KERETA yang dipandu Oppy berhenti di depan bangunan Kumpulan Pena Media. Dia sudah menghantar mesej kepada Maria yang dia sudah pun sampai. Lebih kurang sempuluh minit menunggu, Maria datang dan mengetuk tingkap keretanya. Effan turunkan cermin.
“Masuklah.” Effan bukakan pintu kereta untuk Maria daripada dalam. Maria masuk ke dalam kereta. Dia harap tiada staf KPM yang ternampak kelibatnya. Kalau ada yang tahu dia keluar dengan Effan, pasti menjadi isu hangat di pejabat.
“Maaf ganggu masa awak,” ucap Effan seraya perhatikan Maria yang anggun mengenakan baju kurung moden dengan rona hampir setona dengan warna kulitnya. Tanpa corak dan dihiasai sulaman pada hujung lengan. Terserlah pesona gadis melayu di mata Effan.
Maria cuma senyum. Dia rasa tak selesa. Dia kini naik satu kereta dengan ahli perniagaan muda dan juga jutawan. Bukan ke itu agak kekok? Atau dia hanya bernasib baik?
“Tak apa. Lagipun saya memang dah nak balik. Oh ya, apa hal mustahak yang Encik Effan nak bagi tahu tu ya?” Tak sabar-sabar lagi Maria nak tahu.
Effan senyum kecil. Hambar. Macam-macam benda terdetik di fikirannya. Jika dia beritahu perkara sebenar, Maria tentu marah. Jika Maria marah terhadapnya, habislah peluangnya untuk mendekati Maria. Semuanya serba tak kena sekarang. Effan masih berbahagi rasa untuk berterus-terang.
“Saya bagi tahu sambil minum nanti. Okey?”
SEMUA hidangan dipesan oleh Effan. Maria hanya bersahaja. Duduk berdepan dengan Effan, Maria tiada arah untuk mencampak pandang. Lalu pandangan diserakkan ke segenap ruang bilik itu yang berkonsepkan negara Jepun.
Mereka duduk bersila beralaskan lantai buluh dan lukisan bunga sakura menghiasi dinding buat pelanggan terasa seperti berada di negara mentari terbit itu. Pandai pula Effan pilih tempat yang tersorok.
Effan perhatikan Maria yang leka mengitari ruang bilik itu. Sengaja dia pilih restoran ini kerana tiba-tiba mengidam nak makan sushi.
“Maria,” panggil Effan kemudian berdeham. Betulkan suara dan anak tekaknya. Dia nak katakan sesuatu.
Maria menghala anak mata ke wajah Effan. Menilik segenap inci yang tanpa celanya. “Kalau saya nak kenal awak lebih dekat, awak sudi ke?”
Maria terkesima. Dia tertelan air liur sendiri. Otaknya masih cerdas menaakul maksud Effan. Tetapi, kenapa dia? Apa yang membuatkan Effan mahu mengenalinya? Dia tak punya apa-apa kelebihan. Malah dia dan Effan ibarat pipit dan enggang. Memanglah sama-sama ada ‘wan’, wartawan dan jutawan. Namun, dunia mereka berbeza.
“Encik Effan bergurau, kan?”
Effan geleng. “Saya serius. Lepas insiden dekat airport tu sampailah saya jumpa awak semula. Saya tak pernah berhenti fikirkan awak. Awak jangan salah anggap. Kita mula dengan berkawan. Jangan jadikan siapa saya sebagai batu penghalang untuk awak terima saya. Saya macam orang lain jugak. Saya ada personal life yang saya tak boleh elak.”
“Encik Effan, saya ni cuma wartawan majalah.”
“Walaupun masa di airport awak bagi tahu yang awak ni tukang sapu, saya tetap nak kenal awak, Maria. Saya tak kisah siapa kawan saya. Saya boleh berkawan dengan semua orang. Tak kira status atau pangkat. Tapi, awak ada sesuatu yang buat saya nak kenal awak, Maria.”
“Kalau Encik Effan nak jumpa saya sebab nak cakap pasal ni, saya rasa ni bukan perkara mustahak.” Maria ambil beg tangan dan ingin bangun dari bersimpuh.
“Maria, nanti!”
Maria tak jadi bangun. Dia acah saja. Kalau Effan bercakap lagi pasal nak mengenalinya, mungkin dia akan betul-betul angkat punggung.
“Sebenarnya memang ada hal lain yang saya nak bagi tahu awak.”
Maria kembali bersimpuh. Sopan. Maklumlah berbaju kurung.
“Apa kata Encik Effan cakap sekarang aje?”
“Lepas makan nanti saya bagi tahu.”
Ini yang leceh. Maria menghempas keluhan serentak dengan beg tangan ke atas meja.
Effan seluk kocek seluar dan keluarkan telefon pintarnya.
“Berapa nombor telefon awak?”
Terkejut. “Nombor telefon saya? Kenapa?”
Effan dongak ke wajah Maria. “Kata nak jadi kawan. Takkan tak boleh minta nombor telefon?”
Maria bingung. Sikap Effan di depannya mula berubah. Hilang terus karisma korporatnya tadi. Macam sudah kenal lama pula.
“Saya tak cakap pun yang saya sudi nak berkawan dengan Encik Effan.” Maria berdalih. Padahal dia tak mahu berikan nombor telefonnya kepada Effan.
“Bagi handphone awak.” Effan hulur dan tadah tangan.
Maria pula, mestilah takkan berikan telefon pintarnya kepada Effan. Pasti Effan nak masukkan nombor telefon dan buat panggilan rindu (missed call). Dengan cara itu, Effan akan mendapat nombor telefonnya. Tak semudah itu.
“Saya terlupalah. Saya cas handphone saya kat ofis tadi,” bohong Maria.
Air muka Effan mula nampak lain. Curiga. Macam dapat hidu saja penipuan Maria terhadapnya. Mata Effan tertumpu pada beg tangan di sudut meja. Effan tahu Maria berbohong. Dia nampak Maria bermain dengan telefon pintarnya dalam perjalanan tadi. Pesanan daripada aplikasi Whatsapp masuk bertubi-tubi.
“Habis tu, yang awak pegang tadi handphone siapa?” Effan mengenakan Maria pula. Nak bohong sangat kan?
Maria terpempan. Langsung teringat yang dia ada menghantar mesej kepada Nadia. Kantoi!
“Awak nak tipu Oppy bolehlah sebab dia dekat depan. Saya kat sebelah awak tau. Saya nampak apa awak buat. Bagi handphone awak sekarang.”
Maria tetap enggan.
“Saya bukan nak perasan. Tapi, saya bukan jenis yang senang nak dekati orang. Awak patut tahu yang awak bertuah sebab dapat peluang macam ni.” Seraya itu, tangan Effan menjalar untuk mengambil beg tangan Maria. Apabila dapat menyentuhnya, dia terus tarik. Perbuatannya itu buat Maria terpaku. Maria cuba untuk mengambilnya semula, namun sudah terlambat.
“Saya boleh dakwa Encik Effan buka beg tangan saya tanpa kebenaran,” kata Maria geram. Terketap-ketap giginya.
“Oh, really?” Effan membalas sinis. Tak peduli dengan ugutan palsu dan tetap membuka beg tangan Maria. Dia nampak telefon pintar dalam satu ruangan. Dia ambil dan pulangkan beg tangan kepada Maria.
Effan memang cukup gembira kerana dapat juga dia mengambil telefon pintar Maria. Dia curi pandang wajah Maria yang agak cemberut. Sebaik saja dia mahu teruskan misinya, paparan skrin minta dia masukkan kata laluan.
Maria tersenyum menang. Itulah. Curi lagi harta benda orang.
Effan terlupa Oppy pernah beritahu yang telefon pintar Maria ada kata laluan. Memang susah untuk dia mengaksesnya.
“Jadi, apa passcode awak?” soal Effan agak kecewa. Dia tahu Maria takkan beritahu.
Maria masih tersenyum sinis. Padan muka!
Effan berputus asa. Dia serahkan telefon pintar itu kepada Maria.
“Okey. Kalau awak tak bagi nombor telefon awak, saya akan telefon ofis awak nanti.”
MARIA hanya menikmati sushi salmon. Yang lain tak begitu menyelerakan. Kemudian, dia hirup pula teh hijau. Cukuplah dengan dua biji sushi saja. Effan pula masih lagi menikmati dengan penuh berselera. Apa yang sedapnya dengan sushi ini? Nasi lagi sedap.
“Encik Effan, dah Maghrib ni. Tak boleh ke kita cepat sikit?” getus Maria sekilas merenung jam tangan Effan.
“Awak tak pakai jam ya?” Effan turut melihat jam tangannya. Dia benar-benar terleka.
“Tak. Tak suka. Rimas. Saya tak suka aksesori.”
Sushi yang berbaki empat biji ditinggalkan. Dia hirup teh hijau hingga habis.
“Kalau ya pun, habiskanlah dulu. Tak elok membazir. Berapa ramai orang kat luar sana yang tak cukup makan? Tahulah Encik Effan ni banyak duit.”
Effan tercengang memandang Maria. Dia tergelak perlahan. Nampaknya kata-kata Maria tak menunjukkan wujudnya lagi jurang antara mereka. Dia rasa Maria sudah mula selesa dengannya. Seperti kawan. Tak sampai satu jam mereka bersama. Jadi, dia akan mula melayan Maria seperti kawan.
“Saya memang tak suka membazir. Jadi, saya tinggalkan empat biji ni untuk awak. Habiskanlah. Ramai lagi yang tak cukup makan kat luar sana.” Effan mengajuk kata-kata Maria tadi. Jangan pandai nasihat saja.
Maria rasa terpukul dan seperti ada sebiji bola melantun ke mukanya.
“Kalau awak habiskan, saya bayar. Tapi kalau awak tak habiskan, awak kena bayar. Deal?”
“No way!” Maria tak setuju. Permainan apa pula ni? Effan yang pesan, dia pula yang kena bayar? Banyak cantik!
“Awak nak balik naik teksi ke?”
Main ugut-ugut pula Effan ni! Maria bengang. Dia menarik pinggan sushi di depan Effan dan bawa dekat dengannya. Dia ambil chopstik dan makan satu demi satu. Dengan mulut yang penuh.
“Macam ni ke awak makan?”
Maria jegil biji mata. Dahlah paksa dan ugut dia, sekarang nak menyindir pula. Menyesal pula Maria keluar dengan Effan. Sikap Effan memang berubah sakan. Tak seperti mula-mula dia berjumpa untuk temuramah. Adakah ini sikap sebenar Effan?
Maria perasan anak mata Effan tertumpu ke arahnya. Tersenyum-senyum sehingga dia rasa tak selesa untuk mengunyah. Terasa seperti wajahnya buruk sekali dengan mulut yang penuh. Masih ada dua biji lagi. Maria tekad untuk habis. Kali ini dia masuk satu saja. Habis kunyahan itu, barulah dia masukkan sushi terakhir.
Akhirnya! Chopstik dihempas tepi pinggan. Effan ketawa kecil. Amboi, gembiranya dia!
“I guess I’ve started to like you, Maria. Dah tak kekok. Tak susah pun nak mesra dengan saya. I think we hit it off.”
Mulut Maria masih mengunyah sushi terakhir itu. Setelah itu, dia hirup teh hijau lagi. Sendat perutnya.
“Apa maksud Encik Effan?”
“What I mean was, we can get along together.”
“I don’t think so. By the way, it’s time to solat. Ada surau tak dekat area ni?”
Effan hampa dengan respons Maria. Namun, mungkin terlalu awal untuk dia membuat kesimpulan.
“Jom. Kita cari masjid.”
MUJURLAH Maria dan Effan sempat solat lima minit sebelum azan Isyak dilaungkan. Itu pun di hujung-hujung waktu. Bukan sengaja dia melengah-lengahkan solat.
Sebelum masuk kereta, Effan dan Maria berbual di luar menunggu Oppy yang belum selesai.
Effan menyeluk lagi kocek jaketnya. Tujuan sebenarnya untuk berterus terang kepada Maria tentang rakaman itu dilupakan terus. Dia tak mahu rosakkan detik ini dengan kemarahan Maria. Dia tak rasa ia menjadi virus yang akan merebak seraya senyap jika dia tak berterus-terang.
“Awak ingat tak hari awak datang interview saya?”
Maria tak mungkin lupa. Sesi temuramah yang paling sukar sejak dia bergelar wartawan.
“Ni mesti awak punya, kan?” Effan hulurkan alat perakam itu kepada Maria.
Maria tergamam. Alat perakamnya? Ia tercicir di pejabat Effan rupanya. Seluruh mejanya habis diselongkar. Sampaikan kereta Firhad turut jadi sasaran.
“Alhamdulillah. Syukur pada Allah.”
Perakam bertukar tangan. Maria benar-benar fikir ia sudah hilang. Dia mengambilnya dan mendakapnya dengan menyilang tangan ke dada. Tiga hari tanpa alat perakam itu, hidupnya rasa tak lengkap. Dalam kegembiraan dan rasa terharu kerana dapat semula alat perakamnya, Maria mahu sahkan sesuatu daripada Effan.
“Encik Effan tak buat apa-apa dengan perakam ni, kan?”
Effan cuak. Cepat dia sembunyikan air mukanya itu dengan cebik. Memang dia sudah lakukan perkara yang tak sepatutnya. Tetapi, tak mungkin dia akan mengaku. Biarlah dia diamkan saja.
“Buat apa? Saya tak tahu dekat mana nak on benda alah ni.” Effan terpaksa tipu untuk kebaikan.
Maria menghela nafas lega. Mujurlah Effan tak godek alat perakamnya. Buatnya Effan dengar rakaman-rakaman dalam perakam itu, memang dia bersumpah tak mahu berjumpa Effan lagi.
“Saya betul-betul ingat benda ni dah hilang. Terima kasih, Encik Effan.” Maria terharu. Rasa nak menangis.
“Saya tahu awak perlukan benda ni untuk buat kerja awak.”
Benar. Maria akan guna perakam jika buat liputan untuk sidang media. Tak sempat tangan nak menulis dengan cepat. Tetapi, bukan dengan alat perakam ini.
Melihat kegembiraan di wajah Maria, Effan rasa senang hati. Kalaulah dia beritahu yang dia dengar isi rakaman itu, adakah dia dapat sinar kegembiraan yang terpancar di wajah Maria?
“Tuan, Cik Maria, dah lama ke berdiri kat luar ni?”
Oppy datang menoktahkan perbualan Maria dan Effan. Maria amati wajah Oppy. Lelaki yang dia lihat sewaktu dia sedarkan diri. Sebab itulah dia tak cam Effan. Sekarang, semua itu sudah tak penting lagi. Dan Maria terpaksa terima Effan sebagai kawan malam ini kerana pulangkan alat perakamnya. Cuma, dia belum bersedia untuk berikan nombor telefon peribadi.
No comments:
Post a Comment