EFFAN sampai awal di pejabat. Harinya bertambah ceria sejak akhir-akhir ini. Moodnya juga baik sepanjang masa. Kalau ada staf yang buat silap, dia tak marah lagi. Dia akan cakap elok-elok. Ini semua kerana penangan Maria.
Telefon pintar dikeluarkan daripada poket. Dia klik ikon kamera dan ambil gambar sendiri. Kata orang, selfie. Seterusnya, Effan akan hantar gambar itu kepada Maria melalui aplikasi Whatsapp.
Hantar. Ia paparkan double-tick. Maknanya Maria sedang online. Dia menanti respons daripada Maria hingga ia paparkan blue tick pula.
Dia letakkan telefon pintarnya di tepi. Dia meneliti laporan majlis lelongan amal itu untuk dibentangkan dalam mesyuarat nanti.
Ketika dia menyelak fail itu, telefon pintarnya bergetar dan jantung terus berdebar. Pantas matanya jatuh ke arah skrin. Dia mengeluh hampa lalu jawab panggilan itu.
“Helo, mama.”
“Effan sibuk tak tengah hari nanti?”
“Tak pasti. Kenapa, mama?”
“Mama nak ajak Effan join mama makan tengah hari dengan papa. Lia pun ikut sama.”
Effan termangu sejenak. Kemudian dia setuju. Sudah agak lama dia tak keluar makan bersama keluarganya. Masing-masing sibuk dengan kerja.
“Okey. Nak makan kat mana?”
“Nanti mama suruh Lia hantar location.”
“Alright. Ada apa-apa lagi ke, mama?”
“Tak ada. Buatlah kerja. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Effan akhiri panggilan. Dia buka aplikasi Whatsapp dan lihat gambar yang dihantar tadi sudah dibaca oleh Maria. Dia berdebar-debar menanti ia dibalas.
“HARI-hari awak akan selalui dihantui oleh muka ni.” Maria baca kapsyen pada gambar yang dihantar oleh Effan. Gelak melompat keluar daripada mulutnya.
“Apa yang seronok sangat tu, Maria?” tegur Jeslina apabila menyedari yang Maria tertawa depan telefon.
Maria tak jawab teguran Jeslina.
“Saya tengok awak ceria aje lately,” tingkah Jeslina bila dia nampak banyak perubahan dalam diri Maria. Seolah-olah Maria yang dulu muncul kembali.
“Tak adalah. Kawan saya ni hantar gambar merepek.”
“Oh. Ingatkan apa.” Jeslin sambung kerja.
Maria balas di ruangan chat.
Maria tekan butang send. Dia mulakan kerjanya. Kalau melayan Effan, nanti makin melarat pula.
EFFAN memandu keretanya menuju ke restoran mengikut lokasi yng Dahlia hantar kepadanya. Dia cuba sampai seawal mungkin supaya mama, papa dan Dahlia tak menunggu lama. Sambil memandu pun hati Effan tak tenteram. Dia asyik teringatkan Maria. Begitulah setiap hari. Kalaulah boleh kahwin terus dan tamatkan semua perasaan ini.
Sampai di restoran The Scrumptious, Effan mencari ruang parkir. Nampaknya pelanggan di restoran itu tak begitu ramai untuk hari ini. Mungkin mereka bertukar-tukar selera.
Sebaik saja kakinya melangkah masuk ke dalam restoran, matanya terus mencari wajah-wajah ahli keluarganya. Dari satu sudut, kelihatan ada tangan melambai menarik perhatiannya. Saat dia berpaling, Dahli melambai-lambai tangan ke arahnya..
Effan mengukir senyum.
Meja enam kerusi itu sudah diisi oleh Datuk Muzafar, Datin Neema dan Dahlia. Ada dua tempat duduk kosong dan Effan pilih untuk duduk di sebelah papanya.
“Dah oder ke belum?” Effan menyoal.
“Belum. Kita tunggu seorang lain tetamu.”
Semerta kerutan pada dahi Effan terserlah. Tetamu? Siapa pula? Soalan itu hanya terdetik dalam hati Effan. Dia pandang Dahlia. Adiknya buat gerak bibir. Berkerut dahi Effan nak memahaminya.
“Sal…wa,” sebut Dahlia lambat-lambat supaya abangnya dapat menangkapnya. Terus riak muka Effan berubah. Dia pandang mama dan papanya yang saling berbisik. Effan pandang Dahlia semula. Adiknya silangkan jari telunjuk membentuk tanda pangkah dan geleng. Dahlia sememangnya tak setuju dengan pilihan mamanya itu. Dia harap abangnya dan Maria memang bercinta. Tak sukalah jodoh yang dipilih keluarga. Klise sangat.
“Effan ingat kita lunch berempat aje,” getus Effan kecewa. Dia terkejut apabila Dahlia beritahu tetamu itu ialah Salwa.
“Mulanya memang berempat. Tapi, kebetulan dia dah ada dekat area sini. Jadi, mama ajaklah dia join kita,” terang Datin Neema walaupun sebaliknya dia sudah merancangnya. Bila lagi peluang untuk dia kenalkan Salwa kepada Effan? Dia tak boleh tunggu lagi.
Semua membisu. Datuk Muzafar diam tak terkata lagi. Daripada air muka Effan, dia tahu Effan protes perjumpaan ini. Dia yang memang tak suka campur tangan hal peribadi anaknya hanya membisu. Selalunya isterinya yang beria-ia mahu carikan jodoh untuk Effan.
“Assalamualaikum. Lama tunggu?”
Semua mata berpaling ke arah suara lunak yang memberi salam.
“Waalaikumussalam. Eh, dah sampai pun. Duduklah.” Datin Neema bingkas bangun dan berpelukan dengan Salwa. Bila giliran Dahlia, dia cuma hulur tangan. Tak kuasa nak peluk cium.
Kebetulan tempat duduk kosong di sebelah Dahlia. Effan diapit oleh Dahlia dan papanya. Pun begitu, Effan tetap berhadapan dengan Salwa.
“Salwa, kenalkan ni Dahlia. Dan yang kat sana tu Effan.”
Datin Neema bertindak memperkenalkan semua kepada Salwa.
“Salwa Lynn. Panggil Salwa aje.”
Dahlia beri reaksi kosong. Effan senyum kecil. Nampak Salwa segan di depan mereka.
“Jom. Kita oder dulu.”
Tiga buku menu diletak di tengah-tengah meja. Effan ingin mengambilnya dan kebetulan Salwa turut bertindak serentak. Mereka saling terpaku. Tak lama, Effan mengambil satu dan menolak satu ke arah Salwa. Salwa mengorak senyum kecil. Merona merah pipinya dek insiden itu.
RESAH dan tertunggu-tunggu. Effan belum membalas chatnya. Maria risau kalau Effan terasa hati kerana dia gelarkan lelaki itu hantu.
Panggil hantu handsome kut, takkan itu nak marah, desis hati Maria.
Mesejnya sudah dibaca. Tetapi, ia sekadar dibaca dan tak dibalas langsung.
Panggil hantu handsome kut, takkan itu nak marah, desis hati Maria.
Mesejnya sudah dibaca. Tetapi, ia sekadar dibaca dan tak dibalas langsung.
“Maria, kenapa kau ni? Orang tengah makan, kau termenung.”
Mengacau saja Firhad ni!
Jeslina menyinggung siku Firhad. Suka mengusik orang. Dahlah suka cakap lepas.
“Maria, ahad ni pergi hiking nak?” Jeslina ubah topik.
“Kat mana?”
“Bukit Broga. Jom.”
Firhad buka mata seluasnya. Pergi hiking? Dia takkan terkecuali daripada ekspidisi ini.
"Aku nak ikut, boleh? Aku pun dah lama tak pergi hiking. Masa dekat UKM selalulah aku pergi dengan kawan-kawan aku.”
Jeslina dan Maria berpandangan. Kalau Firhad ikut sama, tak seronoklah.
“Tapi kan Ad, aku nak pergi dengan Maria aje. Kita orang ni nak pergi release stress. Kau tak payahlah ikut.”
Firhad tayang muka tak puas hati. “Kalau aku pergi pun, apa salahnya? Boleh aku jadi bodyguard kau orang. Seorang perempuan tetap perlukan seorang lelaki tau. Aku tak kira. Aku nak ikut jugak. Kalau kau orang tak bagi ikut, kau orang tahulah nasib kau orang. Kau Maria, kalau kau subahat dengan si Jes, aku sabotaj artikel kau.”
Main ugut-ugut pula! Desis hati Maria.
“Kenapa kau nak ugut guna artikel aku?”
“Sebab kalau Jes tak bagi aku ikut, kau kena bagi aku ikut.”
“Aku tak ada masalah. Kau nak pergi, pergilah. Tak siapa halang pun.”
Barulah Firhad tersenyum lebar. Baru ugut manja dah panik.
“Jes, kau tunggu kemunculan aku ahad ni ya. Satu lagi, mohon jangan pancit awal.”
“Eleh. Entah-entah dia yang pancit dulu,” balas Jeslina mengenakan Firhad balik.
Maria hanya lepaskan gelak apabila Firhad dan Jeslina bertikam lidah. Saling mengata yang sana lembik dan yang sini lembik. Kita tengok sahaja siapa berjaya tawan puncak Bukit Broga itu nanti.
BANTAL peluk didakap sambil mengiring di kiri. Maria tak dapat lelapkan mata. Walaupun tubuhnya terasa penat, matanya masih segar-bugar. Tak mahu pejam langsung. Apa kena dengan aku ni?
Sejak tadi hatinya rasa tak tenang. Dia ambil telefon pintarnya dan pergi ke chat. Effan masih belum membalasnya. Kenapa ya? Sibukkah dia? Maria kembali bermuram durja lalu sorongkan telefon pintar ke bawah bantal. Lebih baik dia tidur daripada fikirkan lelaki itu.
Saat Maria cuba lelapkan mata, kepalanya terasa bergegar. Dia selak hujung bantal dan ambil telefonnya semula.
Terus jantung Maria dipalu-palu melihat nama yang muncul pada skrin. Dia gigit jari telunjuk. Nak jawab ke tak? Buat-buat dah tidur sajalah. Maria jawab panggilan itu sebelum dia berhenti.
“Ya, Encik Effan? Tak tidur lagi ke? Dah lewat ni.”
“Lewat? Baru pukul 11. Oh, wartawan memang tidur awal ke?”
Entah kenapa Maria rasa sakit hati dengan soalan itu.
“Saya dah biasa tidur awal.”
“Jadi, saya ni mengganggu awaklah?”
“Hmm. Sikitlah. Tak banyak.” Maria dengar Effan tertawa.
“Saya tak sempat balas chat awak tadi. Banyak kerja. Lepas tu, mama dan papa ajak lunch.”
Alasan yang boleh diterima.
“Awak nak bela tak hantu ni?” soalnya tiba-tiba.
“Apa maksud Encik Effan?”
“Bukan ke awak bagi tahu saya tadi yang kalau hantu handsome macam saya ni, ramai yang nak bela? Kalau macam tu, saya offer dekat awak aje. Offer ni sah sampai bila-bila. Untuk awak, tak ada expiry date.”
Giliran Maria menghasilkan tawa. Bibirnya asyik tersenyum. Suara Effan kembalikan seri malamnya. “Jangan berguraulah, Encik Effan.”
“Ya. Saya bergurau.” Dia ketawa besar. Sebaliknya pula, Effan benar-benar maksudkan kata-katanya.
Maria muncung bibir. Ada yang nak kena luku ni!
“Bila agaknya saya boleh jumpa awak lagi?”
“Entah.” Maria jawab acuh tak acuh. Effan yang mulakan dulu.
“Sabtu ni boleh?”
“Kerja.”
“Kalau hari ahad?”
“Nak pergi hiking dengan kawan ofis.”
“Hiking? Dekat mana?
“Bukit Broga. Tapi, jangan pulak Encik Effan minta nak ikut.” Maria beri amaran awal-awal. Takut perkara sama berulang macam Firhad yang sanggup mengugutnya kerana nak pergi hiking.
“Taklah. Tak apalah kalau awak nak keluar dengan kawan-kawan awak. Release stress. Kalau saya pergi, nanti mengganggu pulak.”
“Betul sangat. Kita orang nak tengok sunrise kalau sempatlah. Jadi, mungkin lepas subuh kita orang gerak.”
Tengok matahari terbit? Menarik juga, getus Effan cuma dalam hati.
“Okeylah. Selamat ber-hiking. Jaga diri awak elok-elok tau. Jangan sampai jatuh. Hati-hati masa daki bukit tu. Kalau penat, berhenti. Jangan paksa diri. Jangan nak suka-suka sangat kat tempat macam tu. Orang kata tempat macam tu keras.”
Banyak betul pesanan daripada penaja. Maria dengar dan terima saja. Dia dapat rasakan yang Effan mula ambil berat tentang dirinya. Selalu pesan supaya jaga diri. Dan, ayat tadi seperti cuba menakut-nakutkannya.
“Insya-Allah. Saya tahu jaga diri saya. Okeylah, Encik Effan. Saya dah mengantuk dah ni. Lepas-lepas ni kita bercakap lagi ya?”
“Why don’t you call me in the first place?”
“Kenapa saya pulak?”
“Sebab saya tak tahu bila masa awak tak sibuk. Kalau saya telefon, nanti mengganggu kerja awak.”
“Kalau Encik Effan telefon saya dulu pun apa salahnya. Kalau saya tak sibuk, saya jawablah. Kalau tak jawab tu, maknanya saya sibuk. Senang aje kan?”
“Okey. Baik awak tidur aje. Nanti makin banyak awak bercakap. Selamat malam. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Habis berbual dengan Effan, Maria tersenyum simpul dan simpan semula telefon pintarnya ke bawah bantal. Hatinya rasa kembang setaman. Selepas bercakap dengan Effan, barulah hatinya terasa aman.
Sekarang, Maria boleh beradu dengan lena. Dia tarik selimut dan tutup hingga paras dada. Mengiring menghadap lampu meja suram menerangi biliknya. Mata dipejam walaupun senyuman masih setia melekat di bibirnya. Indahnya perasaan ini. Seperti yang dia alami bersama Hardy dulu.
No comments:
Post a Comment