Thursday, 28 July 2016

TANPA AWAK MACAM NAK GILA! 5



Bab 5



HESSA keluar dari bank setelah mengeluarkan sejumlah wang. Sedang berjalan, matanya tertumpu pada baki slip bank. Tiba-tiba Hessa merempuh sesuatu. Terasa tangannya sakit dan tubuhnya terlantun sehingga dua langkah ke belakang. Apabila mendongak, rupa-rupanya dia terlanggar pintu kereta. Dia menggosok-gosok tangannya yang sakit.

“Hei...” Hessa menjerit, namun terpaku apabila melihat seorang lelaki keluar dari kereta seraya membuka cermin mata.

Lelaki itu merenungnya tajam. Berdiri di sebalik pintu kereta sambil meletakkan siku pada pintu itu. “Not you again!”

Hessa senyum cemik.

“Lain kali, nak buka pintu tu tengoklah kiri kanan. Sekalipun awak nak balas dendam kat saya, bukan ni caranya. Tak macolah!” tengking Hessa dengan vokal separuh tinggi.

Giliran lelaki itu pula senyum sinis. 

Senyuman di bibir lelaki itu buat hati Hessa menjadi sakit. Memang ternyata hari ini hari malangnya. Dia tahu lelaki itu memang berniat untuk membalas. Kebetulan saja mereka bertembung semula.

“Oh. Awak memang sengajalah, kan? Awak memang dah nampak saya keluar dari bank. Awak sengaja buka pintu kuat-kuat supaya saya langgar kereta awak, kan?” 

Lelaki itu tercengang seketika. 

Hessa tak berpuas hati. “You should apologise, gentleman.” 

“Am I to blame? Saya tak perasan awak lalu kat sini. Sekalipun Neelofa yang lalu, dia tetap akan kena.” 

Hessa mengetap geram. Pernafasannya sedikit laju.

“Tapi, kalau saya tahu awak yang lalu tadi, baik saya langgar aje. Sebelum ni awak pun pernah langgar saya.” Lelaki itu tersenyum menang. Adil kerana dapat membalas secara kebetulan.

Hessa mengecilkan matanya merenung tepat ke wajah lelaki itu.

“Saya harap kita takkan berjumpa lagi,” tegasnya.

“I hope so. If we happen to meet again, it means we are meant to be.” 

“No way and go away!” balas Hessa sinis. Melayang-layang tangannya dengan sombong.

“I’m joking.” Lelaki itu ketawa sinis dan ingin keluar dari kereta.

Hessa putuskan untuk beredar. Namun, dia takkan tinggalkan lelaki itu tanpa lelaki itu menerima kesakitan yang akan berikan kesan mendalam. Kalau sampai trauma lagi elok. 

Lelaki itu ingin keluar. Belum pun sempat tubuhnya melepasi pintu, Hessa mengambil peluang itu dengan menolak pintu sehingga lelaki itu tersepit. Dia tolak kuat-kuat dan lelaki itu hanya mampu menjerit kesakitan. Terkial-kial untuk beberapa saat.

Setelah puas hati membalas dendam, Hessa melintas dengan selamat ke seberang jalan. Lelaki itu memandang jauh ke arahnya dengan riak bengang. Hessa melambai-lambai tangannya sebagai tanda kemenangan.

Kalaulah dia ada peluang untuk kenakan semula gadis itu...

Tatkala dia ingin melangkah ke bangunan bank, tiba-tiba dia terdengar jeritan dari arah seberang jalan. Pantas dia menoleh dan lihat gadis itu tertiarap ke atas jalan dalam keadaan kesakitan.

“Tolong! Tolong!

Kelihatan gadis itu memegang dahinya yang sakit dan cuba menggagahi diri untuk bangun. Walaupun mereka tidak saling mengenali, namun dia terpanggil untuk membantu. Dia menyeberang jalan dengan hati-hati dan dapatkan gadis itu. 

“Kenapa ni?”

“Beg saya... beg saya...” jerit Hessa seraya dipapah bangun oleh lelaki itu. 

Namun, peragut tadi sudah lenyap daripada pandangan bersama motosikal. Hessa hanya mampu menangis kerana dia baru saja kehilangan beg duit, kunci kereta, telefon pintar, kad bank, kad pengenalan dan semua yang ada di dalam beg tangannya.

Lelaki itu tidak mampu bertindak apa-apa. Peragut itu sudah tentu pergi entah ke mana. Dia takkan mampu mengejar mereka. Dia simpati terhadap nasib gadis itu. Wajah itu basah dengan air mata.

Saat itu Hessa menangis semahu-mahunya seraya rebah bersandar pada kereta. Kenapa perkara ini terjadi kepadanya? Sebelum ini dia yang menangkap peragut. Sekarang, dia pula diragut.

“Habis, macam mana sekarang?” 

“Macam mana apa? Kunci kereta saya dalam beg. Handset saya dalam beg. Awak nak saya buat apa?” marah Hessa tak semena-mena. 

Dia benar-benar tertekan. Ya Allah, kembalikanlah beg tanganku jika ia masih rezekiku, doa Hessa dalam hati. Hessa masih menunggu dengan harapan dia akan dapat kembali beg tangannya. Hessa tunduk merenung tar sambil merengek menangis.

“Kalau awak nak pergi balai polis, saya boleh hantarkan.” 

Hessa pandang lelaki itu. Mereka bergaduh sebentar tadi. Namun, lelaki itu masih sudi membantunya. “Tak perlu.” 

“Terpulang. Saya nak tolong, tapi awak tak nak. Okeylah, saya pergi dulu.” Lelaki itu ingin beredar. 

Hessa hanya memerhati. Dia takkan panggil lelaki itu untuk datang semula. Dia biarkan lelaki itu melintas jalan dan hilang dalam bangunan. Sekarang ini Hessa tidak dapat fikirkan apa-apa. Dia buntu. Sehinggalah dia disapa seseorang. Kurang daripada setengah jam kejadian ragut berlaku.

“Akak?” Kedengaran satu suara garau menyapa. 

Hessa mendongak wajahnya dan terkedu. Seorang pemuda tinggi dan berkumis tipis tersenyum ke arahnya. Ada kesan lebam di bawah bibir pemuda itu.

“Ni beg tangan akak, kan?” Perlahan pemuda itu menghulurkan beg tangan berwarna kelabu. 

Dia yakin beg tangan itu milik gadis di depannya itu. Semasa kejadian ragut tadi, dia terdengar jeritan meminta tolong. Kebetulan dia menaiki motosikal. Apa lagi, dikerjanya peragut itu sampai dapat.

Hessa terpanar lantas tersenyum. Dia sangka dia tidak akan dapat kembali beg tangannya. Senyuman yang terukir jelas sekali menunjukkan Hessa bersyukur dan berterima kasih kepada pemuda itu. Rupanya ada yang sudi membantunya. 

“Terima kasih, dik. Ni memang beg saya. Terima kasih banyak-banyak. Syukur,” ucap Hessa dengan rasa terharu. 

Dia memeluk beg tangannya. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia bersyukur dan gembira. Sekarang, dia boleh balik ke rumah. 

“Sebelum tu, periksalah dulu beg tu. Manalah tahu ada yang dah terambil.” 

“Oh ya. Lupa.” Tanpa membuang masa, Hessa menyelongkar beg tangannya. Semuanya masih ada. 

Dia periksa beg duit pula. Duit juga tidak terusik. Lalu dia menarik dua keping not RM50 dan hulurkan kepada pemuda yang membantunya.

“Eh, apa ni, kak? Simpan ajelah.” Lelaki itu menolak pemberian Hessa. 

Namun, Hessa berkeras untuk memberi sebagai tanda terima kasih. Dia melipat wang itu dan masukkan ke dalam kocek baju. Daripada penampilan lelaki itu, gayanya seperti seorang pelajar. 

“Guna duit tu pergi klinik. Okey?” Hessa menepuk lembut bahu lelaki itu.

“Terima kasih. Lain kali hati-hati tau,” pesan remaja itu sebelum beredar dengan motosikalnya.

Hessa tersenyum dan dalam hati tidak henti-henti mengucap syukur kepada Allah SWT.

SEKEMBALINYA Hessa dari Rumah Kirana, dia menerima panggilan daripada satu nombor yang tidak dikenali. Dia menjawab panggilan itu sambil keluar dari kereta. “Helo?” 

“Assalamualaikum. Ni Hessa ke?” 

“Waalaikumussalam. Ya. Hessa bercakap. Siapa tu?” soal Hessa dengan kening berkerut.

“Hessa, ni Iman. Ingat lagi tak?” 

Hessa berfikir sejenak. Iman Akmal?

“Iman? Ingat siapa. Apa khabar?” Suara Hessa teruja.

“Baik aje. Awak?” 

“Saya pun sihat aje.” 

“Maaflah kalau saya mengganggu awak. Awak kat mana tu? Hari ni tak ada kes jenayah ke?” usik Iman Akmal.

Soalan Iman Akmal buat Hessa teringatkan insiden ragut pagi tadi. Nasib baik dia dapat semula beg tangannya. “Selalunya saya yang tolong orang yang kena ragut. Tapi, hari ni saya yang kena ragut. Syukurlah ada orang yang tolong saya dapatkan semula beg saya.” 

“Awak kena ragut? Ya Allah. Dia ada apa-apakan awak tak?” 

“Tak. Masa nak pergi ke kereta tu, peragut tu datang dan sentap beg saya sampai saya terjatuh.” Hessa bercerita tentang kejadian tadi. Selepas ini, dia jadi lebih berhati-hati.

“Syukurlah dapat balik. Lagipun awak selalu tolong orang. Sekarang, orang pulak yang tolong awak.” 

Hessa tidak akui kata-kata Iman Akmal. Semua ini berlaku kerana ketentuan Allah SWT. Dah tertulis yang pada hari itu, beg tangannya masih rezekinya. Kalau bukan rezekinya, ia takkan dikembalikan.

“Hessa, bila awak free?” 

“Saya ni free aje. Saya tak terikat dengan kerja atau masa. Kenapa?” 

“Saya ingat saya nak ajak awak keluar. Boleh?” 

“Boleh. Bila? Kat mana? Pukul berapa?” soal Hessa bertalu-talu. Teringin juga dia mengenali kawan barunya dengan lebih dekat.

“This weekend. Pukul 10.00. Kita pergi tengok wayang, nak? Ada movie terbaik sekarang.” 

Wayang? Aduh, boringnya. Tak apalah. Dah orang ajak. Janji orang belanja.

“Okey. Boleh,” jawab Hessa dalam terpaksa.

“Terima kasih, Hessa. Nanti kita jumpa ya.” 

“Okey, Iman. Bye,” kata Hessa lalu matikan talian. Langkahnya diteruskan ke arah pintu utama. 

Dia mengeluarkan kunci rumah dan membukanya perlahan-lahan. Dia tahu mesti ibunya belum tidur lagi. Sebaik saja pintu dibuka, dia terus menjengah ke dalam untuk mencari kelihat ibunya. Fuh, lega. Nasib naik ibu tak ada. 

Hessa masuk perlahan-lahan seperti pencuri dan menutup pintu dengan hati-hati tanpa menghasilkan sebarang bunyi. 

“Ehem-ehem.” 

Hessa tersentak. Pantas dia berpaling. Tekaannya salah. Puan Hajar terlebih dahulu tercegat di belakangnya.

“Ibu, suka buat Hessa terkejut tau,” kata Hessa lalu mengunci pintu dan melewati ruang tamu.

“Nak ke mana tu? Tunggu dulu. Dahlah balik lewat. Ibu nak bercakap dengan kamu pun susah. Duduk dulu,” arah Puan Hajar tegas. 

Hessa berpaling ke arah ibu dan akur. Dia mencampak beg ke atas sofa dan menghempas punggung. 

Puan Hajar mendekati anak gadisnya dan duduk di sebelah. “Kamu pergi mana? Buat apa yang balik lewat macam ni?” 

“Hessa pergi rumah kawan,” bohong Hessa. 

“Keluar pagi balik malam pergi rumah kawan? Kamu buat apa kat rumah dia?” Sikap Puan Hajar seperti polis menyoal pesalah.

Hessa terdiam. Tak tahu nak jawab apa. Nanti derhaka pula.

“Hah, dahi tu kenapa?” 

Hessa terkedu. Kecederaan kecil di dahi berjaya dikesan oleh ibunya. Dia juga baru menyedari kewujudan luka kecil itu.

“Kena ragut tadi. Tapi, dipendekkan cerita, ada orang tolong Hessa dan Hessa dapat balik beg. Ibu jangan tanya apa-apa lagi,” terang Hessa dengan laju supaya ibunya tak sempat memotong.

Puan Hajar cuma menggeleng kecil. “Hessa, Hessa...” 

“Sikit aje.” Hessa menunjukkan seruas daripada ibu jarinya, tanda apa yang menimpanya hanyalah perkara kecil. 

Puan Hajar ketap bibir. Mujurlah ada yang membantu. Pun begitu, dia tetap risau dengan Hessa. Ada baiknya dia kahwinkan saja anaknya itu. Cuma dia tak boleh tergopoh-gopoh. 

“Ni, ibu ada hal nak cakap ni. Kali ni ibu tak nak dengar kamu membantah ke apa. Kamu kena ikut cakap ibu. Hari minggu ni kawan ibu ajak makan tengah hari kat rumah dia. Hessa kena pergi. Tak boleh tak pergi. Hessa ingat lagi tak Aunty Azzah?” 

“Aunty Azzah?” Hessa mengerutkan dahi.

Puan Hajar angguk berkali-kali.

“Yang anak dia gemuk? Zafrel nama dia, kan?” Hessa mengembungkan mulutnya.

Puan Hajar mengiakan sambil tersenyum. “Tak sangka Hessa masih ingat.” 

Ini akan memudahkan lagi rancangan mereka.

“Macam mana Hessa nak lupa? Dia tu suka kacau Hessa. Cuma Hessa tertanya-tanya, dia masih gemuk atau makin gemuk?” Hessa ketawa mengekek-ngekek. Setelah berbelas-belas tahun tidak berjumpa, tentulah Zafrel semakin gemuk.

“Tak baik tau cakap macam tu. Manalah tahu sekarang ni dia dah kurus, dah handsome.” 

“Tak naklah, bu. Tak kiralah dia dah kurus ke, handsome ke, Hessa tak nak pergi.” Hessa enggan.

“Kan ibu dah cakap, tak boleh bantah. Kamu kena ikut ibu jugak. Faham?” Puan Hajar menyuakan jari telunjuk ke arah Hessa.

Hessa tiada pilihan selain menurut saja. Baru tadi Hidayah memberikannya tazkirah tentang adab dengan ibu bapa. Untuk sementara, rasalah juga insaf dalam hati. Lepas itu, perasaan itu hilang. Pelik betul.




No comments:

Post a Comment