Bab 3
HESSA baru saja sampai di stesen LRT. Dia malas memandu hari ini. Semasa membeli tiket, Hessa terdengar ada suara menjerit. Pantas dia berpaling. Dia lihat seorang lelaki sedang mengerang di atas lantai dan seorang lagi berlari sambil membawa beg laptop.
Dasar penyamun! sumpah Hessa dalam hati. Tanpa membuang masa, dia mengejar peragut itu dengan pecutan yang sekuat hati. Dia tidak akan biarkan peragut itu terlepas. Dia ialah olahragawati semasa di sekolah menengah dan pernah meraih johan dalam acara sukan peringkat sekolah dan daerah. Setakat aksi kejar-mengejar peragut kacang saja baginya. Tengok kakilah.
Apabila semakin hampir, Hessa mengayun flying kick dan terkena tepat ke kepala peragut itu. Peragut itu tersungkur ke lantai. Ramai yang menyaksikan adegan itu. Hessa menghentak kaki kanannya ke atas belakang peragut itu dengan kuat.
“Kau ni tak ada kerja lain ke? Menyusahkan orang aje. Banyak kerja kat Malaysia ni. Yang kau nak jadi peragut ni apasal? Mak ayah kau tak ajar ke, hah?” Hessa terus memarahi peragut itu.
Lalu dia mencengkam kolar baju dan memaksa peragut itu untuk bangun. Ada sedikit darah mengalir di hidung peragut itu. Buat apa nak kesian, itulah balasannya kalau jadi peragut.
“Bagi balik laptop tu!” kata Hessa dengan garangnya.
Peragut yang berusia dalam awal 20-an itu segera menyerahkan semula beg berisi laptop itu. Mungkin gerun melihat seorang perempuan menumpaskannya dengan sekali tendangan.
“Sekarang, kita selesai kat balai,” kata Hessa tanpa melepaskan cengkamannya. Kemudian datang dua orang pengawal keselamatan.
“Kenapa ni? Apa dah jadi?” soal salah seorang daripada pengawal keselamatan itu.
“Ni, meragut orang ni,” marah Hessa lalu menolak tubuh peragut itu ke arah pengawal-pengawal keselamatan itu.
“Meragut? Kat sini pun awak berani nak meragut jugak? Dah, bawa dia ke balai,” arah pengawal keselamatan yang berusia lewat 50-an itu.
Peragut itu hanya diam saja tanpa melawan. Mungkin kerana sakit akibat terkena penangan tadi.
“Menyusahkan orang betullah,” gumam Hessa lalu memusingkan badannya.
Tiba-tiba dia terkejut apabila ada seorang lelaki di belakangnya. Bukankah itu lelaki yang diragut tadi?
“Encik tak apa-apa?” soal Hessa serta-merta.
“Saya okey. Terima kasih sebab tolong saya. Walaupun laptop ni tak mahal harganya, tapi dokumen kat dalam laptop ni mahal harganya,” kata lelaki itu.
Hessa sekadar senyum. Dia bukannya nak tahu pasal harga ke apa. Cuma, dia tidak suka tengok jenayah di depan matanya saja.
“Nah.” Hessa menyerahkan beg laptop kepunyaan lelaki itu. Dia memandang wajah lelaki itu. Berpakaian kemas seperti mahu ke pejabat.
“Terima kasih banyak-banyak, cik err...”
“Hessa.”
“Saya Iman Akmal. Sebagai nak membalas jasa Cik Hessa, apa kata saya belanja awak makan tengah hari ni?”
“Eh, tak apalah. Saya tolong bukan nak suruh orang belanja ke apa. Saya nak cepat ni.” Hessa menolak. Cepat saja dia beredar. Ada kerja yang lebih penting sedang menanti.
Iman Akmal cuba memanggil, namun suara tersekat di kerongkong.
“ENCIK IMAN, kenapa ni?” soal Ainan cemas sebaik saja Iman Akmal kembali ke pejabat. Lelaki itu berjalan terencot-encot.
Iman Akmal meletakkan laptopnya di atas meja Ainan. “Saya nyaris kena ragut tadi.”
Mata Ainan terbuntang. Terus dia perhatikan ketuanya itu dari atas hingga ke bawah. “Encik Iman tak apa-apa ke?”
“Saya okey. Nasib baik ada orang tolong tadi. Kalau tak...”
“Itulah Encik Iman, kalau naik kereta sendiri kan selamat. Nak kata tak mampu, mampu aje. Tapi, Encik Iman nak jugak guna public transport. Bukan tak bagus, tapi keselamatan tu kena fikir jugak.”
Kata-kata Ainan buat air muka Iman Akmal berubah. Dia tunduk seketika dan ambil semula laptopnya. “Okeylah, Ainan. Saya masuk bilik dulu. Tolong buatkan air ya.”
Ainan terkulat-kulat melihat Iman Akmal beredar. Dengan tiba-tiba saja air muka lelaki itu berubah. Dia tersalah cakap ke? Adakah kata-katanya tadi menyinggung perasaan Iman Akmal? Apa yang dia cakap itu rasanya bukanlah salah. Sebelum Ainan memikirkannya lebih serius, dia segera ke pantri untuk sediakan minuman buat ketuanya.
Iman Akmal berlabuh di tempat duduknya. Laptop yang dibawa bersama diletak di atas meja sambil mengeluh. Dia rasa tergores hati apabila teringatkan kata-kata Ainan. Dia tak menyalahkan Ainan kerana gadis itu tak tahu alasannya. Kejadian tadi adalah yang pertama berlaku dalam hidupnya. Dan, gadis bernama Hessa yang menolongnya tadi sangat berani. Dia berharap agar dia akan dipertemukan semula dengan gadis itu.
KEDENGARAN suara Puan Azzah, Encik Shahadan serta jiran lama mereka iaitu Puan Hajar dan Encik Zikri bergelak ketawa sambil berbual di restoran salah sebuah hotel ternama. Sudah lama mereka tidak bertemu dan takdir telah mempertemukan mereka semula. Mereka pula asyik bercerita tentang anak masing-masing.
Puan Azzah ingin sangat tahu tentang perkembangan Hessa. Lagipun gadis itu sudah dewasa sekarang. “Apa yang Hessa buat sekarang?”
Puan Hajar senyum. Malu pula nak beritahu apa yang anak gadisnya itu buat sekarang. Anaknya itu bukannya bekerja, tetapi takkanlah dia nak berbohong pula. “Hessa tak buat apa-apa sekarang. Katanya belum bersedia nak masuk pejabat lagi.”
“Samalah dengan Zaf dulu. Suruh kerja dengan papa dia bukan main susah. Sekarang dah okey. Anak-anak ni kita kena paksa. Kalau tak, mereka takkan dengar cakap kita. Betul tak?” ujar Puan Azzah dengan senyuman tak padam dari wajah.
“Betul tu, Zah,” sokong Puan Hajar.
Mungkin dia perlu bertegas lagi dengan Hessa. Kalau tidak, makin menjadi-jadilah anak gadisnya yang seorang itu. Mujurlah abang-abangnya jenis mendengar kata.
“Ingat lagi tak masa dia orang kecil-kecil dulu?” ujar Puan Azzah.
Hanya mereka berdua yang banyak bercakap. Si suami pula menyampuk sekali-sekala saja. Biasalah perempuan kalau dah bercakap, tak beri peluang untuk orang lain mencelah.
“Ingat. Mana boleh tak ingat. Kan kita selalu menyakat nak jodohkan mereka bila mereka dah besar.” Puan Hajar masih ingat.
Ketika itu Zafrel berusia 10 tahun dan Hessa berusia sembilan tahun. Mereka berdua selalu bergaduh. Jadi mereka mengusik untuk jodohkan mereka setelah mereka dewasa. Apabila diusik begitu, Hessa dan Zafrel berhenti bergaduh dan saling menjelirkan lidah.
“Kalau macam tu, eloklah kita jodohkan mereka sekarang. Lagipun mereka dah besar sekarang. Dulu kita selalu usik-usik mereka. Sekarang kita kahwinkan betul-betul.”
“Mereka setuju ke? Budak-budak sekarang selalunya dah ada calon sendiri,” celah Encik Zikri.
“Hessa tu belum ada boyfriend lagi. Saya tahulah anak saya,” ujar Puan Hajar.
“Samalah dengan Zaf. Memanglah dia ada berkawan, tapi yang spesial tu rasanya belum ada. Buat apa kita tunggu lagi? Tuhan pertemukan kita semula sebab nak satukan anak-anak kita. Tak gitu?” ujar Puan Azzah. Membuat andaian sendiri.
Dia memang gembira kalau Hessa dan Zafrel disatukan. Berbesan dengan kawan baik sendiri lagi bagus.
“Apa-apa pun, kita kena tanya empunya diri dulu,” kata Encik Shahadan.
Puan Azzah dan Puan Hajar saling tersenyum. Lantas Puan Azzah teringatkan sesuatu. “Sebelum berpindah dulu, saya ada terjumpa lukisan Zaf dan saya simpan sampai sekarang.”
Semua mata di meja itu tertumpu kepada Puan Azzah. Masing-masing tayang muka penuh rasa ingin tahu.
“Lukisan apa?” soal Encik Shahadan disertai kerutan di dahinya.
Puan Azzah memandang setiap wajah-wajah di depannya. Kemudian dia tersenyum. “Lukisan dia dan Hessa kahwin.”
Sebaik saja habis kata-kata Puan Azzah, Encik Shahadan tergeleng-geleng kepala sambil ketawa. Encik Zikri dan Puan Hajar turut ketawa, namun sekejap lagi. Hanya lepaskan rasa geli hati.
“Amboi, kecil-kecil dah pandai kahwin-kahwin ni!” kata Encik Zikri sambil tersenyum menampakkan barisan giginya.
“Maknanya, dulu Zaf sukakan Hessalah ya?” Puan Hajar membuat andaian.
“Mungkinlah. Tapi, jangan pecahkan rahsia pula. Kalau Zaf tahu ni, malu dia nanti. Mungkin dia pun dah tak ingat pasal lukisan ni. Maklumlah, dah lama sangat.”
Puan Hajar angguk.
“Jangan risau. Yang lepas tu, biarkanlah. Yang akan datang ni, macam mana?”
“Kami memang dah lama fikir benda ni,” kata Puan Azzah mewakili pihak Encik Shahadan.
DAHI Hessa berkerut apabila dia tiba di rumah serentak dengan ibu dan abahnya. Penampilan ibunya sangat cantik. Seperti menghadiri sesuatu majlis saja.
“Awal balik hari ni?” Sapaan Puan Hajar buat Hessa berpaling sebaik saja keluar dari perut teksi.
“Dah habis kerja,” jawabnya ringkas.
“Kenapa tak bawa kereta hari ni?” soal Encik Zikri pula. Hairan juga apabila anaknya pulang dengan teksi.
“Malas nak drive tadi. Abah bawa ibu pergi mana ni? Bukan main cantik ibu hari ni.” Hessa mengusik dengan senyuman meleret ke arah ibunya.
Puan Hajar dan Encik Zikri saling berpandangan. Mereka senyum. “Jumpa kawan lama.”
Hessa cuma angguk tanpa bertanya lanjut kepada Puan Hajar. Takkanlah dia nak tanya lebih terperinci pula tentang siapa kawan lama yang dimaksudkan. Sekarang, dia ingin masuk ke dalam dan mandi. Langkah terus disusun ke arah tangga biarpun sedar dirinya diperhatikan.
No comments:
Post a Comment