Bab 20
RUTIN harianku bermula semula di kedai. Aku masih seorang diri di kedai menunggu pelanggan datang. Bila bosan, aku layari Internet. Aku taip nama Amar Affandy pada ruangan search. Serba-serbi cerita keluar tentang Amar. Termasuk gambar-gambar dia. Lagu-lagu dan kulit album.
Aku klik pada satu laman sesawang. Ruangan Gosip. Lantas jantung berdegup rancak. Aku klik pada tajuk berkenaan Amar.
Amar dan Nisha mula akrab.
Siapa Nisha? Oh ya, penyanyi baru. Hati rasa tak enak dan mula sangsi tentang Amar. Aku klik pada pautannya dan baca artikel gosip tentang Amar dan Nisha.
Belum sempat aku nak baca ayat pertama, pintu kedai ditolak. Aku terpempan dan terus tutup tetingkap. Puan Dina tersenyum di muka pintu. Hmm, agak lama Puan Dina tak berkunjung ke kedai mama. Sayangnya dia datang masa mama tak ada di kedai.
“Assalamualaikum,” ucap Puan Dina.
Aku bangun dan datang kepadanya. “Waalaikumussalam, puan. Apa khabar? Lama tak datang.”
Aku dan Puan Dina berpelukan mesra. Kami mulai rapat selepas sesi make over dulu.
“Sibuk sikit. Sekarang saya buat business online. Baju, tudung, selendang, macam-macam lagi. Semua yang latest. Oh ya, saya baru balik dari Istanbul. Saya ada cenderahati untuk Dhiya. Nah.” Puan Dina hulurkan beg kertas berbentuk empat segi sama sisi. Saiznya lebih kurang kotak tisu.
Aku menyambutnya bersama senyuman terharu. “Terima kasih, puan. Ingat juga puan kat saya, ya.”
“Sama-sama. Saya selalu ingat Dhiya. Dhiya baik sebab tu saya belikan buah tangan untuk Dhiya.”
Aku tak putus tersenyum. Baiknya hati Puan Dina. Dia masih ingatkan aku walaupun kami dah lama tak berjumpa. “Puan, duduklah dulu. Saya pergi ambilkan air.”
Saat aku ingin berlalu, Puan Dina menggamit tanganku. Aku berpaling. “Dhiya, kita duduk sini dulu. Saya ada benda nak tanya pada Dhiya.”
Ini yang buat aku nak sangat tahu. Dalam waktu yang sama, suspens juga. Puan Dina nak tanya tentang apa? Aku patuh dengan permintaannya. Kami duduk di ruang tamu.
“Sebelum tu, saya nak tanya Dhiya. Soalan ni peribadi sikitlah. Dhiya tak marah, kan?”
Aku geleng. Orang nak tanya elok-elok, takkan aku nak marah. “Tanyalah.”
“Dhiya dah ada boyfriend?”
“Err...” Aku ternganga. Boyfriend? Memanglah tak ada lagi. Tapi Amar tu dikira apa ya? Dalam proses penilaian ke?
Memandangkan tiada status yang sahih antara aku dan Amar, aku anggap yang aku belum ada teman lelaki. Lagipun bila baca tajuk pada ruangan gosip tadi, aku mula rasa ragu untuk pertimbangkan hasrat dia. Sebenarnya aku belum yakin dengan perasaan Amar. Artis, bukan boleh percaya.
“Belum, puan.”
Aku nampak senyuman Puan Dina melebar. Kenapa dia tanya sama ada aku sudah ada teman lelaki ataupun tidak? Musykil ni.
“Baguslah kalau tak ada. Bukan apa, saya sekarang tengah carikan calon isteri untuk anak saudara saya. Dia tu dah tiga tahun kerja kat Qatar. Engineer kat sana. Sekarang dia dah berhenti dan tolong saya kat butik. Dia freelancer. Cameraman aje. Mula-mula tengok Dhiya, saya dah berkenan. Saya rasa tak salah kalau saya kenalkan dia pada Dhiya. Bukanlah nak suruh terima terus. Berkawan dulu, kenal hati budi.”
Aku terdiam mendengar penjelasan Puan Dina. Rupa-rupanya dia nak kenalkan aku kepada anak saudara dia. Engineer di Qatar? Setahu aku kat sana ada tempat cari gali minyak. Wau, hebatnya. Mesti gaji masyuk ni. Aku rasa berminat nak kenal. Sekurang-kurangnya dia bukan artis macam Amar. Tetapi kenapa dia berhenti dan pilih untuk jadi cameraman?
“Saya ni perempuan. Tak manis kalau saya terus setuju. Tapi kalau nak berkawan tu, saya boleh terima, puan.”
“Berkawan dulu. Kalau rasa sesuai, bolehlah lebih serius. Saya ni bukanlah ejen pencari jodoh. Tapi Aryan ni anak saudara kesayangan saya. Saya kalau boleh nak dia dapat pasangan yang terbaik. Saya rasa Dhiyalah orangnya.”
Nama dia Aryan? Bila Puan Dina kata yang aku pilihan terbaik untuk Aryan, aku rasa kenyataan itu cukup berat. Aku bukanlah orang yang terbaik. Puan Dina belum kenal luar dan dalamku.
“Dhiya, saya tak paksa Dhiya untuk terima dia. Berkenalan dulu. Nanti saya akan bawa dia datang sini. Boleh?”
Aku berfikir sejenak. Puan Dina mahu bawa Aryan datang sini? Nanti tak nampak macam aku yang bersungguh-sungguh ke?
“Boleh tak?” Puan Dina bertanya lagi.
Akhirnya aku angguk. Kemudian senyum tipis. Bolehlah. Untuk berkenalan saja kan. Kalau tak suka, tak apa. Aku tak sampai hati juga nak hampakan Puan Dina. Aku lihat Puan Dina keluarkan sesuatu dari beg tangannya.
“Ni Aryan. Nama penuh dia Aryan Shah. Saya panggil dia Aryan. Tapi kawan-kawan dia panggil dia Shah.” Puan Dina hulurkan gambar Aryan kepadaku.
Aku mengambilnya dan sempat merenung gambar itu beberapa saat. Dahi berkerut.
“Dia memang macam tu. Rambut panjang. Nampak ganas. Tapi, dia baik. Jangan risau. Tak salah nak menilau dari segi luaran tapi yang penting dalaman. Betul tak?”
Err... Puan Dina ni macam dapat baca fikiran aku saja. Senyumanku terlakar kelat.
“Good looking,” kataku. Memuji raut wajahnya.
“Nanti saya akan telefon Dhiya ya.”
Aku angguk saja.
“Saya pergi dulu,” kata Puan Dina lantas bangun.
“Tak minum dulu?” Aku turut bangun.
“Nanti saya datang dengan Aryan, Dhiya buatkan air ya?”
Aku jadi bingung. Puan Dina senyum dan mencium pipiku tiba-tiba sebelum keluar dan melambai tangan. Aku terpaku.
KATA-KATA Puan Dina masih bermain dalam kepalaku. Bila difikirkan semula, aku rasa menyesal pula setuju untuk berkenalan dengan Shah. Aku tak tahu sejauh mana dia setuju nak berkenalan dengan aku. Lagipun dia tak kenal aku. Aku pula sekurang-kurangnya telah tengok gambar dia.
Hari menjelang petang. Hanya tiga orang saja pelanggan yang datang. Selebihnya, aku banyak termenung memikirkan beberapa perkara dalam kepala. Mana nak fikirkan tentang Amar, nak fikir tentang Shah. Banyaklah yang kena fikir. Aku tak tahu bila otak aku akan berhenti daripada berfikir. Selalu saja bekerja. Aku rasa aku patut rehatkan otak aku sekejap dengan beradu di kaunter sambil memegang gambar Shah. Agak comel muka dia.
Tatkala aku mahu letak kepala, tiba-tiba pintu kedai terbuka dan mendadak kepala ini terangkat terus memandang ke pintu. Seorang lelaki berkaca mata dan bertopi masuk dan terus menutup pintu. Mengacau betullah, rengusku. Waktu itu sempat aku terpandang gitar bersilang di belakangnya.
“Awak ni sekejap datang, sekejap menghilang,” rungutku. Aku rasa tertekan dengan kehadiran Amar dan menyebabkan rehatku terganggu. Aku lihat Amar pusingkan plat pada pintu.
“Sekarang baru pukul 4.00,” jeritku.
Amar senyum selamba dan buat tak endah. Kalau ada pelanggan datang, macam mana? Aku mengetap geram dan bangun dari kaunter. Aku ke pintu dan pusingkan plat.
“Kedai tutup pukul 5.00. Bukan pukul 4.00,” tegasku.
Amar berdiri sambil menyeluk kedua-dua tangan ke dalam jaket. Tersengih. “Saya nak pinjam masa sejam ni untuk bersama awak, boleh?”
Aku merenung Amar. Dia nak pinjam masa aku selama sejam? Untuk apa?”
“Sejam? Buat apa? Awak nak buat apa dengan gitar ni?” soalku berkerut-kerut kening.
Amar ambil gitar dan letak ke atas kaunter. Aku cuma perhatikan dia. Tiba-tiba aku lihat dia kaku memandang sesuatu.
Alamak! Gambar Shah. Cepat-cepat aku ke kaunter dan sorokkan gambar Shah di dalam laci.
“Gambar siapa tu?” soalnya serius.
“Tak tahu. Ada orang tercicir tadi,” bohongku.
“Saya nak tengok.” Amar masuk ke meja kaunter dan mahu membuka laci.
Aku terus bersandar pada laci itu dan Amar tak boleh membukanya. Kecuali dengan menolak aku dan aku takkan sekali-kali biarkan dia sentuh aku semata-mata untuk tengok gambar itu. Mukanya nampak merah.
“Gambar siapa? Kenapa awak nak sorok sangat?”
“Kan saya dah cakap. Ada orang tercicir gambar ni. Yang awak sibuk nak tahu kenapa?” Suaraku bertukar keras. Amar tak ada hak untuk marah aku kerana gambar itu. Aku bukan teman wanita dia.
“Dhiya, saya nak tengok gambar tu. Please...” Tiba-tiba suara Amar mengendur.
Aku geleng. Amar tak boleh tengok untuk kali kedua.
“Gambar bekas boyfriend awak ke?” teka Amar.
“Bukan.” Aku menggeleng.
“Habis, kenapa susah sangat nak tunjuk? Kalau tu gambar orang tercicir, kenapa awak beria-ia nak sorok daripada saya? Lagipun gambar tu tak ada kena-mengena dengan awak,” ujarnya.
Betul juga. Lagipun aku beritahu dia yang aku tak tahu gambar siapa. Kenapa aku bermati-matian nak sembunyikan gambar ni? Bukan Amar kenal pun. Perlahan aku beralih dari laci dan membukanya. Tak sempat aku ambil, Amar terlebih dahulu mengambilnya. Aku mengetap geram. Macam penyamun.
“Betul awak tak kenal siapa ni?”
Aku angguk tanpa rasa waswas.
“Kalau tak kenal, kenapa nak sorok?” Amar letakkan kembali gambar itu ke dalam laci.
Aku menghela lega. Nasib baik dia tak syak apa-apa. Entah kenapa, aku sudah pandai menjadi pembohong sekarang.
“Kenapa awak sibuk sangat pasal gambar ni?” soalku ingin tahu. Amar macam cemburu bila ada gambar lelaki lain dengan aku. Mesti dia hairan, kenapa tak gambar dia aku simpan?
“Saya takut ada lelaki lain cuba nak mengurat awak. Saya dulu yang luahkan perasaan saya. Awak patut pertimbangkan saya dulu daripada orang lain. Atau jangan kisah langsung pasal orang lain. Awak ada saya sekarang. So, jangan cuba nak bagi peluang kat lelaki lain. Faham?” tegas Amar.
Aku rasa dia macam nak mengawal aku saja. Helo! Saya bukan teman wanita awak! “Saya berhak buat pilihan. Saya tak cakap saya akan pilih awak.”
“Jadi gambar tu memang gambar awaklah?” Amar mula syak.
“Dahlah. Biarkan gambar tu. Saya tak tahu gambar siapa. Mungkin customer tercicir tadi.” dalihku. Nyaris kantoi. Tak mahu isu ini makin serius.
Aku beredar ke ruang tamu kedai. Amar datang perlahan-lahan membawa gitarnya. Dia menghenyak sofa di depanku.
“Awak ingat tak yang saya ada tulis lagu untuk awak?”
Aku angguk kecil. “Ingat.”
“Sekarang, saya nak awak dengar. Saya akan nyanyi untuk awak. Dengar ya.” Amar memegang gitarnya. Jari mula diletak pada tali gitar. Bersedia untuk dipetik.
Aku merenung Amar yang menyusun jari di atas tali gitarnya. Aku sedia untuk mendengar.
Sapulah air matamu
Jangan disiakan bila dia meninggalkanmu
Kerna dia bukan selayaknya
Tercipta untukmu
Lupakan dia
Bila kau menangis
Dia sedang gembira bersama si dia
Tanpa fikirkanmu yang berduka lara
Sakit kerana kecewa
Seksa kerana terluka
Berhentilah menangis duhai cinta
Tangisanmu amat berharga
Aku di sini sentiasa melihatmu
Memandangmu
Senyumlah wahai kasih
Andai kau perlukan aku di sisimu
Aku akan menemanimu
Siang dan malamku takkan pernah jemu
Inginku sapu air mataku
Inginku belai pipimu
Walau tak bisa kusentuh
Dan inginku katakan padamu
Bahawa aku
Sangat mencintaimu...
Tanpa sedar, air mataku berjatuhan di pipi. Lagu itu amat menyentuh hati. Lagu itu membuatkan aku kembali terkenangkan Khalif. Daripada bait lagu itu, aku rasa kejujuran Amar. Pada lirik terakhir, aku rasa cukup tersentuh. Saat dia nyanyikan bait itu, dia pandang tepat ke mataku yang sudah bergenang.
“Dhiya,” seru Amar. Dia letak gitar di sebelahnya.
Aku melayan esakan. Perasaanku amat terharu sekarang. Adakah Amar akan lakukan seperti yang dia tulis dalam lirik lagu itu? Adakah dia akan ada setiap masa untukku? Benarkah dia mencintai aku?
“Bila awak jadi isteri saya, tiap kali awak menangis, saya akan sapu air mata awak. Saya akan usap pipi awak untuk tenangkan awak. Saya tak pasti apa yang saya impikan tu akan jadi kenyataan atau tak. Saya tak tahu ia akan jadi realiti atau cuma angan-angan saya.”
Aku menangis perlahan. Sebak betul rasa di dada. Kenapa Amar buat lagu yang begitu menyentuh perasaan aku?
“Saya ada satu lagi lagu untuk awak.”
Aku dongak ke wajah Amar lagi. Air mata aku kesat. Dia ambil gitar dan bersedia untuk memetik gitar. Mata memandangku yang bersilih ganti dengan gitar di tangan.
Aku tak tahu apa yang kurasakan
Dalam hatiku saat pertama kali
Lihat dirimu
Melihatmu
Seluruh tubuhku terpaku dan membisu
Detak jantung berdebar tak menentu
Sepertinya aku tak ingin berlalu
Berikan cintamu juga sayangmu
percaya padaku
Kukan menjagamu
Hingga akhir waktu menjemputku
Kuberikan cintaku juga sayangku
Percaya padaku
Kukan menjagamu hingga akhir waktu menjemputku
Keadaanku pegun mendengar nyanyian lagu Percaya Padaku daripada kumpulan Ungu. Sesungguhnya lagu itu memang lagu kegemaranku dan Ungu adalah kumpulan dari Indonesia yang paling aku minati. Lirik lagu itu cukup menyentuh hati. Belum kering air mata tadi, sekali lagi Amar buat aku jatuhkan air mata. Aku tak tahu apa kaitan lagu itu dengan aku. Kenapa Amar nyanyikannya untuk aku?
“Please trust me,” ucapnya tiba-tiba.
Aku rasa sesak nafas lagi. Aku rasa bertuah bila Amar nyanyikan lagu untuk aku. Aku rasa akulah orang paling istimewa dapat dengar nyanyian dia. Namun, aku masih ragu dengan Amar. Walaupun dia nyanyikan 10 lagu di depan aku, takkan mengembalikan keyakinan aku kepada dia.
“Sedap. Lagu baru awak memang sedap. Terima kasih. Tapi...”
“Kenapa? Suara saya tak sedap ke?”
Aku angguk. “Eh, tak!” Pantas aku geleng. Takut Amar salah tafsir.
“Suara awak sedap.” Aku tak tahu aku memuji atau menjaga hati dia.
“Dhiya, apa yang saya luah dalam lagu tu menggambarkan hati saya. Luahan hati saya untuk awak. Saya tak boleh tipu pasal perasaan sebab walau macam mana saya cuba nak sembunyi, ia tetap nampak daripada air muka kita.”
Kelatnya rasa air liur yang ku telan. Amar buat nafasku sesak lagi. Dia... dia... dia memang kejam sebab buat aku bingung dan hilang arah.
No comments:
Post a Comment