Bab 17
AKU telefon mak di kampung. Berdebar menunggu panggilan dijawab. Mana mak pergi ni? Cepatlah jawab. Aku ada berita baik nak beritahu mak. Panggilanku tak berjawab. Aku cuba lagi. Mungkin mak tak sempat jawab. Nyaris-nyaris saja panggilan terputus, mak pun jawab. Aku menghela lega.
“Mak, kenapa lambat jawab? Mak pergi mana?” bebelku kepada mak.
“Mak kat dapur tadi. Telefon kat luar. Ada apa telefon ni?”
“Mak, Dhiya ada benda nak bagi tahu mak.”
“Apa dia?”
“Khalif, anak Mak Mah tu. Abang Tijah.”
“Kenapa dengan dia?” soal mak. Dia memang tak tahu tentang aku dan Khalif.
“Mak, sebenarnya Khalif nak pinang Dhiya.”
“Apa? Kamu jangan merepek Dhiya.”
“Apa pula merepek? Dia cakap yang dia nak pinang Dhiya Sabtu ni.”
Mak senyap sebentar di hujung talian. “Eh, Dhiya, kamu biar betul. Betul ke Khalif ni? Ke orang lain?”
Aku jadi keliru dengan mak. Siapa lagi lelaki bernama Khalif di kampung aku itu?
“Mak, takkan Dhiya nak tipu.”
“Dhiya, kamu sukakan Khalif ke?” Suara mak kedengaran sayu di hujung sana.
“Bukan setakat suka. Tapi Dhiya sayangkan dia, mak. Dialah lelaki yang Dhiya dambakan selama ni.” Aku rasa terawang-awang lagi.
Mak mengeluh. “Tapi Dhiya, mak dengar ada orang pinang dia.”
“Hah? Ada orang pinang dia? Apa mak cakap ni? Mana ada zaman sekarang perempuan pinang lelaki? Ke ada orang pinang Tijah? Eh, masalahnya Tijah sudah bertunang. Mak ni biar betul.” Aku menidakkan kata-kata mak.
Aku tak percaya zaman sekarang ada perempuan yang meminang lelaki. Kalau Saidatina Siti Khadijah meminang Rasulullah SAW aku tahulah. Sekarang ni mana ada perigi cari timba. Tak mungkin. Mak mesti tersalah orang ni.
“Mak sendiri pergi rumah Mak Mah tu. Dia minta tolong mak siapkan makan-makan tadi. Eh, Dhiya, betul ke kamu dengan Khalif ni? Kenapa Mak Mah tak bagi tahu satu benda pun kat mak pasal kamu dengan Khalif?”
Aku bingung. Antara dengar dan tidak kata-kata mak. Betul ke ada perempuan yang meminang Khalif? Aku tak percaya. Entah kenapa mulut ini menghasilkan ketawa sebiji tanpa bunyi. Sukar nak percaya.
“Dhiya, mana pula pergi budak ni. Helo? Helo? Dhiya oi?” Mak membebel di talian.
Aku tak dapat teruskan perbualan dengan mak. Semangat aku hilang sekejap. Aku termangu sambil memikirkan kata-kata mak. Tak mungkin mak menipu. Sedaya upaya aku cuba pujuk hati supaya bertenang. Entah kenapa rasa berdebar semacam. Suara mak masih memanggil di sana.
Aku matikan talian dan menarik nafas dalam-dalam. Kemudian aku hembuskan. Untuk kepastian, aku mesti telefon Khalif sendiri. Cuma itu cara untuk aku dapatkan jawapan. Kalau benarlah ada yang meminang Khalif, aku pasti tak boleh terima. Pantas jari ini mencari nombor telefon Khalif. Telefon bimbit aku bawa ke cuping telinga.
“Assalamualaikum.” Khalif menjawab dengan ucapan salam selepas beberapa detik.
“Waalaikumussalam.” balasku dengan rasa tak keruan sebelum menarik nafas untuk tenangkan diri. “Abang sibuk ke?”
“Tak ada. Tengah rehat-rehat.”
Aku gementar. Ayat apa yang harus aku susun supaya tak kedengaran marah atau mendesak?
“Abang... pasal abang nak meminang Dhiya tu...” Aku berhenti. Cuba bagi klu. Aku nak dengar apa jawapannya. Jangan dia fikir aku terdesak sudah. Namun, hati ini cukup berdebar.
Khalif diam di sana. Aku dapat agak. Memang betul ada orang meminangnya. Cuma dia terima pinangan itu ataupun tidak.
“Kenapa? Dhiya dah tak boleh tunggu ke?”
Aku mendengus. Tak boleh tunggu? Untuk apa aku tunggu kalau dia sudah dipinang perempuan lain?
“Abang janji tiga bulan, kan?”
“Betul. Abang tak lupa janji abang.”
“Habis tu, bila nak jumpa mak saya?”
Dia diam lagi. Cuba nak berdalih?
“Dhiya, sebenarnya...”
Sebenarnya apa? Debaran di dada kian hebat. Aku sudah stand by tangan untuk menekup mulut sebaik saja Khalif katakan perkara sebenar. Takut nanti aku terjerit.
“Keluarga Umairah dah pinang abang.”
Aku tergamam. “Um... Umairah?”
Umairah pinang Khalif? Bukan ke Umairah, perempuan yang Khalif kenalkan kepada aku dulu? Aku tak percaya. Apa niat Umairah mahu berjumpa aku ketika itu? Aku rasa muka berbahang. Panas. Dada sebak. Pandangan rasa berkaca.
“Mak abang dah terima.”
Aku sudah tak sanggup lagi nak dengar. Mak Mah terima pinangan daripada keluarga Umairah. Apa lagi, Khalif juga terpaksa terima. Macam mana dengan aku? Berputih mata selepas Khalif berikan harapan? Tiga bulan mungkin bukan masa yang lama, tapi aku menunggu tempoh tiga bulan itu dengan harapan menggunung.
“Oh. Okey. Saya faham,” ujarku seraya mengawal suara agar tak kedengaran seperti menangis.
“Dhiya, abang minta maaf. Abang nak tolak, tapi mak dah terima.”
Aku menelan liur. Sambil menahan air mata daripada jatuh. Lalu aku menekup mulut ini kerana tak dapat menahan esakan. Terenjut-enjut bahuku menangis sehingga tak dapat aku kawal lagi. Tanganku menggigil dan aku matikan talian. Aku betul-betul tak sanggup terima kenyataan ini. Lelaki yang aku dambakan untuk menjadi pemimpin aku, rupanya hanya angan kosong.
Malam itu, aku menangis semahu-mahunya sehingga terlelap.
KERANA kecewa, aku tak dapat buat kerja. Aku tak lalu makan. Tidur pun tak lena. Semua aku buat jadi tak kena. Bila pelanggan datang, aku layan acuh tak acuh. Aku terlalu kecewa sampai aku bukan diriku lagi.
Aku tak mahu ingat tentang Khalif lagi. Aku tak mahu fikir tentang dia. Dan aku nak hapuskan apa saja yang ada kena-mengena dengan dia. E-mel, surat, semua itu akan aku padam dan buang. Sudah berhari-hari air mata aku jatuh sebab kecewa dengan Khalif. Bukan aku tak cuba terima kenyataan itu, tetapi ia terlalu menyakitkan.
Terbayang di mata aku wajah manis dan kelembutan suara Umairah. Tak hairanlah kalau Khalif boleh jatuh hati kepadanya. Aku tak setanding Umairah. Kepala aku lentokkan ke atas lengan yang aku luruskan di atas meja kaunter. Tiba-tiba aku terdengar suara menyapa.
“Sudah-sudahlah tu meratap, Dhiya. Nanti ada lelaki lain yang boleh gantikan tempat Khalif tu. Berapa ramai imam-imam muda yang ada? Kenapa nak sedih-sedih?”
Mama tak faham. Dia ingat imam-imam muda yang dia maksudkan tu nakkan aku? Aku ni bernasib baik sebab Khalif jatuh cinta dengan aku. “Dhiya sedih, mama. Dia cakap nak pinang Dhiya. Alih-alih orang lain yang pinang dia. Mak dia pula terima pinangan tu. Mana Dhiya tak sedih?”
“Amar?”
Automatik kepala ini terangkat. Lantas aku teringatkan Amar. Selepas hari aku beritahu dia yang aku dah ada teman lelaki, dia langsung tak ganggu aku lagi. Ada dua kemungkinan. Dia frust dengan aku atau sibuk dengan karier dia.
“Dhiya mana layak untuk dia, mama.”
“Mama rasa kan, Amar sukakan Dhiyalah.”
Aku mengetap sambil mencemik. Malam itu Amar tak cakap pun yang dia sukakan aku. Tetapi, daripada caranya, aku pun berpendapat macam mama. Sebab aku sudah ada pilihan hati ke dia tak telefon aku lagi?
“Walaupun dia tak cakap, daripada cara dia pandang Dhiya tu, macam Dhiya sorang ada depan dia.”
“Mama ni merepeklah. Takkanlah dia sukakan Dhiya. Dia tu kalau nak cari isteri, kena cari anak-anak Datuk, anak Tan Sri. Baru sesuai. Dhiya ni siapalah.”
“Dhiya memanglah cakap macam tu. Dhiya ingat semua artis tu kena kahwin dengan anak VIP ke?”
“Selalunya.” Aku membalas seraya rebahkan kepala kembali. Berbantalkan lengan.
“Semalam dia ada telefon mama.”
Terangkat lagi sekali kepalaku. Sudah rupa kura-kura. Aku pandang ke arah mama. “Dia telefon mama? Sebab apa?”
“Tanya khabar pasal Dhiyalah. Dia cakap Dhiya dah ada boyfriend. Jadi dia tak naklah ganggu.”
Tiba-tiba aku mengeluh.
“Mama cakap Dhiya tengah frust sekarang.”
Aku tercengang. Kemudian mendengus. “Kenapa mama bagi tahu dia? Malulah Dhiya kalau dia tahu Dhiya tengah frust. Lagipun malam Dhiya hantar dia tu, Dhiya cakap dengan confidentnya yang Dhiya dah ada pilihan hati. Aduh...”
Mama datang mendekati. Aku memandang mama. Wajah aku mama tenung dalam-dalam. Cuba menyelami perasaan aku.
“Dhiya, mama faham Dhiya tengah kecewa sekarang. Daripada Dhiya layan kecewa tu, ada baiknya Dhiya bagi peluang kepada orang lain untuk jadi pengganti.”
“Tapi mama, bukan sekarang. Amar tu... tak sesuailah dengan Dhiya.”
“Dhiya, pakaian seseorang tu tak mengukur iman dia. Amar tu bagus budaknya. Walaupun dia artis, tak semestinya gaya hidup dia tu bebas.”
Aku berfikir sejenak. Betul ke gaya hidup tak bebas? Aku macam tak berapa percaya saja. “Entahlah, mama. Dhiya rasa biarlah Dhiya macam ni. Dah lama nanti Dhiya okeylah.”
Mama senyum lantas mengusap bahuku.
“Jom. Pergi makan,” pelawa mama.
Aku geleng. “Dhiya tak ada seleralah mama. Mama boleh pergi seorang tak?”
“Okeylah. Bungkus pun tak nak?”
Kepala aku menggeleng. Kalau hilang selera, bungkus pun tak guna. Mama bergerak ke pejabatnya. Seketika, mama keluar dengan tas tangannya. Aku cuma perhatikan mama.
“Mama keluar kejap. Kalau ada apa-apa, telefonlah.”
Aku angguk berat. Mama keluar. Sebaik saja mama keluar, aku pusingkan plat OPEN ke CLOSED. Masa untuk aku berehat. Aku berjalan ke sofa. Kemudian aku baringkan badan sambil meletak lengan ke atas dahi. Gaya orang frust menonggeng.
Kenapa Khalif buat aku macam ni? Sejak hari itu, dia langsung tak hantar e-mel lagi. Jauh sekali nak telefon. Aku tahu, Khalif sudah berubah arah. Tapi, mana mungkin lelaki macam dia mudah berubah hati? Alah, Dhiya... Sedang pantai lagi berubah. Inikan pula hati manusia. Betul. Aku setuju.
“KEDAI tutup hari ni?” sapa satu suara sebaik saja aku angkat gagang telefon. Suara ni macam kenal.
“Sekarang waktu rehat.”
“Kalau rehat, tak boleh datanglah ya?”
Aku mendengus. “Boleh. Tapi datanglah lepas pukul 2.00”
“Sekarang tak boleh ke? Saya dah kat depan kedai ni.”
Terbuntang mata aku ke arah pintu. Betul ke Amar ada di luar? Aku letak gagang telefon ke bawah dan menuju ke pintu. Aku intai kiri dan kanan. Tak ada pun dia. Melawak saja dia ni. Aku kembali ke kaunter dan angkat semula gagang. “Awak jangan nak main-mainkan saya. Awak nak apa ni Amar?”
“Betul. Saya kat depan ni. Saya nampak awak pakai jubah kuning, kan?”
Aku berpaling semula ke pintu. Cari-cari kereta Amar. Memang betul dia ada di luar kalau dia tahu aku berjubah kuning hari ini. Suspensnya.
“Ke awak kat traffic light?” Aku menyoal.
“Tak. Depan kedai. Saya pergi sekarang ya.”
Pap! Aku letak gagang. Haisy... Amar ni kan. Dia kembali mengacau hidup aku. Amar tercegat di depan kedai sambil berjaket dan berkaca mata hitam. Aku bukakan pintu. Seperti selalu, dia masuk cepat-cepat takut ada yang perasan.
“Saya free hari ni. Saya tak tahu nak buat apa dan pergi mana. Jadi saya datang sini,” jelas Amar.
Aku tak kisah pun dia datang. Tetapi, aku rasa segan dengan dia. Dia sudah tahu yang aku putus cinta. Wait a minute! Aku rasa pelik. Lepas aku beritahu dia yang aku sudah ada pilihan hati, dia terus menyepi. Bila dia tahu aku putus cinta, dia ganggu hidup aku semula. Hmm, meragukan.
“Jemputlah duduk. Macam tak biasa.”
Amar bergerak ke ruang tamu.
Aku duduk di meja kaunter. Biarlah kami berbual jauh-jauh. Nanti tak ada yang nak buat fitnah. “Sibuk ke sekarang?”
“Boleh tahan. Banyak show. Fotografi lagi. Cover untuk majalah. Macam-macamlah. Penat,” terangnya.
Bibir ini terkunci seketika. Wajah menunduk muram.
“Dhiya?”
“Ya.” sahutku tanpa memandang Amar.
“I feel sorry about...”
“Tolong jangan sebut,” pintaku tegas. Masih tak berani menatapnya.
“You can share with me. I will listen to you.”
“Tak ada apa yang nak dikongsi,” tegasku.
“Don’t hide it. It will slowly kill you.”
Ah... pandai-pandai saja dia. Aku tak selemah itu untuk hanyut dalam kekecewaan. Aku cuma perlukan masa.
“Small matter,” nafiku. Masih ego di depannya. Aku tak boleh tunjuk yang aku lemah dalam cinta.
“Small matter? Mama said you’ve been crying for days and all night long. How could you said it just a small matter?”
Semakin Amar bercakap tentang itu, semakin aku teringatkan Khalif dan semakin aku sedih. Aku sedih kerana aku begitu berharap. Tapi, aku bukan ditakdirkan untuknya. Macam mana aku nak berdepan dengan Mak Mah? Dengan Tijah? Tanpa sedar, aku tersedu-sedu di kaunter. Berguguran air mata di pipi bila teringatkan Khalif. Aku terlalu sayangkan dia. Aku rasa sedih sebab dia tak jadi milik aku.
“Dhiya, please cool down. Jangan nangis macam ni...” Suara Amar memujuk.
Aku tertunduk menangis. Mula-mula perlahan. Lama-lama aku menangis seolah-olah meraung. Aku cuba kuatkan diri dan tak mahu menangis. Namun, tak mampu menahan diri daripada menangis.
“Dhiya, kalau awak sedih, menangislah puas-puas. Jangan pendam.”
Aku angkat wajah bila dengar suara Amar cukup dekat. Dia berdiri di depan kaunter dan hulurkan beberapa helai tisu. Memalukan betul meraung di depan lelaki. Lagilah kaum lelaki memandang rendah kepada kaum perempuan. Aku ambil tisu dari tangannya dan lap air mata.
“Dulu... dia pemalu. Dia cakap dia dah lama suka saya. Lepas beberapa tahun... kami jumpa balik kat kampung. Lepas tu, dia cakap dia akan pinang saya lepas tiga bulan. Tapi sekarang... ada orang dah pinang dia. Mak... mak dia terima pinangan tu. Dia bagi saya harapan kosong.” ceritaku diselangi esakkan sampaikan berkerut-kerut wajah Amar cuba fahami.
“Maksud awak, perempuan lain dah pinang dia?”
Aku angguk, beria-ia gayanya.
“Jarang saya dengar perempuan pinang lelaki. Tapi dalam Islam pun tak salah.”
Esakanku jadi lebat. Amar pandai-pandai cakap macam itu. Makin tergores hati. Habis basah tisu di tangan.
“Nak tisu.” Aku meminta.
Amar bergegas ke meja di ruang tamu dan bawa sekotak terus. Perli nampak!
“Nangislah puas-puas. Kalau tu yang buat awak rasa lega,” nasihatnya.
Terenjut-enjut bahuku menangis. Tanpa segan dan silu lagi. Aku pandang Amar seketika. Berhenti menangis untuk beberapa saat. Bila dia pandang ke mukaku, aku teresak kembali. Menangis seperti kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment