Bab 2
I quit! Aku letak jawatan daripada MYG Holdings dengan notis 24 jam. Aku tak nak lagi bekerja dengan orang-orang yang suka iri hati dengan orang lain. Aku nak bekerja di tempat yang tenang dan aman tanpa ada perkara-perkara macam itu. Aku mula meneropong kerja-kerja kosong. Sekurang-kurangnya taklah lama aku menanam anggur di rumah.
Bila ada jawatan kosong yang memerlukan akauntan, aku terus e-melkan resume. Kalau dipanggil temu duga, itu sudah kira bagus. Sementara kerja ada, aku gunakan peluang ini untuk pulang ke kampung di Bukit Gantang, Perak. Ayah berasal dari Perak. Mak aku pula berasal dari Terengganu. Sekarang menetap di Perak terus.
Ayah pesara guru. Mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah. Setelah pencen, ayah sekarang mengajar budak-budak mengaji di surau. Mak pula jadi suri rumah sepenuh masa. Memang sejak dulu lagi dia tidak bekerja. Kerjanya cuma menjaga anak-anak yang seramai empat orang. Termasuk aku, anak yang kedua.
Seperti selalu, tiap kali balik kampung, aku kena beli tiket dan naik di Hentian Putra. Nak beli kereta, simpanan untuk bayar down payment belum cukup. Almaklumlah, baru bekerja. Duit gaji pun bukannya lebat. Aku akan bertolak pagi esok dan untuk malam ini, bolehlah aku berehat di rumah dan mengemas apa yang patut.
Dengan menunggang skuter, aku meredah jalan raya yang begitu sesak dengan orang yang berpusu-pusu balik daripada kerja. Itulah faktor kenapa aku berfikir banyak kali nak naik kereta. Tak sanggup nak hadapi situasi sesak setiap kali pergi kerja. Ada yang turun sebelum subuh, itu pun sudah bersusun kereta atas jalan raya. Cuma dengan skuter, bolehlah menyelit di celah-celah kereta. Awas! Kalau tak reti, jangan menyelit atau mencelah. Risiko kemalangan lebih tinggi daripada berkereta.
Hampir satu jam, sampaikan hari sudah gelap, aku sampai di rumah ibu angkat aku yang aku panggilkan mama. Dia seorang janda. Tak punya anak atau suami. Aku mula kenal dia semasa aku belajar di universiti. Dia pernah menjadi penaja untuk satu kempen kesihatan di universiti.
Mama ada segala-galanya untuk hidup seorang diri. Rumah, kereta, perniagaan. Namun, apa erti semua itu tanpa anak dan suami di sisi? Mama seorang wanita yang baik dan penyayang. Dia selalu cakap kalau aku nak apa-apa, cakap saja kepada dia.
Siapalah aku untuk meminta-minta? Aku cuma anak angkat yang menumpang di rumahnya. Ada tempat berteduh pun sudah cukup baik. Tak perlu menyewa sendiri. Dia nak belikan aku kereta, aku tolak. Aku masih ada orang tua untuk aku bergantung harap. Sekurang-kurangnya aku ingin dapatkan sesuatu atas usaha aku sendiri.
Ketika aku sampai di rumah, mama ada di laman, sedang membaca majalah bersama minum petang yang sudah terhidang. Aku berhentikan skuter di garaj, bersebelahan dengan kereta mama.
“Lewat balik. Dhiya pergi mana?” soal mama. Cemas air mukanya bila aku balik lewat daripada biasa.
Aku buka helmet. Senget-benget tudungku dibuatnya.
“Dhiya pergi beli tiket tadi, ma.” terangku.
Keputusan untuk balik ke kampung aku buat tanpa berbincang dengannya. Kalau aku beritahu yang aku sudah berhenti, tentu aku kena bebel. Mama buat aku seperti anaknya sendiri. Aku pula jadi segan.
“Beli tiket? Buat apa? Nak pergi mana? Kenapa tak tanya mama dulu?” Banyak betul soalan mama.
Aku senyum dan menghampirinya sambil mengendong helmet di celah ketiak. “Dhiya nak balik kampung. Lagipun Dhiya dah berhenti kerja.”
Mama buat muka hampa. Terutama bila aku cakap aku nak balik kampung. Pasal berhenti kerja tu, aku tak pasti.
“Kenapa tak cakap kat mama? Mama boleh hantar Dhiya balik. Membazir duit aje beli tiket.”
“Alah... Dhiya tak nak susahkan mama. Lagipun Dhiya balik kejap aje. Lusa Dhiya baliklah.”
Mama merenungku dengan riak merajuk. Aku tahu dia teringin melaksanakan tanggungjawab seperti seorang ibu. Cuma aku janggal diperlakukan begitu. Terlalu banyak jasanya terhadap aku.
“Kalau Dhiya susahkan mama, untuk apa mama ajak Dhiya tinggal dengan mama? Cuba cakap.”
Aku mengetap bibir. Rasa serba salah jadinya. Aku buat keputusan untuk berdiam diri. Pesan ayah, kalau orang tua bercakap, jangan mencelah. Bila habis cakap baru boleh bersuara.
“Biar mama balik dengan Dhiya ya?” pinta mama tersenyum.
Apa dayaku untuk menghalang keinginan mama. Aku angguk tanda akur. Bibirku menarik senyum buat mama agar dia tak rasa aku terpaksa.
“Mari minum. Mama buatkan kuih bingka tadi,” ajak mama seraya menuang air ke dalam cawan kosong. Sudah tentu cawan itu untuk aku sebab dalam rumah ini cuma aku dan mama.
“Dah lama mama tak buat kuih, kan?” usikku.
Sebagai ahli perniagaan, mama memang sibuk. Ada hari-hari tertentu dia akan cuti dan berehat saja di rumah. Sekarang mama tengah keluarkan produk kecantikan jenis minuman. Berkotak-kotak stok di dalam rumah.
“Kebetulan hari ni mama off. Makanlah. Kalau tak sedap, jangan komen.” Sempat mama berpesan supaya aku tak mengkritik kuih daripada air tangannya.
Bagi aku pula, ia rezeki daripada Allah. Sedap ataupun tak, aku tak pernah mengkritik. Sekurang-kurangnya ambil hati atau jagalah hati orang itu. Kalau tak sedap pun, telan saja dan habiskan. Ayah aku selalu berpesan, jangan mengeluh akan rezeki yang diberikan. Nabi sendiri pun tak pernah mengkritik makanan yang dihidang.
Memang banyak pesan ayah. Setiap perbuatan atau tindakan yang aku buat, aku akan ingat semua pesan ayah. Orang tua lebih banyak makan garam. Jadi mereka sudah lalui banyak pengalaman hidup.
DUIT tiket dikira hangus. Aku akan balik ke Bukit Gantang dengan mama pagi esok. Jadi untuk malam ini, aku melayari Internet untuk mencari kerja-kerja kosong. Tengah aku bersantai atas katil sambil menghadap komputer riba, telefon bimbit yang aku letak di atas meja solek berdering dan bergetar. Terperanjat aku.
Dengan malas aku capai telefon bimbit yang rancak berbunyi. Tak tercapai tangan, aku hulur juga sampai terpusing tubuh. Nama Fafa tertera pada skrin. Berkerut dahi aku sesaat dua. Ada apa telefon malam-malam? Untuk menamatkan saja tanda tanya dalam kepala, aku jawab sebelum deringan terhenti.
“Helo, Fafa.” Suaraku sebaik jawab panggilan.
Aku duduk ke posisi asal. Meniarap depan laptop. Jari telunjuk aku gerak-gerakkan ke atas pad sesentuh.
“Kau tidur ke?”
“Taklah. Tengah surf Internet. Cari kerja kosong.”
“Kerja kosong? Kenapa? Kau dah berhenti ke?”
Aku mengeluh berat. “Aku tak tahan kerja kat situ, Fafa. Macam-macam orang cakap buruk pasal aku. Tak layan orang, kata sombong. Kalau layan, kata miang. Semua tak kena.”
“Kau baru kerja dua bulan kat situ. Pedulikanlah mulut orang.”
“Masalahnya aku tak boleh. Aku dengar sendiri orang mengumpat pasal aku.”
“Kau dengar sendiri?” Suara Fafa macam terkejut.
“Kebetulan. Mungkin Allah nak tunjuk kat aku.”
Aku dan Fafa sepi daripada sebarang bunyi buat seketika. Dia diam. Aku pun diam. Aku masih meneliti beberapa jawatan kosong di laman web.
“Dhiya?” Fafa memanggilku.
“Hmm.”
“Aku telefon ni ada sebab.”
“Sebab apa?”
“Kau tahu kan aku ni big fan of Amar Affandy?” Suara Fafa mula terjerit.
Mendengar nama Amar Affandy, aku berhenti menggerakkan jari ke atas pad sesentuh. Mata beralih dari skrin laptop. Aku bangun, bersandar pada katil dan memeluk bantal berbentuk hati. Aku hentikan sekejap aktiviti melayari Internet.
“Aku tahu. Sampai separuh gila kau minat kat dia. Masa dia dalam The Stars, kan?” usulku.
Untuk program realiti The Stars musim pertama, Amar Affandy telah menjadi juara. Sekarang, Amar Affandy cukup popular dan mempunyai ramai peminat. Jadi duta itu dan ini. Bagi aku pula, dia cuma senior universiti aku dulu. Memanglah suara dia sedap. Ada gaya dan rupa. Cuma nampak berlagak sikit orangnya.
Nak berkawan mesti dengan yang cantik-cantik, hot. Macam aku ni, kategori Muslimah, mana dia nak pandang. Jeling sebelah mata pun tak. Aku ingat lagi masa kelab kami uruskan satu karnival. Presiden kelab aku nak jemput dia untuk adakan persembahan. Bukan main diva lagi. Mengalahkan artis.
Dulu pun dia sudah mula ada peminat sendiri. Siap ada band lagi. Amar Affandy bernasib baik sebab dia berjaya capai cita-cita untuk menjadi penyanyi terkenal. Tapi, kenapa Fafa tanya pasal dia dekat aku?
“Amar ada buat konsert mini minggu depan kat Hard Rock Cafe. Aku pula tak dapat pergi. Aku ingat nak suruh kau pergi. Kau tolong tangkap gambar banyak-banyak. Rakam video dia dan lepas tu kau pas kat aku. Aku rasa sedih sangat tak dapat pergi. Kau tolong aku eh Dhiya? Please... please... please...” Merayu-rayu Fafa minta aku pergi ke konsert mini Amar Affandy.
Dia tak tahu yang aku kenal penyanyi pujaan dia itu. Namun, aku diamkan saja hal itu. Bukannya minah tu nak percaya kalau aku beritahu pun.
Baru dua tahun, Amar Affandy telah adakan konsert mini sendiri. Kira hebatlah. Aku ada sikit rasa bangga pada Amar Affandy. Sebab aku kenal dia kan. Bukan calang-calang orang boleh adakan konsert di situ. Selalu yang aku dengar, artis dari negara luar yang buat persembahan. Lagipun kawasan itu untuk hiburan tertutup. Yang pergi pun golongan korporat yang duit tebal. Orang muda mana nak pergi. Tak mampu. Tak hairanlah kalau harga tiket tu mahal.
“Hmm... Aku tak minat dia.”
“Alah...” Fafa mendengus hampa.
“Tolonglah pergi bagi pihak aku. Kau pergi aje. Aku tak minta pun kau bayar duit tiket ni. Kau tahu tak berapa harga dia? Kalau tak pergi, rugilah.” Dia terus memujuk. Mengucapkan ayat-ayat yang buat aku rasa ruginya membazir duit untuk beli tiket hiburan macam ini.
Aku berfikir sejenak. Kena fikir lama sebab benda hiburan ni tak baik. Boleh melalaikan. Kata ayahlah. Dalam Islam pun menggalakkan hiburan cuma hiburan yang tidak melalaikan. Hiburan itu perlulah mengandungi unsur nasihat. Kan bagus macam itu, contohnya lagu-lagu nasyid.
“Kalau ayah aku tahu aku pergi tempat macam ni, teruk aku kena marah tau.”
“Kau jangan cakap kat ayah kau.”
Amboi... Fafa macam menggalakkan aku buat jahat ni.
“Okey, okey. Aku pergi. Lagi apa yang spesial masa konsert tu?”
“Dinner dengan Amar. Tapi frustnya aku tak dapat pergi. Cuma empat orang yang bertuah aje boleh makan malam dan beramah mesra dengan dia.”
Aku dengar suara penuh kecewa Fafa sebab tak dapat hadir ke konsert Amar Affandy. Aku pun rasa serba salah. Fafa beria-ia nak pergi, aku pula yang kena gantikan dia. Tak mengapa. Aku akan bawakan setiap momen daripada Amar Affandy untuk Fafa.
“Eh, Fafa, kau kena pergi mana sebenarnya sampai tak dapat pergi ni?”
“Aku out-stationlah. Kalau tak, mestilah aku pergi. Sekarang aku kena ikut bos aku meeting dekat India. Mana boleh nak kensel.”
Patutlah. Maklumlah, Fafa ni setiausaha. Orang kanan bos. Memang nasib dialah kena ikut ke mana saja bos pergi. “Bila kau nak bagi tiket tu kat aku?”
“Sebelum aku pergi India, aku bagi tiket kat kau. Kita jumpalah kat mana-mana. Okey?”
“Okey.” Aku setuju. Tanpa banyak pertikaian. Tolong kawan sekali-sekala, apa salahnya. Nampaknya gayanya aku kena kosongkan aktiviti aku pada hari konsert itu.
“Thanks, Dhiya. Jangan lupa tau. Aku nak kau ambil gambar Amar dan video dia sekali. Ingat tau?”
“Ia. Aku ingat.” Sekali lagi Fafa ingatkan aku tentang itu.
“Thanks, Dhiya. Aku kena siapkan presentation sikit. Tapi sebelum aku lupa, aku telefon kau dulu. Okeylah. Goodnight,” ucap Fafa mengakhiri panggilan dengan suara yang ceria.
“Goodnight,” balasku dengan senyum tipis. Sempat lagi.
Memandangkan konsert itu berlangsung minggu depan, aku lupakan dulu pasal itu dan beri tumpuan semula pada pencarian kerja kosong. Lagipun esok aku dan mama akan balik kampung. Aku mesti cepat. Aku kembali menghadap laptop. Jari kembali aktif di atas pad sesentuh.
No comments:
Post a Comment