Bab 3
AKU dan mama mula bersiap untuk bertolak ke Perak. Sebelum itu, mama sempat mengira stok produknya. Katanya semalam dia terima tempahan. Kalau sempat, lusa dia nak hantarkan.
Sementara menunggu mama selesaikan kerjanya, aku betulkan selendang depan cermin di ruang tamu. Jerawat tumbuh lagilah. Nak periodlah ni. Hati kecilku merungut. Kalau sudah tumbuh jerawat ni, mulalah jari terasa gatal nak picit.
“Dah siap,” jerit mama.
Aku lihat daripada cermin. Mama masih bercekak pinggang sambil mengira dengan jari telunjuk. Kata sudah siap. Tapi tengah mengira lagi. Mama, mama...
Setelah puas hati dengan tudung yang aku gayakan, aku senyum. Hmm, manis juga senyuman aku ni. Tetapi, kenapa lelaki susah nak dekati aku? Sebab penampilan aku yang tak moden ke? Atau lelaki sekarang lebih suka perempuan yang mendedahkan aurat berbanding yang menutup aurat?
Aku bukanlah terdesak mencari pasangan. Ayah selalu cakap, kalau berkawan kena ada batasannya. Jaga pergaulan dan adab berkawan. Jangan bersentuhan dengan bukan muhrim. Semua itu mesti kena jaga supaya tak terjebak dengan maksiat. Mungkin sebab itu aku juga sukar menerima lelaki. Dan sebab itu juga lelaki tak berani mendekati aku.
Ah, pedulikan semua tu. Jodoh sudah ditentukan oleh Allah SWT. Kita cuma perlu berusaha dan berdoa. Yang menjadi masalah, aku tak berusaha mencari. Belum ada yang menepati cita rasa aku.
“Dhiya, dah siap ke? Lama betul berdiri depan cermin. Anak mama ni dah cantik. Tak payah nak bersolek sangat.”
Teguran mama buat aku tersipu. Ke situ pula mama. Bila masa aku bersolek? Aku cuma senyum dan segera dapatkan mama. “Banyak ke tempahan?”
“Banyak. Nampaknya mama kena ambil kat kedai lagi.”
“Mama, sedap ke produk ni? Perisa apa? Menjadi ke?” Aku menembak mama dengan soalan. Tak pernah aku usul tentang produk mama. Lagipun aku bukan jenis yang mengambil makanan tambahan atau minuman kecantikan.
“Ni perisa lemon. Sedap dan banyak vitamin C. Untuk kecantikan kulit, Dhiya kenalah amalkan.”
“Berapa lama kena amal baru boleh cantik kulit?” Aku soal mama lagi. Lagipun mama tengah buat promosi dekat aku.
“Bergantung. Pemakanan lain pun kena jaga. Bukan harapkan ni aje. Dhiya nak cuba?”
Pantas aku geleng. “Tadi mama cakap Dhiya dah cantik.” Aku bergurau.
Mama gelak. Dicubitnya lengan aku dengan lembut. “Alah... mama saja aje cakap macam tu. Tapi kalau Dhiya nak amalkan, ambil aje.”
Aku merenung kotak-kotak di depan kami. Nak cuba ke tak?
“Nantilah Dhiya cuba. Sekarang, kita bertolak balik. Sebelum jalan sesak.” Aku pesan kepada mama. Kalau berlengah, takut nanti jalan sesak.
Mama mula tergesa-gesa mencari tas tangan dan kunci kereta. Aku tersenyum lihat gelagat mama. Beg galas aku capai. Beg pakaian aku bimbit. Kami keluar dari rumah. Mama terus ke garaj. Aku ambil tugas mengunci pintu. Pintu pagar pula cuma guna alat kawalan jauh yang dipegang oleh mama. Selalunya mama simpan dalam keretanya saja. Beg pakaian aku letak di tempat duduk belakang.
“Mama tak bawa baju?” soalku bila tak nampak beg pakaian mama.
“Eh, mama lupa. Ada kat dalam.” Mama menepuk dahi.
Kalau sudah kalut, memang lupa. Mama nak keluar dari kereka tapi dihalang olehku. Memandangkan aku masih pegang kunci rumah, aku pergi ambilkan beg pakaian mama. Selepas ambil beg dan kunci pintu, aku ke garaj semula dan masuk dalam kereta. Beg pakaian mama aku letak di tempat duduk belakang.
“Terima kasih,” ucap mama.
Aku cuma senyum. Tak perlu berterima kasih.
“Boleh pergi sekarang?”
“Jom,” jeritku girang. Dalam hati mula menyanyi-nyanyi lagu Balik Kampung. Seronoknya dapat jumpa mak dan ayah.
Sebelum masuk lebuh raya, jalan memang sesak. Mama memandu dengan sabar. Sesekali mama ikut menyanyi lagu Fauziah Latiff yang aku mainkan. Mama cukup meminati Fauziah Latiff. Dari awal menyanyi sampai sekarang.
“Mama paling suka lagu ni. Gubahan Rindu Puisi Syahdu. Sebab lagu ada kena-mengena dengan mama. Kisah mama dengan bekas suami mama.” Tiba-tiba suara mama bertukar sebak.
Aku mula resah setiap kali mama membuka kisah sedihnya. Aku tahu semuanya. Mama pernah ceritakan kepada aku.
“Mama, jangan cakap pasal ni. Nanti mama nangis. Dhiya pun nak nangis,” pujukku sambil mengusap bahu mama.
Aku sedar mata mama sudah mula bergenang. Aku pernah menghayati bait-bait lagu itu. Memang kena lagunya dengan kisah mama. Cepat-cepat aku tukar ke track lain. Mencari lagu yang lebih rancak supaya mama tak teringatkan bekas suaminya. Aku pilih lagu Di Muara Sepi.
Mama mula nampak tenang. Fokus pada pemanduan. Aku menghela lega. Sebolehnya, aku nak mama lupakan kisah sedihnya. Untuk apa dikenang orang yang sudah mengkhianati kita? Namun, aku kagum dengan semangat mama.
Kami melayani perasaan masing-masing. Mama diam terus selepas aku tukar lagu lain. Mungkin dia masih sedih teringatkan kisahnya. Aku tak berani menegur. Jadi aku putuskan untuk turut membisu. Kami mula memasuki plaza tol KL-Changkat Jering.
Selepas bayar tol, perjalanan diteruskan. Agak lama membisu, mama bersuara semula.
“Dhiya, mama nak pesan kat Dhiya. Kalau nak cari suami, carilah lelaki yang bertanggungjawab.”
Aku pandang mama. Memadai ke hanya dengan sifat bertanggungjawab? Aku kurang jelas. “Bertanggungjawab dari segi apa tu mama?”
Mama hembus nafas dan mengerlingku sekilas.
“Bila seorang lelaki tu ada satu sikap ni, insya-Allah, dia akan jadi khalifah Allah yang baik di dunia ni.”
Aku semakin tak faham. “Kita juga khalifah.”
“Dhiya, bila dia bertanggungjawab, dah pasti dia akan jaga semua perkara yang menghalang dia daripada buat dosa. Dia bertanggungjawab pada diri sendiri, pada keluarga, pada suruhan Allah. Lelaki macam tu yang kita kena cari. Yang penting, apa yang dia buat, semua kerana Allah SWT.”
“Ada ke lelaki macam tu zaman sekarang mama? Susah nak cari lelaki yang baik, soleh.”
“Ada. Sebab tu kita kena berkawan dengan orang-orang alim. Betul tak?”
Seketika, aku memikirkan kata-kata mama. Tak sangka. Mama juga tahu tentang agama. Seingatku, mama jarang bercakap tentang agama denganku di rumah. Dia sibuk dengan perniagaannya.
“Ayah pun selalu cakap macam tu. Kena berkawan dengan orang yang soleh kalau kita nak jadi orang soleh.”
“Memang betul. Mama tak nak Dhiya terima nasib macam mama. Memang tak semua lelaki sama, cuma kita kena pilih dan banyakkan berdoa supaya Allah temukan kita dengan jodoh yang baik.
Aku senyum. “Dhiya pun harap macam tu, mama. Sebab tu sampai sekarang Dhiya tak ada boyfriend. Kalau boleh, Dhiya nak terus kahwin. Tak nak bercinta-cinta bagai. Kalau dia betul-betul nak berkawan dengan Dhiya, biar dia jumpa mak ayah dulu.”
“Macam tulah sepatutnya. Sebelum tu, biar mama yang tapis dulu. Mama pun nak pilih calon suami yang baik jugak untuk Dhiya. Dia mesti boleh jadi imam. Kalau tak hafal 30 juzuk, at least dia boleh mengaji. Nanti nak ajar anak isteri. Betul tak?”
“Betul tu, mama. Yang tu Dhiya setuju.” Aku menyokong seratus peratus. Tapi mama macam lebih-lebih pula. Macam dia pula yang nak cari calon suami. Aku gelak dalam hati.
Banyak yang kami bualkan sampai tak sedar yang kami telah keluar dari lebuh raya dan masuk ke bandar Changkat Jering.
AKHIRNYA, kami sampai di Bukit Gantang. Kampung halaman yang aku rindukan. Penuh dengan kehijauan sepanjang jalan. Senyuman melebar sebaik aku ternampak papan tanda Kampung Cheh.
Aku nak buat kejutan untuk mak dan ayah. Aku tak beritahu mereka tentang kepulangan aku hari ini. Sampai nanti, tentu mereka terkejut. Ini adalah kali kedua mama datang ke kampungku. Mak dan ayah pun dah kenal mama. Hubungan mereka pun baik. Cuma mak kerap berpesan agar aku menjaga diri di rumah mama.
“Mama, hujung tahun ni musim durian. Nanti mama datanglah.”
“Betul ke?” Mama sahut dengan teruja.
Aku tahu mama memang suka makan durian. Sama dengan aku. Hantu durian.
Aku angguk berkali-kali mengiakan. “Lepas raya haji.”
“Kalau macam tu, bolehlah mama makan puas-puas. Kalau nak beli, mahal jugak.”
“Boleh sangat. Nanti mama berayalah kat sini.” ajakku. Lagipun mama tak punya sesiapa. Apa salahnya tahun ini mama sambut raya korban bersama aku di kampung?
“Boleh ke?”
“Kenapa tak boleh?” Aku sekadar senyum.
Mama balas senyumku dengan anggukan. Setujulah tu.
Lebih kurang 500 meter ke depan, mama membelok masuk ke cabang menuju ke rumahku. Rumah separuh kayu dan separuh batu berwarna biru. Itulah rumahku. Kereta mama menyusur masuk ke pekarangan rumah. Pandanganku mula meliar mencari penghuni rumah. Kereta ayah ada di laman. Motosikal achik pun ada. Pintu dan tingkap semua terbuka.
Tak sabar nak bertemu mak dan ayah, aku terus keluar sebaik mama berhentikan kereta. Aku berlari ke arah pintu yang terbuka seolah-olah menyambut kepulanganku. Sudah tak peduli lagi beg pakaian di dalam kereta. Aku nak bertemu dengan wajah kesayangan aku. Mak, ayah, achik dan adik.
“Assalamualaikum.” Salam diberi sambil aku mencari mereka.
Akhirnya aku ke dapur. Mak tengah menggoreng sesuatu. Melihat mak, aku terus rasa nak peluk. Masa itu, mak tak perasan lagi. Aku turun tangga dapur perlahan-lahan. Pastikan tak ada sebarang bunyi terhasil. Sampaikan nafas pun aku tahan-tahan. Mulutnya sudah mula tersengih nakal.
“Makkk!” jeritku sebaik saja memeluk pinggang mak.
Mak yang tengah menggoreng terperanjat sambil mengucap panjang. Mak beristighfar dan berpaling ke belakang.
“Dhiya balik, mak.” Aku menjerit gembira.
Air muka mak yang terkejut ketara tadi berubah gembira. Ibu mana tak gembira melihat anaknya balik? Sudah enam bulan aku tak balik kampung. Sekadar berhubung dalam telefon saja.
“Kenapa tak cakap nak balik?” soal mak ketika aku mencium tangannya. Penuh kerinduan.
“Dhiya nak buat surprise kat mak,” balasku dalam senyum.
“Balik dengan apa ni?”
“Mama. Ada kat luar.”
“Kenapa tak jemput dia masuk?”
“Dhiya turun dulu tadi. Tak sabar nak jumpa mak. Mak masak apa ni?”
Mak kembali menghadap dapur. Dia tengah menggoreng ikan untuk makan tengah hari. “Ni, mak goreng ikan bawal.”
Aku tengok ke dalam kuali. Dua ekor ikan bawal digoreng dan bau mula naik. Ni yang buat perut makin lapar.
“Mak, Tijah ada balik?” soalku.
Tiba-tiba teringat pada kawan sepermainanku, Khatijah. Kami satu kelas sampai darjah enam. Lepas itu masuk sekolah menengah, dari tingkatan satu sampai tiga kami sekelas. Masuk tingkatan empat dan lima, aku masuk ke aliran sains dan dia aliran sastera.
“Ada. Semalam baru balik. Dia kerja kat Johor sekarang. Kerja kilang,” beritahu mak.
Aku angguk saja. Lama tak jumpa Tijah. Bila balik, nak juga jumpa kawan lama. “Mak, Dhiya nak pergi rumah Tijah kejap.”
Mak berpaling. “Pergilah. Panggillah mama naik. Mana dia?”
“Nanti Dhiya panggilkan.”
Belum sempat aku keluar panggil mama, wanita itu sudah pun berdiri di pintu dapur. Mama tersenyum tatkala melihat aku dan ibu di dapur.
“Mama,” seruku.
Mak pun berpaling.
“Apa khabar?” sapa mama. Dia turun mendapatkan mak.
Aku perhatikan mereka bersalam.
“Baik. Kak Sari apa khabar?”
Mereka saling bertanya khabar. Bila orang tua berbual, aku malas nak masuk campur. Ada baiknya aku beredar dan pergi ke rumah Tijah yang selang dua buah rumah saja.
“Mak, mama, Dhiya nak pergi rumah Tijah kejap,” kataku lalu tinggalkan dapur.
“TIJAH! Tijah!” Aku menjerit memanggil Tijah sebaik aku jejakkan kaki ke laman rumah dia. Aku memandang sekeliling rumah mencari kelibat sesiapa untuk bertanya tentang Tijah.
“Tijah! Oh, Tij...” Sedang seronok aku menjerit memanggil Tijah, tiba-tiba sebatang tubuh berdiri tegak di depan pintu tertumpu ke arahku. Terkejang lidah aku untuk terus memanggil Tijah.
Khalif. Abang Tijah. Setahu aku, Khalif belajar di Jordan. Sambung ke peringkat master. Dah habis ke? Atau dia balik bercuti? Lama juga tak tengok Khalif. Masa sekolah dulu, Khalif ni jenis pemalu. Kuat belajar. Selalu pergi masjid dan mengaji al-Quran. Pendek kata, cukup sifat untuk dijadikan suami. Cuma...
“Err... Tijah ada?” Dalam malu, aku bertanya. Mana taknya, seorang gadis Muslimah menjerit-jerit memanggil Tijah. Suara kan aurat. Tetapi suara aku tadi taklah begitu kuat.
“Ni Dhiya, kan?” soalnya tersenyum manis.
Kalau dulu, pandang aku pun tak. Pemalu sangat. Jalan menunduk. Sekarang Khalif berani memandang bukan muhrimnya dengan senyuman. Aku sekadar angguk kecil. Sekurang-kurangnya dia masih ingat lagi.
“Tijah keluar beli barang sikit. Kejap lagi dia balik,” ujarnya.
“Oh, kalau macam tu tak apalah. Saya balik dulu.” Aku putuskan untuk balik dulu. Perlahan aku berpatah balik untuk pulang. Namun, aku berhenti dan berpaling semula ke arah Khalif.
“Kalau Tijah dah balik, tolong bagi tahu dia yang saya nak jumpa,” pesanku.
Khalif angguk dan senyum. “Insya-Allah,” jawabnya.
Sejuk hati mendengar cara Khalif menjawab. Orang yang berilmu macam Khalif, cukup menjaga tutur kata. Aku jadi malu dengannya.
“Terima kasih,” ucapku lalu berjalan terkedek-kedek balik semula ke rumah.
Aku tak tahu apa reaksinya bila melihat aku berjalan macam itu. Tentu dia tengah tersenyum dan geleng-geleng kepala. Sempat aku berpaling sekilas. Jangkaanku tepat. Khalif tengah tersenyum memandangku. Dan aku pula terus berjalan sampai tak sedar ada ampaian kain di depan.
Tiba-tiba kepalaku terhantuk pada tiang ampaian. Terus aku rebah. Sakitnya tak boleh digambar dengan kata-kata. Rasa macam retak saja tengkorak kepala. Bila rebah terduduk, aku cepat-cepat bangun kerana malu. Sambil itu aku gosok-gosok kepala yang sakit.
“Eii... apasal kau cemerkap sangat? Buat malu ajelah.” Aku memarahi diri sendiri ketika masuk ke dalam rumah. Jatuhlah saham bila terjatuh sebab terlanggar tiang ampaian.
Aku betul-betul malu dengan Khalif.
No comments:
Post a Comment