EFFAN menghempas punggung ke atas kerusi kulitnya dengan fikiran yang sugul. Sudah sebulan selepas insiden kemalangan itu. Dia masih tertanya-tanya di mana dia boleh berjumpa semula dengan gadis itu?
Ketika dia ingin melawat Maria di hospital, gadis itu sudah pun pergi tanpa meninggalkan jejak. Sejak itu, dia sering memikirkan tentang Maria. Dia masih rasa bersalah dan jika perlu dia akan bayar ganti rugi.
Gagang telefon di sudut kiri meja diangkat. Dia tekan butang yang menghubungkan ke meja Elaika, setiausahanya.
“Ika, masuk kejap.”
Pap. Gagang diletak kembali.
Effan tenang menanti kedatangan Elaika. Matanya tepat ke arah pintu. Apabila ternampak tombol pintu berpusing, dia tahu Elaika sudah berada di depan biliknya.
Masuk saja, Elaika terus senyum.
“Ada apa-apa yang boleh saya tolong, tuan?”
Effan mengetap bibir. Sambil itu dia beri isyarat kepada Elaika untuk duduk memandangkan dia masih lagi sedang berfikir.
Elaika menanti dengan sabar. Dia menarik kerusi bertentangan dan berlabuh. Dia tak dapat meneka apa tujuan Effan memanggilnya. Kalau berkaitan dengan kerja, bosnya tak pernah berjeda begini.
“Ika, kalau saya minta tolong awak buat satu kerja untuk saya, awak sanggup tak?”
Dahi Elaika bercantum. “Kerja yang macam mana tuan?”
“Kalau saya nak awak carikan seseorang untuk saya, sanggup?”
“Cari seseorang? Maksud tuan, calon isteri ke?” Elaika menduga. Namun, apa yang dia duga itu sebenarnya meleset sama sekali.
Effan geleng kecil menyangkal telahan Elaika. Dia terus beritahu perkara sebenar supaya ia menghentikan persoalan Elaika.
“Saya nak awak cari perempuan yang nama dia Maria binti Ismeth.”
“Maria binti Ismeth?” ulang Elaika beserta kerutan pada dahi.
“Awak kenal ke sesiapa dengan nama tu?” soal Effan apabila respons daripada Elaika mengundang persoalan.
Soalan Effan dibiarkan. Elaika cuba mengingati nama itu. Dia pernah dengar atau mungkin terbaca di mana-mana.
“Saya pernah dengar nama tu. Tapi, saya tak pasti kat mana. Kenapa tuan nak cari dia?”
Effan diam sejenak. Dia tak tahu bagaimana ingin diceritakan kepada Elaika. Jadi buat masa sekarang, dia rasa Elaika tak perlu tahu apa yang terjadi. Lagipun, ia takkan membantu apa-apa kecuali Elaika berjaya jejaki Maria untuknya.
“Tak ada apa-apa. Tak penting pun. You may go.”
Mendengar arahan itu, Elaika terus mengangkat punggung untuk keluar. Walaupun dia sudah keluar daripada bilik Effan, dia masih terfikir-fikir.
“Maria binti Ismeth? Siapa ek?” desisnya seraya mengetuk-ngetuk dagu dengan buku catatan. Teringatkan amanah yang diberikan untuk menguruskan Majlis Lelongan Amal bulan depan, Elaika bergegas ke mejanya. Urusan dengan pihak hotel lagi, tempahan makanan dan jemputan belum disempurnakan. Semua Elaika lakukan seorang diri tanpa bantuan.
SEKEPING kad ucapan sempena hari jadi Maria yang ke-26 ditenung. Ia diberi bersama alat perakam. Kad itu dijumpai dalam laci mejanya. Tahun ini lebih menyedihkan apabila dia tak berkesempatan untuk mendapat kad ucapan untuk hari jadinya yang ke-27 tidak lama lagi. Dia harap dia akan menerima ucapan itu daripada Hardy walaupun lelaki itu sudah jauh daripadanya. Mungkin ucapan itu dapat mengurangkan kekecewaannya dan berikan secebis harapan.
“Maria, Puan Wahida panggil awak.”
Maria tersentak dan terus mendongak ke arah suara yang datang dari arah depan. Jeslina berdiri di depan mejanya seraya menongkat siku pada partition.
“Apa dia?”
“Puan Wahida panggil awak. Pergilah. Penting katanya.”
Dalam termangu, Maria angguk dan akur dengan arahan daripada Ketua Pengarangnya, Wahida untuk majalah Edisi Korporat.
Dia bergerak ke bilik Wahida dan mengetuknya sebelum masuk. Sebaik saja dia masuk, Wahida menurunkan cermin mata ke pangkal hidung. Anak matanya mendongak ke arah Maria yang masih berdiri di muka pintu.
“Why are you standing there? Come in here. I ada tugasan istimewa untuk you. Come over, Maria.”
Dengan langkah yang lemah, Maria menuju ke meja Wahida. Dia duduk dan beri tumpuan sepenuhnya kepada Wahida.
“Untuk edisi bulan depan, I nak you interviu seorang ahli perniagaan muda ni. Dia dah pernah keluar dalam majalah lain. Tapi, itu pun tiga tahun lepas. Jadi, kita ambil peluang ni untuk interviu dia. I pasti jualan untuk edisi bulan depan akan meningkat.”
Maria angguk ringan. Dia faham yang Wahida mahu dia interviu seorang ahli perniagaan muda. Tetapi, siapa orangnya? Apa namanya?
Wahida mencari-cari sesuatu di atas meja yang agak berselerak. Apabila menjumpainya, dia terus serahkan kepada Maria. Sebuah majalah daripada penerbitan lain yang memaparkan wajah ahli perniagaan itu pada muka depan.
Maria menyambutnya dengan kerutan. Dia merenung muka depan majalah keluaran Julai 2013 itu. Berjaya di usia muda. Maria hanya membaca dalam hati tajuk utama majalah itu. Dia perhatikan wajah. Total package!
“Jadi?” soal Maria bingung. Masih kurang jelas dengan tugasan yang diberikan. Kembali memandang Wahida di depan.
“Apa maksud you dengan ‘jadi’? I akan bagi you nombor telefon setiausaha dia dan you kena set date and time untuk interviu tu. Okey?” Wahida buat simbol OK.
Maria angguk tanda menerima tugasan itu. Majalah itu diambil untuk dibuat rujukan. Sebelum menemurah, dia perlu cari maklumat tentang lelaki itu.
“I bagi you masa dua minggu.”
Maria angguk lagi. Tak banyak cakap atau bantah. Maria terima apa saja tugasan yang diberi. Kerana sikapnya itulah dia kehilangan Hardy. Dia bukanlah gila kerja. Tetapi, dia bekerja kerana minat.
“Baik, puan. Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu. Oh ya, apa nombor setiausaha dia?”
KELUHAN dihempas serentak dengan henyakan pada kerusi. Maria menyelak majalah itu dan mencari ruangan temuramah.
Temuramah yang dipaparkan sebanyak tiga halaman dan sekeping foto penuh dipandang sepintas lalu. Segak berkot. Bergaya ala model. Memang ada pakej seorang ahli korporat.
Sayangnya, Maria belum ada mood untuk menelaah. Dua minggu masa yang diberikan. Kalau Wahida berikannya masa seminggu pun dia masih sempat siapkan temuramah itu.
Majalah itu diletak di sudut meja. Maria meneliti nombor telefon yang diambil daripada Wahida. Setiausaha kepada Effan Fathullah bin Datuk Muzafar iaitu Elaika. Mungkin dia boleh hubungi terlebih dahulu untuk tetapkan janjitemu. Maria angkat gagang telefon di mejanya dan mendail nombor telefon Elaika. Selesai, dia menanti panggilan itu dijawab.
“Persada Holdings. Boleh saya bantu?”
“Saya Maria. Ni Cik Elaika ke?”
“Saya bercakap. Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Cik Maria?”
“Cik ke puan?”
“Puan.Puan Ika. Yang kat sana cik ke puan?” Elaika membalas semula soalan itu. macam tak serius saja.
“Saya Cik Maria dari Kumpulan Pena Media untuk Edisi Korporat.”
“Edisi Korporat? Majalah tu ke? Cik ni wartawan ya?” soal Elaika teruja.
“Ya, saya. Pihak kami berminat nak interviu bos cik. Encik Effan, kan? Kalau tak keberatan, saya nak interviu dia untuk edisi bulan depan. Jadi, kalau bos Puan Ika dapat bagi kerjasama, boleh tak Puan Ika confirm tarikh dan masa untuk interviu tu?”
“Oh. Tak ada masalah. Kalau cik nak esok pun boleh sebab kebetulan dia tak ada apa-apa appointment atau mesyuarat. Cuma hari ni dia tak ada kat ofis. Mungkin dah tak masuk ofis.”
“Esok ya? Apa kata Puan Ika bincang dulu dengan dia? Macam mana? Saya tak nak nanti terpaksa batal last minute. Businessman macam Encik Effan tu, tahu-tahu ajelah macam mana. Sibuk. Betul tak?”
“Betul. Tak ada masalah. Boleh cik tinggalkan nombor cik supaya senang saya nak telefon balik nanti?” suara Elaika ramah.
SELEPAS solat Asar di surau, Maria berkemas untuk balik. Dia memasukkan juga majalah yang Wahida berikan itu ke dalam beg sandang komputer ribanya. Kalau ikutkan, dia mahu bertapa di pejabat untuk mencari maklumat Effan. Tetapi, kalau dia balik lewat lagi, pasti Nadia akan membebel. Maria dah cukup penat untuk dengar semua itu. Ditambah pula dengan masalah peribadinya dan kerjanya. Makin memeningkan kepala. Kadang-kadang sikap Nadia persis uminya pula. Padahal kakak.
Dari tingkat empat, Maria turun ke lobi. Kemudian, kakinya terus diatur ke tempat letak keretanya. Beberapa minit sebelum bertolak, Maria hidupkan radio. Lagu yang kini sedang hit di setiap corong radio bergema. Dia tingkatkan volume. Menghayati lagu yang hampir ke penghujung.
Oh tuhan
Ku mahu yang terbaik
Terbaik buatku insan kerdil ini
Oh tuhan
Noktahkan kehilangan ini
Munculkan dia
Dia terakhir buatku
Dan buat dirinya
Bait-bait lagu itu seperti kena dengan kisah cinta Maria dan Hardy. Dia tahu dia sudah kehilangan Hardy. Tetapi, dia tetap berharap Hardy muncul kembali dan anggap semua ini hanya mimpi. Bagaimana dia ingin lalui hidupnya untuk sebulan lagi, setahun, atau sampai bila?
Maria menyeluk beg tangan yang diletak di tempat duduk pemandu dan keluarkan alat perakam. Dia picit butang kecil pada alat perakam itu.
“Hardy, saya tahu awak takkan kembali kepada saya. Saya tahu setinggi mana saya berharap, ia cuma harapan kosong. Lagu Terakhir ni betul-betul mengingatkan saya dekat awak. Harap awak baik-baik dekat sana.”
Luahan hati Maria yang tak siapa tahu. Hanya dia yang merasa keperitan sejak Hardy meninggalkannya. Kehilangan yang tak terungkap dengan kata-kata.
Radio diperlahankan apabila suara DJ berceloteh mengisi ruang kosong itu. Maria hentikan diri daripada melayani perasaan.
PINTU bilik Maria diketuk. Seiring dengan ketukan itu bergema nama Maria. Beberapa saat kemudian, Maria membuka pintu. Ketika itu dia masih dalam telekung.
“Ya, kak?”
“Makan malam dah siap.”
“Kejap lagi Maria turun. Maria tunggu Isyak. Akak makanlah dulu denga,” beritahu Maria hanya di sebalik daun pintu dan kepala terjengah.
Nadia cuma angguk. Takkanlah dia nak adiknya melengahkan solat hanya untuk makan malam. Dia berpesan lagi sebelum beredar.
Maria menghempas keluhan pendek. Dia kembali ke atas katil dan membaca majalah yang diambil daripada Wahida. Kali ini dia luangkan lebih masa untuk membaca perkataan demi perkataan.
Mulanya wajah Maria kosong saja ketika membaca pengenalan. Apabila bacaan diteruskan, dahinya mula berkerut. Kemudian berbagai reaksi yang terzahir. Dia berasa kagum dan teruja untuk menemuramah ahli perniagaan muda itu. Berusia 29 tahun ketika 2013. Bermakna usia lelaki itu kini menginjak 32 tahun.
Jika tiga tahun lalu dia sudah berjaya mencapai status jutawan, apa agaknya pencapaiannya untuk tahun 2016? Maria perlu buat lebih kerja untuk mencari maklumatnya. Dia turun daripada katil dan pergi ke meja tulis. Komputer riba dihidupkan.
Setelah skrin memaparkan desktop, Maria mencari ikon Chrome dan mula buat carian. Nama Effan Fathullah bin Datuk Muzafar ditaip pada ruang carian yang disediakan. Beberapa laman web mula muncul tak sampai dua saat. Cukup pantas.
Maria klik pada imej pula. Dengan sekelip mata saja keluar beberapa gambar Effan dalam majlis keraian, gambar peribadi, bersama keluarga dan mungkin kenalan. Kerana tugasan ini, Maria terpaksa mengorek semua perkara tentang Effan dan memang itulah kerjanya. Sayangnya, dia belum menerima panggilan daripada Elaika tentang interviu itu.
Agak leka Maria membuat kerja rumah. Hingga dia tak sedar azan sudah berkumandang.
No comments:
Post a Comment