceritanya.
“Cakaplah. Kalau kau dah berjumpa pengganti Hardy, akak nak buat kenduri kesyukuran.” Nadia berseloroh lagi sampai Maria hasilkan ketawa yang kurang sopan.
Kepala Maria tergeleng-geleng.
“Betullah tu, kan?” duga Nadia dengan senyum seringai. Dia syak yang adiknya sedang mengenali seseorang. Siapa agaknya lelaki itu? Ingin sekali dia tahu supaya senang untuk dia tinggalkan amanah dan wasiat.
“Tak adalah, kak. Akak pergilah tidur. Jangan kacau Maria. Bila Maria balik awal, akak kacau Maria. Kalau balik lewat, akak pot pet pot pet tepi telinga Maria.”
Nadia tersenyum mendengar omelan Maria. Macam comel pulak adiknya membebel begitu.
“Kita berdua aje dalam rumah ni. Kalau kau tak ada, akak bosan. Sebab tu akak kacau kau. Jangan sampai bila akak tak ada nanti, kau tercari-cari akak pulak.”
Maria terpanar. Kata-kata Nadia buat dia tak sedap hati. “Akak cakap apa ni?”
Nadia terkesima. Dia menelan liur. Apa yang dia repekkan ini? Maria tentu fikir yang bukan-bukan.
“Akak lupa yang akak on seterika tadi. Tak tahu kenapa sekarang ni akak jadi pelupa. Jangan-jangan dah berlubang iron board tu. Akak keluar dululah. Pakai baju tu tau.” Nadia cepat-cepat beredar dari bilik Maria dengan menarik pintu. Sebelum Maria menyoalnya, lebih baik dia mengelak.
Maria terduduk di birai katil dalam keadaan bingung. Sebelum ini Nadia pernah katakan sesuatu yang pelik. Malam ini dia cakap lagi benda yang sama seolah-olah kakaknya akan tinggalkannya.
Tak mungkinlah. Lagipun Nadia memang suka bergurau. Maria beristighfar. Dia tak tahu kenapa dia begitu ambil serius dengan apa yang Nadia katakan. Berkali-kali dia istighfar hingga dia kembali fokus.
Misi mencari baju? Baju dah jumpa.
Tema pakaian? Ala kadar saja. Gaun muslimah dengan potongan badan itu digantung pada rak penyangkut. Bibirnya meleret satu senyuman. Tak lama, dia berubah menjadi satu riak yang penuh kerisauan.
SELEPAS mandi dan siap berpakaian, Effan terpandang sampul yang diberikan oleh ibunya tempoh hari. Tergerak hatinya untuk melihat ke semua gambar itu walaupun tiada niat untuk dia memilih salah satu daripada mereka.
Effan berjalan ke arah mejanya dan mengambil sampul itu. Dia melabuhkan punggung di birai katil dan mengeluarkan ke semua gambar. Dia membelek dan meneliti satu per satu. Ada gambar wajah saja, gambar separuh dan gambar penuh. Tak dinafikan, mereka cantik. Tetapi, Effan tak mahu cantik dari luaran saja. Dia tak mahu cari teman wanita yang cantik lagi. Dia serik.
Satu per satu ditilik, namun semuanya tidak menarik di mata Effan.
Bosan terperap di dalam bilik, Effan keluar dari bilik dan mahu mengambil angin di balkoni. Dia menolak sliding door dan keluar. Memandang ke arah langit yang terbentang dihiasi bintang-bintang. Menikmati keindahan alam dapat mengembalikan ketenangan di samping bermuhasabah. Tiada kuasa di dalam dunia dapat menandingi kuasa Yang Maha Esa.
Di langit itu, dia ternampak bayang wajah Maria. Seperti mula-mula Maria melangkah masuk ke pejabatnya. Senyuman paling ikhlas di matanya.
Ketika Effan asyik melayani perasaan, adiknya, Dahlia menghampiri. Bahu Effan disentuh hingga dia terkedu. Terus memusingkan badan mencari jasad yang menyapa bahunya tanpa suara.
“Lia, terkejut abang!” Effan tayang muka ketat.
“Abang ni kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Belum mengantuk. Layan mata kat luar kejap. Tengok langit, rasa angin.” Effan dongak ke langit. Kemudian dia layangkan tangannya untuk merasakan angin yang bertiup lembut dan nyaman.
“Abang, Lia ada benda nak bagi tahu abang.”
Effan kerut dahi. “Apa bendanya?”
“Pasal mama carikan jodoh untuk abang.”
“Abang tahu. Mama ada bagi abang gambar calon-calon menantu dia hari tu. Abang baru aje tengok. Tak ada yang berkenanlah.”
“Itu gambar. Tapi, yang Lia dengar, mama nak kenen-kenenkan abang dengan Salwa.”
“Salwa?” Sekali lagi dahi Effan berkerut. Mamanya ada sebut nama itu tempoh hari ketika tunjukkan gambar-gambar itu kepadanya. Dia cuba ingat wajah Salwa dalam gambar-gambar itu.
“Mama serius tau, bang.” Dahlia cuba mengingatkan abangnya tentang rancangan mamanya. Dia harap kalau abangnya sudah ada calon lain dan cepat-cepat kenalkan kepada keluarga. Itu saja.
Effan termangu. Calon isteri? Dia menongkat siku pada penghadang dan fikir.
“Lepas putus dengan Kak Seira, abang tak jumpa orang lain ke?” getus Dahlia. Abangnya ada rupa, ada kerjaya. Takkanlah tiada seorang pun yang cuba nak mendekati abangnya. Rasanya tak susah pun untuk Effan cari pengganti berbekalkan pakej yang ada.
Effan toleh muka. “Abang memang ada kenal seorang perempuan ni.”
“Siapa, bang?” soal Dahlia teruja.
“Nama dia Maria.”
Dahlia terpanar. “Maria? Mesti cantik orangnya kan, bang? Kalau tak, takkanlah abang Lia nak jatuh cinta.”
“Hmm, okeylah. Bolehlah.” Acuh tak acuh di depan Dahlia. Di mata Effan, baginya Maria ada kecantikan tersendiri. Apa yang dia tertarik kepada Maria adalah dagu berlekuk. Saat pertama kali dia memandang Maria, pintu hatinya diketuk-ketuk mengintai Maria.
“Tak nak kenalkan dekat Lia ke? Sebelum abang kenalkan dekat mama, baik Lia tapis dulu.”
Effan cuma gelak. Dia kembali pandang ke langit.
“Masih terlalu awal, Lia. Kalau Lia nak kenal dia, esok abang ada jemput dia pergi Majlis Lelongan Amal.”
“Lia ikut, boleh?” Dahlia mengipas-ngipas bulu matanya. Membodek. Dia juga suka bodek abangnya belikannya minyak wangi.
Effan pandang Dahlia kembali. Beria-ia adiknya nak ikut. Nampaknya Dahlia lebih serius daripada mamanya.
“Okey. Tapi, abang kena pergi awal. Lia nak pergi dengan abang ke nak pergi sendiri?”
Dahlia tuding ke arah abangnya sambil tersenyum-senyum. Maknanya, dia akan pergi awal juga.
“Esok bangun awal ya? Kalau lambat, abang tinggal aje.” Effan menyepit hidung Dahlia dengan membengkokkan jari hantu dan jari telunjuk. Menjerit Dahlia kerana sukar untuk bernafas. Puas hati Effan sebab dapat kenakan adiknya.
No comments:
Post a Comment