Tuesday, 23 September 2014

JODOHKU SUPERSTAR 25

Superstar datang lagi!!! Ni dia sambungan bab 25....sebenarnya ZR bayangkan muka Amar Affandy tu macam sorang penyanyi K-POP tau....saje nak bayangkan bagi bersemangat sikit....Hmmm ensem kan?? Okey....ikuti sambungan SS ni ye. 




Bab 25




DALAM keadaan macam ini, aku tetap berkeras mahu pergi kerja walaupun mama melarang aku pergi. Aku bosan duduk sendirian di rumah. Kalau aku kerja, sekurang-kurangnya aku dapat lihat orang dari dalam kedai. Aku juga nak jumpa pak cik seringgit tu. Manalah tahu dia datang ke.

Hari ini mama tak keluar ke mana-mana. Dia tak yakin aku boleh jaga kedai dalam keadaan macam ini. Baru dua jam buka kedai, beberapa orang pelanggan mama datang. Kalau mama tak ada, nak dapat tiga orang pelanggan pun susah. Semua jumpa mama secara terus. Kedai ni syarat untuk mama letak stoknya saja. Tapi kalau di dalam kereta, tak payah ceritalah. 

Aku menyendiri di pejabat mama. Biar mama saja uruskan pelanggan-pelanggan dia. Kalau aku ada pun, aku tak membantu langsung. Mungkin aku cuma membatu saja di kaunter.

Sedang termenung, tiba-tiba aku terpandang satu foto di bingkai gambar di atas meja mama. Gambar mama bersama Amar ketika kali kedua Amar datang ke sini. Aku tersenyum. Ceria sangat wajah Amar waktu itu. Tapi, pada hari dia melawat aku di hospital, wajahnya muram, mendung. Aku tak tahu kenapa.

Aku rasa rindu pula dengan gangguan-gangguan Amar. Bila dia datang dan mengadu dia lapar. Sampai habis roti canai aku dia makan. Paling tak dapat aku lupa bila dia pengsan di kedai mama. Tak tentu arah aku dengan mama waktu itu. Bukan itu saja, dia datang hiburkan aku dengan nyanyian dia. Aku tak sangka Amar lakukan semua itu untuk aku. Pantang ada masa terluang, dia akan cari aku. 

Kenapa aku masih ragu dengan kesungguhan dia? Patut ke aku beritahu Amar yang aku akan balik kampung hari minggu ni? Hari itu dia beria-ia benar nak pergi kampung aku. Siap kena kelentong lagi. Apa kata aku SMS dia. 

Aku ambil iPhone dan taip SMS. Aku tak pasti patut hantar ke nombor yang mana satu. Jadi, aku buat keputusan untuk hantar ke ketiga-tiga nombor telefon Amar yang aku simpan. Bila hantar, aku senyum lega. 

Saya balik kampung pagi Sabtu ni. Nak ikut tak? 

Sementara menunggu dia balas, aku periksa meja mama. Aku ternampak satu kotak CD di bawah document tray. Aku ambil dan aku terkejut melihat album Amar. Di atas muka depan siap ada tandatangan Amar. Kenapa aku tak dapat? Dia janji nak bagi hari itu. Aku kecewa. Tetapi aku tetap keluarkan CD dan mainkan di komputer.

Bila masukkan CD, ia terus auto-play melalui Window Media Player. Aku dengar mulai track pertama. Baru nak hayati lagu, nada dering SMS bergema. Tentu Amar yang membalasnya. Aku terus baca SMS itu.

Mungkin lain kali. I’m quite busy now. Sorry. 

Aku rasa pelik. Namun, aku balas.

OK. If you change your mind, just let me know...

Aku masih baik hati untuk bagi dia peluang kenal kampung halaman aku. Dia pula sibuk. Tak mengapalah. Nanti tak adalah aku kena soal siasat dengan ayah. Tak adalah rumah aku kena serbu dengan peminat dia.

SMS terakhir aku tak dibalas. Aku tahu, Amar mungkin sudah tak berminat lagi. Aku nak layan lagu-lagu dalam albumnya sampai habis hari ini.

Setakat ini, aku boleh bagi empat bintang untuk album ini. Komposernya pun bukan calang-calang orang. Semua hebat-hebat dan pernah menang dalam pertandingan Juara Lagu. Bertuahnya Amar.

Masuk track keempat, tajuknya Pesonamu. Lagu yang Amar nyanyikan untuk aku dulu. Aku dengar dalam versi muzik pula. Hari itu versi live dan tanpa muzik. Kurang sedap. Hehehe...

Lagu yang dimainkan selama empat minit 36 saat itu benar-benar buat aku terbuai. Indah sungguh bait-bait lagunya. Aku suka sangat. Bila habis, aku ulang lagu itu. Tak puas dengar, aku ulang lagi. Langsung tak jemu. Aku rasa seperti aku di zaman filem Kassim Selamat. Aku ialah Sabariah yang begitu meminati nyanyian Kassim Selamat. Begitulah umpamanya aku. 

Aku terpukau dengan nyanyian daripada Amar sampai aku asyik ulang lagu itu. Sehinggalah aku dapat panggilan daripada Aryan Shah. Aku suka sebut nama dia. Dalam telefon pun aku simpan nombor telefonnya sebagai Aryan Shah.

“Ya Shah?”

“Hai. Macam mana keadaan awak?”

“Okey. Masih berkaki tiga,” selorohku. Maksud aku, bertongkat.

“Tak pergi follow up dengan doktor?”

“Saya rasa dah okey. Balik kampung nanti nak pergi mengurut kalau masih sakit. Tapi... boleh aje berjalan tak pakai tongkat.”

“Balik kampung? Bila tu?”

Alamak... terlepas cakap pula. Silap-silap dia ni pula yang nak pergi kampung aku. “Err... Sabtu ni.”

“Boleh saya ikut? Lagipun saya free.”

Dah agak! Menyampah macam ni. 

“Ayah saya garang. Dia cukup pantang kalau saya bawa balik lelaki ke rumah.” Aku cuba menakut-nakutkan Shah. Macam aku buat kepada Amar dulu. Bila teringatkan Amar, aku jadi hilang mood.

“Garang sangat ke? Kalau macam tu, lain kali ajelah.”

Taktik aku berjaya. Tapi kalau aku guna alasan ini untuk Amar, dia memang tak percaya. Amar, Amar. Tak semena-mena kepala ini menggeleng.

“La... garang pun tak adalah sampai makan orang.”

“Saya dengar pun rasa gerun ni.”

Aku menahan ketawa. Shah sudah terkena nampaknya. Barangsiapa yang boleh berdepan dengan ayah aku, maka dialah akan jadi bakal suamiku. Aku rasa Shah ni awal-awal menyerah diri. 

“Kalau macam tu, kirim salam saya pada ayah dan mak awak di kampung ya,” pesannya.

“Insya-Allah.”

“Sebelum awak balik kampung, boleh tak kita jumpa? Ingat tak saya bagi tahu hari tu yang saya nak bawa awak pergi satu lagi kedai cupcakes yang sedap tu?”

Aku cuba ingat. Oh ya, Shah ada beritahu. Tapi, itu mustahil. “Ingat. Awak nak ajak saya pergi situ ke?”

“Kalau awak nak.”

“Tapi Shah, saya tak boleh keluar. Nak jalan pun susah. Bila kaki saya dah elok nanti, kita pergi ya.” Aku beri harapan palsu. 

Shah senyap beberapa saat. Dia kembali bersuara. “Saya lupa. Sorry, Dhiya. You’re not fully recovered yet. Sorry. Lain kali saya bawa awak pergi sana.”

“Tak apa. I hope you will get fast recovery. Okay my dear?”

Aku tercengang. My dear?

“Thank you for your concern, Shah.”

“Don’t mention it. Okey, Dhiya. Nanti ada masa SMSlah. Saya akan reply ya.”

Amboi dia... 

“Tengoklah,” kataku kurang pasti. 

“Bye.”

“Bye. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Kami sama-sama putuskan talian. Aku abaikan tentang Shah dan sambung semula mainkan lagu Amar.



SYUKUR kepada Allah yang Maha Menyembuh. Aku sudah boleh berjalan tanpa tongkat. Dapat aku masukkan beg pakaian ke dalam kereta tanpa perlu menyusahkan mama. Kami balik bersama. Mama akan tidur semalaman dan balik ke KL semula. Bila aku nak balik KL nanti, dia akan datang jemput. Aku gembira ada mama yang baik hati.

Sambil berjalan, sempat aku belai skuter kesayanganku yang tak berapa sihat sejak aku jatuh tempoh hari. Ada kemik, ada kesan calar. Kasihan skuter ni. 

“Nanti balik sini aku cat kau eh. Aku cat kau colour jambu. Nak?” kataku kepada skuter. Macam orang tak betul.

“Dhiya, cakap dengan siapa tu?” Mama melaung. 

Aku berpaling dan cepat-cepat dapatkan mama. Setelah semua yang nak dibawa dimasukkan ke dalam kereta, aku dan mama membaca doa sebelum memulakan perjalanan jauh.

“Jom kita gerak sekarang.” 

Sebaik saja kereta mama meluncur keluar dari garaj, tiba-tiba ada sebuah kereta memintas di depan. Aku dan mama terkejut. Terasa macam nak tercabut nyawa. 

“Siapalah yang biadab sangat ni?” Mama berang. Dia buka tali pinggang keledar dan mahu keluar. 

Pantas aku menahan mama. Aku amati nombor plat kereta. Aku tahu siapa empunya kereta itu.

“Mama nak tengok siapa yang biadab sangat tu. Tahulah pakai kereta mewah. Kalau terlanggar tadi macam mana? Mesti kita yang kena bayar ganti rugi.” Mama masih marah.

“Mama, jangan marah. Cuba tengok kereta siapa tu.”

Mama buat seperti yang aku cakap. Dia amati kereta itu.

“Siapa?” Mama tak dapat cam. 

“Amar,” beritahuku. 

Apa lagi, kami berdua keluar dari kereta dan menuju ke arah kereta Amar. Cermin keretanya gelap. Aku tak dapat lihat Amar di dalam. Bila kami terhendap-hendap seperti pencuri, Amar buka pintu kereta.

“Saya takkan benarkan mama dan Dhiya balik kampung tanpa saya,” kata Amar tanpa rasa malu. 

Aku terkesima. Begitu juga mama. Kemudian mama mengorak senyum. Dia tentu tak sangka yang Amar akan ikut sama. Aku pandang wajahnya dengan rasa geram. Dia buka cermin mata hitamnya. Berdiri di antara pintu kereta sambil tongkatkan siku atas pintu.

“Sibuk? Lain kali? Awak dah ubah fikiran?” sindirku berdas-das.

“Saya ada banyak benda nak cakap dengan awak.”

“Betul ke? Jadi, tak menyesal ikut saya balik kampung? Naik perahu lintas sungai? Redah hutan? Panjat bukit?”

Amar ketawakan aku. Amar yang aku kenal sudah kembali. “Berenang dalam sungai yang ada beratus ekor buaya pun saya sanggup. Naik kereta mama atau kereta saya?”

Aku tenung kereta Amar. Kemudian kereta mama. “Kereta mamalah. Kalau kereta awak ni masuk kampung saya, saya takut teruk kena bayar ganti rugi.”

“Kalau macam tu, boleh saya tumpang parking kat dalam ni?”

“Boleh sangat. Pergilah.”



AKU tak putus tersenyum apabila saat-saat akhir Amar buat keputusan untuk ikut aku balik ke kampung. Mama dera Amar untuk memandu dari KL ke Perak. Bukan jauh sangat pun. Aku duduk di tempat duduk belakang. Amar asyik bersembang dengan mama. Aku di belakang layan perasaan sendiri.

Aku tak tahu apa reaksi ayah dan mak bila Amar sampai di rumah nanti. Aku harap ayah terima kedatangan Amar dengan hati terbuka. Risau juga aku kalau-kalau datang angin La Nina dia, dihalaunya Amar nanti.

Macam-macam cerita yang Amar kongsikan dengan mama. Mereka nampak rapat. Tak hairanlah Amar suka mengadu dengan mama pasal aku. Entah-entah mama ada berpakat dengan Amar. 

Satu jam perjalanan berlalu, aku rasa mengantuk. Aku dakap patung wajah Angry Bird dan baring di tempat duduk belakang. Leganya rasa dapat baring. Baru sejam bertolak. Lagipun apa yang ada di sepanjang jalan lebuh raya. Kosong saja. Kalau lalu jalan biasa, dapat tengok-tengok bangunan. Dapat juga menjamu mata. Tak sampai lima minit baring, aku terus hanyut dibuai lena.



“DAH sampai!” jeritku apabila sudah sampai di rumah. 

Amar berhentikan kereta dan mama menoleh ke belakang.

“Amboi, gembiranya dapat balik kampung.” Mama mengusik. 

Aku tersenyum. Tanpa berlengah, aku keluar dari kereta dan berlari ke dalam rumah untuk memanggil mak. Mak tentu terkejut bila lihat tetamu yang datang bersama aku. Mesti dia pengsan. Semasa naik tadi, aku tak nampak kereta ayah. Ke masjidlah tu.

“Mak, tengoklah siapa datang.” Aku mengheret tangan mak supaya keluar.

Setiap kali aku balik, mak selalu ada di dapur. Memasak saja kerjanya.

“Apa dia ni? Siapa datang?” Mak tertanya-tanya. Aku mahu buat kejutan.

Sampai di muka pintu, aku tunjuk ke arah Amar. 

Mak mengerutkan dahinya. “Siapa tu?”

“Mak tak kenal ke?”

Amar di bawah tersenyum dan lambai tangan. 

“Siapa? Tak nampaklah,” kata mak. Dia turun ke bawah dan lihat dari jarak dekat. Aku lupa yang mak ni rabun jauh.

“Takkan mak tak kenal. Nilah penyanyi popular tu. Amar Affandy,” kataku bersungguh-sungguh. Aku ingat nak mak teka sendiri. Bila melihat mak bingung, terpaksalah aku beritahu juga.

“Amar Affandy? Artis tu ke?” Mak menoleh ke arahku. Masih keliru. Aku angguk laju.

“Assalamualaikum mak... eh, mak cik.”

Aku pekup mulut tahan gelak. Buat-buat tersasul pula Amar ni.

“Waalaikumussalam. Amar ke ni? Betul ke? Ya Allah. Selalu tengok dalam TV aje. Sekarang depan mata. Tak sangka betul mak cik. Handsomenya kamu ni. Macam dalam TV jugak. Masuklah. Jangan malu-malu.”

Aku tercengang melihat mak menarik tangan Amar masuk ke dalam rumah. Mak pula yang beria-ia meraikan Amar. Aku menggenggam tangan mama untuk masuk bersama ke dalam rumah. Sebaik saja kaki kami melangkah, aku terdengar deruman enjin di laman rumah. Lantas aku berpaling. 

Ayah sudah balik. Bila ayah keluar dari kereta, aku menolak mama dan menyuruhnya masuk dahulu. Biar aku selesaikan dengan ayah.

“Ayah.” Aku mencium tangan ayah sebaik saja ayah datang.

“Bila sampai?”

“Baru aje.” Aku rasa cemas. Aku dapat tangkap suara Amar ketawa kuat dari dalam rumah. Air muka ayah berubah dan berkerut.

“Suara siapa tu?”

“Err...”

“Lelaki mana yang kamu bawa balik tu?” Ayah mula bergegas masuk ke dalam rumah. 

Aku cuba menahan ayah, tapi ayah melangkah deras mencari suara lelaki itu. Aku mengejar ayah. Aku panik. Dalam hati aku berdoa agar ayah tak buat apa-apa kepada Amar.

“Ayah, dengar dulu Dhiya cakap,” pujukku. Langkah ayah terhenti di dapur bila melihat Amar, mama dan mak duduk di meja makan. 

Aku telan liur. Semua memandang ke arah ayah. Aku tergeleng-geleng kepala sebagai isyarat buat mak. Tolong pujuk ayah. Jangan biarkan ayah mengamuk dan marahkan Amar.

Ayah berpaling ke arahku. Aku terpempan.

“Tak cukup dengan kak long kau malukan ayah. Sekarang kau pula bawa balik jantan? Apa nak jadi dengan kau ni, Dhiya? Tak cukup ke didikan yang ayah bagi selama ni sampai kau sanggup bawa balik lelaki ke rumah? Kau nak malukan ayah?”

Aku teresak-esak mendengar kata-kata ayah. Aku tak berniat nak buat dia malu. Aku bukan berdua dengan Amar. Mama ada. Aku tak sangka ayah akan semarah ini.

“Kau suruh dia balik! Kalau tak, kau jangan balik sini lagi. Kalau kau dah gatal sangat, menikah. Jangan nak malukan aku macam ni.” Puas marah ayah berlalu dengan wajah yang tegang. 

“Ayah... dengar dulu. Dengar apa yang Dhiya nak cakap, ayah.” Aku cuba dapatkan ayah. Ayah berjalan laju dan aku sempat tangkap kaki ayah dan bersujud. Aku menangis tersedu-sedu merayu dan memohon ampun kepada ayah.

“Ayah, maafkan Dhiya. Dhiya tak buat apa-apa yang malukan ayah. Sumpah, ayah. Dhiya tak ada niat yang malukan ayah. Ampunkan Dhiya, ayah. Dhiya janji takkan buat lagi. Ampunkan Dhiya.” Aku terus merayu dan memeluk kemas kaki ayah. 

Ayah diam. 



MAMA memanggil namaku.

“Dhiya! Dhiya! Eh budak ni. Mengigau ke?”

Aku terasa pahaku ditepuk-tepuk. Bila aku terjaga, aku teresak-esak. Mataku terbuka luas dan mendadak aku bangun sambil memandang sekeliling.

“Ma... Mama, kita balik KL semula ke ni?” soalku terpinga-pinga. 

Kenapa aku ada dalam kereta sekarang? Tentu mama buat keputusan untuk balik selepas ayah marahkan aku. Kesian Amar.

“Balik KL apa pula? Kita belum sampai kampung lagi. Dia mengigau pasal apa ni? Ya Allah budak ni. Cuba istighfar.”

Apa? Aku mengigau? Aku pandang mama dengan rasa tak percaya. Tiba-tiba gegendang telinga ini terusik dengan satu gelombang ketawa yang besar. Pantas aku merenung ke arah Amar.

Ya Allah... Malunya aku dengan Amar. Malu tahap dewa. Mana nak sorok muka ni? Rupanya yang aku peluk tadi bukan kaki ayah. Tapi patung Angry Bird. Amar belum berhenti ketawa. Aku rasa tersangatlah malu. Mama mulanya hairan turut ketawa dengan Amar. 

Muncungku panjang sedepa tatkala memalingkan muka dan bersembungi di sebalik Angry Bird. Malu sangat-sangat. Setakat mama tak apa lagi. Bila Amar tahu aku mengigau di siang hari, boleh menjatuhkan maruah aku.



SEBAIK saja kereta berhenti di laman rumah, lututku menggeletar. Aku takut igauan tadi jadi kenyataan. 

“Dhiya, tak nak turun ke? Dah sampai ni.” Teguran mama membuatkan lamunan aku tersentak. 

Aku termangu buat beberapa saat sebelum buka pintu. Terasa berat kaki nak jejak ke tanah. Aku pandang Amar. Dia masih di tempat duduknya. Lalu pandang ke belakang.

“Kenapa dengan awak ni, Dhiya? Awak nampak takut,” tegurnya.

Memang aku takut. Aku takut dengan reaksi ayah. Aku takut ayah marah. Aku takut kami kena halau balik KL semula. Banyaklah yang takutnya. Malas aku nak sebut.

“Err... awak jangan turun lagi, ya. Saya masuk dulu jumpa mak dan tengok ayah ada ke tak.”

“Kenapa dengan ayah awak?” soalnya berkerut kening.

“Kenapa?” Aku ulang sambil jongket sebelah kening. 

Dia ketawa. Dah fahamlah tu.

“Okey. Saya tukar soalan. Awak takut dengan ayah awak ke?”

“Kan saya dah cakap. Ayah saya tu garang. Lagi garang daripada singa, buaya, harimau dan lagi ganas daripada dubuk.” Aku mengutuk ayah sendiri. Sesedap rasa. 

Amar cuma ketawa. Tak takut ke dia dengar perumpamaan aku itu?

“Garang-garang ayah awak pun, dia takkan baham saya, kan?” 

Eleh... confident saja dia. Aku cemik bibir. “Awak tunggu sini dulu tau. Jangan keluar. Bila saya panggil, baru awak keluar. Okey?”

Amar terus angguk tanpa banyak soal. 

Aku keluar dan periksa keadaan dulu. Aku tak risau pasal mak. Yang aku risau cuma ayah. Saat kaki nak melangkah masuk ke dalam rumah pun aku rasa menggigil kepala lutut ni. Kereta ayah ada di garaj. Tapi motosikal dia tak ada. Mungkin dia ke masjid dengan menaiki motosikalnya.

Aku beri salam. Melangkah perlahan-lahan ke dapur. Macam dalam mimpi tadi. Mak memang ada di dapur. Mama pun ada. Aku rasa peratusan untuk igauan ngeri aku tadi jadi realiti amat tinggi. Aku kena bersedia dari sekarang.

“Mak?” panggilku. Perlahan aku dapatkan mak. Cium tangan dan kedua-dua pipi dia. Rindu sangat kepada mak. “Mak sihat?”

“Sihat. Kamu?”

Aku angguk kecil. “Sihat. Ayah pergi masjid?”

“Ke masjidlah dia. Kejap lagi baliklah tu.”

Kejap lagi? Degup jantung aku tiba-tiba laju. Aku teringatkan Amar. Dia ada di luar. Macam mana kalau ayah balik nanti dan tengok dia ada dalam kereta? Habislah aku. 

“Kenapa Dhiya? Kenapa kamu nampak resah ni?” Mak perasan riak wajahku. 

Aku perlu beritahu mak supaya mak boleh menyebelahi aku nanti kalau ayah mengamuk. “Err... mak, Dhiya dengan mama ada bawa tetamu.” 

Aku pandang mama. Beri isyarat mata supaya mama bercakap dengan mak pula. Mama menghampiri mak dan mengajak mak duduk di meja makan.

“Macam ni, anak saudara saya nak ikut. Saya pun bawalah datang sekali.”

Aku rasa lega sikit. Pandai mama cover line.

“Mana dia? Kenapa tak jemput naik?”

“Dhiya, pergi panggil Amar masuk,” suruh mama. 

Aku patuh dan melangkah lemah menuju ke luar. Tatkala aku menyusun langkah, aku terdengar bunyi enjin motosikal di laman rumah. Aku berlari-lari anak dan lihat ayah sudah balik. Matanya tajam merenung ke arah kereta. Aku tak keruan. Makin menggelabah. Aku turun dapatkan ayah dan jelaskan perkara sebenar. Sebelum ayah mengamuk sakan.

“Ayah, Dhiya minta ampun. Ayah dengar apa yang Dhiya nak cakap ni. Ni... anak saudara mama. Dia datang dengan mama. Kami tak ada apa-apa. Betul,” tuturku laju dan panik kepada ayah.

Ayah bingung memandangku. Mungkin dalam kepalanya, apa kena dengan anak aku ni?

Waktu itu Amar keluar dari kereta. Aku tak berkelip memandang Amar.

“Kenapa dengan kamu ni, Dhiya? Tersampuk?” marah ayah. Dia menoleh ke arah Amar yang baru keluar dari kereta.

“Assalamualaikum, pak cik. Apa khabar?” sapa Amar penuh sopan dan hormat. 
Aku rasa seperti jantungku nak pecah.

“Waalaikumussalam. Sihat. Kamu ni siapa?” 

Aku rasa tak sanggup berdiri di situ. Habislah Amar. Habislah aku kali ni. Aku memalingkan badan daripada ayah. Sorok muka yang berkerut buruk ni.

“Saya Amar.”

“Amar? Muka kamu ni macam pernah tengok.”

Amar gelak kecil. Macam malu-malu.

“Eh, pak cik rasa pak cik cam muka kamu ni. Kamu ni artis ya?”

Amar gelak lagi. Aku tak tahu macam mana rupa Amar sekarang. Aku pun tak sanggup nak pandang muka ayah.

“Ya. Sayalah Amar. Pak cik cam saya?”

“Mana boleh tak cam. Muka kamu asyik keluar TV. Eh, wartawan tak tahu ke kamu datang sini? Kalau orang kampung tahu ada artis datang, habis rumah pak cik kena serbu. Eh, masuk, masuk. Kenapa tak naik? Dhiya, kenapa tak jemput Amar naik?”

Hah? Aku tergamam. Terkaku dan terkejang di situ. Penerimaan ayah di luar jangkaan aku. Aku berpaling ke arah ayah. Aku tengok dia mesra memeluk bahu Amar dan membawa Amar masuk ke dalam rumah.

Aku terkejut dan tak sangka. Aku punyalah takut sampai nak putus jantung. Ayah elok-elok saja sambut kehadiran Amar. Bukan main mesra. Langsung tak marah. Aku menghela lega dan panjat syukur. Lega sangat. Aku tersenyum puas dan masuk ke dalam rumah.

“Tak sangka artis popular datang rumah pak cik. Anak pak cik minat sangat dengan kamu. Comel katanya.”

Aku tahan gelak. Amar comel? Lalu aku berlalu ke dapur sambil geleng kepala. Biarkan ayah berbual dengan Amar.

Mama pandang aku ketika aku masuk ke dapur. Mak sedang bancuh air.
“Macam mana?” bisik mama.

Aku angkat ibu jari. Tanda semuanya okey. Mama menghela kelegaan.

“Ayah suka Amar.” Aku bisik kepada mama pula.

“Ia?”

Aku beria-ia angguk dengan ketawa yang ditahan. Bukan main kami berbisik. Bila mak berpaling, aku dan mama terdiam.

“Hantar air ni ke luar.”

“Baik, mak.” Aku angkat dulang. Sempat sekali lagi aku angkat ibu jari kepada mama. Mama buat simbol OK.





No comments:

Post a Comment