Tuesday, 29 September 2015

TEASER JODOHKU SUPERSTAR

ZR ada terima feedback dari pembaca yang dah baca novel ni. Cerita yang santai. Ada yang suka kat Amar, yang geramkan si Amar pun ada. Hmm, ada yang tak suka Khalif. Ada yang kesiankan Dhiya. Pendapat masing-masing. Alhamdulillah... So far, respons yang ZR dapat masih positif. Apapun, ZR terima saja komen dan kritikan asalkan yang membina untuk hasilkan karya yang lebih bermutu. ZR nak belanja pengunjung blog ni teasers dalam novel JODOHKU SUPERSTAR. Teaser ni ZR petik randomly. Nak tahu kisah lanjut, boleh beli novel terus ya. Harga mampu milik. 



TEASER 1

Skrin TV tiba-tiba menjadi gelap. Aku pandang Amar. Alat kawalan jauh TV ada di tangannya.
“Kenapa matikan?” soalku tak puas hati.

“Ikut saya pergi bazar.”

“Orang cakap tak laratlah. Pergilah sendiri,” marahku. Terus cuba merampas alat kawalan jauh itu dari tangannya.

“Jomlah. Esok kan awak dah nak balik KL.”

Aku merenung tajam ke wajah Amar. Tak faham bahasa betul. 

“Jangan layan sangat letih tu. Kalau awak letih, orang lain pun letih. Bukan awak aje yang puasa. Puasa bukan alasan untuk kita hadkan aktiviti harian kita. Faham?”

Telingaku terasa panas mendengar ceramah pendek daripada Ustaz Amar. Melihat adik dah menunggu di depan pintu, aku bangun dengan malas. Keluar macam ni saja pun cukuplah. Setakat nak pergi bazar Ramadan. Takkan nak melawa.

“Ha... ikut cakap pun. Ingat, saya ni bakal suami awak. Belajar-belajarlah patuh ya. Jangan suka nak melawan bulan-bulan puasa ni.”

Jelingan teraktif kepada Amar. 

“Ya. Sebab bulan puasalah saya sabar dengan awak, Amar. Kalau tak...” Gigi aku ketap.

“Ha... tu... nak melawan. Kurang pahala tu nanti.”

Argh... stresnya. Rasa nak menjerit depan muka dia.


--------------------------------
TEASER 2

“Tudung fesyen terbaru ke?” usik Amar. Dapat aku dengar suaranya seperti sedang menahan gelak.

Aduh, malunya. Aku langsung tak berpaling.

“Awak buat apa kat meja makan tu? Oh... Awak curi-curi makan gulai ayam yang saya masak kan? Saya dah cakap. Awak mesti tergoda, kan?”

Ah... pandai-pandai dia saja cakap aku tergoda. Aku cuma nak rasa saja. 

“Awak cakap baik-baik sikit.” Aku beri amaran.

“Saya cakap baik-baiklah ni. Awak mengaku ajelah yang awak memang dari tadi terliur nak makan gulai ayam, kan? Ego tak bertempatlah awak ni.”

Aku mendengus geram. 

“Awak ni kenapa tak tidur lagi? Boleh tak awak masuk bilik awak? Saya nak masuk bilik saya pula ni,” marahku. Pura-pura. 

“Saya nak pergi tandas. Pergilah masuk bilik awak. Bukan saya halang awak pun.”

Sekali lagi aku mendengus. Tanpa hiraukan Amar, aku cepat-cepat melangkah keluar dari dapur dan ingin masuk ke bilik. Tiba-tiba aku terdengar suara Amar lagi.

“Kalau ya pun, tudung saji tu jangan sampai bawa masuk bilik. Lauk-lauk ni tak bertutup.” 

Belum sempat kakiku mencecah lantai bilik, aku mengetap geram. Sakitnya hati ni. Dia dah pandai menyindir aku sekarang. Tak apa, tunggulah sahur nanti.


-----------------------------
TEASER 3

“Cincin ni ada yang saiz 16 tak?”

“Ada. Cuma, yang tinggal permata warna biru.”

Amar angguk. “Saya nak tengok.”

Wanita itu mengambil kotak berisi dua bentuk cincin dari meja kaca di depannya. Amar terus ambil dan cuba sebentuk di jarinya. Ada senyuman tergaris pada wajahnya. Nampaknya Amar berkenan dengan cincin permata biru itu. Kemudian dia menoleh ke arahku.

“Cuba yang ni.” Amar hulurkan cincin perempuan kepadaku. 

Aku ambil dengan hujung jari dan teragak-agak untuk mencubanya. Sebaik saja aku sarungkan ke jari, ia terletak elok di jari manisku.

“Cantik. Sedang elok, kan?”

Aku angguk. Memang kena dengan jariku. Tapi aku tak tahu pula saiznya sesuai ataupun tak dengan jari Hanis nanti.

“Awak suka cincin ni?” Amar menyoal seraya merenung ke mataku
Apa kes tanya aku suka ke tidak cincin ini? Bukan nak beli untuk aku pun. Bila bertentang mata ni, aku rasa lemah semangat pula.

“Tak. Tapi... Hanis mungkin suka,” kataku lalu tanggalkan cincin itu dan letak kembali ke dalam kotak. Kotak itu aku tolak ke arah Amar. 

Amar tersenyum tipis. Amar tak ambil masa yang lama memilih cincin perkahwinan untuk dia dan Hanis. Cincin permata biru itu dipilih. Aku tak boleh nak kata apa. Duit dia, bukan duit aku. Cincin kahwin dia, bukan cincin aku.


Nota penulis : Tajuk memanglah Jodohku Superstar, tapi... (uhuk-uhuk). Sorry, terbatuk sikit. Suka ZR nak bagitahu yang jalan cerita di blog dan dalam novel ada banyak perbezaan. Banyak yang dipinda, dirombak, diubah, dipotong dan diolah semula. 


No comments:

Post a Comment