Wednesday, 8 October 2014

JODOHKU SUPERSTAR 29

Assalamualaikum...Salam Aidil Adha ZR ucapkan...okey, ni ada entry baru untuk JODOHKU SUPERSTAR...enjoy k...


Bab 29




AKU kembali bekerja selepas beberapa hari bercuti. 

Sekarang baru jam 10.00 pagi. Mama ada belikan kuih untuk kami. Aku pergi ke pantri untuk bancuh dua gelas air. Satu untuk aku dan satu untuk mama. Siap bancuh, aku bawa ke luar. Aku terkejut dengan kehadiran Fafa. Setelah agak lama aku tak berhubung dengan dia dan dia juga tak hubungi aku selepas itu. Aku mengorak senyum. Fafa dengn muka kelat datang menghampiri.

“Fafa, lama tak jumpa,” kataku lalu meletakkan air ke atas meja ruang tamu.

Fafa menghempas punggung di sofa. “Memang lama. Dulu kita rapat. Tapi sejak kau...”

Dadaku berdebar. Apa yang Fafa nak cakapkan?

Baru sekejap duduk, Fafa bangun semula dan merapati aku.

“Kau dah baca surat khabar hari ni?”

Aku geleng. “Aku tak suka baca surat khabar. Kenapa Fafa?”

Fafa hulurkan aku surat khabar yang dilipat. Aku tak perasan pula dia bawa benda ni. Aku ambil tanpa rasa waswas. Aku buka bahagian depan. Berita tentang kemalangan.

“Kau nak aku baca apa?”

“Buka kat hiburan punya,” kata Fafa seraya berpeluk tubuh dan memalingkan muka. Macam meluat dengan aku. 

Aku rasa pelik. Aku duduk dan belek satu per satu muka surat.

“Ada apa sebenarnya ni?” soalku lagi sambil tangan membelek helaian surat khabar dengan agak rakus. Tak tahu apa yang Fafa nak tunjukkan.

Fafa menerpa ke arahku dan rampas surat khabar. Aku tercengang. Fafa belek lagi rakus daripada aku.

“Kau tengok ni!” kata Fafa kasar. Dia tunjukkan satu ruangan kepada aku. Aku terus tengok dari tangannya.

Ada satu artikel di ruangan gosip tenang Amar. Kemudian aku lihat gambar berbentuk empat segi di sudut artikel itu. Aku tergamam. Bukan ke ini gambar masa aku dan Amar di balai raya? Dari mana mereka dapat gambar ni? Perasaan aku waktu itu tak dapat digambarkan. Media sudah tahu. Wartawan sudah tahu. Habislah aku dan Amar.

Melihat gambar saja, aku tak mahu baca artikel itu. Pasti mereka tulis cerita tentang kami. Aku tak keruan.

“Sejak bila kau rapat dengan dia?” soal Fafa. 

Aku terkesima seketika. Aku tak dapat bersuara.

“Padahal aku ni peminat dia. Macam mana kau pula boleh rapat dengan dia? Ni yang aku tak puas hati ni.” Fafa bercekak pinggang marahkan aku. Serupa mak tiri aku tengok.

“Eh, Fafa, yang kau marah aku ni kenapa? Kau yang suruh aku pergi konsert dia, kan?” aku melawan.

“Memang aku suruh pergi. Tapi, aku tak suruh kau mengurat dia. Kau... kau memang bercinta dengan dia eh?”

“Aku tak bercinta dengan dialah,” sangkalku lalu menghenyak sofa. 

Fafa macam belum puas hati.

“Cuba kau cakap betul-betul, Dhiya. Dalam artikel ni, orang cakap dia tinggal kat rumah kau kat kampung tu. Maknanya kau memang rapat dengan dia. Apa semua ni, Dhiya?” Suara Fafa mula menurun. Tak setinggi tadi.

Aku perlu berterus terang untuk meleraikan salah faham ini. “Kalau kau nak tahu, Amar tu senior aku.”

Fafa terkejut. “Se... Senior kau?”

“Ya. Senior aku. Kalau aku rapat dengan dia pun, apa masalah kau?”

Fafa nampak bingung. “Kenapa aku tak tahu?”

“Perlu ke aku bagi tahu kau?”

“Kau tak ada apa-apa hubungan dengan dia, kan? Maksud aku, hubungan spesial?”

Pantas aku geleng. “Mana ada,” nafiku keras.

“Jadi kau tak bercinta dengan dia macam dalam paper ni?”

Aku geleng lagi. Dia ni macam wartawan pula.

“Kau tak tipu, kan?”

“Buat apa aku tipu? Kau beria-ia sangat tanya aku ni kenapa?”

“Kau tahu kan aku minat gila dengan Amar. Mestilah aku terkejut dan marah bila gambar kau keluar paper. Aku ingat kau bercinta dengan dia. Tapi, aku harap kau tak tipu aku. Jangan sesekali rampas Amar aku. Okey?”

“Hubungan aku dengan dia tak lebih daripada senior dan juniorlah,” tegasku lagi. 

Ada riak lega pada wajah Fafa. 

“Kalau bukan aku sekalipun, Amar kau tu tetap akan dapat kat orang lain jugak.” Aku sambung.

“At least bukan kau.”

DI TV, berita, rancangan hiburan, mula heboh tentang gosip Amar dan aku. Bila aku tonton TV, ada saja iklan pasal ini. Tukar saluran lain pun sama. Kebetulan rasanya. Tapi aku rasa tertekan pula. Mesti ada dalam kalangan orang-orang kampung yang muat naik gambar itu di Facebook atau mana-mana saja laman sosial dan sampai kepada wartawan.

Kesian Amar. Dia terpaksa jawab semua itu. Aku takut ini akan menjejaskan kariernya. Aku tonton berita jam 8.00. Selalunya di hujung-hujung berita ada berita hiburan. Aku nak tengok sama ada mereka siarkan temu bual wartawan dengan Amar ataupun tidak.

Aku kerling jam. Beberapa minit lagi. Rasanya tak ada kut berita pasal Amar. Aku mula angkat punggung. Tiba-tiba pembaca berita menyebut nama Amar.

Pembaca berita: Sudah heboh di media sosial, media cetak dan media elektronik tentang penyanyi Amar Affandy yang dikatakan pergi bercuti di kampung teman wanitanya di Perak. Ada sumber mengatakan Amar ke Perak untuk mengenali keluarga teman wanitanya sekali gus melahirkan hasrat untuk berkahwin. Amar dikatakan gembira bersama keluarga teman wanitanya dan ini menguatkan lagi kepercayaan pihak media. Dalam satu majlis, Amar Affandy ditemu bual oleh wartawan Sena Senagin. Ikut kisah selanjutnya tentang superstar ini.

Sena Senagin: Pihak wartawan mula-mula rasa sangsi tetapi bila melihat gambar Amar di sebuah balai raya menghiburkan peminat-peminat di kampung tu, ramai yang tertanya-tanya, siapakah gadis di sebelah Amar? Adakah teman wanita? Amar pernah keluarkan kenyataan dalam satu rancangan TV yang Amar sudah bersedia untuk hubungan yang lebih serius.

Amar Affandy: Ya. Memang betul saya dah sedia untuk hubungan yang lebih serius. Saya memang pergi ke Perak untuk beberapa hari. Saya berjumpa dengan peminat-peminat saya di sana. Soalan sama ada dia teman wanita saya atau bukan, buat masa ni kami belum putuskan apa-apa. Kami berkawan rapat. Lagipun saya memang dah kenal dia sejak di universiti. Jika ditakdirkan jodoh kami, saya tak menolak. Keluarga dia dapat terima saya seadanya dan saya rapat dengan keluarga dia.

Sena Senagin: Ada sumber beritahu yang gadis itu berasal dari kampung. Bukan ke sepatutnya Amar perlu cari teman wanita yang ada kelas tersendiri? Yang setanding dengan kedudukan Amar sekarang?

Amar Affandy: Saya ada sebab saya sendiri untuk tak memilih gadis dalam bidang yang sama. Saya lebih suka pilih seseorang yang tak ada kena-mengena dengan bidang seni. Soal kelas atau kedudukan sekarang, saya tak memilih seseorang dari segi tu. Bagi saya, asalkan dia boleh terima saya seadanya, faham karier saya dan sama-sama jaga diri.

Sena Senagin: Jadi memang betullah dia pilihan Amar sekarang? Atau lebih senang kalau dikatakan calon isteri?

Amar Affandy: (Ketawa) Ya, mungkin. Saya selesa berkawan dengan dia. Kami masih dalam fasa berkawan. Belum serius. Masih nak kenal hati budi masing-masing. Sejujurnya, saya sukakan dia dan saya harap kami dijodohkan.

Itu dia! Statement berani mati. Aku agak terpaku. Amar memang serius terhadap aku. Namun, aku masih ragu.

Sena Senagin: Kata dah kenal sejak di universiti. Kenapa masih nak kenal hati budi? Belum cukup kenal ke?

Amar Affandy: Dulu jumpa senyum-senyum, tak berbual apa semua. Dulu saya ada band dan dia pernah jadi krew untuk satu karnival. Dari situ kami kenal.

Pembohong! Dia tak pandang aku pun dulu. Tak pernah berkenalan pun. Aku sambung menonton.

Sena Senagin: Baru-baru ni ada gosip tentang Amar dan Nisha. Sejauh mana kebenaran gosip itu? Ramai yang cakap Amar dan Nisha pasangan kekasih sebab nampak kemesraan kamu. Semasa merakam lagu duet pun, kamu berdua cukup mesra. Rapat macam pasangan kekasih. Sejauh mana pula kesahihan gosip ni?
Amar Affandy: Saya akui saya memang rapat dengan Nisha. Tetapi cuma dalam kerja. Tak lebih daripada tu. Hubungan kami setakat untuk lagu duet saja. Tak lebih. Yang penting, saya dah ada pilihan hati saya.
Pengakuan Amar. Aku tukar saluran. Malas nak dengar temu bual tu. Banyak betul soalan wartawan Sena Senagin tu. Pelik pula nama dia. Orang mana ya? 

Habislah aku kali ni. Tak pasal-pasal muka aku keluar surat khabar. Glamorlah aku lepas ini. Perlahan aku lepaskan keluhan yang amat berat.

Deringan iPhone mengejutkan aku. Aku tenung skrin. Nama Aryan Shah muncul. Aku mengeluh kecil lantas menjawab.

“Hai.”

“Hai Shah.”

“Dah balik KL?”

“Dah. Dah empat hari.”

“Kenapa tak bagi tahu? Saya ingat awak masih bercuti kat kampung. Sebab tu saya tak telefon.”

Patutlah Shah senyap saja selama aku di kampung. Dia tak mahu ganggu rupanya. “Saya ingat tak perlu bagi tahu.”

“Kenapa tak perlu? Saya tertanya-tanya jugak. Awak tak ada pun hantar SMS ke apa. Jadi saya anggap awak tak nak diganggu. Dah sihat?”

Aku angguk. Kemudian aku teringat yang Shah bukan di depan aku untuk dia mengesan anggukanku. “Dah. Dah sihat. Kaki pun dah okey.”

“Baguslah. Boleh kita jumpa?”

“Err...” 

Mama muncul di depanku. Membawa balang biskut.

“Hari ni tak boleh, Shah. Lain kali ya?”

“Hmm... okey. Saya dah agak jawapan awak. Okey. Never mind. Lain kali aje.”

“Sorry ya Shah.”

“It’s okay. Saya faham. Kat mana senang saya nak jumpa awak?”

“Err...” Aku jeling mama. 

Mama pandang semacam.

“Okey. Okey. Tak apa. Dhiya, take care. I have to go now. My beloved aunty dah jeling-jeling semacam. Jealouslah tu saya bercakap dengan awak.” Shah gelak ceria di hujung talian.

Aku ketawa. Dia maksudkan Puan Dina?

“Okey. Kirim salam dekat your beloved aunty tu. Cakap dia tak payah jealous-jealous. Dia lagi cantik daripada saya,” ujarku diiringi tawa.

“Kalau mak teh dengar ni, tak mandi dia balik nanti.”

Aku ketawa lagi.

“Okey. Dhiya. Nanti ada masa saya telefon lagi. Bye.”

“Bye.” Aku letak iPhone atas meja. Mata kembali menatap skrin TV.

“Siapa?” soal mama.

“Shah.”

“Shah... Amar... hmm...”

Aku pelik dengar mama bercakap sendirian. 

“Kenapa mama?” tanyaku. 

Mama kunyah biskut dengan giatnya. “Dhiya perasan tak? Dhiya kehilangan Khalif. Seorang aje. Tapi Allah bagi Dhiya dua orang pengganti. Perasan tak?”
Aku bingung dengan statement mama berikan.

“Dhiya tak faham ya?” 

Aku menggeleng. Tu perumpamaan ke?

“Maksud mama, Dhiya frust dengan Khalif. Tapi Allah bagi Dhiya, Amar dan Shah. Untuk Dhiya pilih sebagai pengganti.”

Masih bingung. Tapi aku cepat memproses kata-kata mama supaya aku dapat faham. “Maksud mama tu, Shah dan Amar pengganti Khalif?”

“Tepat! Bijak anak mama.” Mama senyum lebar.

Aku kembali memikirkan kenyataan itu. Betul. Aku kehilangan Khalif. Lalu Allah berikan aku dua orang lelaki dalam waktu yang sama. Amar dan Aryan Shah. Bibirku mengorak senyum. 

“Betul tu mama. Tapi...” Ada tapi. Senyuman hilang daripada wajahku.

“Dhiya confuse nak pilih siapa nanti,” getusku. Melahirkan rasa risau jika aku terpaksa buat pilihan nanti. Siapa harus aku pilih?

Mama turut terkena bahang keliruku. Kami mengeluh serentak.


AKU rasa aku glamor sekarang. Padahal orang bukan kenal aku pun. Lepas muka aku keluar surat khabar ruangan gosip bersama Amar, aku risau kalau-kalau ada yang dapat cam muka aku. Entah, perasaan aku jadi macam itu. 

Tiga hari ini, aku cuma makan dalam kedai. Tak keluar beli roti canai lagi. Aku akan pastikan aku bawa bekal dari rumah. Sama ada biskut atau roti. Semasa aku makan biskut cicah Milo di kaunter, aku terima SMS daripada Amar. Aku terus baca.
Boleh saya jumpa awak kejap? 

Berkerut keningku. Sopannya ayat dia. Aku membalas.
Kenapa nak jumpa saya?

Amar membalas. Cepat betul dia taip mesej.

Petang ni. Kat rumah.
Aku terkejut. Jumpa kat rumah? Haisy... kena tangkap khalwat, arwah aku nanti.

Tak boleh! Saya tak boleh pergi rumah awak

Tak sampai lima saat, SMS masuk. Pantas betul.

Rumah saya apa pula! Rumah awaklah... Saya ni belum tahap tu lagi tau. Kalau saya nak bawa awak balik rumah saya, baik kita kahwin.

Ewah, ewah. Boleh tahan ayat dia. Ingat aku nak kahwin dengan dia? Aku balas lagi. Kali ini ringkas saja.
Okey.
Aku sambung makan biskut. Habis lima keping, aku teguk Milo sampai licin. Kemudian hantar muk ke pantri dan terus basuh. 





No comments:

Post a Comment