Ikuti sambungan JODOHKU SUPERSTAR.....moga terhibur ye.....
Bab 27
AMAR terpaku di pintu ketika mahu keluar ambil udara. Aku hairan kenapa Amar terkejang di situ. Aku pergi dekat dengannya dan aku turut kejang melihat keadaan di luar. Sudah macam perhimpunan di sekolah pula. Achik dan adik tersengih-sengih ke arah kami. Aku pandang Amar.
“Awak dah janji dengan dia orang, kan?” bisik aku.
“Memanglah. Tak sangka pula satu rombongan dia bawa,” bisik Amar kembali.
“Habis, macam mana ni?” Aku senyum memandang adik-adik di depanku. “Ni semua datang ni nak jumpa Amar ke?”
Mereka bersorak, “Ya!” Tak kurang yang ambil gambar Amar berdiri di sebelah aku.
“Achik, bawa abang Amar pergi balai raya ya. Kau orang buatlah konsert kat situ.”
Achik angguk. Dia lambai kawan-kawannya seperti penyamun dalam Ali Baba Bujang Lapok. Aku rasa mereka semua dalam lingkungan umur enam tahun sampailah 16 tahun.
“Kat mana balai raya tu?”
“Depan ni aje. Pergilah ikut achik.”
“Awak ikutlah sama.”
“Ia.”
Amar teragak-agak keluar. Aku masuk dalam dan pakai lebih sopan. Bukan aku pakai tak sopan. Cuma aku pakai T-shirt besar dan seluar panjang. Jadi, aku kena pakai elok sikit untuk keluar. Selesai, aku cari kelibat Amar. Dia sudah menyertai kumpulan achik ke balai raya. Macam rombongan kenduri. Cepat-cepat aku sarungkan sandal dan mengejar mereka.
Baru beberapa langkah berjalan, aku terdengar ada suara memberi salam. Aku berpaling seraya menjawabnya. Aku terpaku. Tak berkelip mata melihat sebatang tubuh yang menyapa aku dalam keadaan aku tergesa-gesa.
“Saya ada hal. Nak cepat. Pergi dulu,” kataku tanpa mahu menatap atau berjumpa dia lagi. Cukuplah apa yang aku rasa lepas dikecewakan.
“Dhiya, nanti.”
Drastik langkah ini terhenti. Aku tak berpaling. Dia buat luka lama berdarah kembali.
“Abang minta maaf. Abang tahu Dhiya balik. Semalam abang nak jumpa Dhiya. Tapi ramai orang pergi rumah Dhiya. Abang tak tahu kenapa tapi... abang dengar ada artis kat rumah Dhiya. Betul ke?”
“Awak dah nak kahwin. Buat apa nak jumpa saya lagi?” Aku terpaksa membahasakannya awak. Bukan lagi abang.
“Abang tahu Dhiya marahkan abang. Abang betul-betul rasa bersalah dan abang nak minta maaf daripada Dhiya.”
Habis ayat Khalif, aku teruskan langkah. Malas nak dengar. Aku sudah muak dengan ucapan maaf. Sambil itu air mataku jatuh. Aku seka rakus dengan lengan. Laju berjalan ke arah balai raya.
Sampai di balai raya, aku nampak ada bangku di luar. Aku terus duduk dan menangis dulu untuk lepaskan perasaan sebelum masuk. Aku nak berseronok. Khalif pula muncul. Dari luar aku dapat dengar Amar dendangkan lagu Anak Kampung. Nyanyian Jimmy Palikat.
Dalam sedih, aku tak dapat fokus dengan nyanyian Amar. Kenapa Khalif muncul depan aku? Aku sudah lupakan dia. Kenapa dia muncul depan aku? Kenapa dia ada di kampung? Untuk buat persiapan majlis? Ah, untuk apa aku peduli semua tu? Biarlah dia bahagia dengan Umairah.
Aku tarik nafas dalam-dalam dan sapu sisa air mata. Rasa sedih sudah beransur hilang. Aku bangun dan masuk ke dalam balai raya. Yang lain turut menyanyi bersama dengan gembira.
Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan
Rumahku pun tiada ada pun bapa punya
Apa lagi belanja mahu bayar berlian
Kahwin sama kamu
Bukannyaku tidak suka sama kamu
Tapi aku takut hidup kau kan sengsara
Kerna aku cinta aku lepaskan kau
Sama orang lain
Amar berhenti petik gitar. Dia senyum memandangku. “Tapi saya takkan lepaskan awak untuk orang lain.”
Terus aku kaku. Janganlah budak-budak ini dengar. Censored. Aku jegilkan mata kepada Amar. Dia ketawa selamba. Langsung tak menyesal cakap macam itu kepada aku.
“Okey adik-adik, abang akan nyanyi satu lagi lagu. Untuk seseorang yang spesial. Dengar ya.”
Entah kenapa aku rasa berdebar. Aku rasa akulah orang yang istimewa itu. Amar petik tali gitar. Daripada rentaknya, aku dapat agak lagu yang dia ingin nyanyikan. Lagu kesukaanku daripada album terbarunya. Sempat dia menatapku dengan senyuman manisnya.
Amar menyanyi dan terus menyanyi sampai habis satu lagu. Kemudian dia nyanyi dan campur-campurkan dengan lagu daripada penyanyi lain. Tanpa kami sedar, penuh orang di sekeliling balai raya melihat Amar menyanyi. Aku amat terkejut. Mereka datang semata-mata mahu dengar Amar menyanyi. Semalam mereka datang untuk dapatkan autograf dan bergambar.
Aku memandang mereka dengan senyuman. Namun, serta-merta senyuman aku terpadam bila terpandang satu wajah. Segera aku alihkan pandanganku.
Habis nyanyian, semua tepuk tangan untuk Amar. Persembahan Amar sudah pun tamat. Aku rasa orang di sini masih belum puas. Mereka tak berganjak. Aku lihat Amar. Aku rasa dia kepenatan.
“Amar, dia orang tak nak balik,” bisikku.
Amar dongak ke wajahku memandangkan dia sedang duduk dan aku berdiri berhampiran di sebelahnya. “Saya kena nyanyi lagi ke?”
Aku angguk. Amar kena nyanyi sampai pitam.
TAK berehat Amar hari ini. Pagi tadi buat konsert percuma di balai raya. Tengah hari pergi pasar. Kecoh pasar bila dia pergi sana. Ada saja yang sibuk nak bergambar. Petang pula kena pergi kebun dengan ayah dan achik. Adik tiba-tiba nak mengekor pergi kebun.
Aku, mak dan mama menunggu di rumah. Tak sabar nak makan buah durian. Sambil itu, kami bertiga sediakan minum petang. Mama buat ubi goreng. Aku siapkan air. Sekarang, sambil menunggu mereka, kami isi perut dulu di beranda rumah.
“Boleh ke Amar masuk kebun? Dia tu orang bandar. Mana pernah dia buat benda-benda macam tu. Entah kenal ke tak pacat tu,” getusku seraya sua ubi goreng ke mulut. Panas-panas. Menggelupur aku nak mengunyahnya.
“Alah... biarlah. Biasa-biasakan,” kata mak.
Aku pandang mak. Apa maksud mak dengan biasa-biasakan? Ke mak terniat nak buat Amar sebagai menantu? Mak lupakan saja niat mak tu.
Tiba-tiba aku teringatkan Khalif. Tadi dia macam nak bercakap dengan aku. Tapi aku mengelak. Aku buat tak nampak dia. Aku tahu aku tak patut buat macam tu. Mentang-mentang dia kecewakan aku, aku layan dia acuh tak acuh. Aku memang tak patut. Sebelum ini elok saja aku bercakap dengan dia. Mana kesantunan aku selama ini? Sudah hilang sebab kecewa dengan dia? Kalau aku ternampak dia lagi, aku akan bercakap dengan elok.
“Dhiya?”
“Err... ya?” Aku tersentak bila namaku dipanggil.
Mama dan mak memandangku. Agak jauh aku mengelamun.
Mak menatap wajahku. Dia tahu anaknya sedang susah hati memikirkan sesuatu. Dia dapat baca apa yang bersarang dalam hati aku. Dia amat mengerti perasaan anaknya. Itulah sifat seorang ibu. Mak senyum.
Aku balas senyuman mak. Senyuman mak buat aku rasa kuat dan cekal. Ini baru ujian yang kecil, aku sudah rasa kecewa. Belum lagi ujian yang besar. Macam mana aku nak hadapi kalau aku tak kuat?
Kami bertiga dikejutkan dengan kedatangan sebuah kereta dan berhenti di laman rumah. Mereka berempat sudah balik. Achik dan adik keluar dari tempat duduk belakang.
Mana duriannya? Aku intai dari tempat dudukku.
Kemudian ayah dan Amar pula keluar. Achik pergi ke belakang kereta dan buka bonet. Sebaik saja bonet dibuka, bau durian menusuk ke dalam rongga hidung. Sampai terpejam mata aku menghidu bau durian.
Aku melompat turun ke bawah dan menerpa ke arah kereta. Aku suka buah durian yang kecil-kecil. Yang ada tiga atau empat ulas saja isinya. Itu yang sedap dan lemak manis. Achik dan Amar sedang mengeluarkan durian dari bonet kereta. Aku pula sibuk memilih durian bahagianku. Sesuatu telah berlaku.
“Aduh.” Tercalar lenganku. Macam kena cakar. Aku lihat garisan merah halus mula muncul.
“Kan dah kena. Tunggulah orang keluarkan semua dulu. Tak sabar-sabar,” bebel Amar.
Aku yang kena ni pun sebab dia juga. “Awak tak nampak tangan saya ni?”
“Saya bukan tengok tangan awak pun. Saya tengok durian.”
Aku mendengus geram.
“Yang kecik-kecik tu simpan untuk saya,” pesanku lalu beredar ke tangga rumah. Aku tilik lenganku yang tercalar. Sikit saja.
“Kenapa Dhiya?” tanya mak.
“Amar tu... ambil durian tak tengok kiri kanan. Kena tangan Dhiya.” Aku mengadu.
Mak belek lenganku.
“Hmm... sikit aje. Tak payah nak manja sangat,” perli mak.
Aku cemik. Walaupun sikit, tapi pedih. Disebabkan Amar cederakan aku, aku nak dia kopek durian untuk aku. Aku nak tengok pandai ke tidak dia kopek durian. Kalau dia makan di tepi jalan pun, orang yang tolong kopekkan. Bukan dia sendiri.
Semua durian sudah dikeluarkan dari bonet kereta. Ayah bawa beberapa biji untuk dinikmati bersama. Kemudian Amar dan achik bawa lagi buah durian dan longgokkan di depan aku. Semua buah yang kecil-kecil seperti yang aku pesan tadi. Ini melampau. Lapan biji semuanya. Kepanasan aku nanti.
“Amar, tolong kopek durian.”
Amar tercengang.
“Pandai tak?”
“Eh, mestilah pandai. Mana parang?” Amar mula menapak bersama kami dan mengambil sebiji durian yang sederhana besar. Mungkin ada 10 ulas di dalamnya.
Aku perhatikan saja Amar. Dia pusing-pusingkan durian. Macam serba tak kena. Dia pusing ke atas dan ke bawah. Kemudian bahagian tangkai dipegang.
“Pandai ke tak sebenarnya ni?” Aku soal Amar untuk kepastian. Jangan buat aku, mama dan mak tertunggu-tunggu.
“Pandailah. Saya tengah cari dia punya garis ni.” Amar membelek-belek durian nan sebiji itu.
Aku pecah tawa. Berlagak pandai. Padahal tak pandai.
“Boleh ke tu Amar? Kamu pandai ke tak ni? Risau mama,” celah mama.
“Hati-hati nak oi. Parang tu tajam.”
Semua risaukan Amar. Termasuk aku. Kelakar tengok Amar sekarang. Aku ketawakan dia.
Ayah datang. Aku berhenti ketawa.
“Hah, Amar, macam mana? Boleh ke tu? Kang terkena tangan. Biar pak cik buat. Kamu ke tepi.”
Aku gelak tanpa bunyi. Amar mengengsot ke tepi dan beri ruang kepada ayah. Ayah jugalah hero kami. Nak harapkan Amar, tak makan durianlah kami semua. Amar macam malu. Aku senyum kepada dia.
“Nanti saya ajar awak ya,” bisik aku.
Dia pandang penuh rasa waswas. Tak apa. Aku akan buktikan.
Kami berenam mula menikmati buah durian yang enak dan lemak manis itu. Lepas sebiji, sebiji Amar suruh ayah kopek. Dia yang paling kuat makan. Aku pilih ulas yang kecil-kecil saja.
Dari satu bonet kereta, tinggal separuh saja durian. Habis makan, semua menjilat jari. Yang selebihnya ayah cakap dia ingin bahagikan kepada jiran-jiran.
“Dhiya, nanti tolong hantar durian ke rumah Mak Mah.”
Aku tergamam. Nyaris tertelan biji durian. “Suruh achiklah. Ada pula Dhiya yang kena pergi.”
Tugas itu aku lepaskan kepada achik. Aku hantar durian ke rumah Khalif? Terjumpa dia nanti, robek lagi hati aku.
“Hah, achik, nanti bagi durian kat Mak Mah. Lepas tu rumah Haji Nan dengan Pak Leh.”
Achik angguk sambil mengulum biji durian. Masih ada beberapa ulas dari buah terakhir.
Ayah masuk dalam rumah. Pergi basuh tangan. Aku tolong mak dan mama kutip kulit durian untuk dibuang. Semasa nak bangun, aku tengok Amar gelisah.
“Amar, kenapa ni?”
“Mintak kulit durian.”
Aku tercengang. Namun, tetap bagi Amar satu kulit durian. Dia masuk ke dalam rumah. Panas agaknya. Itulah, banyak sangat makan durian. Kepala aku geleng-geleng mengenangkan Amar. Aku pergi buang kulit durian di tempat membakar sampah di tunggul pokok rambutan yang sudah ditebang. Dulu pokok itu besar. Dahan merendang. Buahnya juga lebat dan manis. Tetapi, ayah tebang sebab pokok itu betul-betul di tepi jalan.
Selepas buang kulit durian, aku bersihkan beranda daripada sisa-sisa isi durian dan daun-daun kering di atas lantai. Bila bersih, aku simpan penyapu dan masuk ke dalam rumah. Hari sudah petang. Kena tolong mak memasak pula.
“Amar mana?” soalku ketika menjengah ke dapur.
Ayah angkat bahu. Tak tahu.
Aku pelik. Dia meluru pergi dapur dan terus ghaib.
“Dhiya! Dhiya!”
Aku dengar suara Amar memanggil aku. Mana dia? Aku cari dari mana datangnya suara misteri yang bergema itu.
“Dhiya!”
Suara itu datang dari bilik air. Aku berhenti dan ketuk pintu bilik air. “Amar?”
“Tolong ambil towel,” suruhnya.
Aku tergamam. Dia berendam dalam kolah ke? Ke mandi terus sebab kepanasan? Tak menjadi ke petua minum air daripada kulit durian? Ah, pedulilah. Aku pergi ambilkan tuala untuk Amar di biliknya.
Sejak Amar tidur di bilik itu, aku tak pernah masuk. Aku terkejut bila melihat keadaan bilik itu kemas dan bersih. Semua barangnya tersimpan dan tersusun rapi. Aku mencari tuala. Kemudian aku nampak tuala yang digantung pada dinding menggunakan hanger.
Tanpa membuang masa, aku terus ambil tuala. Belum bau, aku menekup hidung. Takut berbau hapak. Rupa-rupanya tak berbau. Ada bau pelembut kain lagi. Bau macam Downy. Wangi. Aku turun ke dapur semula dan berikan tuala kepada Amar.
Aku ketuk pintu bilik air. “Nah. Towel.”
Curahan air berhenti. Aku tunggu Amar buka pintu dan ambil tualanya. Pintu terbuka sedikit dan aku cuma nampak sebatang tangan menjalar keluar mencari tuala. Apa lagi, aku letak tuala atas lengannya dan terus pergi. Berendamlah sampai esok pagi.
“Mak pergi mana?” soalku sebaik saja ternampak mak masuk ke dalam rumah.
“Tolong achik. Bagi durian kat Pak Leh.”
Mak masuk dalam rumah. Aku ikut dari belakang. “Mak, tak ada khabar berita lagi pasal kak long?”
Bila aku menyoal, mak berhenti. Pusing badan ke arahku. Muka mak nampak sugul. Aku tak bermaksud buat mak kembali risau.
“Ayah dah buat laporan polis. Kita tak boleh buat apa-apa. Dah banyak mak dengar cerita orang ikut pergi Lombok. Depa hidup susah kat sana. Itulah... senang percaya sangat. Mak tak tahu nak buat apa lagi, Dhiya. Tak putus berdoa. Biar akak kamu balik.”
Aku turut merasa sugul. Kak long, baliklah. Mak dan ayah risaukan kak long. Kami semua tak nak kak long hidup susah.
“AMAR, jom pergi surau dengan pak cik. Kenal-kenal dengan orang kampung.”
Aku tengok Amar baru keluar dari biliknya yang siap berbaju-T dan berkain pelekat sedang menyarung kopiah ke kepala. Macam ustaz pula.
“Pergi surau? Boleh.” Amar tak menolak.
Bagusnya dia. Apa yang ayah cakap, apa yang ayah suruh, dia tak pernah menolak. Setakat yang aku nampaklah. Ke dia tengah ambil hati ayah? Aku musykil dengan niat dia.
“Achik, cepat. Dah masuk maghrib ni. Kang tak sempat nak berjemaah,” jerit ayah apabila achik belum keluar.
Aku masuk ke dalam bilik. Giliran aku untuk solat maghrib. Tak berjemaah di masjid pun tak apa. Aku solat di rumah saja. Biar yang lelaki saja pergi.
Selepas solat, aku tolong mama dan mak masak di dapur. Tugasku cuma sediakan bahan-bahan. Aku kupas bawang, potong sayur, perap ayam dan tumbuk sambal. Sambil memasak, kami kaum Hawa memang suka bercakap. Ada saja topik nak dibualkan. Mak banyak bercerita dengan mama. Aku cuma gelak. Menyampuk sekali-sekala kalau ada kena-mengena.
“Kak Sari, Dhiya ni ada menyusahkan Kak Sari ke?”
“Tak adalah, Ros. Dhiya ni anak yang baik. Dia tak ada perangai pun. Kak Sari tak risau pasal dia. Dia pandai jaga diri.”
Aku senyum. Bukan main mama bela anak angkatnya ni. Kembang kempis lubang hidung aku ni.
“Betul ke?”
“Betul. Ros tak payah risau. Kak Sari selalu tengok-tengokkan dia walaupun sibuk. Kalau Amar datang jumpa dia pun, Amar datang kedai. Lagipun kedai Kak Sari tu ada CCTV. Kalau buat bukan-bukan, Kak Sari boleh tengok dekat CCTV. Bagi terus kat polis.”
“Mama! Sampai hati mama cakap macam tu.”
Mama ketawa. Mak turut ketawa. Lucu ke? Aku ramas-ramas ketulan ayam yang aku perap. Geram. Aku pula yang jadi bahan usikan kat dapur.
“Ros, Ros jangan risau. Kak Sari dah anggap Dhiya macam anak Kak Sari sendiri. Pasal jodoh pun, kalau boleh Kak Sari nak yang terbaik untuk Dhiya. Kak Sari tak nak dia kecewa macam dengan Khalif tu.”
Mama ungkit pasal Khalif. Aku berhenti menguli ayam.
“Khalif tak setuju dengan pinangan tu. Tapi, Mak Mah berkenan dengan Umairah. Dia anak yang baik. Sebab tu dia tak bantah,” terang mak.
Aku dengar dengan teliti. Dadaku sebak. Aku tahu Khalif anak yang baik. Sebab itu dia setuju untuk berkahwin dengan Umairah. Tapi hakikat itu takkan dapat hapuskan kekecewaan aku.
“Ayam dah siap?”
Aku berpaling. “Dah.”
“Bolehlah goring,” kata mama.
Aku angguk dan bawa ke dapur. Sebelum itu aku bilas tangan. Aku ambil kuali dan letak ke atas dapur. Tuang minyak dengan kuantiti yang sesuai dan panaskan.
MASA aku termenung di dalam bilik, ayah, Amar dan achik balik dari surau. Riuh-rendah suara mereka. Akrab bagai satu keluarga. Aku gembira mereka menerima Amar.
“Amar, mari makan dulu.”
“Baik, pak cik. Kejap. Saya masuk bilik dulu.”
Aku agak Amar sudah masuk bilik. Lalu aku keluar ke dapur. Pura-pura rajin. Nanti Amar cop aku pemalas.
Memandangkan mereka sudah balik, aku siapkan air. Itu memang tugas aku. Aku mahir membancuh air. Setelah semua dihidang di atas meja, aku panggil mereka untuk makan bersama.
Mama isi nasi ke pinggan. Mak mencedok sayur ke dalam mangkuk. Aku? Aku berdiri di tepi meja makan dan menunggu kaum Adam datang berlabuh. Sementara itu, aku buat-buat rajin dengan tuang air ke dalam gelas.
Amar datang. Kemudian achik dan adik. Semua mengambil tempat duduk. Diikuti mama dan mak. Aku letak air untuk setiap orang di atas meja. Sudah macam pelayan pula. Meja makan enam kerusi itu mula penuh. Tinggal satu tempat duduk kosong. Itu pun sebelah Amar.
“Chik, duduk sana,” kataku kepada achik. Aku minta dia pindah tempat duduk dan duduk di sebelah Amar.
Achik menurut saja. Dia beralih ke sebelah Amar. Aku ambil tempat duduknya tadi.
“Sekarang, adik kena baca doa makan.” Selaku ketua keluarga, ayah beri arahan.
Adik yang pemalu mula tadah tangan. Kami semua ikut. Adik baca doa makan dengan perlahan. Antara dengar dan tak dengar. Dia ni memang pemalu sangatlah. Habis doa, kami aminkan bersama dan mula makan.
Dari kecil, ayah mengajar kami untuk mengambil lauk paling dekat iaitu di depan. Selepas itu baru boleh ambil lauk lain. Itu sunnah. Kebetulan depan aku ada sambal. Terpaksalah aku cedok sesudu kecil sambal dan letak ke atas pinggan. Mata melilau perhatikan lauk di atas meja. Aku suka ayam, terutama kepak. Aku ambil bahagian kepak. Kebetulan ada tangan lain nak ambil kepak yang sama. Aku berpaling.
“Awak ambillah.” Aku mengalah.
Amar ambil kepak ayam. Aku perhatikan saja kepak yang terbang ke dalam pinggan Amar. Eh, patah balik. Alamak, masuk pinggan aku. Aku rasa macam semua mata tengok ke arah kami.
“Rezeki awak,” kata Amar tersenyum.
Baiknya hati dia. Aku tak perap satu lagi kepak ayam. Tak adalah aku dan Amar berebut.
Selepas adegan itu, kami terus makan tanpa bercakap. Mana yang nak tambah, tambah tanpa segan-silu. Aku makan sedikit saja. Bukan jaga badan tetapi kenyang sebab makan banyak durian tadi.
Di sini, di meja makan ini, kami semua seperti sebuah keluarga. Mama, mak, ayah, aku, Amar, achik dan adik. Kami sebuah keluarga yang sempurna.
-------------------------------
Bab 28
AKU termenung di beranda. Cepatnya masa berlalu. Rupanya sudah empat hari aku bercuti di kampung. Tak pernah aku rasa seseronok ini. Esok, mama dan Amar nak balik. Jadi, aku buat keputusan untuk balik bersama saja.
“Esok dah nak balik. Belum puas rasanya bercuti kat kampung awak.”
Sedar-sedar, Amar telah duduk di sebelah. Tetapi, jauh jarak kami.
“Seronok?”
“Seronok sangat. Saya rasa keluarga awak dah macam keluarga saya. Boleh tak kalau mulai hari ni, saya nak anggap yang... I’m part of your family?”
Aku pandang ke wajah Amar. “Awak pasti? Tak takut kena rembat dengan ayah saya?”
Amar angguk tanpa ragu pun. “Saya gembira kat sini. Baru empat hari kat sini, saya dah rasa macam bertahun-tahun tinggal kat kampung ni. Dekat dengan hati saya.”
Aku tersenyum mendengar kata-kata Amar. Aku dapat rasakan yang dia ikhlas dengan luahan hatinya itu. Memang nampak dia gembira selama tinggal di sini. “Dah tak ingat pasal kerja? Peminat-peminat awak kat sana?”
Amar menggeleng. “Otak saya kosong kat sini. Dunia saya cuma kat sini. Saya tak ingat langsung pasal kerja. Saya rasa bebas, tenang.”
Kami saling berbalas senyum. Namun, senyuman kami terhapus apabila ada suara menyapa dengan salam. Aku berpaling ke arah suara itu. Khalif?
“Waalaikumussalam,” balas Amar.
Khalif senyum kepada kami. Aku balas teragak-agak dengan perisa kelat.
“Amar Affandy?” Khalif tunjuk ke arah Amar.
“Ya, saya.”
Khalif hulur tangan. Amar sambut dan bersalaman.
“Maaflah mengganggu. Boleh saya berjumpa dengan Dhiya kejap?” pinta Khalif penuh sopan.
Amar memandangku. Ada riak yang sukar aku tafsirkan pada wajah Amar. Berat dia angguk. Lantas Amar angkat punggung dan masuk ke dalam rumah. Aku memandang ke tempat Amar duduk. Seolah-olah bayangnya masih ada di situ, namun jasadnya sudah pergi. Aku masih tak bergerak dari situ. Khalif duduk di hujung tangga.
“Bila balik KL?”
“Esok.”
“Dhiya marahkan abang?”
Aku diam.
“Abang masih sayangkan Dhiya.”
Ucapan itu buat aku tersentuh. Namun, aku takkan terpengaruh dengan ucapan sayang itu. Sekarang, aku cuma mahu beri Khalif ruang untuk bercakap. Katakan apa saja yang dia ingin cakap. Aku akan dengar.
“Hujung bulan ni kenduri kat rumah abang. 30 hari bulan. Dhiya datang ya.”
Datang ke kenduri dia? Mungkin tak. Haisy... Sakitnya hati dengan jemputan itu.
“Tengoklah. Kalau dapat cuti,” jawabku dingin. Langsung tak pandang wajah dia.
Dulu aku suka tatap seraut wajah polos itu. Tetapi, sekarang tak boleh lagi. Selepas aku sandarkan setinggi-tinggi harapan kemudian harapan itu musnah.
“Macam mana Dhiya kenal Amar?”
“Dulu dia senior saya.”
Aku nampak kelibat kepala Khalif terangguk-angguk.
“Dhiya nampak rapat dengan dia. Kalau boleh, jangan terlalu rapat. Kalau Dhiya nak cari pengganti abang sekalipun, carilah orang yang lebih baik daripada abang. Yang boleh bimbing Dhiya ke jalan Allah dan sama-sama menuju ke syurga.”
Pantas aku merenung Khalif. Dulu dia janjikan itu bersama aku. Aku tak sangka Khalif akan merendah-rendahkan Amar. Sekalipun Amar penyanyi, kalau dia mahu berubah, dia boleh berubah. Tak semestinya aku kena cari yang alim, ustaz, imam-imam muda.
“Abang nak cakap tu aje ke?” Haisy, terpanggil abang pula. Sebenarnya aku tak betah nak melayan dia.
“Banyak yang abang nak cakap. Banyak yang abang nak pesan pada Dhiya. Tak sopan bawa lelaki balik rumah. Ni akan mengundang fitnah. Abang tahu Dhiya bukan gadis macam tu, tapi ia tetap tak elok.”
Aku terkejut. Aku bukan balik berdua dengan Amar. Apa yang mengundang fitnah?
“Pada abang, Amar tak sesuai untuk Dhiya.”
Walaupun aku belum tentu akan pilih Amar, tetapi aku tak suka Khalif cakap begitu. Kalau Amar dengar, tentu dia berasa kecil hati.
“Mungkin bagi abang lelaki macam Amar tak sesuai untuk saya. Sebenarnya saya tak sesuai untuk lelaki macam abang. Apatah lagi lelaki yang lebih baik daripada abang. Saya tak layak. Kalau saya pilih Amar, sekurang-kurangnya dia boleh berubah ke arah lebih baik.”
“Dhiya yakin dia boleh bimbing Dhiya?”
“Kalau dia nak, dia boleh belajar. Dhiya tak kisah. Ayah boleh ajarkan.” Aku makin geram. Sibuk nak pertikaikan Amar.
“Nak ke dia belajar?”
“Apa abang cakap ni? Abang jangan pandang rendah pada Amar. Dia bukan macam yang abang fikir. Dia baik. Mungkin iman dia tak setebal abang. Tapi saya tahu dia baik.” Aku jadi sebak. Terketar-ketar suara bahaskan Khalif.
Khalif mendengus perlahan. “Dhiya, abang bukan nak pandang rendah pada dia. Abang sayangkan Dhiya. Jadi, abang nak yang terbaik untuk Dhiya. Lagipun abang tak dapat tunaikan janji abang untuk jaga Dhiya. Kalau boleh abang nak lelaki tu boleh jaga Dhiya lebih baik dan tak sia-siakan Dhiya.”
Sedihku berganda.
“Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Masa saya kecewa dengan abang, Amar yang ambil berat pasal saya. Kalau dia ada niat tak baik dengan saya, dia takkan datang sini jumpa mak, jumpa ayah. Dia takkan datang sini,” terangku. Tanpa sedar air mataku berderaian.
Khalif memandangku. Dia nampak kaget. Tak pernah lihat aku menangis secara langsung di depannya.
“Kalau dia jodoh saya, saya terima. Sekarang, abang jangan pedulikan hal saya lagi. Abang fokuslah dengan majlis abang. Semoga abang bahagia dengan Kak Umairah. Saya masuk dulu.”
“Dhiya!” Khalif panggil lagi.
Aku berhenti dan berpaling ke arahnya.
“Abang cuma nak pesan. Jaga diri baik-baik. Lain kali hati-hati. Jangan sampai jatuh lagi,” pesannya.
Aku tak faham maksud Khalif. Kenapa aku kena hati-hati? Sebab aku pernah terjatuh sebelum ni ke? Aku pandang Khalif tanpa sebarang reaksi. Kosong. Kami berpandangan.
Tanpa membuang masa, aku bangun dan tinggalkan Khalif di beranda. Aku masuk bilik. Amar yang ketika itu baru keluar bilik tak aku endahkan. Aku tutup pintu bilik dan menangis, lepaskan perasaan. Sakit hati aku dengan kata-kata Khalif.
“Saya mungkin tak warak. Saya jahil. Tapi, saya boleh jaga Dhiya. Terima kasih sebab sedarkan saya yang seorang lelaki mesti ada ilmu agama yang tinggi untuk jadi seorang suami. Jangan risau. Bila Dhiya jadi isteri saya, saya akan didik dia jadi isteri yang solehah dan kami akan sama-sama berubah ke arah tu.”
Aku tergamam mendengar suara Amar. Dia bercakap dengan Khalif ke?
“Dhiya layak dapat lelaki yang lebih baik,” kata Khalif.
“Saya akan jadi lelaki yang lebih baik untuk dia,” kata Amar pula. Tegas nadanya.
Aku rasa terharu sangat. Makin lebat air mataku.
“Kalau awak cintakan Dhiya, jaga dia baik-baik. Jangan permainkan perasaan dia. Jangan buat dia kecewa lagi. Jangan lukakan hati dia. Dia nampak tegas. Tapi, jiwanya lemah.”
“Saya takkan kecewakan dia. Saya akan jaga dia lebih baik daripada sekarang.”
“Kalau macam tu, baguslah. Wanita ni amanah daripada Allah. Sayangi wanita kerana Allah. Bukan kerana nafsu. Jaga Dhiya baik-baik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Betapa terharunya perasaan aku dengan kata-kata Amar. Dia buat aku tersentuh. Terima kasih Amar sebab awak pertahankan saya. Aku teresak-esak seraya menyembam muka ke bantal.
“ABANG cuma nak pesan. Jaga diri baik-baik. Lain kali hati-hati. Jangan sampai jatuh lagi.”
Entah kenapa kata-kata Khalif berulang-ulang dalam kepalaku. Pesanan keramat yang buat aku tertanya-tanya. Jangan sampai jatuh lagi? Aku tak faham maksud ayat itu, namun aku cuba memahami apa yang tersirat.
Aku termangu sepanjang perjalanan balik ke KL. Mama berbual rancak dengan Amar. Aku tak berminat nak turut berbual sama. Dalam otakku hanya fikirkan kata-kata Khalif semalam.
Puas aku berfikir maksudnya. Sehinggalah tiba-tiba aku teringat hari kejadian di mana aku terjatuh dari skuter. Masa aku jatuh dan lemah, ada orang yang selamatkan aku. Namun, pandanganku kelam saat itu. Tak dapat melihat siapa yang menjerit namaku. Dan aku yakin yang dialah yang bawa aku ke hospital.
Adakah Khalif yang selamatkan aku waktu itu?
Mataku terbuntang tiba-tiba. Ya. Aku dah tahu sekarang. Memang Khalif yang tolong aku masa itu. Dia yang bawa aku ke hospital. Patutlah aku tak dapat cam suaranya.
“Mama...” Aku memanggil mama. Mama toleh ke belakang.
Aku rasa kelopak mataku mula bergenang.
“Kenapa ni Dhiya?” soal mama dengan panik.
Amar berhentikan kereta di bahu jalan. Kedua-duanya berpaling ke arahku serentak.
“Dhiya, awak okey tak ni?” soal Amar.
Aku sudah teresak.
“Dhiya, kenapa menangis tiba-tiba ni? Ke tak puas lagi cuti kat kampung?” kata mama pula.
“Dhiya dah tahu siapa yang tolong Dhiya hari tu.”
Mama terkejut. Begitu jua Amar.
“Siapa?”
Bibirku bergerak-gerak sebelum beritahu mereka. Amar dan mama menanti dengan sabar.
“Khalif.”
Spontan mama dan Amar berpandangan.
“Mana Dhiya tahu?” tanya mama laju.
“Mama, dia yang tolong Dhiya hari tu. Rupanya dia. Dia... mama,” ujarku teresak-esak.
Aku terus menangis dan aku tak tahu kenapa aku menangis. Rasa terlalu sedih. Selama ini aku rasa misteri tentang siapa yang tolong aku masa hari kejadian. Rupa-rupanya orang itu ialah Khalif. Sebab itu dia pesan supaya aku lebih berhati-hati.
KAMI sampai di rumah lebih kurang jam 5.00 petang. Itu pun banyak berhenti. Amar berhentikan kereta di garaj. Aku keluar dari kereta dan ambil beg dari bonet kereta.
Sepanjang perjalanan aku monyok saja. Sunyi sepi perjalanan kami. Semuanya kerana aku yang menangis beria-ia. Tumpang sedih katanya.
Aku keluarkan beg. Amar datang membantu. Dia perasan yang aku nampak lemah.
“Biar saya ambilkan. Awak masuklah dulu.”
Aku tenung Amar. Kemudian aku cari mama. Mama pergi buka pintu. “Amar, maaf menyusahkan awak.”
Amar senyum tipis. Ambil beg dan keluarkan. Satu per satu dia ambil dan aku cuma perhatikan.
“Amar.” Aku panggil bila Amar mahu melangkah.
“Saya memang dah lupakan dia,” kataku. Ayat yang mungkin Amar tak jangka keluar dari mulutku.
“Walau dia yang tolong awak hari tu...? I don’t mind. You should thank him.”
Wajahku menunduk.
“Saya mungkin tak sebaik dia. Saya tak mampu jadi sehebat dia.”
Biji mataku berkaca kembali. Aku dongak memandangnya. Amar nampak resah bila aku tunjukkan emosiku.
“But I promise him that I can be the best for you. I will take care of you.”
“Is it for sure?”
“I hate lying.” Dia palingkan wajah.
Aku telan liur biarpun tekak rasa perit menahan sebak yang mencengkam.
“Awak masih ada masa untuk buat pilihan. Saya tahu ada orang lain dah hadir dalam hidup awak. Awak berhak pilih sesiapa pun.” Amar jinjit beg-beg aku dan mama kemudian bawa masuk ke dalam rumah.
Aku memandang Amar yang sedang berlalu. Aku tutup bonet kereta mama dan masuk ke dalam juga. Bila aku masuk, Amar beritahu yang dia nak balik.
“Mama, Dhiya, saya balik dulu. Jumpa lagi,” kata Amar lalu ingin keluar.
“Amar, tunggu.” Aku menghalang. Dia pandang aku. Aku kena dongak. Tanpa tumit tinggi, aku lebih rendah daripada dia. Mata Amar cantik. Redup dan bersinar.
“Rehatlah dulu.”
Dia berfikir. Perlahan angguk.
Bukan apa, aku kesiankan Amar. Dia penat memandu dan perlukan rehat secukupnya. Esok, rutin hariannya bermula seperti biasa. Dia perlukan tenaga dan aku tak nak dia pengsan lagi. Eh, kenapa aku ambil berat pasal dia ni?
No comments:
Post a Comment