Bab 24
HUJAN turun di luar bangunan. Aku berdiri di tepi tingkap apabila aku sudah boleh berdiri dan berjalan menggunakan tongkat. Nak turun ke bawah, rasa macam menyusahkan. Aku terus melihat titisan hujan yang agak lebat mencurah ke bumi.
Bila aku pandang ke arah jalan raya, ramai yang mula nyalakan lampu dan memandu perlahan-lahan. Jalan raya menjadi licin selepas hujan dan boleh menyebabkan kemalangan kalau tak berhati-hati.
Hari sudah petang. Aku mungkin akan dibenarkan keluar esok. Aku bosan tinggal berhari-hari di wad. Rimas sangat. Tak bebas. Aku tak tahu macam mana orang yang sakit tinggal di wad berbulan-bulan jalani rawatan. Mereka tentu seperti aku. Namun, sakit itu merupakan salah satu cara untuk Allah hapuskan dosa hamba-Nya.
Ayah pernah pesan. Kalau ditimpa bala atau musibah atau sakit, jangan sesekali mengeluh. Itu menunjukkan Allah sayangkan kita. Aku juga rasa apa yang terjadi kepada aku menunjukkan Allah masih sayangkan aku. Macam mana kalau semasa aku terjatuh dan ada kereta melanggarku dan aku mati di situ? Tentu aku tak sempat nak bertaubat dan meminta maaf daripada mak dan ayah. Aku bersyukur kerana aku masih diberi peluang untuk hidup.
Deringan iPhone menyentakkan aku daripada lamunan singkat. Aku berjalan ke katil dan duduk di birai katil. Aku lihat skrin dan nombor telefon tak dikenali. Tongkat aku sandarkan pada katil sebelum menjawabnya.
“Helo,” ucapku sedikit mengah. Baru berjalan tiga langkah sudah semput.
“Assalamualaikum.”
Aku terkesima mendengar suaranya. Setelah lama menyepi, dia baru nak telefon aku.
“Waalakumussalam,” balasku dingin.
“Macam mana keadaan awak sekarang?”
Aku berkerut kening. Kenapa dia tanya tentang keadaan aku? Dia tahu ke aku sakit sekarang?
“Sihat aje.”
“Mama cakap awak jatuh motor. Sekarang kat hospital ke?”
“Kenapa? Awak nak datang ke? Tak perlu kut. Saya dah okey. Bukan teruk pun.”
Entah kenapa, suara Amar tak segalak selalu. Nadanya mendatar dan tak mesra. Aku rasa hairan juga. Dia ada masalah peribadi ke? Sebab itu tak cari aku langsung?
“I’m on my way now.”
Aku tergamam. Dia dalam perjalanan? Aku harap Shah tak datang hari ni. Kalau tidak, mereka akan bertembung. Habislah aku nanti.
“Sekarang tak boleh,” tegahku.
“Kenapa? Ada orang lain ke sekarang tengah melawat awak?”
“Bu... Bukan. Sekarang hujan lebat kat sini.”
Aku dengar Amar ketawa sebiji.
“Dhiya, saya bukan jalan kaki. Saya naik kereta. Apa kena-mengena dengan hujan?”
Aku mati kutu. “Err... okey. Terpulang. Datanglah. Tapi jangan datang dengan tangan kosong pula. Saya lapar ni.”
Dia gelak sebiji lagi. “Awak belum makan ya? Kesiannya. Nak makan apa?”
“Mushroom soup.” Spontan meluncur dari mulutku. Aku bukan nak sangat makan sup cendawan. Entah kat mana dia nak cari. Ah, pandai-pandai dialah.
“Okey. Saya belikan. Bye.”
Amar matikan telefon. Aku mengeluh berat. Haisy, rasa tak sedap hati pula. Shah pasti akan datang hari. Setiap hari dia datang sejak aku masuk hospital. Aku takut dia akan datang hari ini dan bertembung dengan Amar. Apa aku nak buat?
Kala ini aku resah memikirkan dua lelaki yang hadir dalam hidup aku sekarang. Aku tak tahu kenapa aku mesti takut sedangkan aku tak ada hubungan dengan mereka berdua. Sekadar kenalan.
Aku kepitkan tongkat ke bawah ketiak kiri dan berjalan ke tingkap semula. Hujan sudah mulai reda. Aku kembali duduk di atas katil dan berehat. Sekejap lagi Amar mungkin akan sampai. Aku makin gelisah menunggu.
Setengah jam berlalu. Aku rasa kian berdebar di dalam dada. Agaknya siapa yang akan sampai dulu? Dalam aku resah menunggu, pintu wad diketuk. Aku tak berkelip memandang ke arah pintu dan ingin lihat siapa yang datang.
“Ma... Masuk.”
Bila pintu dibuka, aku lihat Amar berdiri tegak sambil senyum kecil. Dia angkat plastik tertulis Pizza Hut. La, dia beli sup cendawan kat Pizza Hut?
Amar masuk ke dalam dan letak plastik itu ke atas meja sisi. Kemudian dia duduk di kerusi pelawat. Aku memerhati keadaanku. Daripada raut wajahnya, aku tahu dia simpati dengan nasibku.
“Macam mana boleh jatuh ni?”
“Saya tak perasan ada lubang atas jalan tu. Tak sempat nak elak,” jelasku.
“Teruk tak? Kaki mana yang sakit?”
Aku tunjukkan kaki kiri.
“Patah?”
Aku geleng.
“Makanlah sup tu. Panas-panas lagi,” kata Amar. Lalu dia keluarkan bekas sup cendawan dari plastik dan hulurkan kepadaku bersama sudu plastik.
“Thanks,” ucapku. Aku memegang bekas sup dan pandang ke arah Amar. Air mukanya nampak muram. Dia tak ceria macam sebelum ini.
“Amar, awak sibuk ke sekarang?”
“Tak sangat,” jawabnya.
Kalau tak sibuk, kenapa berminggu-minggu menyepi? Telefon tak, SMS tak. Ni yang buat aku geram. Kata suka aku, sayang aku. Macam tu ke cara nak tunjukkan yang dia suka dan sayang aku?
“Awak marah?”
Aku bungkam. Memang aku rasa marah. Dia datang cari aku bila perlukan aku saja. Lepas itu senyap. Aku tunduk merenung bekas sup. Aku buka penutupnya dan makan suapan demi suapan. Langsung aku tak pelawa Amar. Dia beli untuk aku. Kalau dia makan, nanti buruk siku.
Beberapa kali suapan, aku berhenti. Kemudian lap mulut dengan lengan baju. Sedap. Sudah lama teringin nak makan.
“Saya minta maaf kalau tiba-tiba saya menyepi.”
Aku lepaskan dengusan kecil. “Saya faham awak sibuk. Easy come and easy goes. Saya dah faham.”
“Tapi lately saya memang sibuk. I’m so sorry.”
Tadi cakap tak sibuk sangat. Mana satu ni? Aku ketap bibir. Kemudian makan sup cendawan lagi. Aku terpaksa makan untuk kurangkan bercakap dengan Amar.
“Cupcakes delivery!”
Aku dan Amar tersentak. Jeritan dari luar wad dan pintu terbuka tiba-tiba membuatkan aku tergamam. Shah datang sambil menatang kotak kek di atas tapak tangan. Ala-ala delivary man. Shah turut tergamam. Melihat seseorang bersama aku. Aku, Shah, Amar, saling berpandangan. Aku pandang dia, dia pandang aku dan masing-masing bingung. Aku, lagilah.
“Bukan ke ni Amar Affandy?” kata Shah.
Aku tenung ke arah Amar Affandy. Wajahnya makin kelat. Dia pandang aku sekilas dan bingkas bangun.
“Amar? Betul ke Amar? Wau!” Shah nampak teruja bertemu Amar.
Aku lihat mereka berdua. Shah letak kotak kek ke atas meja. Dia keluarkan handphone dan mengambil gambar bersama Amar. Amar layan saja. Dalam gambar, Amar tak berapa senyum.
“Tak sangka dapat jumpa Amar kat sini. Do you guys know each other?”
Aku dan Amar kuncikan mulut. Seleraku padam. Aku letak bekas sup ke atas meja sebelah kotak kek.
“Excuse me,” kata Amar lalu keluar dari wad.
Shah terpinga-pinga memandang ke arahku.
“Amar, kan? I’m not dreaming, right?” kata Shah seraya menampar-nampar perlahan pipinya.
Aku angguk kepala. Shah tak bermimpi di siang hari. Dia memang berjumpa dengan Amar.
Shah masih tersenyum gembira. Gembira dapat jumpa Amar kat sini. Shah menghampiriku. Daripada raut mukanya, aku rasa dia tak syak apa-apa antara aku dan Amar. Tapi tentu dia rasa pelik macam mana aku dan Amar boleh kenal. Nanti aku akan jelaskan kepada Shah.
WALAUPUN kurang berselera, aku dapat habiskan sebiji cupcakes dengan topping cream cheese bertemankan Shah.
“You guys belajar satu U lah dulu?”
Kepala kuanggukkan. Setelah aku cerita serba sedikit tentang Amar, Shah boleh terima.
“Bukan... couple?”
Terkejut aku dengan pertanyaan itu. Segera aku sangkal. “Taklah. Dia datang melawat sebagai kawan. Kami bukan ada apa-apa pun.”
Shah menghela lega. “I thought... Awak berdua ni couple.”
“Kenapa? Let say saya dengan dia ni memang couple, awak kisah tak?” soalku. Sekadar mahu menduga.
“I hope you’re not.” Selamba saja Shah menjawab.
Aku mula fikirkan sesuatu. Dia sukakan aku? Oh, tidak! Dua lelaki dalam satu masa?
“Awak akan discharge, kan?”
“Ya. Kenapa?”
“Siapa akan jemput awak nanti?”
“Mama.”
“Saya harap awak tak kisah kalau saya nak jemput awak esok.”
Pantas aku geleng. “Tak boleh. Tak boleh. Biar saya balik dengan mama. Saya... tak suka naik kereta dengan lelaki. Maksud saya, tak biasa. So, better not.” Aku tak tahu nak jelaskan macam mana. Aku harap Shah dapat faham dan tak tersinggung.
“Okey. Kalau awak cakap macam tu, takkan saya nak paksa. Saya suka sikap awak ni. Jangan mudah percaya dengan lelaki. Even me.”
Kata-kata Shah buat aku rasa takut. Jangan percayakan lelaki termasuk dia?
“Janganlah takut. Tapi saya bukan lelaki jahat. Mungkin nakal sikit.” Shah gelak halus.
Nakal? Aku makin rasa seram. Meremang bulu tengkuk. Dahlah aku berdua dengan dia di dalam wad. Tapi kalau dia cuba nak apa-apakan aku, aku repot dekat Puan Dina.
“Saya tak nakal dengan perempuan. Jangan risau.”
Aku pandang Shah dengan rasa gerun. Adakah sebab ini dia belum ada kekasih walaupun sudah berumur 30 tahun? Kalau tak nakal dengan perempuan, dengan lelaki ke? Ah, sudah. Aku takut kalau Shah ni jenis songsang.
“Dhiya, saya nak kenal diri awak lebih dekat.”
Spontan bibirku terbuka.
“Terus terang saya cakap. Saya dah mula tertarik dengan awak. I like your style. The way you talk. How you show your impression with something you love. Those things make me want to know more about you.” Sambungnya lagi. “From the first day I saw you, I know you really love those cupcakes.”
Aku terpempan. Memandang Shah berkata-kata. Patutlah dia tanya soalan itu kepada aku.
“Saya tak ada masa untuk bersuka ria dengan perempuan kat luar. I want to have a serious relationship and tie the knot with someone. When I see you, I think it’s you.”
Aku jadi sesak nafas. Yang di sana luah perasaan. Di sini pun luah perasaan. Padahal baru kenal. Susah untuk aku percayakan Shah, begitu juga Amar. Lelaki cepat luahkan perasaan. Mereka tak fikir ke baik dan buruk pilihan mereka?
Oh, ya. Aku terlupa. Lelaki tak kisah kalau tersalah pilih. Dia boleh ceraikan bila-bila masa saja. Mereka ada empat kuota. Tak seperti perempuan. Mereka memilih pasangan sebab mereka mahu hidup dengan pasangan sampai akhir hayat. Bukan untuk lima tahun, 10 tahun atau 15 tahun.
“Shah, kita baru kenal. Terlalu awal untuk awak menilai saya.”
“I believe in my first impression.”
“Tapi terlalu awal, Shah.”
“Sebab tu saya nak kenal awak lebih dekat. If you give me a chance.”
Aku mula keliru. Luahan hati Shah, luahan hati Amar, aku tak tahu siapa sepatutnya aku pilih. Aku memandang Shah yang menanti jawapan. Namun, aku diamkan diri ini.
BETAPA leganya aku dapat keluar dari hospital. Rasa seperti bebas dari sangkar. Mama datang jemput dan terus pulang. Dalam perjalanan, aku hanya membisu. Kepalaku kembali berserabut.
“Dhiya?” Lembut suara mama memanggilku.
“Mama faham bukan senang nak buat pilihan. Tapi kita boleh buat pilihan yang terbaik kalau buat solat istikharah. Insya-Allah. Allah akan berikan petunjuk untuk kita.”
Aku mengeluh berat.
“Terlalu awal mama untuk Dhiya buat pilihan. Lepas kecewa, Dhiya dah tak menaruh harapan lagi. Kalau ada jodoh, adalah. Dhiya takut Dhiya kecewa lagi, mama.” Tiba-tiba aku teresak-esak. Ditambah pula perasaan aku yang agak sensitif sekarang.
“Memang itulah risiko orang bercinta. Memang akan kecewa. Tapi Dhiya kena bersedia untuk hadapi semua tu. Lumrah orang bercintalah. Ada suka, ada duka. Ada bahagia, ada kecewa. Kalau bahagia aje, tak menariklah hidup kita ni.”
Aku setuju dengan mama. Tapi, aku rasa aku tak kuat untuk kecewa lagi. “Mama, Dhiya nak balik kampung. Tenangkan fikiran.”
“Bila nak balik?”
“Hari Sabtu minggu depan,” putusku.
Mama angguk. Dia faham situasi aku sekarang. Jadi aku rasa keputusan terbaik adalah balik kampung dan tenangkan fikiran. Aku rasa tertekan sangat setiap kali fikirkan Shah dan Amar. Bila teringatkan reaksi Amar masa Shah datang, aku rasa bersalah sangat. Dia nampak sedih. Tentu dia tak sangka ada lelaki lain cuba mendekati aku.
Aku termenung sepanjang perjalanan sehinggalah sampai di rumah. Mama membantu aku keluar dari kereta memandangkan aku masih menggunakan khidmat tongkat.
Tongkat aku kepit di celah ketiak dan berjalan berjongket-jongket masuk ke dalam rumah. Bila sampai depan tangga, aku termangu. Macam mana nak naik tangga dengan tongkat ni? Dahlah kaki kiri aku tak boleh diluruskan. Masih bengkak. Nak lompat si katak lompat di atas tangga? Nanti berguling jatuh. Masuk hospital lagi sekali jawabnya.
“Boleh tak naik tangga tu?” sapa mama yang baru masuk ke dalam rumah.
Aku angguk. Aku yakin dengan diri aku yang aku boleh naik ke atas.
Dengan sepenuh tenaga, aku berpaut pada penghadang tangga dan cuba berjalan perlahan-lahan walaupun terjengket-jengket. Tongkat aku pegang dan angkat sedikit ke atas. Perlahan-lahan, aku sampai ke tingkat atas dan berjalan bertongkat ke bilik. Seksa betul.
Masuk saja di dalam bilik, aku rasa seperti berada di syurga. 400 kali lebih baik daripada hospital. Aku duduk di atas katil dan baring untuk meleraikan rasa lelah. Aku guling ke kiri dan ke kanan. Empuknya. Lembutnya. Nyamannya.
Aku lihat jam dinding. Kemudian aku tanggalkan tudung dan anak tudung sekali. Aku nak berehat. Perasaan sekarang rasa tak sabar nak balik kampung.
No comments:
Post a Comment