Monday, 25 July 2016

TANPA AWAK MACAM NAK GILA! 4




Bab 4




IMAN AKMAL baru saja turun dari teksi untuk ke pejabat. Tiba-tiba dia terdengar suara menjerit tidak jauh dari situ. Depan bangunan Helang Gah Manufacturing Sdn Bhd, dia lihat seorang gadis sedang membelasah seorang lelaki. Tidak jauh dari situ ada sebuah beg tangan yang berselerak. Orang yang melihat kejadian itu langsung tak membantu. 
Iman Akmal mengerutkan dahinya apabila hampir di tempat kejadian.

“Baik kau minta maaf sekarang! Kalau tak, aku hantar kau ke balai polis.” Gadis itu memusing kedua-dua tangan lelaki itu ke belakang dan menekannya. 

Lelaki itu mengerang kesakitan lebih-lebih setelah lebam dibelasah. 

“Tolong, kak. Saya janji saya takkan buat lagi. Tolong, kak. Tolong jangan lapor kat polis. Saya orang susah,” pinta lelaki remaja itu. Meraih simpati. Masa nak meragut tak fikir dulu.

Iman Akmal terkedu. Dia amati suara itu. Macam pernah dengar. Dari belakang, sukar untuk Iman Akmal mengecamnya. Dia menghampiri.

“Orang macam kau ni kena bagi kat polis aje. Biar polis belasah cukup-cukup. Dah tak ada kerja ke kat Malaysia ni sampai kau nak meragut beg orang? Kalau tahu susah, carilah kerja halal. Kau tahu tak akak tu tengah mengandung? Kalau jadi apa-apa kat dia, kau nak tanggung ke?” 

“Belasah dia lagi!” Salah seorang daripada orang ramai menjerit.

“Pukul sampai pengsan!”

“Tendang anu dia!”

“Kita rejam sampai mati!”

Bermacam-macam suara mahu menghukum.

“Bawa dia ke balai,” kata gadis itu. 

Lalu seorang lelaki datang mengambil lelaki itu.

“Hidup menyusahkan orang ajelah kau ni.” 

Orang ramai sudah mula meninggalkan tempat itu dan pergi bersama remaja itu.

Iman Akmal tergamam apabila gadis yang membelasah remaja tadi adalah Hessa. Terus Iman Akmal mendapatkan Hessa. Sudah lama dia tidak terserempak dengan gadis itu. Macam berjodoh pula mereka bertemu di situ.
“Hessa!” jerit Iman Akmal.

Gadis itu mencari-cari suara yang menjerit namanya. Ketika dia berpaling, dia terpaku.

“Iman?” Spontan nama itu terpacul dari mulutnya. 

Iman Akmal tersenyum sambil memeluk beg laptopnya. Rindu betul dia untuk bertemu semula dengan supergirlnya itu.

“Ada kes ragut lagi?” soal Iman Akmal. 

“Ha’ah. Kalau terserempak dengan saya, memang saya belasah,” kata Hessa geram. 

Iman Akmal tersenyum. Semakin kagum dengan sikap Hessa. Dia suka dengan gadis itu. Berani. “Macam mana dengan mangsa?” 

Tiba-tiba Hessa terkejut. Mangsa? Alamak! Akak tu... Hessa mengambil beg tangan dan memasukkan beberapa barang yang bersepah. Dia mengambilnya dan berlari mendapatkan wanita mengandung tadi untuk mengembalikan beg tangan.

Iman Akmal yang melihat tindakan Hessa itu turut berlari mengikut Hessa. Kelihatan seorang wanita mengandung sedang menangis di tepi jalan sambil memegang perutnya. 

“Akak tak apa-apa? Ni beg akak,” kata Hessa lalu memegang bahu wanita itu.
“Terima kasih, dik. Akak okey. Nasib baik akak sempat berpaut tadi masa dia tolak,” ujar wanita itu.

“Akak, lain kali akak hati-hati tau. Jangan berjalan seorang diri. Suami akak mana?” soal Hessa.

Iman Akmal di sebelah sedang mengambil nafas kerana semput.

“Akak sorang aje. Akak pergi ATM tadi. Kat sini tak ada parking. Terima kasih dik sebab tolong akak, ya.” 

“Sama-sama kak. Harap kandungan akak tak apa-apa,” kata Hessa tersenyum. Nampaknya wanita itu sedang menghitung hari untuk bersalin. Perutnya besar memboyot.

“Insya-Allah. Harap-harap Allah selamatkan baby dalam perut ni,” kata wanita itu sambil mengusap perutnya. 

Hessa hanya tersenyum. Wanita itu meminta diri kerana ingin cepat. Hessa senyum dan terkejut apabila lihat Iman Akmal ada di sebelahnya.

“Awak ikut saya?” soalnya.

“Saya tengok awak berlari tadi. Jadi, saya ikutlah,” kata Iman Akmal termengah-mengah. 

Hessa tergelak kecil. Dia geleng kepala lalu melangkah. 

Iman Akmal menyusul. “Kenapa awak gelak?” 

“Tak sangka kita akan jumpa lagi dalam situasi macam ni. Mesti awak fikir saya ni perempuan jenis kasar, lasak, kan?” kata Hessa menduga. Dia tahu sikap itu tak sesuai untuk perempuan.

“Tak. Saya tak fikir macam tu. Bagi saya, awak berani, helping hand, protective,” puji Iman Akmal. 

Sejak pertama kali berjumpa dengan Hessa, dia sudah tertarik untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat. 

Hessa sekadar tersenyum mendengar pujian itu. Kerana sikap kasarnyalah hingga sekarang dia tidak punya teman lelaki. Lelaki takut mendekatinya. “Iman, awak kerja kat mana?” 

“Saya kerja kat Helang Gah Manufacturing.” 

Hessa tercengang. Helang Gah Manufacturing? Macam pernah dengar nama syarikat itu. “Oh. Dah lama kerja situ?” 

“Baru setahun. Kenapa?” 

“Tak ada apa-apa. Iman, saya nak cepat ni. Saya ada kerja sikit,” kata Hessa seraya menjeling jam tangannya. 

Dia ingin ke Rumah Kirana sekarang. Tentu pak cik-pak cik di sana sedang menunggu kedatangannya.

“Boleh saya minta nombor telefon awak? Err... Manalah tahu kalau-kalau lepas ni saya boleh ajak awak keluar makan,” kata Iman Akmal penuh yakin. 

Sebelum ini dia tak berani mendekati kaum perempuan kerana sikapnya yang pemalu. Tetapi, dengan Hessa, dia seperti lelaki sejati.

Hessa ternampak pen yang terselit di poket kemeja Iman Akmal lalu dia mengambilnya tanpa meminta kebenaran. Iman Akmal hanya tersenyum. Hessa mengambil tapak tangan kiri Iman Akmal lalu mencatat nombor telefonnya kemudian menyerahkannya kepada Iman Akmal bersama pennya.

“Kalau awak perlukan pertolongan, telefon aje,” kata Hessa dengan senyuman sambil membuat isyarat telefon lalu terus pergi. 

Iman Akmal meneliti tapak tangannya. Sebelum nombor telefon itu hilang, lebih baik dia cepat-cepat simpan ke dalam telefon pintarnya. Belum sempat dia memanggil Hessa, gadis itu sudah pun lenyap. Cepat betul dia pergi.


HESSA memberhentikan keretanya di pekarangan Rumah Kirana. Dia terus pergi selepas menangkap peragut tadi. Tak sangka pula dia dipertemukan semula dengan Iman Akmal. Sepertinya, lelaki itu boleh dijadikan kawan. Orangnya nampak baik. Jadi, dia akan menunggu panggilan daripada Iman Akmal.

Kelihatan penghuni-penghuninya sedang berkebun di tanah lapang. Pemilik Rumah Kirana itu, Hidayah, seorang wanita yang berusia lewat 30-an sedang memerhatikan penghuni-penghuninya. Maklumlah, orang tua. Risau juga kalau ada yang tiba-tiba jatuh sakit.

“Kak Dayah!” jerit Hessa seraya menutup pintu kereta. Hessa membimbit bungkusan plastik yang berisi buah-buahan yang dibeli untuk 15 orang penghuni Rumah Kirana.

Hidayah yang asyik memerhatikan penghuni-penghuni Rumah Kirana yang sudah dianggap seperti ibu dan ayahnya itu berpaling apabila terdengar suara menjerit namanya.

“Hessa?” Hidayah tersenyum menyambut kedatangan Hessa. 

“Nampak gembira aje dia orang tu,” kata Hessa seraya duduk di bawah gazebo bersebelahan dengan Hidayah.

“Mereka nak berkebun. Jadi, Kak Dayah biarkanlah mereka berkebun. Abang Malik pun ada sama tu. Sibuk melayan mereka. Kak Dayah tak fahamlah, Hessa. Kenapa anak-anak zaman sekarang ni sanggup buang ibu ayah mereka sendiri. Bila sibuk, hantar ke rumah-rumah orang tua. Bila sakit, nyanyuk, hantar ke rumah orang tua. Mereka tak fikir ke tanggungjawab mereka adalah menjaga mereka bila mereka dah tua?

“Kak Dayah kesal, Hessa. Kalaulah Kak Dayah masih ada mak ayah, Kak Dayah akan jaga mereka macam mana mereka jaga dan besarkan Kak Dayah dulu. Tapi, Kak Dayah tak berpeluang untuk berbakti dengan mereka. Mereka terlebih dahulu dipanggil menghadap Ilahi.” 

Hessa terdiam. Terfikirkan kata-kata Hidayah yang mendalam maksudnya. 

“Hessa, selagi Hessa masih ada mak ayah, Hessa hargailah mereka, jaga mereka dengan penuh kasih sayang. Bila kita dah kehilangan mereka, tak guna lagi kita nak menyesal,” tambah Hidayah lagi.

Hessa senyum pendek. Benar kata Hidayah. Insaf pula Hessa dibuatnya. Dia banyak membantah cakap kedua-dua orang tuanya. “Sebab tu Kak Dayah buka Rumah Kirana ni?” 

“Sejak kecil Kak Dayah tak ada mak ayah. Kak Dayah dibesarkan di rumah anak yatim. Kak Dayah dah lalui banyak pengalaman pahit dalam hidup. Kak Dayah tekad untuk membantu orang-orang yang bernasib malang macam Kak Dayah. Dengan buka Rumah Kirana ni, Kak Dayah dapat lepaskan rasa rindu Kak Dayah kepada orang tua Kak Dayah. Mereka yang ada kat sini adalah ibu dan ayah Kak Dayah,” jelas Hidayah dengan bibir sentiasa tersenyum. 

Hessa kagum dengan pendirian Hidayah. Bukan saja baik, alim, malah berhati mulia. Memang sesuailah dengan Malik. Kadang-kadang Hessa berasa segan. Walaupun tak sampai sebulan di situ, Hessa rasa benar-benar akrab dengan Hidayah. Dia teringin juga menjadi seperti Hidayah. Sopan, menutup aurat, tetapi mungkin belum tiba masanya untuk dia berubah ke arah itu. 

“Kak Dayah, Hessa bangga dengan Kak Dayah. Kita tak jauh beza sangat sebenarnya. Hessa tak boleh tengok orang menganiaya orang lain. Maksud Hessa, Hessa tak suka orang mengambil kesempatan, menindas orang yang lemah, Hessa anti sangat. Kan aman dunia ni kalau tak ada kes-kes jenayah. Kita pun boleh hidup dengan aman, selamat. Kan?” 

“Kak Dayah pun bangga dengan Hessa. Hessa berani,” kata Hidayah pula sambil mengusap-usap belakang Hessa.

“Kak Dayah, Hessa nak pergi jumpa Pak Cik Salleh kejap. Pak Cik Salleh tu kelakar tau. Dia suka cerita pasal dia masa muda-muda dulu,” kata Hessa lalu bingkas.

“Pergilah.” 

Hessa mengatur langkah menuju ke kebun. Dia mencari kelibat Pak Cik Salleh. Sambil itu dia menyapa pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik yang memandangnya. Mereka kelihatan ceria sekali.

Orang yang Hessa cari sudah ditemui. Pak Cik Salleh sedang mencangkul tanah untuk bercucuk tanam.

“Pak cik,” panggil Hessa seraya menyentuh bahu Pak Cik Salleh.

Pak Cik Salleh menoleh sambil mengesat peluh di dahinya.” Eh, Hessa, baru sampai ke?” 

“Taklah. Hessa borak-borak dengan Kak Dayah tadi. Pak cik nak tanam apa ni?” 

“Pak cik nak semai benih tembikai. Manalah tahu menjadi. Nanti bolehlah makan tembikai. Tak payah beli-beli kat kedai lagi. Sekarang harga tembikai mahal. Sekilo pun boleh cecah tiga ringgit,” ujar Pak Cik Salleh lalu menyambung tugas mencangkul tanah untuk membuat lubang. 

Hessa tersenyum.

“Betul tu pak cik. Apa kata pak cik tanam sayur-sayur pulak? Nanti kalau nak makan sayur, tak payah beli kat pasar lagi. Petik aje kat sini,” saran Hessa. 

Pak Cik Salleh berfikir sejenak lantas angguk.

“Betul jugak cakap kamu tu. Nanti pak cik cakap dekat Malik. Minta dia beli benih sayur pulak,” ujar Pak Cik Salleh tersenyum lebar. 

Pak Cik Salleh meletak cangkul apabila sudah agak penat. Maklumlah, umurnya sudah hampir ke 65 tahun. Tenaga juga sudah semakin kurang. Sekarang pun selalu saja sakit-sakit dada.

“Pak cik, kalau penat pergilah berehat dulu. Biar Hessa yang buat pulak ya.”
“Yalah, nak.” Pak Cik Salleh angguk. 

Hessa mengambil cangkul dan menggembur tanah. Pak Cik Salleh perhatikan tindak-tanduk Hessa dengan bibir tersenyum. 


No comments:

Post a Comment