Bab 19
AKU berpeluk tubuh di dapur sambil perhatikan mama menghidangkan beberapa jenis juadah. Sejak tadi aku tertanya-tanya kenapa mama memasak begitu banyak makanan sedangkan cuma kami berdua di rumah. Bila aku nak membantu, mama halau aku dari dapur. Dia suruh aku pakai cantik-cantik. Rasa hati makin pelik.
Melihat mama sibuk, aku pendamkan hasrat untuk bertanya. Secantik mana sangat aku boleh berpakaian. Asalkan sopan dan menutup aurat cukuplah.
Dua biji mata ini masih merenung mama. Wajah mama ceria sekali. Gayanya seperti ada tetamu istimewa mahu berkunjung. Haisy, siapa agaknya? Kawan mama? Boyfriend mama? Manalah tahu kalau-kalau mama nak kenalkan pengganti bekas suaminya. Otakku mula membuat pelbagai andaian. Positi, negatif, semua ada. Selagi aku tak dengar dari mulut mama sendiri.
Ting! Tong! Loceng rumah bergema.
Dahiku berkerut sambil memandang mama. Kala itu mama alihkan pandangan ke wajahku. Melihat keadaan mama yang sibuk, aku ke luar untuk membuka pintu. Tentu tetamu mama telah sampai.
Dari luar aku terdengar ucapan salam. Mulut ini menjawab seraya menarik daun pintu ke dalam.
Saat itu aku tergamam melihat Amar tercegat di depan pintu rumah. Berpakaian segak bersama sejambak ros di tangan. Tak berkelip kelopak mata ini. Terkejang segala urat saraf tubuh melihat Amar. Agak lama aku dalam posisi itu sehingga mama datang menepuk bahuku.
“Siapa datang tu?” soal mama.
Aku menoleh ke arah mama dan berundur ke belakang.
Mama menjerit gembira. “Eh, Amar. Dah sampai? Masuk, masuk.”
Kedatangan Amar disambut mesra oleh mama. Aku pula rasa tak senang bila Amar berkunjung ke rumah. Amar dipelawa masuk. Aku menjadi patung cendana di tepi pintu. Bila Amar masuk, dia serahkan jambangan ros kepada aku. Dapat bunga lagi? Aku mula teringatkan bunga yang aku terima tempoh hari. Adakah ia daripada Amar juga?
“Thanks,” ucapku apabila jambangan itu bertukar tangan. Dalam kepala masih terfikir kenapa Amar tiba-tiba datang. Adakah Amar tetamu istimewa mama? Aku jadi waswas dengan mama.
“How are you?”
“Err... I’m doing good,” balasku. Sedikit tak keruan kerana terkejut dengan kedatangannya.
“Dhiya, ajak Amar masuk,” laung mama.
Kami berdua serentak berpaling ke arah suara mama. Orangnya tiada pun. Suara saja bergema.
Tatkala Amar mahu melangkah, aku memanggilnya. Dia berpaling. “Mama ke ajak awak datang?”
Amar tersenyum lantas angguk
.
“Kenapa?”
“Untuk makan tengah hari,” jawab Amar.
Mama ajak Amar datang ke rumah semata-mata untuk makan tengah hari? Aku tak fikir begitu. Pasti ada tujuan lain. Namun keraguan itu aku simpan dalam-dalam. “Awak tak busy ke hari ni?”
“Saya dah kensel semua jadual untuk hari ni. Kenapa?”
Perlahan aku geleng.
“Nothing,” balasku sepatah lalu mulakan langkah mendahului Amar.
Aku ke dapur membantu mama. Sebenarnya tiada apa yang perlu dibantu kerana semua sudah siap di atas meja. Tinggal untuk disantap saja.
“Mama...”
Mama berhenti sekejap apabila aku memanggilnya. Bunga di tangan aku letak di atas kabinet.
“Ada apa mama ajak Amar datang sini?”
Mama sekadar berikan senyuman. Tiada jawapan yang aku mahukan. Aku mula syak sesuatu, namun aku kurang pasti.
“Bawakan air ni untuk Amar. Mesti dia dahaga,” suruh mama. Air siap dihidang di dalam gelas. Cuma aku perlu hantar kepada Amar saja.
Dengan patuh, aku ke ruang tamu membawa minuman sejuk untuk Amar sebelum kami bertiga makan tengah hari. Ketika itu Amar sedang melihat foto-foto pada dinding.
“Jemput minum,” pelawaku seraya meletaknya ke atas meja.
Amar berpaling. “Dhiya, kenapa saya tak nampak satu pun gambar awak?”
Aku senyum kelat sambil mendakap dulang. Amar masih tercari-cari fotoku di antara foto-foto pada dinding. Lagipun Amar tak tahu yang aku cuma anak angkat mama. Keluarga sebenarku pula di kampung. “Memang tak ada. Awak tak payah cari.”
Amar berpaling dengan wajah hairan. “Kenapa? Awak tak suka bergambar ya?”
Aku jongket bahu. Perlu ke aku beritahu Amar yang mama bukan ibu kandung aku? Kalau dia tahu pun, ia tak menjejaskan aku.
“Saya cuma anak angkat mama,” beritahuku akhirnya.
Amar terkejut. Tentu dia sangka aku dan mama anak-beranak. Memang hubungan kami rapat dan mesra. Ramai yang keliru, namun aku dan mama diamkan saja. Orang tertentu saja yang tahu status hubungan kami.
“Anak angkat? How about your family?”
“Ada kat kampung. Saya jadi anak angkat mama masa saya kat universiti lagi.”
Amar angguk faham. “Kampung awak kat mana?”
“Perak.”
Dia angguk lagi. Aku rasa dia masih ada soalan yang nak diajukan. Namun, nampaknya dia sedang fikirkan sesuatu.
“Minumlah dulu air ni,” pelawaku lagi kerana tak mahu Amar menyoalku.
Perlahan Amar berlabuh di sofa dan mengambil gelas. Dia memandangku sekejap sebelum meneguk air dingin itu.
“Awak tak balik kampung?” Amar menyoal kembali selepas basahkan tekaknya.
Aku geleng. Masih setia di posisiku, berdiri mendakap dulang menghadapnya. Sudah rupa orang gaji pula.
“Kenapa tak balik?”
Aku mendengus perlahan. Banyak tanya pula si Amar ni. Untuk apa dia tanya semua itu?
“Tengoklah nanti kalau mama bagi cuti.”
Amar diam, berfikir lagi. Dia ni memang suka berfikir. Aku pula yang rasa berdebar kerana takut disoalnya.
“Saya tak pernah rasa suasana hidup kat kampung. Lagipun keluarga saya memang berasal dari KL. Boleh tak kalau awak bawa saya bercuti kat kampung awak?”
Aku terkesima. Berat permintaan Amar tu. Kalau aku bawa dia balik kampung, harus aku kena ligan dengan abah. Tak mau aku!
“Err... kenapa tiba-tiba nak pergi kampung saya pula? Kampung saya nun jauh kat pedalaman tu. Nak pergi sana kena redah sungai, redah hutan, naik bukit, turun bukit. Awak sanggup?”
Terkejang Amar mendengar kataku. Senang betul kena tipu. Aku ketawa dalam hati.
“Kawasan pedalaman mana awak tinggal ni? Betul ke ni?” soal Amar. Dia macam tak percaya.
Aku kena yakinkan dia supaya dia batalkan niat dia nak buat lawatan sambil bercuti ke kampungku.
“Sebelum perkampungan orang asli. Awak nak pergi jugak? Saya rasa tak payahlah. Saya pun malas nak balik kampung. Kecuali kalau ada hal penting. Susah sangat nak balik sana. TV tak ada. Elektrik boleh guna malam aje. Itu pun sampai pukul 6.00 pagi aje. Seksa tinggal kat sana.” Aku semakin rancak ‘menggoreng’ Amar. Kalau dia percaya, dia memang miring.
“Kenapa tak pindah aje?”
“Mana kami nak pindah? Kami bukan ada tanah pun. Ada tanah kat pedalaman tu pun dah cukup bagus tau.”
Amar macam tak percaya dengan ceritaku. Mungkin dia fikirkan kelogikannya.
“Tak payah nak membohong, Dhiya. Amar, jangan percaya cakap dia tu. Pedalaman konon. Kat Bukit Gantang aje pun. Bukannya sampai kena redah hutan belantara, bukit-bakau segala.” Suara mama tiba-tiba menyebabkan aku kaget.
Aduh! Mama pecah tembelanglah pula. Aku terus tundukkan wajah bila dikantoikan oleh mama. Tak sempat pula nak berpakat dengan mama dulu. Alah... mana nak tahu terkeluar isu ini. Entah kenapa, pipiku bersebu merah. Terasa macam Amar sedang merenungku. Takut pula nak pandang muka dia. Ada baiknya aku beredar ke dapur dan sorokkan diri untuk beberapa minit.
“HAHAHA...” Tiba-tiba Amar ketawa di sebelahku.
Aku mendengus geram. Asyik ketawa saja. Sakit pula hati ini.
“Patutlah saya rasa macam tak logik aje cerita awak tadi,” getusnya.
“Terpaksa.”
“Kenapa mesti nak tipu? Cakap ajelah kalau awak tak nak saya pergi kampung awak. Kan dah kantoi.” Amar mengusik.
“Bukan tak suka. Ayah saya tu garang. Kalau dia tahu saya bawa balik awak ke rumah, mesti dia rotan saya,” ujarku.
Amar ketawa.
“Awak ingat saya tipu ke?”
“Hmm... dah terkena sekali, saya takkan percaya. Awak memang sengaja bagi alasan macam tu sebab tak nak saya pergi rumah awak, kan? Betul tak?”
Aku mula geram. Kalau tadi memanglah aku kelentong dia. Tapi kalau pasal ayah, aku tak boleh tipu. Ayah memang garang dan tegas.
“Betullah. Ayah saya memang garang,” tegasku.
Kepala Amar menggeleng. Tetap tak percaya. “Kalau macam tu, benarkan saya pergi kampung awak dan kenal ayah awak. Boleh?”
Aku terpempan. Dia nak kenal ayah? Mana boleh! Tak pasal-pasal kena halau. Tak mahulah aku. Malu dengan orang kampung nanti. Dengan superstar Malaysia aka Amar Affandy sekali kena ligan dengan ayah.
“Kenapa awak nak sangat pergi kampung saya? Kenapa tak pergi kampung orang lain? Kat KL pun ada kampung. Kampung Pandan, Kampung Baru... Kampung apa lagi?” Aku membebel. Sedaya upaya mahu melumpuhkan niat Amar untuk ke kampung halamanku yang tercinta.
“Saya nak kenal keluarga awak.”
Aku tertelan liur. Gulp! Gulp! Kalau sampai nak kenal keluarga ni, selalunya ada niat lain. Jangan-jangan Amar ni... “Kenapa?”
Amar mendengus. “Awak ni banyak tanya kenapa?”
“Mulut saya, suka hati saya nak tanya apa pun.”
Kali ini Amar gelak kecil. “Apa kata saya simpul mulut awak tu, nak?”
“Eleh... nak simpul mulut kita konon. Awak tu... kenapa nak pergi sangat kampung saya?”
“Tengok! Kenapa lagi.”
Ni yang aku malas nak layan ni.
“Sebenarnya saya nak bercuti. Saya nak rehat dan tenangkan fikiran. Mungkin kat situ saya ada ilham untuk tulis lagu,” ceritanya ringkas.
Kan senang kalau awal-awal tadi bagi jawapan macam itu. Ini tidak, cakap nak kenal keluarga aku. Mahu aku tak gementar?
“Hari tu, saya tengok awak dalam Ngetop Ke Tidak.”
Dia berpaling. Tak bercakap.
“Awak cakap awak nak dedicate lagu untuk kawan awak yang putus cinta. Awak maksudkan saya ke?” Dengan berani aku menyoal.
Sudah lama aku simpan soalan itu untuk dapatkan jawapan daripada Amar. Aku sesekali tak marah. Bukan ada yang kenal aku pun. Selama aku dan Amar berjumpa pun, belum pernah terserempak dengan sesiapa.
“Betul. Memang saya ada tulis lagu untuk awak. Tapi lagu belum siap. Kalau siap, awak orang pertama yang akan dengar.”
Aku ketap senyum. “Kenapa?”
“Why do you keep asking me why?” soalnya kembali. Soalan yang tidak ada kena-mengena dengan apa yang aku tanya.
“Because everything you say makes me wonder.”
Amar terdiam dalam memandanganku.
Dalam kotak fikiran, aku masih tertanya-tanya apa tujuan Amar ke sini. Aku tahu yang ia bukan sekadar jemputan untuk makan tengah hari. Sekilas aku jeling ke wajah Amar. Dia masih mendongak ke langit. Aku turut pandang ke arah yang sama. Apa yang ada kat langit sampai khusyuk dia memandang ke sana? Dia tengok awan?
“Dhiya...”
Aku tersentak bila dia memanggilku. Aku kembali merenung ke bumi.
“Saya suka awak.”
“Hah?” Rahangku terjatuh memandang ke wajah Amar.
Lalu dia pandang wajahku pula. Kami bertatapan. Aku terkejang. Sekarang Amar mengukir senyuman berserta satu lirikan mata yang menawan. Aku seakan-akan terpukau dengan lirikan itu. Lama juga kami dalam keadaan begitu. Aku tak percaya dengan apa yang dia katakan. Sukar nak percaya.
“Dhiya, saya sukakan awak,” ulangnya.
Nafasku terasa sesak. Rasa nak pitam. Cepat aku alihkan muka ke arah lain.
“Boleh tak... kalau awak bagi saya peluang untuk jadi orang yang istimewa dalam hati awak?”
Aku terpaku mendengar. Jadi, benarlah apa yang mama beritahu sebelum ini? Amar memang sukakan aku? Kenapa aku? Aku tak sesuai untuknya.
“Kenapa saya?” soalku perlahan seraya memberanikan diri memandang ke wajah Amar. Aku rasa gementar.
“Kenapa awak?”
Berat anggukanku.
“Bila saya dengan awak, saya rasa tenang, gembira dan macam yang saya cakap sebelum ni... Kalau boleh saya nak selalu jumpa awak. Tapi sebab jadual kerja saya yang terhad, saya tak boleh jumpa awak selalu. Saya kena tunggu ada masa free. Dhiya, saya akan bagi awak masa. Kalau awak terima saya, saya takkan tunggu lama. Saya dah bersedia untuk pikul tanggungjawab sebagai suami. Saya dah ada segala-galanya. Rumah, kereta, tapi saya belum ada permaisuri untuk istana saya. Saya harap awaklah orangnya.”
Tak berkelip mata aku merenung Amar. Kata-katanya cukup menyentuh perasaan. Sebab inikah dia mahu bertemu keluarga aku? Sebab akukah dalam program TV itu dia berikan jawapan yang dia sudah bersedia untuk hidup berkeluarga? Adakah semuanya kerana aku?
“Mama dah tahu niat saya. Saya dah bagi tahu dia. Sebab tu dia ajak saya datang sini dan cakap terus dengan awak. Saya ingatkan mama tu mama awak. Dia pun tak cakap yang awak anak angkat dia. Jadi, boleh tak saya nak kenal famili awak?”
Aku diam tak berkutik. Bibir terkunci. Aku ingin bersuara, namun tak mampu aku lontarkan. Bukan mudah aku nak terima seseorang untuk bertakhta dalam hati. Aku takut kecewa lagi. Aku tahu, bercinta dengan superstar bukan mudah. Aku harus memahami karier dia. Aku harus bersedia untuk diabaikan tatkala dia sibuk. Bersedia melihat dia bergandingan dengan artis wanita. Juga memiliki kekuatan mental untuk menahan perasaan cemburu. Bolehkah aku hadapi situasi itu?
“Dhiya?” Amar memanggil lagi. Dia menarik kerusi rapat ke dengan kerusiku.
Automatik aku mengerakkan tubuh ke belakang.
“Boleh awak pertimbangkan hasrat saya ni?”
Kami berpandangan lagi. Aku merenung mata coklatnya dengan kening terangkat. Ini yang buat aku lumpuh. Amar ada sepasang mata redup yang menawan. Yang membuatkan semua orang cair seperti ais di bawah terik matahari.
Perlahan Amar senyum. “Hmm, mata awak cantik.”
Err... aku baru puji mata dia dalam hati. Dia pula puji kita. Telepati ke apa ni?
“Err... Amar, saya...” Sebaik aku bersuara, Amar jarakkan kerusinya. Aku bernafas lega. Bila dia dekat, aku rasa lemas dengan bau minyak wanginya yang agak kuat tetapi wangi dan sesuai dengan personalitinya. Aku juga tak tahan dengan renungannya.
“Awak setuju?” kata Amar tiba-tiba.
Aku mengetap. Aku belum fikirkannya. Pandai-pandai Amar menjawab bagi pihakku. “Saya tak kata saya setuju.”
“Awak akan pertimbangkan?”
Aku tak angguk. Otakku ligat berfikir. Aku kena fikirkan apa kebaikan dan keburukan memilih Amar. Aku rasa banyak keburukan daripada kebaikan sebenarnya. “Saya perlukan masa untuk fikir.”
“Berapa lama? Tiga hari? Seminggu?” Bulat matanya memberi tempoh kepadaku.
Tiga hari? Seminggu? Pendeknya masa. Aku perlukan sekurang-kurangnya berbulan-bulan masa berfikir sebelum memilih dia untuk seumur hidup aku. “Saya perlukan masa yang lama.”
Wajah Amar bertukar masam. “Lama? Berapa lama? Sebulan? Dua bulan?”
Aku mengeluh perlahan. “Amar, kalau saya pilih awak, bermakna saya nak habiskan seumur hidup saya dengan awak. Tapi banyak benda yang saya kena fikir kalau saya terima awak. Awak artis. Cara hidup awak, cara hidup saya tak sama. Kita berasal daripada keluarga yang berbeza. Awak rasa kita boleh sesuaikan diri dalam keluarga macam tu?”
“Dhiya, saya memang nak habiskan hidup saya dengan awak. Saya serius, Dhiya. Kalau saya setuju, saya akan bagi tahu wartawan dan kenalkan awak. Tapi, saya takkan tunggu lama. Masa tu, awak akan jadi manager saya dan urus apa saja aktiviti seni saya. Sekurang-kurangnya awak tahu apa saya buat, dengan siapa saya jumpa dan berurusan.”
Sekali lagi otak aku dikerah untuk berfikir. Hasrat Amar akan aku pertimbangkan, tetapi bukan sekarang. Aku tetap kena fikirkan kebaikan dan keburukannya. Aku kena tanya pendapat mama, pendapat orang tuaku.
“Bila awak nak balik kampung... Please let me know. Okay?” pintanya.
Aku anggukkan saja. Tak tahu bila nak balik kampung. Rasa tak mahu balik ke kampung selepas aku tahu Khalif akan berkahwin dengan Umairah. Cuma aku tak tahu bila mereka nak langsungkan majlis perkahwinan.
“Janji tau?”
“Ia. Saya janji. Nanti saya bagi tahu awak.”
“No kidding?”
“Haisy... Awak cakap dengan mama sendiri nanti. Saya bila-bila pun boleh balik kampung.” ujarku geram.
Dia ketawa senang.
“Saya betul-betul berharap ni, Dhiya. Jangan tipu saya lagi. Jangan nak kelentong macam-macam.” Dia beri amaran. Rasa macam terkena ke batang hidung saja.
Aku malas nak jawab. Ini satu hal lagi. Boleh ke aku bawa dia balik ke kampung? Mak dan ayah boleh terima ke? Macam mana kalau orang kampung tahu dan mungkin antara mereka ada peminat Amar? Tak ke roboh rumah aku nanti kena serbu? Ah, pening, pening!
No comments:
Post a Comment