Bab 5
PAGI ni aku bawa mama ke pasar. Beli lauk basah. Lagipun mama nak masak untuk tengah hari ini. Dalam pasar, mama mencari udang segar dan juga ayam. Tak lupa juga ikan pekasam kegemaran ayah. Di bahagian basah, ada longgokan udang, sotong, ketam, pelbagai jenis ikan, kerang dan kepah.
Aku tertarik pada susunan ketam lalu aku kuis-kuis penyepitnya. Yang selamatnya, ketam itu telah diikat. Aku takkan disepit. Sementara menunggu mama memilih udang, aku giat dengan aktivitiku. Ayah pernah ajar cara nak kenal ketam jantan dan ketam betina. Aku ambil aku dan belek. Lepas itu belek lagi. Apa bezanya ya?
“Kalau nak tahu ketam jantan, bahagian bawah tu panjang dan tirus. Ketam betina pula lebar sikit. Kalau nak beli ketam, pilih ketam betina. Banyak isi.”
Tiba-tiba ada suara mengajarku cara pilih jantina ketam. Sebelah kiriku mama. Aku menoleh ke kanan. Aku terpempan. Dia lagi.
“Cuba tengok ni.” Khalif ambil dua ekor ketam selepas membelek di bahagian bawah ketam.
Aku tengok dua ekor ketam di tangannya. Fokus.
“Mana ketam betina?” Dia menyoalku.
Aku mengetap bibir sambil memikirkan mana satu ketam betina. Kalau tak silap, Khalif beritahu tadi yang tirus ketam jantan. Jadi ketam di tangan kirinya adalah ketam betina.
“Yang ni.” Aku tunjuk ketam di tangan kirinya penuh yakin.
“Pandai. Cepat belajar,” pujinya tersenyum.
Aku pun tersenyum. Dapat satu ilmu pagi ni. Aku perhatikan Khalif meletak semula ketam ke tempatnya.
“Orang cakap ketam banyak isi masa bulan mengambang,” sambungnya.
Yang tu aku pernah dengar.
“Sorang aje?” soalku. Aku tak nampak sesiapa bersamanya.
“Sorang. Mak suruh beli barang sikit,” ujarnya.
Aku cuma angguk. Ketika aku baru nak buka mulut untuk menyoal Khalif, mama menguis-uis lenganku tanda sudah selesai urusan jual beli.
“Jom. Kita pergi beli kacang panjang pula,” kata mama seraya menarik lenganku. Aku terkial-kial memandang mama dan Khalif.
“Pergi dulu.” Cuma itu sempat aku katakan kepada Khalif.
Lelaki itu tersenyum dan angkat tangan.
Aku membawa mama ke bahagian sayur-sayuran pula. Aku biarkan mama memilih. Entah kenapa, tiba-tiba aku teringatkan Khalif. Rasa tak puas bercakap dengannya tadi. Mama pula main heret macam tu saja. Kenapa aku rasa setiap pertemuan dengan Khalif seakan-akan meninggalkan kesan dalam hati? Ya Allah, jika perasaan ini benar, Kau tunjukkanlah jalan buatku. Amin.
SELESAI membeli di pasar, kami terus pulang. Banyak mama memborong. Tak tahu apa yang nak dimasaknya. Hari ini, biar mama saja yang masak.
Sampai di rumah, aku sempat jeling ke arah rumah Tijah sebelum memasuki laman rumah. Aku tak nampak Khalif. Mungkin belum balik. Jadi, aku kena pergi ke rumah tu sebelum dia balik. Kalau tak, aku akan rasa malu nak bersemuka dengan dia.
“Mama, Dhiya nak pergi rumah Tijah. Mama masak dengan mak ya?” kataku kepada mama semasa membantu dia membawa barang-barang yang dibeli ke dapur.
“Kawan kelmarin tu ke?” soal mama.
“A’ah. Hari ni dia bertunang.” Aku ketawa kecil. Macam tak percaya saja nak mekapkan orang.
“Pergilah. Biar mama masak.”
“Dhiya pergi dulu ya,” kataku selepas meletak barang-barang ke atas meja di dapur. Aku bergegas keluar dan berlari ke rumah Tijah.
Sedang berlari, nasibku malang lagi. Kaki aku tersadung pada bata yang ada di tengah-tengah laluan aku. Entah macam mana aku boleh tak perasan. Apa lagi, macam nangka jatuhlah aku jadinya. Tertiarap aku atas tanah yang berbatu. Terseret tapak tangan ni.
“Aduh... sakitnya.” Tubuhnya terasa kejang seketika.
Segala urat saraf kejang. Aku cuba angkat tubuh perlahan-lahan dan melihat tapak tangan yang sedikit melecet. Aku merenung dua tapak tanganku.
“Dhiya, kenapa ni?”
Ada suara. Aku terdongak. Khalif letakkan barang-barang di tangan ke bawah dan berlari ke arahku. Alamak... Kenapa setiap kali aku ditimpa malang, mesti dia ada? Sudah dua kali jadi macam ni. Melihat Khalif datang kepadaku, aku terus tunduk. Cuba bangun tanpa bantuan walaupun sakit.
“Ni mesti lari lagi, kan?” Khalif mengagak.
Aku diam merenung bata yang telah menyebabkan aku terjatuh.
“Lain kali hati-hati. Bukan jauh pun. Buat apa nak lari? Tergesa-gesa?” Suara Khalif berbuar amarah. Persis seorang guru memarahi muridnya, seorang ayah memarahi anaknya yang cuai. Begitulah gaya Khalif.
Aku mengetap bibir. Besar sungguh rasa malu kali ini. Aku beranikan diri menatap Khalif. Aku cuba mengelak daripada bertembung dengan dia. Sebab itu aku nak pergi awal ke rumahnya. Alih-alih bertembung juga.
“Tengok tangan tu,” arah Khalif.
Aku bertindak seperti anak kecil. Menunjukkan kedua-dua tapak tanganku yang melecet dan berdarah.
“Kalau jalan tadi, tak adalah jadi macam ni. Sakit tak?”
Aku angguk ringan. Bibir tersorong ke bawah. Rasa nak nangis pun ada. Bila keprihatinan yang ditunjukkan oleh Khalif, terubat sikit sedih.
“Ikut abang. Biar Tijah sapukan ubat.”
Khalif memaut lenganku. Mujurlah beralas. Tapi tetap kurang sopan pada pandanganku. Aku mengikut saja Khalif seraya cuba menarik tangan daripada pegangannya. Bila depan rumah, baru dia lepaskan.
“Naiklah,” suruhnya.
Aku terpinga-pinga. Kenapa dia tiba-tiba melayan aku macam ni? Dia macam terlebih mengambil berat.
“Tak apalah. Sikit aje,” kataku. Luka di tapak tangan aku bukan serius. Cuma berdarah sedikit dan luka.
Khalif memandangku. Aku tahu daripada cara dia memandang, dia mahu aku naik dan dia akan suruh Tijah sapukan ubat.
“Boleh saya tanya satu soalan?” Sebelum naik, aku nak tahu satu perkara.
“Tanyalah.”
“Kenapa awak tiba-tiba caring pasal saya?” Itu saja soalanku. Sekian.
Khalif pandang tepat ke wajahku dan biarkan soalanku tergantung. Dia kembali ke tempat aku kemalangan tadi dan ambil barang-barang yang dibelinya. Khalif masuk melalui pintu dapur sementara aku terpinga-pinga di situ.
Tanpa membuang masa, aku naik mencari Tijah. Kebetulan semasa aku naik, Tijah baru keluar dari bilik.
“Patutlah aku dengar suara kau. Kenapa kau jalan macam ni?” soal Tijah menyedari langkahku yang terjengket-jengket.
“Aku terjatuh tadi.” Sebaik saja ayatku habis, Khalif muncul.
Kami serentak pandang ke arahnya.
“Jah, tolong sapu ubat kat tangan Dhiya.”
Terbuntang mataku. Aku ingat aku tak nak beritahu Tijah. Tapi Khalif terlebih dulu bertindak.
Pandangan pelik Tijah jatuh pada wajahku. “Kenapa tangan kau?”
Tanpa menjawab, aku angkat kedua-dua tapak tanganku. Tijah melopong. Merah-merah tapak tanganku. Tijah pandang Khalif pula.
“Abang langgar dia ke?” tuduh Tijah.
“Apa pula? Abang tengok dia jatuh kat depan sana.”
Cukup! Tolong jangan jelaskan apa-apa. Awak berdua buat saya malu. Aku rasa tak sanggup nak memandang Khalif dan Tijah.
Tijah pandang aku pula. “Macam mana kau boleh jatuh ni?”
Perlahan-lahan Tijah membawaku ke biliknya. Aku memandang Khalif sebelum masuk ke dalam bilik Tijah. Aku didudukkan di tepi katil. Tijah tutup pintu bilik. Kemudian dia membuka laci meja soleknya dan keluarkan sejenis krim dan plaster.
“Dhiya, maaflah kalau aku cakap ni. Abang aku macam ambil berat aje pasal kau. Sebelum ni, dia mana nak peduli pasal perempuan,” kata Tijah sambil menyapu ubat pada tapak tanganku.
Aku pun terdetik macam Tijah. Tijah pun boleh perasan sikap Khalif. Selepas beberapa tahun, tiba-tiba Khalif begitu baik dengan aku. Siap hantarkan pulut ke rumah. Ajar cara pilih ketam. Tak pelik ke?
“Entahlah.” Aku tak mahu komen walaupun aku turut rasakan yang sama.
“Ke... dia minat kat kau?”
“Hisy,” sangkalku pantas. Buatnya Khalif dengar, habis kami berdua nanti.
“Kalau betul, kau jadi kakak ipar akulah nanti.” Tijah mengusikku.
“Merepeklah kau ni.” Aku sangkal lagi. Bibir tersenyum pula.
Tijah meleretkan senyuman. “Aku kenallah abang aku tu. Dia tu susah nak jatuh hati dengan perempuan. Kalau dia suka kau, kaulah gadis paling bertuah dalam dunia ni.”
Kata-kata Tijah buat aku termangu. Betul. Mana-mana gadis yang menjadi pilihan Khalif pastinya dia paling bertuah. Begitu juga aku. Kalau benar seperti yang Tijah katakan, aku takkan menolak. Aku juga suka lelaki seperti Khalif. Tanpa sedar bibirku menyungging senyum.
“Kan? Senyum-senyum pula,” usik Tijah lagi. Buat aku bertambah tersipu.
Tijah selesai sapukan ubat. Tanpa aku sedar, tapak tanganku dibalut. Mengelamun punya pasal.
“Eh, kau ingat tangan aku ni cedera parah?”
“Aku cuma bertindak mengikut arahan.” Tijah bangun dan simpan semula ubat serta plaster.
“Tijah, aku mana layak untuk abang kau.”
“Kalau abang aku berkenan kat kau?”
“Mustahil.”
“Tak mustahil.”
Aku bingkas bangun. “Aku bukan lawan dia.”
“Kalau betul?” Tijah tak henti-henti cuba meyakinkan aku.
“Sudahlah. Bila kau nak bersiap?” Aku ubah topik. Lalu aku bergerak ke tepi tingkap. Aku lihat Tijah capai tuala.
“Kau belum mandi lagi?”
“Belum,” jawab Tijah sambil keluar dari bilik dengan ketawa mengekek.
Teruk betul anak dara ni sorang, desis hatiku. Sementara tunggu Tijah mandi, aku termenung memikirkan kata-kata Tijah. Betul ke Khalif sukakan aku? Rasa macam tak percaya saja. Aku tersenyum lagi. Kalau betul, akulah gadis yang bertuah tu. Cuma aku tak mahu terus letak harapan. Hati orang kita tak tahu.
No comments:
Post a Comment